Bikesrepublic

Luar Negara

Fairstreet Sports telah menafikan bahawa pembatalan MotoGP India 2024.

Penafian itu dikeluarkan oleh penganjur tempatan sukan itu selepas “berita” pembatalan itu tersebar di seluruh dunia dengan kelajuan cahaya. Autosport.com adalah yang pertama melaporkan bahawa pusingan India akan digugurkan kerana Fairstreet masih belum mengeluarkan dana kepada pemegang hak MotoGP Dorna Sports dan beberapa vendor.

Itu juga membawa kepada spekulasi bahawa GP Kazakhstan yang ditangguhkan, yang pada asalnya dijadualkan bermula pada 16 Jun, akan mengambil alih selepas pembatalan MotoGP India 2024 yang dijadualkan bermula pada 20 September.

Kini Crash.net diberitahu bahawa pembayaran telah ditangguhkan kerana peraturan Tatakelakuan Model India. Ia adalah peraturan yang menghadkan perbelanjaan dana awam apabila negara itu mendekati pilihan raya. Dana GP datang daripada kerajaan Uttar Pradesh di mana Litar Antarabangsa Buddh terletak. Walau apa pun, dana telah diluluskan untuk diagihkan pada 4 Jun.

Ketua Pegawai Eksekutif Fairstreet Sports Pushkar Nath Srivastava memberitahu The Times of India pada 15 Mei bahawa perlumbaan masih akan diteruskan. “Perlumbaan akan tetap berlangsung,” katanya. “Ini (berita mengenai pembatalan) hanyalah khabar angin. Semua obligasi kontrak akan dipenuhi pada bulan Jun.” Laporan sebelum ini menyatakan bahawa Dorna telah memberikan tarikh putus 20 Mei kepada Fairstreet.

Dorna telah menandatangani kontrak tujuh tahun dengan Fairstreet Sports pada 2022 untuk menganjurkan Grand Prix India di Litar Antarabangsa Buddh dari 2023 hingga 2030.

Kaliper brek Brembo Hypure baharu bakal diperkenalkan pada penghujung tahun ini.

Apa lagi yang boleh dikatakan tentang jenama Brembo? Malah mereka yang bukan peminat motosikal juga mengenali jenama itu, sehinggakan ada yang merujuk kepada mana-mana kaliper brek sebagai “Brembo.” Jadi, kita teruskan dengan pengenalan produk ini sahajalah.

Brembo Hypure direka khusus untuk motosikal-motosikal supersport atasan. Sebaliknya kaliper Stylema yang lebih awal telah digunakan pada semua jenis motosikal daripada yang supersport hinggalah kepada jenis dwi-guna (dual-sport). Oleh itu, apa yang Hypure berikan ialah gabungan kuasa brek, rasa yang lebih baik pada tuil ,dan keringanan.

Ciri-ciri Brembo Hypure:
  • 10% lebih ringan daripada pesaing. Penjimatan berat dalam bidang ini bermakna motosikal anda mempunyai jisim yang yang lebih rendah, oleh itu mengurangkan inersia, justeru menghasilkan pengendalian yang lebih baik.
  • Brembo berkata ini dicapai melalui pengalaman mereka dan alatan reka bentuk baharu untuk mengedarkan aluminium di tempat yang betul.
  • Hasilnya, kekuatan yang kekal sama walaupun beratnya lebih rendah, dan penyejukan yang lebih baik.
  • Mengurangkan penggunaan pad melalui sistem spring, pad dan pin baharu, selain permukaan galas yang direka khas antara kaliper dan pad.
  • Syarikat itu mengatakan bahawa dengan sistem ini, pad bergerak tanpa rintangan ke arah cakera pada permulaan membrek. Apabila tuil dilepaskan, pad bergerak dengan cepat dari cakera untuk mengurangkan geseran.

 

Brembo Hypure mula diacah di EICMA tahun lepas dan akan dipasang sebagai peralatan asli kepada motosikal supersport yang akan datang. Spekulasinya adalah sama ada pada KTM 990 RC R atau Yamaha YZF-R9, atau kedua-duanya.

Apapun, nasihat kami ialah gunakanlah pengunci khas untuk kaliper brek motosikal anda.

KTM 990 RC R Bakal Dilancarkan

Pusingan MotoGP India 2024 mungkin akan digugurkan.

Autosport mendedahkan bahawa promoter tempatan, Fairview Sports belum membuat pembayaran kepada “vendor tempatan dan pemegang hak MotoGP Dorna Sport.” Bagaimanapun, Fairview diberi masa sehingga 20 Mei untuk menyelesaikan perkara itu.

MotoGP India 2024 ditetapkan untuk kembali kali kedua dari 19 hingga 22 September. Pembatalannya mungkin bermakna Kazakhstan mengambil alih tarikh itu. Pusingan Kazakhstan sepatutnya bermula pada 16 Jun tetapi ditangguhkan kerana banjir besar.

Kalendar MotoGP 2024 akan menyaksikan pengurangan semula kepada 20 pusingan sekiranya MotoGP India dibatalkan. Pusingan Argentina telah pun dibatalkan sebelum permulaan musim, menjadikan jumlah keseluruhan berkurangan kepada 21 pusingan.

GP sulung di negara itu pada tahun lalu turut mengalami beberapa kesukaran kerana litar Buddh hanya siap dan diberikan penarafan pada saat-saat akhir, namun kekal kotor apabila MotoGP tiba. Penunggang juga menimbulkan kebimbangan bahawa susun atur trek yang beralun tidak mempunyai kawasan kecemasan (run-off) yang tidak mencukupi.

Selain daripada itu, kelulusan visa bagi beberapa pelumba dan kakitangan pasukan turut tertangguh menyebabkan beberapa pelumba terpaksa membatalkan acara promosi sebelum perlumbaan.

India pada masa ini merupakan pasaran motosikal terbesar di dunia justeru merupakan perhentian yang penting bagi pengeluar motosikal dan MotoGP.

Khabar angin malah pembohongan terang-terangan berleluasa dalam media sosial hari ini, kerana ada ramai yang gemar kontroversi, dan itu mendorong tontonan (views) yang lebih tinggi. Dan masalah utamanya ialah cuba membezakan antara berita tulen daripada yang palsu, sekurang-kurangnya sehinggalah pihak berkenaan membuat kenyataan. Satu berita yang menjadi viral ialah dakwaan bahawa BYD akan membuat motosikal. Tetapi tidak, BYD tidak akan hasilkan motosikal.

Khabar angin mula tersebar mengenai “motosikal elektrik BYD” apabila video tidak rasmi diterbitkan dalam media sosial. Video tersebut turut menyerlahkan penjimatan kos memiliki motosikal BYD.

Video itu mendorong syarikat itu untuk membalas secara rasmi, dengan Pengurus Besar Jabatan Perhubungan Awam Jenama Kumpulan BYD, Li Yunfei, menyatakan bahawa motosikal itu tidak wujud, mahupun sedang dibangunkan. Beliau juga menyatakan dengan jelas bahawa sebarang “berita” BYD membangunkan sebarang bentuk kenderaan beroda dua sebagai “semuanya palsu.”

Namun, itu bukan bermaksud BYD tidak mempunyai pengalaman dengan motosikal elektrik.

Scorpio Electric X1

BYD telah menandatangani perjanjian dengan jenama Singapura, Scorpio Electric, pada Julai 2023 untuk memasang skuter elektrik yang dipanggil X1 untuk pasaran China. Walau bagaimanapun, X1 tidak menggunakan bateri LFP BYD, dan sebaliknya menggunakan pek kuasa Samsung.

Melangkah balik lebih jauh ke tahun 2022, BYD membangunkan dan membekalkan bateri LFP kepada pembuat motosikal Sepanyol Nerva untuk Nerva Exe E-Scooter mereka (gambar utama).

Ya, itu betul: BYD turut membekalkan bateri kepada beberapa pembuat kereta, serta industri lain, selain sedang menyelidik dan membangunkan bateri yang lebih selamat untuk motosikal.

BYD kini merupakan salah satu pengeluar kenderaan terbesar di dunia, dan terutamanya dalam sektor kenderaan elektrik (EV). Peningkatan mendadak mereka telah mengejutkan beberapa pengeluar, termasuk Tesla yang menyaksikan jualan mereka merosot di seluruh dunia, justeru menyebabkan syarikat Amerika itu melakukan pemberhentian pekerja secara besar-besaran baru-baru ini. Mungkin tidak menghairankan kenapa terdapat orang yang teruja dengan prospek BYD membuat motosikal.

Pengeluar motosikal kini boleh bernafas lebih lega. Untuk sekarang.

Pertama Huawei, kemudian ZTE, diikuti oleh TikTok, dan kini AS hendak haramkan dron DJI pula.

Menurut New York Times, DJI sudah pun berada dalam senarai pantauan Jabatan Pertahanan AS (US Department of Defence), “DJI berada dalam senarai Jabatan Pertahanan sebagai syarikat tentera China yang produknya akan dilarang dibeli oleh angkatan bersenjata A.S. pada masa hadapan.”

Kisah ini bermula seawal 2021, apabila Jabatan Perbendaharaan A.S. meletakkan DJI dalam senarai syarikat yang disyaki mempunyai hubungan dengan tentera China. DJI juga didakwa terlibat dalam pengawasan sebuah kumpulan minoriti.

Kembali ke 2024, Kongres kini menyasarkan untuk meletakkan DJI dalam Senarai Dilindungi Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (Federal Communications Commission Covered List). Syarikat dalam “senarai hitam” ini tidak boleh beroperasi dengan infrastruktur komunikasi negara. Huawei dan ZTE adalah antara yang tersenarai.

Rang undang-undang yang dipanggil Countering CCP Drones Act telah menerima sokongan kedua-dua pihak di Kongres, dengan memetik risiko kepada keselamatan negara. Rang undang-undang itu diperkenalkan oleh Ahli Kongres Elise Stefanik (Republikan – New York), yang menunjukkan kelemahan keselamatan yang ditemui oleh penyelidik.

Sebaliknya, DJI terus menafikan dakwaan itu, dengan mengatakan “Penggubal undang-undang yang memacu undang-undang ini terus merujuk dakwaan yang tidak tepat dan tidak berasas mengenai operasi DJI.” Mereka juga telah menafikan dakwaan bahawa DJI adalah syarikat tentera China.

Rang undang-undang itu mengakibatkan kemarahan pakar dan peminat kerana ia akan menyebabkan dron DJI tidak boleh digunakan di AS. Pertikaian utama di kalangan mereka ialah tiada syarikat lain yang membuat dron dengan kualiti dan dengan ciri yang sama.

Kami perlu menambah bahawa Kerajaan AS juga sedang mencari langkah untuk mengurangkan atau menyekat pengimportan kereta buatan China, khususnya EV.

MotoGP Kazakhstan akan ditangguhkan akibat banjir besar di negara itu.

Sistem cuaca yang tidak dijangka telah menyebabkan banjir yang tidak pernah berlaku sebelum ini di seluruh Asia Tengah, manakala banjir kilat melanda di banyak bahagian negara Kazakhstan. Laporan menyatakan bahawa kira-kira 119,000 orang telah dipindahkan dari kawasan yang terjejas. Tujuh jiwa telah hilang akibat bencana itu.

Oleh itu, FIM, IRTA, dan Dorna Sports merasakan bahawa adalah tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif untuk meneruskan pusingan MotoGP yang dijadualkan pada 16 Jun 2024. “Sebagai keutamaan kami, MotoGP menyampaikan ucapan takziah dan sokongan kami kepada rakyat Kazakhstan dan semua yang terjejas akibat banjir di Asia Tengah Kami berharap negara, rantau dan komuniti yang terjejas dapat pulih secepat mungkin.”

Organisasi itu belum mendedahkan trek gantian, mahupun bila mereka akan kembali ke MotoGP Kazakhstan.

MotoGP Kazakhstan sepatutnya menjadi pusingan sulung di Litar Lumba Antarabangsa Sokol. Litar sepanjang 4.495km itu direka oleh jurutera dan pereka litar, Hermann Tilke, yang juga telah mereka bentuk banyak litar baharu di seluruh dunia, termasuklah Litar Antarabangsa Sepang. Sokol telah menganjurkan banyak acara perlumbaan antarabangsa dan menjadualkan banyak acara untuk tahun ini.

Ducati memulakan acara global mereka #WeRideAsOne 2024 untuk menyatukan penunggang Ducati di seluruh dunia, semalam (6 Mei 2024). Pengilang Itali itu menggelarnya sebagai acara yang menghimpunkan komuniti global untuk meraikan kebanggaan menjadi sebahagian daripada keluarga besar Borgo Panigale.

Acara tahun ini adalah edisi ketiga yang berfungsi sebagai pemanasan untuk acara World Ducati Weekend yang lebih besar, yang dijadualkan dari 26 hingga 28 di Litar Dunia Misano “Marco Simoncelli.”

Pengedar rasmi Ducati di seluruh dunia membantu menyusun #WeRideAsOne 2024 dengan kerjasama 347 kelab rasmi Ducati. Setiap peniaga mencipta jadual perjalanan unik untuk setiap bandar untuk “menjamin pengalaman yang penuh keseronokan dan dalam gaya Ducati sebenar.”

Ini membuahkan hasil apabila lebih 18,000 Ducatisti dari 50 negara mengambil bahagian. Peserta beberapa negara turun ke trek, manakala peserta beberapa negara lain mencari adventure off-road, yang lain pula berkonvoi santai, tetapi semua meraikan semangat untuk Ducati.

Sekali lagi tahun ini, perarakan Ducati dan Scrambler Ducati yang panjang mewarnai tempat-tempat yang paling simbolik di planet ini, meninggalkan kesan yang tidak dapat dihapuskan pada setiap jalan yang dilalui. Ecuador, New York, Palermo, serta Glasgow, Warsaw, Rio de Janeiro, Hawaii, Ningbo, Medellín, Bandar Raya Mexico, Auckland dan New Delhi: ini hanyalah beberapa bandar yang menjadi latar untuk perarakan unik dan yang mengalami keajaiban #WeRideAsOne, acara yang benar-benar bertaraf dunia.

Ecuador

Ducati mendokumentasikan aktiviti yang berlaku di seluruh dunia dalam masa nyata, berkongsi foto dan video yang dihantar terus daripada peserta dalam cerita di dalam akaun Instagram rasmi mereka.

Ducati ialah satu-satunya jenama motosikal di dunia yang menawarkan acara antarabangsa sebesar ini. Malah, sejak edisi pertamanya, #WeRideAsOne telah membuktikan dirinya sebagai format unik seumpamanya, menjadi janji temu tetap dalam kalendar pengeluar motosikal Itali itu. dan semua peminat untuk setiap Sabtu pertama di bulan Mei.

Acara ini merangkumi sepenuhnya misi Ducati untuk menawarkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada semua peminat, menggabungkan keseronokan pada dua roda dengan lokasi yang menakjubkan dan menyampaikan rasa kepunyaan komuniti yang luas yang merangkumi Ducatisti, Kelab Rasmi Ducati, Peniaga dan pekerja Syarikat. Apa yang membezakan #WeRideAsOne ialah keupayaan untuk mengatasi sempadan geografi dan, pada hari yang sama, membuatkan semua peminat berasa sebahagian daripada keluarga besar yang sama, tanpa mengira bandar mereka berada atau zon waktu.

Hawaii

Sistem kotak gear automatik pada motosikal bukanlah perkara baru, terutamanya di kalangan motosikal berkapasiti kecil. Bagaimanapun, pengeluar mula melengkapkan motosikal mereka dengan sistem sedemikian sejak akhir-akhir ini. Yang terbaru ialah BMW Automated Shift Assist.

Sistem BMW, bagaimanapun, mempunyai satu perbezaan utama berbanding sistem DCT daripada Honda. Walaupun sistem DCT mengetepikan tuil gear dan ditukar kepada butang pada bar hendal, sistem BMW mengekalkan tuil gear kaki. Satu-satunya persamaan ialah ketiadaan tuil klac.

Sistem ini menggunakan dua mod, ‘M’ dan ‘D’. Dalam mod M (manual), penunggang masih menggerakkan tuil gear dan memutuskan bila mereka mahu menukar gear motosikal sama ada ke atas atau ke bawah. Di dalam mod D (drive) pula, penukaran gear ke atas dan ke bawah berfungsi secara automatik dan dikawal oleh ECU kotak gear.

Pembuat Jerman itu berkata bahawa sistem itu adalah untuk “Memudahkan perjalanan anda”, dengan menggunakan klac automatik dan mekanisme penukaran gear, tanpa “mengorbankan cara penukaran gear yang penting secara emosi.”

Bagaimana ia berfungsi
  • Dua penggerak elektromekanikal mengautomasikan klac dan penukaran gear transmisi enam kelajuan, bermakna tuil klac tidak diperlukan.
  • Ia membolehkan anda memecut seperti skuter dengan hanya memutar pendikit.
  • Klac digerakkan secara automatik sebaik sahaja anda berhenti semula.
  • Permintaan pertukaran gear daripada penunggang dihantar ke unit kawalan melalui sensor tuil pertukaran gear.
  • Penderia tambahan mengukur putaran aci input penghantaran dan kedudukan klac.
  • Data ini disalurkan kepada Unit Kawalan Transmisi (TCU), yang, bersama-sama dengan ECU motosikal bagi menentukan berapa banyak tekanan klac yang perlu digunakan untuk membolehkan penukaran gear berlaku.

BMW tidak mengumumkan model mana yang akan menerima ciri ASA, walaupun grafik menunjukkan enjin Boxer, dan gambar menunjukkan butang pada bar hendal GS. Walau bagaimanapun, ia menambah 2kg pada motosikal berbanding sistem konvensional justeru S 1000 RR dan M 1000 RR berkemungkinan besar masih mengekalkan transmisi tradisional (syukur!).

Bajaj Pulsar NS400Z telah dilancarkan di India semalam, menjadikan barisan Pulsar setanding dengan Dominar. Ia berharga INR 185,000 (RM 10,520.43), iaitu INR 46,000 (RM 2,615.89) lebih murah daripada Dominar 400.

Ia kini akan bersaing dengan Bajaj Dominar 400, Triumph T-Series baharu bagi motosikal satu silinder 400cc, KTM 390 Duke, dan lain-lain walaupun tidak dalam julat harga yang sama.

Ciri-ciri Bajaj Pulsar NS400Z
  • Ciri yang paling menarik ialah penggayaan barunya yang agresif, walaupun bentuk keseluruhannya mengekalkan rupa Pulsar.
  • Bahagian hadapannya mengekalkan fairing segi tiga tetapi lampu hadapan kini menampilkan lampu projektor LED tengah, diapit dengan lampu nyalaan siang LED (DRL) berbentuk kilat.

  • Di bahagian belakang, lampu belakang LED gaya Pulsar dikekalkan.
  • Pembeli boleh memilih pilihan pelana dua bahagian.
  • Ia berkongsi enjin 373cc, satu silinder, sejukan cecair yang sama dengan Dominar 400.
  • Enjin itu menghasilkan kuasa maksimum 39.4 hp pada 8,800 RPM dan tork maksimum 35 Nm pada 6,500 RPM.
  • Transmisi 6-kelajuan termasuk klac slip and assist.
  • Fork depan jenis terbalik 43mm berwarna emas baharu.
  • Cakera brek depan bersaiz 320mm.
  • Tuil brek dan klac boleh laras 5 kedudukan.

  • Pendikit ride-by-wire (disambungkan kepada ECU, tidak seterusnya ke throttle body) membuka ruang untuk ciri kawalan cengkaman dan empat mod tunggangan iaitu Sport, Road, Rain, Off-Road.
  • ABS adalah standard.
  • Saiz tayar ialah 110/70-17 tayar di hadapan dan 140/70-R17 di belakang.
  • Ketinggian tempat duduk ialah 804mm yang boleh diakses.
  • Bajaj Pulsar NS400Z didatangkan dalam empat warna iaitu Glossy Racing Red, Pewter Grey, Metallic Pearl White, dan Brooklyn Black.

Lebih 20,000 hadiri Vespa World Days 2024 di Itali. Berlangsung di Pontedera, ia merupakan acara istimewa yang bertepatan dengan ulang tahun ke-140 Piaggio.

Walaupun majoriti peserta dari Eropah, ada yang datang dari sejauh Argentina, Australia, Colombia, Hong Kong. Sebanyak 55 kelab Vespa antarabangsa membuat acara tersebut.

Bersama-sama, mereka menunggang dalam perbarisan yang terdiri daripada 15,000 Vespa. Perarakan itu berjalan sejauh 16 kilometer melalui bukit-bukau Valdera. Banyak yang perlu difikirkan, tetapi gambar-gambar itu kelihatan hebat.

Piaggio juga secara rasmi melancarkan skuter edisi terhad Vespa 140th of Piaggio semasa acara ini, walaupun ia telah didedahkan kepada akhbar dunia sebelum ini.

Edisi 2025 juga diumumkan secara rasmi semasa perayaan Hari Sedunia Vespa 2024. Hari Sedunia Vespa 2025 akan berlangsung di Gijón, Sepanyol, dengan butiran penuh akan menyusul.

Ada peminat Vespa Malaysia yang mengambil bahagian dalam acara ini? Kongsi pengalaman dan foto anda dengan kami jika ada!

Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli menaikki podium Red Bull MotoGP Rookies Cup yang berlangsung di Litar Jerez, Sepanyol di pentas podium semalam.

Pelumba berusia 17 tahun itu menunjukkan saingan sengit pada Perlumbaan 2 dengan memimpin perlumbaan namun pelumba Sepanyol, Alvaro Carpe berjaya memintas Hakim Danish di saat akhir untuk memenangi perlumbaan hanya dengan jarak masa 0.006 saat di depan Hakim Danish.

“Hari ini saya gembira kerana dapat kembali ke podium,” kata Hakim. Dia pernah menaikki podium di tempat ketiga ketika penampilan pertamanya musim lalu di Pusingan 1 Perlumbaan 2 di Litar Algarve, Portugal.

“Pada perlumbaan tadi, saya hampir menang tetapi tidak mengapa, kerana saya akan terus berusaha dengan lebih baik selepas ini. Bagi saya, perlumbaan tadi sangat pantas dan ia satu persaingan yang sukar.

“Apapun, saya cuba mengikut rentak, kekal fokus dan (hasilnya) saya berjaya berada dalam kelompok pelumba di hadapan. Tentunya saya gembira dan akan menantikan perlumbaan yang akan datang. Malaysia boleh!.”

Dengan kejayaan itu, Hakim Danish kini melonjak ke kedudukan kelima carta keseluruhan pelumba dengan mengumpul 27 mata selepas menamatkan Perlumbaan 1 semalam di tempat kesembilan.

Pusingan 2 bagi musim 2024 selepas ini dijadual berlangsung di Litar Le Mans, Perancis pada 11 dan 12 Mei ini sebelum Litar Mugello, Itali menjadi venue bagi pusingan ketiga dari 1 hingga 2 Jun.

Hakim Danish Ramli dipetik sebagai calon pelumba oleh Datuk Razlan Razali jika dia sempat menubuhkan sebuah pasukan Moto3 pada musim 2025.

Dunia motosikal telah mengalami banyak inovasi pada tahun dekad 80-an dan awal 90-an tetapi ia nampaknya sudah perlahan sejak itu. Tetapi sekarang negara China pula yang memacu inovasi. Baru minggu lepas, terdapat khabar angin berleluasa mengenai enjin motosikal 8 silinder GWM, dan lukisan daripada penyerahan paten syarikat itu disebar di internet. Terdapat juga spekulasi bahawa enjin akan didedahkan ketika Pameran Motor Beijing, yang bermula hari ini.

Kawan kami Keshy Dhillon berada di pameran itu dan nah, lihat apa yang dia temui. Prototaip enjin yang sebenar!

Ini adalah usaha GWM (Great Wall Motor) untuk bertarung untuk gelaran raja motosikal touring mewah yang dipegang oleh Honda Gold Wing. Tetapi daripada menerima beberapa format enjin yang menjadi kebiasaan seperti Boxer dan enam silinder sebaris (BMW), V-dua (CFMoto), V-empat (Yamaha dan Kawasaki), dan enam silinder bertentangan yang mendatar (flat-six yang terdapat pada Gold Wing), GWM meningkatkan taruhan kepada lapan silinder bertentangan yang mendatar (flat-eight).

Enjin motosikal 8-silinder GWM ini dipercayai sebesar kira-kira 2000cc, lebih besar daripada 1833cc Gold Wing yang terkini. Kedua-dua enjin menampilkan seni bina yang serupa, dengan transmisi terselit di bawah untuk memendekkan keseluruhan pakej. Terdapat alternator besar di bahagian belakang, dan sudah tentu, ia adalah perlu untuk menyokong semua elektrik dan elektronik penunggang dan penumpangnya akan dibawa bersama. GWM dikatakan sedang membangunkan kotak gear dwi-klac, separa automatik serupa dengan DCT Honda juga.

Apapun, terdapat sesuatu yang amat menonjol di sini: Lihatlah kualiti tuangan logam pada komponen-komponen enjin tersebut.

Tidak ditunjukkan dalam gambar-gambar ini ialah sistem injap dwi aci sesondol (DOHC) yang berada di bawah penutup injap yang digilap cantik itu. Sebagai perbandingan, Gold Wing menggunakan sistem aci sesondol tunggal (SOHC). Lukisan paten menggambarkan radiator yang dipasang di sisi, mengikut penyelesaian penyejukan Honda.

Tetapi itu sahaja enjin motosikal GWM 8-silinder yang ditunjukkan dalam pameran Beijing. Walaubagaimanapun, terdapat rakaman Pengerusi GWM menunjukkan Xiaomi SU7 yang dihadiahkan kepadanya, dan di latar belakang terdapat sebuah motosikal tourer mengintai di bawah penutup hitam.

Jadi, mari kita tunggu sedikit lagi dan lihat produk akhir.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube