Bikesrepublic

Luar Negara

Ia kini rasmi selepas spekulasi berminggu-minggu yang telah mendorong peminat MotoGP menjadi kecoh: Jorge Martin akan ke Aprilia pada 2025.

Saga itu bermula apabila juara MotoGP 7 kali Marc Marquez berpindah ke Gresini Ducati untuk musim 2024, dan sejak itu dijangka menyertai pasukan pengilang Ducati untuk menggantikan Enea Bastianini sebagai rakan sepasukan kepada juara dua kali dan juara bertahan Francesco ” Pecco” Bagnaia.

Ia sudah tentunya cukup untuk membuat Martin menyuarakan pendapat. Beliau telah mencabar Pecco untuk kejuaraan sepanjang 2023, dan kini mendahului kejuaraan tahun ini. Martin merasakan bahawa dia berhak mendapat tempat itu kerana prestasinya.

Ducati kini menghadapi masalah: Mereka mempunyai tiga pelumba hebat lain yang bersaing untuk tempat di dalam pasukan pengilang idaman, dan ia mungkin menyebabkan bos mereka tidak dapat tidur malam. Oleh itu, pengeluar itu nampaknya terhenti membuat keputusan. Lagipun, ia belum lagi musim perpindahan pelumba.

Saga semakin hangat apabila Martin secara terbuka menyatakan (mengancam) samada dia ditemptakan di dalam pasukan pengilang atau dia akan meninggalkan Ducati sama sekali. Terdapat laporan bahawa dia telah mula berbincang dengan KTM, Aprilia, dan juga Yamaha sejak itu.

Ducati kini berada di dalam suatu keadaan yang rumit. Dan mereka perlu menyelesaikan isu ini dengan cepat untuk mengelakkan gangguan seperti ini pada awal musim ini.

Beberapa jam sebelum pengumuman rasmi Aprilia dan Martin, Autosport telah menerbitkan berita bahawa, walaupun tidak disahkan pada masa itu, Marquez telah dipilih sebagai rakan sepasukan Bagania, oleh itu Martin ditinggalkan. La Gazzetta dello Sport melaporkan bahawa pengurusan Ducati, Marquez, dan Martin mengadakan pertemuan tertutup pada hari Khamis, di mana Marquez diminta untuk menunggang di dalam pasukan Pramac. Bagaimanapun, Marquez memberitahu mereka “Pramac bukan pilihan untuk saya,” dengan “wajah yang sangat serius.”

Sekali lagi, berita itu tidak disahkan pada masa itu, dan kemudiannya datanglah kejutan bahawa Jorge Martin akan berada di Aprilia pada tahun depan.

Namun belum ada berita rasmi daripada Ducati berhubung nasib Marquez. Bastianini pula dilaporkan pernah berbincang dengan KTM, Aprilia dan Yamaha (tak ada orang nak ke Honda ka?).

Martin mungkin bukan pilihan yang baik sebagai rakan sepasukan Bagnaia, dan juga tidak sesuai dalam pasukan Itali itu memandangkan kecenderungannya dalam membuat kenyataan bombastik. MotoGP bukan seperti zaman Wayne Rainey dan John Kocinski yang memakki hamun Yamaha secara terbuka. Setiap orang perlu bertindak mengikut tatacara korporat pada masa kini.

Bagi Marquez, dia telah menunjukkan bakat luar biasanya dengan bertarung di bahagian hadapan walaupun dengan hanya menunggang Desmosedici GP23 yang kira-kira 1.5 saat lebih perlahan daripada GP24. Juga, terdapat banyak syarikat yang ingin menajanya. Oleh itu, adalah kurang wajar bagi Ducati jika mereka membiarkan beliau pergi ke pasukan pembuat saingan.

Terdapat banyak keterujaan menyelubungi pelancaran CFMoto 675 SR yang tidak dapat dielakkan, termasuk enjin empat dapur sebarisnya. Pengeluar China itu nampaknya teruja dengan model itu sehingga mendedahkan konsep CFMoto 675 SR Edisi Khas Aspar ini sebelum pelancarannya yang rasmi.

Motosikal itu belum dikeluarkan, namun edisi perlumbaan ini pun telah didedahkan terlebih dahulu. Ia merupakan penghormatan kepada Jorge Aspar Martinez, di mana pasukannya mengendalikan kempen Moto2 dan Moto3 CFMoto dalam MotoGP. Pasukan ini sedang menikmati musim terbaik mereka sejak mereka bermula pada 2022. David Alonso telah memenangi empat daripada enam perlumbaan Moto3 dan kini mendahului kejuaraan dengan 14 mata.

Berbalik kepada CFMoto 675 SR Edisi Khas Aspar, ia dihiasi dengan nombor 5 yang sinonim dengan Aspar ketika dia berlumba dalam kejohanan dunia 80cc dan 125cc. Skema warna biru, putih dan hitam juga mencerminkan pasukan Aspar.

Selain daripada warna, motosikal ini menampilkan beberapa aksesori perlumbaan seperti sayap (winglet)besar, spoiler belakang, saluran penyejuk brek, tapak kaki aluminium bilet, bar hendal bilet.

Konsep itu didedahkan ketika perasmian akademi perlumbaan dan latihan global CFMoto di Litar Aspar di Valencia, Sepanyol. Akademi ini menyediakan latihan pelumba dan mekanik serta menghubungkan mereka dengan Kejohanan Sepanyol ke Kejohanan Dunia MotoGP.

Kaliper brek Brembo GP4-MotoGP baharu telah memenangi Anugerah Red Dot untuk Rekabentuk.

Kaliper brek hadapan ini baru sahaja dilancarkan pada November 2023. Ia hampir menyerupai kaliper yang digunakan dalam MotoGP dan WSBK, tetapi ia sebenarnya bertujuan untuk kegunaan penunggang jalan raya yang mahukan prestasi membrek yang terbaik.

Jadi, apa yang berbeza tentang caliper ini?

Mari kita mulakan dengan penyangga pad yang serong yang turut menambahkan kekuatan kaliper lagi, walaupun ia sudah dimesin daripada ketulan pepejal aloi aluminium (oleh itu, monobloc). Langkah ini turut menambahkan kuasa membrek kerana badan kaliper tidak melentur. Tambahan lagi, ia memberikan penunggang rasa yang lebih baik pada tuil, terutamanya apabila anda membrek ke dalam selekoh (trail braking).

Brembo juga menyadur empat piston kaliper itu dengan nikel untuk membolehkan pergerakan yang lebih baik. Piston-piston ini direkabentuk untuk menarik pad brek dari muka cakera brek untuk mengurangkan geseran apabila tiada tekanan brek. Oleh itu, pad tahan lebih lama dan kehilangan kuasa enjin dapat dikurangkan.

Sirip yang anda lihat di hadapan kaliper yang menghadap ke bahagian dalam, berfungsi sebagai sirip penyejuk, sama seperti pada enjin motosikal yang disejukkan udara. Ini adalah ciri yang membezakan “versi awam” Brembo GP4-MotoGP berbanding dengan saudaranya di dalam MotoGP dan WSBK, kerana versi perlumbaan mempunyai sirip di bahagian belakang kaliper juga.

Adakah kita benar-benar memerlukan ini untuk jalan raya atau trackday yang ganjil? Siapa peduli! Kami MAHU!

MotoGP Kazakhstan yang ditangguhkan sebelum ini akan menggantikan MotoGP India, dari 20 – 22 September 2024.

Pada awalnya, pemegang hak MotoGP, Dorna Sport dan FIM telah memutuskan untuk menangguhkan pusingan Kazakhstan di Litar Antarabangsa Sokol kerana banjir besar di negara itu. Pertukaran ini bermaksud pusingan India akan berlangsung pada Mac tahun depan. Ini seterusnya membawa Grand Prix Qatar sebagai pembuka musim ke tarikh yang lebih lewat.

Ini merupakan satu lagi “plot twist” untuk MotoGP India, selepas Ketua Pegawai Eksekutif Fairstreet Sports, Pushkar Nath Srivastava, “mengesahkan” acara itu masih akan diteruskan setelah terdapat berita yang Dorna belum menerima bayaran untuk hak melangsungkan acara itu. Bercakap pada 15 Mei kepada The Times of India, beliau berkata “Perlumbaan ini akan berlangsung […] Ini hanyalah khabar angin yang berlegar-legar. Semua obligasi kontrak akan dipenuhi pada bulan Jun.”

Bagaimanapun, Dorna juga telah memberi tempoh sehingga 20 Mei kepada penganjur untuk menyelesaikan perkara itu.

Kini, Srivastava memberitahu agensi berita India, PTI “Ia telah diputuskan bersama untuk mengalihkan perlumbaan ke Mac tahun depan. Kami melihat pada minggu pertama atau kedua bulan Mac … Semua pihak yang berkepentingan termasuk Dorna bersetuju bahawa cuaca September tidak kondusif untuk perlumbaan dan ia adalah sukar untuk pelumba dan marsyal seperti yang dialami tahun lepas.”

Motosikal superbike Zontes 703RR kini berada di tahap produksi. Akhirnya.

Lima tahun telah berlalu sejak kami melawat kilang Zontes di Guangzhou, China, di mana kami melihat jurutera mereka sedang merekabentuk sebuah enjin tiga silinder. Tetapi President syarikat itu berminta kami untuk merahsiakannya, dan sebab itulah kami tidak menyiarkannya sehingga ia menjadi rasmi setahun selepas itu.

Terdapat banyak berita mengenai enjin tiga silinder ini sejak itu, tetapi tiada apa yang ketara sehinggalah EICMA 2023, apabila konsep Zontes 703RR dan Zontes 703F telah dipamerkan.

Mengapa ia mengambil masa yang begitu lama? Ia hasil falsafah yang dipegang oleh Presiden Zontes untuk membina hampir semua komponen motosikal mereka secara dalaman, dan bukannya membeli daripada pembuat komponen yang lain. Tidakan itu bermakna mereka boleh mengawal kualiti komponen dan produk mereka, serta mengelakkan birokrasi untuk menyelesaikan masalah.

Kembali ke Zontes 703RR, dokumen kelulusan jenis motosikal telah dilihat bersama dengan angka prestasinya.

Enjin tiga silindernya dihomologasikan kepada 101 hp. Dimensi gerek dan lejang silinder ialah 70mm x 60.6mm, memberikannya anjakan 699cc (“70” bermaksud 700cc, “3” bermaksud tiga silinder). Aci engkolnya menggunakan pemasaan 120 darjah, seperti semua enjin tiga silinder lain, kecuali aci engkol T-Plane dalam Triumph Tiger 900.

Kelajuan tertinggi 230 km/j dipetik dalam dokumen tersebut, meletakkan motosikal itu di sekitar lawannya seperti Honda CBR650R, Aprilia RS 660, Triumph Daytona 660, sambil menewaskan Yamaha YZF-R7. Walaubagaimanapun, kuasa enjin CFMoto 675SR mungkin lebih tinggi.

Ia adalah satu langkah yang baik untuk Zontes apabila 703RR dilancarkan kerana ia telah membolehkan mereka melonjakkan diri daripada penghasilan enjin satu silinder mereka. Namun, lebih baik mereka melancarkan motosikal ini dengan secepat mungkin kerana banyak lagi pengeluar, termasuk saingan daripada China yang telah atau akan melancarkan motosikal sportbike kelas pertengahan mereka sendiri.

Enjin ’empat dapur’ (empat-silinder) CFMoto 500SR telah didedahkan.

Dunia motosikal telah dikejutkan dengan acahan dua motosikal sportbike CFMoto SR pada September lalu. Sekarang CFMoto telah memfailkan paten untuk enjin 500cc empat-silinder untuk 500SR. Motosikal sport 675SR pula menggunakan enjin tiga silinder.

Lukisan paten menunjukkan beberapa komponen enjin, termasuk sistem penyejukan yang direka untuk menaikkan suhu enjin dengan cepat untuk mengurangkan pencemaran. Ini kerana pemangkin ekzos hanya benar-benar berfungsi apabila unsur-unsurnya mencapai 400 darjah Celsius.

Lukisan itu juga menunjukkan enjin yang direkabentuk sepenuhnya oleh CFMoto sendiri, dan bukan “diinspirasi” oleh enjin 500cc lain. Apapun, tiada motosikal dengan enjin empat sebaris 500cc dalam pasaran hari ini.

Oleh itu, syarikat itu merekabentuk sebuah enjin yang konvensional, seperti aci sesondol berkembar (DOHC) yang dipacu rantai, dengan rantai itu terletak pada satu hujung aci engkol. Sesondol bertindak secara langsung pada tepet, dan bukannya mengikut kaedah semasa yang menggunakan ‘pengikut jari’ (finger follower). Selain itu, terdapat empat gegelung pencucuh individu bagi setiap palam pencucuh.

Aci engkol mengikut konvensyen 180-darjah, oleh itu bukan susunan “crossplane” atau “Big Bang“.

Kotak gear ialah jenis enam kelajuan konvensional, dan lukisannya tidak menunjukkan quickshifter, mahupun sistem klac. Takungan minyak enjin ‘dipotong’ sebelah untuk penghalaan paip ekzos.

Enjin empat silinder CFMoto 500SR baharu ini dijangka menghasilkan sekitar 80 hp, justeru diletakkan di antara CFMoto 675SR dengan 100 hp dan CFMoto 450SR dengan 50 hp. Ia juga akan menyaingi Kawasaki Ninja ZX-4RR dan Kove 450RR.

Motosikal ini kelihatan mempunyai ergonomik motosikal sportbike jalanan seperti Ninja ZX-4RR, seperti bar hendal yang diletakkan lebih tinggi berbanding motosikal supersport. Prototaip itu menunjukkan beberapa elemen aerodinamik seperti penutup di bawah kaliper brek hadapan untuk menyalurkan aliran udara di sekitar fairing bawah.

CFMoto 500SR dijangka akan dilancarkan lewat tahun ini.

Konsep Ducati CR241 dan Ducati RR241 telah dipamerkan di acara Bike Shed Moto Show, London.

Kedua-dua konsep berasaskan Ducati Scrambler (atau Scrambler Ducati) dan sudah pastinya tujuan mereka ialah untuk mempamerkan keupayaan Centro Stile Ducati. Oleh itu, kedua-duanya menggunakan 803cc penyejuk udara 90 darjah V-Twin daripada Ducati Scrambler.

Konsep Ducati CR241

Ducati CR241 mempersembahkan versi café racer yang telah berkembang, walaupun  ia mengekalkan inspirasi rekabentuk mesin perlumbaan tahun 1960-an, seperti fairing yang dipasang pada tangki bahan api seperti Pantah dan 750SS. Ia kemudiannya diberi sentuhan moden seperti warna dan bentuk yang moden. Ducati berkata ia bertujuan “untuk membangkitkan emosi dan nostalgia peminat rocker British tahun 60-an.”

Elemen utama lain termasuk rim hadapan 17 inci dengan tayar jalan dan bar hendal dengan cermin di hujung. Pelana boleh ditukar menjadi satu tempat duduk, sekali gus kelihatan seperti pelana “panettone” klasik pada motosikal perlumbaan tahun 1970-an.

Konsep Ducati RR241

Sementara itu, model Ducati RR241 mendapat rawatan pasca kiamat (apocalypse) dengan estetika minimalisnya: dua roda, tangki, enjin dan hendal.

Semua bahagian aluminium dibiarkan terdedah, manakala penutup tangki digantikan dengan bingkai yang mana penunggang boleh memasang beg tangki untuk barang keperluan. Pelana bahagian pembonceng juga boleh ditanggalkan untuk dijadikan rak bagasi, dan ekzos Termignoni yang dipasang tinggi melengkapkan penampilannya.

Tayar Pirelli Scorpion Rally dipasang pada rim 18-inci dan 17-inci, dan madgad depan yang tinggi menyatakan ia sudah bersedia untuk menghadapi kesukaran. Apa yang diperlukan sekarang ialah pemegang senjata dan arahan tentang cara menapis petroleum menjadi petrol.

Adakah mereka akan masuk tahap produksi?

Kedua-dua konsep itu telah dipamerkan di acara Bike Shed Moto Show, dari 24 hingga 26 Mei. Malangnya, Ducati tidak menyatakan sama ada mereka akan membawa kedua-dua konsep ke arah produksi. Kita perlu menunggu sehingga Intermot atau Ducati Days pada akhir tahun apabila mereka melancarkan model baharu.

Motosikal pengembaraan Benelli TRK552 (2024) baharu telah diperkenalkan.

Benelli TRK552 baharu ini merupakan pengganti kepada Benelli TRK502 yang membuat penampilan sulungnya pada 2017. Model yang lama itu telah melalui beberapa kemaskini, walaupun tiada yang ketara. Bagaimanapun, kelas pengembaraan 400cc hingga 500cc semakin hangat sejak itu, kerana beberapa pencabar baharu telah memasuki arena termasuklah KTM 390 Adventure, CFMoto 450 MT-X/Ibex, Royal Enfield Himalayan, Fantic Caballero 500, dan lain-lain. Jadi, sudah tiba masanya Benelli mengemaskini TRK kelas pertengahan ini.

Ciri-ciri utama:
  • Enjin TRK502 yang lama agak “semput” apabila dibandingkan di kalangan pesaingnya. Jadi, enjin berkembar selari 549cc baharu itu ditingkatkan kuasanya kepada 61 hp pada 8,500 RPM dan tork kepada 54 Nm pada 6,000 RPM.
  • Tambah lagi, enjin baharu ini menggunakan engkol 270-darjah untuk meniru susunan pemasaan enjin V-twin 90-darjah V-kembar, dan membuang engkol 360-darjah yang lama. Engkol 360-darjah bermaksud kedua-dua piston naik dan turun bersama-sama.

  • Model lama itu juga terlalu berat untuk kategorinya, jadi Benelli telah menurunkan berat basah TRK552 kepada 226 kg (kurang 5 kg). Berat keringnya sekitar 215 kg.
  • Lampu utama dan lampu isyarat LED untuk menggantikan mentol halogen dan pijar yang kuno.

  • Suspensi Marzocchi boleh laras di depan dan belakang, dan lengan ayun aluminium yang baharu.
  • Sistem brek J. Juan dengan ABS dwi-saluran. J. Juan kini dimiliki oleh Brembo.

  • Skrin TFT baharu dengan pautan telefon pintar, menggantikan LCD lama yang malap.
  • Walaubagaimanapun, model baharu ini tiada ciri mod tunggangan.

Benelli TRK552 (2024) kini sedang dijual di China, jadi terdapat kemungkinan besar bahawa pengedar tempatan, MForce Holdings akan membawanya ke sini tidak lama lagi.

Kami pernah menyiarkan berita tentang kemungkinan sebuah BMW R18 yang lebih berkuasa sedang dibina. Berita itu ternyata benar, tetapi rupanya ia menjadi BMW R20 Concept.

Konsep BMW R20 ialah sebuah karya mekanikal,” kata Markus Flasch, Ketua BMW Motorrad, yang digambarkan meninjau di bawah penutup dalam berita sebelumnya. Dia menambah, “Enjin Big Boxer merupakan pusatnya.”

Ya, ia merupakan enjin Boxer 2000cc dengan penyejukan minyak-udara. Jurutera BMW merekabentuk penutup kepala silinder, penutup tali sawat, dan penyejuk minyak baharu untuk memuatkan susunan ekzos 2-ke-2.

Kerangka keluli krom-molibdenum itu juga baharu. Lengan ayun Paralever dua sisi itu juga baharu. Ia jauh lebih pendek daripada lengan ayun R nineT dengan aci pemacu yang lebih pendek. BMW berkata aci yang sedemikian mengimbangi tork pemacu enjin (aci yang lebih panjang akan menghasilkan tork yang lebih tinggi pada kedua-dua hujungnya, seperti jungkat-jungkit).

R20 Concept ini turut memaparkan beberapa butiran menarik seperti suspensi Öhlins, roda belakang jenis cakera, kaliper brek hadapan dengan 6-piston, dan kaliper brek belakang 4-piston.

R20 Concept membuat penampilan sulungnya di Concorso d’Eleganza Villa d’Este. Itu berita penting kerana motosikal konsep BMW yang muncul di pameran itu sering dibawa ke tahap produksi.

Kami perlu tambah bahawa enjin Boxer silinder berkembar merupakan enjin yang sinonim dengan BMW. Terdapat dua varian, satu dengan penyejukan minyak-udara yang digunakan dalam banjaran R18, manakala satu lagi ialah versi yang berkuasa tinggi dan penyejukan cecair yang digunakan oleh barisan R 1250/1300.

Ducati Diavel V4 telah memenangi anugerah “Best of the Best” Red Dot Award 2024. Dalam erti lain, ia merupakan anugerah terbaik antara yang terbaik.

Kami tahu apa yang anda fikirkan: Terdapat pengeluar motosikal lain yang turut memenangi anugerah Red Dot Award, jadi tidakah ia bermaksud anugerah itu kurang nilainya? Sebenarnya bukan begitu kerana pengiktirafan yang diperoleh oleh Ducati Diavel V4 membezakannya daripada yang lain kerana tajuk rasminya ialah “Red Dot Award 2024: Best of the Best.”

Anugerah ini mewakili suatu turutan penerimaan anugerah tersebut untuk Ducati, bermula dengan 1199 Panigale pada 2013, diikuti XDiavel pada 2016, dan Diavel 1260 pada 2019.

Diavel V4 adalah intipati sebuah power cruiser atau kruiser sport (walaupun Ducati tidak menyebutnya begitu). Ia menonjolkan kehadiran yang maskulin (sado) dan agresif termasuk tayar belakang 240mm yang dipasang pada roda aloi lima jejari yang dimesin. Kemudian terdapat pula empat tiub ekzos yang disusun seperti laras meriam berputar. Tetapi dalam tradisi motosikal Itali, ia tetap mempunyai garis-garis rekabentuk yang elegan.

Dan jangan kita lupa mengenari kuasa enjin Granturismo V4-nya itu. Namun motosikal ini mempunyai pengendalian yang tangkas di jalan yang berliku-liku yang akan penunggang motosikal supersport yang kurang mahir.

Anugerah Red Dot Award 2024 hanyalah satu daripada beberapa anugerah yang sedemikian untuk Ducati Diavel V4. Ia juga telah menerima pengiktirafan lain seperti Good Design Award, yang merupakan pengiktirafan global tertua dalam sektor reka bentuk, selain Sebutan Khas di Anugerah Reka Bentuk Jerman 2024 yang diberikan oleh Majlis Reka Bentuk Jerman.

Ditubuhkan pada tahun 1955, Red Dot Award meraikan reka bentuk yang paling asli dan layak untuk gaya dan inovasi. Anugerah itu diberikan oleh juri pakar dalam reka bentuk produk, reka bentuk komunikasi dan konsep reka bentuk, yang pada tahun ini memberikan Diavel V4 tajuk penting “Red Dot Award 2024: Best of the Best.” Ia merupakan pengiktirafan tertinggi.

Majlis Red Dot Award 2024 akan diadakan pada 24 Jun di Jerman, di Teater Aalto di Essen. Pemenang anugerah akan dipamerkan di muzium Red Dot di Zollverein, juga terletak di Essen dan kini sebahagian daripada warisan dunia UNESCO.

Anda boleh layari laman web Ducati.com untuk laman yang dikhususkan untuk prinsip reka bentuk pembuat yang bertapak di Bologna ini.

Ducati Diavel V4 boleh didapati (pautan ke laman rasmi di sini) pengedar Ducati di dalam dua warna iaitu Ducati Red klasik atau versi hitam kilat Thrilling Black.

 

Adakah anda masih ingat mengenai enjin lapan silinder GWM yang kami terbitkan tidak lama dahulu? Ia merupakan enjin kepada sebuah motosikal yang GWM hasilkan untuk mencabar penguasaan Honda Gold Wing. Jadi, inilah dia, motosikal pengembara GWM Souo S2000 GL lapan silinder.

Kami akui ia memang kelihatan seperti saingannya, tetapi alasan GWM ialah jika mereka mahu melakukan sesuatu, mengapa tidak hanya sasarkan pada yang paling tinggi? Oleh itu, ia mensasar Gold Wing. Jika difikirkan, begitu juga dengan BMW K 1600, walaupun ia tidak menggunakan enjin yang mendatar.

Oleh itu, GWM Souo S2000 GL ini lengkap dengan kotak pembawa barang atas yang besar dan tempat sandar untuk penumpang. Sebaliknya, varian S2000 ST hanya mempunyai kotak pembawa barang sisi, seperti Gold Wing F6B. S2000 mempunyai “fork” depan jenis Hossack, serupa dengan Honda dan BMW.

Tetapi spesifikasi selebihnya lebih tinggi. Sebagai contoh, enjin enam silinder mendatar pada Gold Wing bersaiz 1833cc, manakala enjin lapan silinder mendatar S2000 ialah 2000cc. Honda mempunyai transmisi separa automatik klac berkembar (DCT) 7-kelajuan, manakala S2000 mempunyai DCT lapan kelajuan. Enjin GWM mempunyai DOHC, dan enjin Honda mempunyai SOHC.

Walaupun penggayaannya seumpama penyalinan Gold Wing, GWM mengatakan ia diilhamkan oleh singa tradisional China. Itu pastinya dapat dilihat pada lampu depan, bertujuan untuk membangkitkan bentuk mata singa.

Ciri-ciri lain termasuk kaliper brek Brembo dengan empat piston yang dipasang secara jejari, stereo dengan sambungan Bluetooth, brek parkir elektronik, lampu automatik, skrin TFT, ketinggian skrin boleh laras, kawalan suara, kawalan jelajah (cruise control), dan sudah tentu, gear undur elektrik.

 

GWM atau nama penuhnya Great Wall Motor, ialah pembuat kereta ke-19 terbesar di dunia daripada segi permodalan pasaran dengan USD 28 bilion. Ia bersamaan Kia, dan mendahului Subaru dan Nissan. Jenama lain di bawah GWM ialah seperti ra, Haval, Wey, Tank, dan Great Wall, yang dipasarkan di peringkat antarabangsa. Souo menandakan langkah pertamanya dalam segmen bermotosikal.

Enjin Motosikal 8-Silinder GWM Didedahkan!

Ducati Monster Senna (2024) muncul sebagai penghormatan terbaharu kepada mendiang legenda F1, Ayrton Senna.

Ducati sebelum ini telah mengeluarkan 916 Senna, 996 Senna, dan 1199 Panigale Senna jadi ia hanya sesuai untuk kembali kepada varian ikonik ini. Motosikal pertama Ayrton apabila dia berpindah ke Monte Carlo ialah Ducati Monster.

Walau bagaimanapun, tidak seperti superbike Senna yang dicat dengan warna-warna gelap sehubungan dengan kematian Senna yang tiba-tiba, warna Monster Senna yang baharu digayakan dalam Centro Stile Ducati dan mengambil inspirasi daripada topi keledar perlumbaan beliau. Oleh itu, model baharu ini berwarna kuning, biru dan hijau yang mewakili kewarganegaraan Brazilnya.

Tema ini bukan sahaja terdapat pada badan motosikal tetapi disambung ke kaliper brek depan Brembo Stylema yang turut berwarna kuning, tempat duduk berwarna biru, dan jalur kuning pada peredam ekzos Termignoni (yahu!). Logo Senna juga terdapat pada tangki.

Hanya 341 unit akan dibina, mewakili 3 kejuaraan dan 41 kemenangan F1 yang dicapai oleh Senna. Terdapat kapsyen “Perlumbaan dalam darah saya (Racing is in my blood)” di belakang tangki bahan api.

Ciri-ciri utama Ducati Monster Senna:
  • Plat dengan nama model dan nombor siri (XXX/341).
  • Animasi khusus di papan pemuka ketika motosikal dihidupkan.
  • Tempat duduk dengan logo.
  • Enjin Testastretta 11° 937 cc, menghasilkan 111 hp pada 9,250 rpm, dan 93.2 Nm pada 6,500 rpm.
  • Peredam bunyi ekzos Termignoni dengan jalur kuning.

  • Kerangka depan yang dibuat daripada aluminium.
  • Subframe belakang dalam GFRP ringan.
  • Pemijak kaki yang dimesin daripada bilet (bongkah) aluminium.
  • Lengan ayun aluminium.
  • Peredam stereng Öhlins.
  • Fork depan Öhlins NIX30 boleh laras sepenuhnya.
  • Monoshock Öhlins boleh laras sepenuhnya.
  • Roda aluminium (-1.86 kg) dengan tag kuning/hijau/biru dua warna.

  • Madgad depan dan belakang yang dibuat daripada gentian karbon.
  • Pelindung enjin berwarna kuning.
  • Sistem pencahayaan LED penuh dengan penunjuk arah.
  • Skrin TFT 3-inci berwarna.
  • Mod tunggangan (3 tetapan) yang ditala untuk mendapat manfaat daripada casis baharu, Mod tunggangan jalan basah (WET) yang baharu.
  • Ciri Cornering ABS Cornering 3 aras dengan mod ABS untuk tayar depan sahaja.
  • Ducati Traction Control (DTC) dengan 8 tahap, Ducati Wheelie Control (DWC) 4 tahap.
  • Kawalan Pelancaran (Launch Control) boleh laras pada 3 tahap.

  • Brek depan Brembo dengan cakera 320 mm, kaliper monobloc Stylema yang berwarna kuning.
  • Klac hidraulik.
  • Ducati Quick Shift (DQS) untuk tukaran gear ke atas dan ke bawah.
  • Bateri litium ion.
  • Tayar Pirelli Diablo Rosso IV.
  • Skrin angin depan.
  • Penutup tempat duduk penumpang.
  • Sarung motosikal khas.
  • Sijil pengesahan.

 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube