Bikesrepublic

Berita Terkini

Seperti yang dijangkakan, terdapat warna baharu untuk Yamaha Y15ZR (2025). Selebihnya motosikal itu kekal sama.

Yamaha Y15ZR (atau lebih dikenali sebagai ‘YSuku’) terus bertahan sejak dilancarkan pada Ogos 2015. Model yang telah berusia sedekad ini telah melalui beberapa kemas kini, tetapi kebanyakannya tertumpu kepada warna dan grafik. Hey, untuk apa diubah jika ia tidak rosak? Dan ia terus menjual dengan baik, tanpa mengira apa yang dikatakan oleh pengkritik. Dan ini adalah salah satu motosikal yang mempunyai industri pasaran sampingan yang sangat besar dibangunkan di sebaliknya.

Enjinnya kekal sama 150cc, penyejukan cecair, SOHC, satu silinder, menghasilkan kuasa maksimum 15.1 hp (11.3 kW) pada 8,500 rpm dan tork 13.8 Nm pada 7,000 rpm.

Kembali kepada model 2025, tiga warna baharu itu dipanggil Blue Spark, Aqua Violet, dan Mecha Green. Pilihan warna baharu ini sudah boleh didapati di semua pengedar Yamaha yang sah di seluruh negara mulai 06 November 2025, dengan harga runcit disyorkan RM8,998.00, tidak termasuk yuran pendaftaran dan perlindungan insurans.

Pemilik baharu Yamaha Y15ZR boleh menikmati manfaat tambahan dengan menerima gandingan cakera keselamatan Yamaha bernilai RM100, bersama pembelian mereka.

Galeri foto

 

Seorang rakyat Malaysia didakwa di mahkamah Singapura pada 7 November kerana didakwa menawarkan rasuah SGD50 kepada seorang anggota polis trafik Singapura.

Lee Keh Meng didakwa berbuat demikian untuk memujuk anggota polis trafik tersebut, Sarjan Ahmad Hafiz Bin Abdul Sukur, agar tidak melaporkan kes perkhidmatan hailing haram merentas sempadan pada 23 Oktober 2025.

Sarjan Ahmad Hafiz menolak rasuah tersebut.

Kes itu kemudiannya dirujuk kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) oleh Pasukan Polis Singapura.

Lee menghadapi satu pertuduhan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(b) Akta Pencegahan Rasuah kerana cuba merasuah seorang anggota polis.

Mana-mana individu yang disabitkan kesalahan rasuah di bawah Seksyen 6 Akta Pencegahan Rasuah Singapura boleh didenda sehingga SGD100,000 atau dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebagai perbandingan, denda sabit kesalahan menjalankan perkhidmatan hailing haram di Republik itu hanyalah sehingga SGD3,000 dan/atau hukuman penjara sehingga enam bulan. Selain itu, kenderaan yang terlibat mungkin dirampas.

Singapura mengamalkan pendekatan toleransi sifar yang ketat terhadap rasuah, menurut CPIB dalam kenyataan akhbarnya. – Mothership.sg

Yamaha R7 (2026) telah didedahkan, kini dengan elektronik dan pengendalian yang lebih tangkas.

Ini merupakan langkah yang bijak dari pihak pengeluar, setelah menyaksikan R9 memenangi gelaran pengeluar di World SuperSport pada musim sulungnya.

Ciri-ciri utama
  • Kemas kini terbesar ialah penggunaa unit pengukuran inersia enam paksi (IMU) yang seterusnya menawarkan bantuan penunggang sensitif sudut condong melalui tiga mod menunggang, dan sistem kawalan cengkaman tiga peringkat baharu dengan kawalan ‘slide‘.
  • Tambahan lagi, terdapat kawalan angkatan roda, kawalan brek, pengurusan brek enjin, dan kawalan pelancaran.
  • Seperti yang disebutkan tadi, terdapat tiga mod menunggang: Sport, Street, Rain. Terdapat juga dua slot tetapan Custom, yang boleh ditetapkan melalui aplikasi Yamaha MyRide.
  • Yamaha R7 2026 juga dilengkapi dengan sistem Yamaha Chip Controlled Throttle (Y-CCT). Ia merupakan sistem pendikit ride-by-wire pertama di dunia apabila diperkenalkan pada R6 pada tahun 2006.
  • Sistem Quick Shift System (QSS) generasi ketiga Yamaha: Tetapan 1 membenarkan “naik gear tanpa klac semasa memecut dan turun gear tanpa klac semasa menyahpecut, dan Tetapan 2 membenarkan turun gear semasa memecut dan naik gear semasa menyahpecut untuk menyesuaikan dengan pelbagai senario jalan raya dan litar”.

  • Rangka dikemas kini dengan susunan, diameter, ketebalan dan pengukuhan paip yang diubah dan dioptimumkan.
  • Pendakap tengah kini menggunakan plat keluli dengan penutup plastik, dan gandingan tiga baharu.
  • Yamaha juga telah menukar baton omboh fork terbalik 41mm kepada aluminium, yang menjimatkan 350g.
  • Fork kini boleh dilaras sepenuhnya.
  • Rim kini ditempa berputar (Spin Forged) untuk menjimatkan sedikit berat.

  • Kedudukan menunggang juga telah disemak semula dengan pemegang yang diletakkan semula dan tangki minyak yang direka bentuk semula.
  • Pelana kini 5mm lebih rendah dan mengambil rupa seperti yang terdapat pada R9 dan R1.
  • Walaubagaimanapun, enjin masih tidak berubah.
  • Yamaha telah menambah skema warna yang menyerupai R7 pertama (yang merupakan motosikal lumba inline-four) yang dipanggil Anniversary White, bagi meraikan ulang tahun ke-70 pengeluar.

Namun berita pilunya: Masih tiada petunjuk bahawa Hong Leong Yamaha Motors akan membawa R7 ke Malaysia…

MotoGP Malaysia 2024 dianggarkan menjana impak ekonomi besar dengan pulangan sekitar RM694 juta kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, pulangan atas pelaburan atau ROI dianggarkan mencecah 6.3 kali ganda bagi setiap RM1 yang dibelanjakan kerajaan untuk menganjurkan perlumbaan berprestij itu.

“Penganjuran MotoGP turut menyediakan lebih 4,000 peluang pekerjaan dan menyokong sektor pelancongan melalui kehadiran lebih 16,000 pelawat antarabangsa,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Amir Hamzah berkata, pengambilalihan operasi Litar Antarabangsa Sepang (Litar F1) oleh kerajaan adalah langkah strategik untuk memperkukuh ekosistem permotoran negara serta mempromosi Malaysia sebagai destinasi sukan permotoran antarabangsa.

Walaupun perlumbaan Formula Satu (F1) tidak lagi dianjurkan, Sepang International Circuit (SIC) terus aktif menganjurkan kejohanan termasuk MotoGP Malaysia.

“Tahap penggunaan litar SIC kini melebihi 75 peratus kapasiti melalui penganjuran perlumbaan serantau seperti Asia Le Man, GT World Challenge Asia dan Asia Road Racing. Kerajaan akan terus meneliti cara mengoptimumkan fasiliti SIC bagi menjana pulangan ekonomi tambahan,” katanya.

Pada suatu masa dahulu (lebih kurang 20 tahun lepas), tempoh pembayaran balik pinjaman kenderaan dihadkan kepada hanya 5 tahun. Selepas itu, tempoh pinjaman dipanjangkan kepada 7 tahun, dan selepas itu, dilanjutkan lagi ke 9 tahun.

Secara amnya, tempoh ‘loan‘ yang paling lama untuk motosikal 250cc dengan ke bawah ialah 5 tahun, manakala pinjaman sehingga 7 tahun diberikan kepada motosikal berkuasa besar. Terdapat juga satu-dua syarikat kredit yang memberikan tempoh pinjaman sehingga 9 tahun, tetapi pada kadar bunga yang lebih tinggi.

Jangka pinjaman yang lebih panjang disambut baik oleh penjual kenderaan sebagai suatu yang baik kerana lebih ramai pembeli dapat membeli kenderaan dengan amaun pembayaran yang lebih rendah setiap bulan. Namun ia mungkin bukan seharusnya sesuatu yang baik kerana pembeli sebenarnya menanggung bunga yang lebih tinggi disebabkan oleh tempoh pembayaran yang lebih lama. Pada masa yang sama, sesebuah kenderaan sudah dikira agak usang selepas 9 tahun, dan pemilik hanya boleh menjualnya pada harga yang terlalu murah.

Oleh itu, terdapat pendapat yang tempoh pinjaman kenderaan dipendekkan. Pengsyoran ini telah disuarakan untuk sekian lama namun belum ada apa-apa perkembangan.

Baru-baru ini, pemerhati industri automotif menyarankan supaya tempoh pembiayaan pinjaman kenderaan di negara ini disingkatkan kepada maksimum tujuh berbanding sembilan tahun.

Langkah itu jika dilaksanakan dilihat mampu membantu mengawal paras hutang isi rumah serta menggalakkan pengurusan kewangan lebih berhemat dalam kalangan pengguna negara ini.

Ketika ini, hutang isi rumah Malaysia dilaporkan adalah antara yang tertinggi di ASEAN dengan jumlah RM1.65 trilion setakat akhir Mac 2025, yang mewakili 84.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Daripada jumlah hutang isi rumah itu, penyumbang utama adalah pinjaman perumahan sekitar 60.5 peratus; manakala pembiayaan kenderaan 13.2 peratus, sementara pinjaman peribadi kira-kira 12.4 peratus.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mohd Shamsor Mohd Zain, berkata langkah menyingkatkan tempoh pinjaman kenderaan bukan sahaja dapat mengekang beban hutang jangka panjang, malah mendidik pengguna supaya lebih berdisiplin dalam membuat komitmen pembiayaan.

Beliau mengakui langkah itu mungkin memberi kesan sementara terhadap permintaan dalam segmen mampu milik, namun pasaran akan menyesuaikan diri secara semula jadi mengikut kemampuan pengguna.

“Syarikat pembiayaan pula boleh memainkan peranan dengan memperkenalkan pakej lebih fleksibel untuk membantu pelanggan menguruskan komitmen pembelian dengan lebih baik,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Mohd Shamsor berkata, pelarasan kepada terma pembiayaan juga akan mendorong pengeluar dan pengedar menilai semula strategi jualan serta kerjasama dengan institusi kewangan.

“Dalam jangka panjang, perubahan tingkah laku pengguna dijangka berlaku dengan sebahagian beralih daripada pemilikan jangka panjang kepada model sewaan atau langganan kenderaan, sejajar trend mobiliti moden yang lebih dinamik dan berasaskan keperluan,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah, pula berkata jualan mungkin terjejas dalam fasa awal pelaksanaan apabila bakal pembeli perlu menilai semula kemampuan bayaran bulanan akibat tempoh pembiayaan lebih singkat.

“Pada peringkat permulaan, jualan dijangka perlahan kerana bayaran ansuran bulanan akan meningkat. Perbezaannya boleh mencecah antara 15 hingga 20 peratus bergantung pada harga kenderaan,” katanya.

Beliau bagaimanapun menjangka pengeluar dan pengedar akan melancarkan strategi lebih agresif, termasuk promosi besar-besaran dan tumpuan kepada perkhidmatan selepas jualan bagi mengekalkan momentum pasaran.

Pemerhati industri sebelum ini berpandangan bahawa antara isu yang timbul apabila pinjaman sewa beli dipanjangkan adalah peminjam perlu menanggung bayaran bulanan lebih rendah, namun untuk tempoh yang lebih lama.

Ini akan menyebabkan peminjam terpaksa membayar lebih banyak faedah, dan ini boleh menjejaskan aliran tunai jika mereka mempunyai banyak pinjaman dengan tempoh yang panjang.

Dewan Rakyat baru-baru ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Sewa Beli (Pindaan) 2025 yang memansuhkan penggunaan kadar sama rata dan kaedah Peraturan 78 bagi pinjaman sewa beli kadar tetap.

Sebagai ganti, kaedah kadar faedah efektif dan pengurangan baki akan diperkenalkan bagi memastikan pengiraan ansuran bulanan lebih adil serta telus.

Kaedah pengurangan baki pula memastikan kadar faedah hanya dikenakan ke atas baki pinjaman belum dijelaskan, berbeza kaedah lama yang lebih menumpukan pembayaran faedah pada peringkat awal pinjaman. – Berita Harian

Sebelum anda keliru, Honda WN7 yang dilancarkan baru-baru ini di EICMA 2025 bukanlah kali pertama syarikat itu menceburi dunia dua roda berkuasa elektrik. Namun, jentera dua roda elektrik Honda sebelum ini adalah skuter – CUV ES membuat penampilan sulung seawal tahun 1994. Turut ada varian elektrik PCX yang dipanggil PCX Electric pada 2018, tetapi ia tidak sampai ke Malaysia.

Kembali kepada WN7, Honda memposisikannya sebagai roadster yang menyeronokkan dan lincah di bawah konsep pembangunan “Be the Wind” mereka. Merujuk lembaran spesifikasi, ia menghasilkan kuasa maksimum 67 hp (50 kW) dan tork maksimum 100 Nm. Jangan biarkan angka itu memperdaya anda: Motor elektrik memberikan tork serta-merta dan menunggang motosikal yang tinggi torknya di jalan raya adalah jauh lebih menyeronokkan berbanding motosikal yang mempunyai julat kuasa yang memerlukan enjin diputar pada RPM tinggi.

Daripada Kenyataan Media Honda

Konsep Pembangunan

Honda WN7 adalah model elektrik ‘naked’ pertama dalam kategori FUN yang dibangunkan di bawah arah jenama motosikal elektrik baharu Honda. Konsep pembangunannya, “Be the Wind,” meluahkan keseronokan meluncur bebas di udara dengan kekenyapan yang unik kepada kenderaan elektrik.

Penunggang dapat merasai secara langsung bunyi dan suasana persekitaran mereka—percakapan dan ketawa orang di jalanan, dedaunan bergesel—pengalaman yang tidak mungkin dengan model ICE (enjin pembakaran dalam). Mencerminkan semangat pembangunnya, pecutan tork WN7 yang lancar namun kuat dan kawalan yang lincah membolehkan penunggang menikmati perasaan bebas menunggang bagai ditiup angin.

Reka Bentuk

Bermatlamat untuk memperhalusi fungsi dan meluahkan esensi, reka bentuknya mempamerkan permukaan licin tanpa sambungan di bahagian yang disentuh penunggang, sambil menggabungkan siluet yang tersendiri dan gagah.

Bar lampu mendatarnya yang menjadi signature akan berfungsi sebagai identiti reka bentuk sepunya untuk motosikal elektrik Honda pada masa hadapan.

WN7 juga memperkenalkan tema warna khusus untuk motosikal elektrik Honda, menampilkan badan berasaskan hitam dengan aksen komponen berwarna emas. Seperti lampu signaturenya, tema warna ini akan digunakan merentas model elektrik global yang akan datang.

Casis Tanpa Kerangka

Tidak seperti motosikal konvensional yang menggunakan rangka yang menyambungkan bahagian hadapan dan belakang badan, WN7 mengamalkan struktur tanpa kerangka di mana kes bateri aluminium yang diletakkan di tengah membentuk sebahagian daripada kerangka utama. Paip kepala yang menyokong stereng dan bracket pangsi yang menyokong bahagian belakang, kedua-duanya disambung terus ke unit kuasa yang terletak di tengah. Dengan menghapuskan rangka tradisional, WN7 bukan sahaja mencapai pengurangan berat tetapi juga fleksibiliti susun atur yang lebih besar, menyumbang secara signifikan kepada proporsinya yang langsing dan padat.

Di samping itu, meletakkan pek bateri berat di tengah-tengah casis juga meningkatkan penumpuan jisim dan kawalan yang lincah.

Unit Motor-Penyongsang Bersepadu

Motor disejukkan air yang baru dibangunkan, padat dan ringan dengan penyongsang bersepadu memacu WN7. Ia menghasilkan output maksimum 50 kW, setara dengan motosikal ICE 600 cc, dan tork maksimum 100 Nm, setanding dengan motosikal ICE kelas 1000 cc. Ini memastikan prestasi yang kuat namun terkawal baik ketika menunggang di bandar mahupun di jalan terbuka.

Kuasa dari motor dihantar melalui kotak gear yang baru direka kepada sistem pacuan tali (belt-drive), yang memacu roda belakang sambil menyumbang kepada operasi yang senyap.

Bateri Pacuan dan Piawaian Pengecasan

WN7 dilengkapi dengan bateri lithium-ion tetap 9.3 kWh yang baru dibangunkan. Ia menyokong kedua-dua pengecasan pantas CCS2 dan pengecasan biasa Type 2, serasi dengan soket rumah biasa di banyak wilayah. Dengan pengecas pantas, bateri boleh dicas dari 20% ke 80% dalam kira-kira 30 minit, membolehkan pengecasan semula yang pantas dalam perjalanan dan mengurangkan tekanan waktu menunggu.

Selain itu, pengecasan biasa mengisi bateri sepenuhnya dari 0% ke 100% dalam tempoh di bawah 2.4 jam, memberikan jarak cruisan 140 km (mod WMTC) dengan satu cas penuh.

Brek Janaku Semula, Pemilih Nyahpecutan, dan Mod Kelajuan Berjalan

Semasa nyahpecutan dengan pendikit ditutup, motor WN7 melakukan penjanaan semula tenaga sambil memberikan brek janaku semula. Penunggang boleh melaras tahap nyahpecutan menggunakan Pemilih Nyahpecutan (Deceleration Selector) pada suis hendal kiri, membolehkan kawalan kelajuan rendah yang lancar dengan operasi brek yang minimum atau sensasi meluncur dengan nyahpecutan yang dikurangkan—menawarkan rasa menunggang baharu yang berbeza daripada motosikal ICE.

WN7 juga dilengkapi dengan Mod Kelajuan Berjalan (Walking Speed Mode), membolehkan penunggang menggerakkan motosikal ke hadapan atau belakang secara perlahan menggunakan suis tangan kiri dan pendikit—berguna untuk meletak kenderaan atau mengemudi di ruang bandar yang sempit.

Honda WN7 akan dikilangkan di Kilang Honda Kumamoto—hab global syarikat untuk pengeluaran motosikal. Honda akan memperkenalkan model ini secara berperingkat ke pasaran global di mana peralihan elektrik sedang pesat, seiring dengan usaha syarikat mempercepatkan pengelektrikan motosikal di seluruh dunia.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube