Bikesrepublic

BM

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata masih tiada perancangan untuk mewajibkan pemasangan dashcam atau kamera papan pemuka bagi semua kenderaan di negara ini.

Beliau berkata pihaknya perlu mempertimbangkan pelbagai aspek termasuk kos yang perlu ditanggung rakyat sekiranya ia diwajibkan.

“Akan tetapi, kita mengalakkan pemasangan dashcam terutamanya pada kenderaan-kenderaan daripada pengilang. Kalau mereka boleh pasang (dashcam) bersekali dengan kereta baharu, itu amat kita galakan tetapi setakat ini kita belum mewajibkan lagi.”

Loke turut mengalakkan syarikat pengusaha bas untuk memasang peranti tersebut agar dapat merakam dan dijadikan bahan bukti sekiranya terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Pemasangan dashcam ini satu bukti sekiranya berlaku kemalangan untuk mengetahui siapa yang bersalah atau yang patut bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata statistik kemalangan jalan raya pada tahun lepas mencatatkan sebanyak 600,000 kemalangan yang mengakibatkan jumlah kematian sebanyak lebih 6,500 orang.

“Kalau kita lihat statistik, puratanya adalah 15 hingga 17 orang meninggal setiap hari dan jumlah ini satu angka yang besar.

“Setiap orang yang meninggal, bagi kita ini adalah satu tragedi yang tidak perlu berlaku kerana kemalangan jalan raya ini boleh dielakkan jika setiap pemandu mengambil sikap berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.

Justeru itu, Loke berharap orang ramai dapat menjadi pemandu berhemah, sentiasa peka dan berhati-hati bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Polis membuka kertas siasatan mengenai sekumpulan individu yang memasak di sebuah stesen minyak Petron, Genting Highlands tempoh hari. Video yang menunjukkan tindakan mereka telah tular dan mengundang kecaman daripada ramai pihak.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar dalam kenyataan, hari ini berkata polis menerima aduan berhubung perkara itu jam 12.35 semalam di Balai Polis Bentong.

Katanya, laporan polis itu berdasarkan rakaman video yang tular yang mana tindakan memasak di stesen minyak itu menimbulkan kebimbangan dan kegusaran masyarakat kerana ia berbahaya.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati, rakaman video terbabit tular melalui satu laman sosial X (dahulu Twitter).”

Sehubungan itu, katanya polis membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan iaitu satu kesalahan menyebabkan kegusaran am kepada orang awam. Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.”

Dalam pada itu, Zaiham berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas dan akan membuat operasi bersepadu di sekitar lokasi stesen minyak berkenaan khususnya pada hujung minggu dan cuti umum.

“Ini kerana polis mendapat maklumat dan aduan lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan pemilik-pemilik kenderaan berkumpul dan melakukan aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam dan pengguna jalan raya lain yang melalui lokasi berkenaan,” katanya.

Klip video berdurasi lebih kurang 50 saat itu memaparkan sekumpulan pemilik Honda Jazz yang terdiri daripada individu lelaki dan wanita melepak sambil memasak mi segera dengan menggunakan dapur gas mudah alih dan menjamu selera di stesen minyak berkenaan.

Setiap enjin empat lejang dilengkapi dengan penapis minyak enjin. Soalannya, adakah anda menukarnya semasa setiap servis?

Kami mengemukakan perkara ini kerana ada pemilik yang mengatakan mereka hanya berbuat demikian secara bergilir semasa menukar minyak enjin atau ia bergantung pada jenis minyak guna yang mereka gunakan contohnya mineral, semi-sintetik, atau sintetik sepenuhnya.

Mari kita lihat apa yang dilakukan oleh penapis minyak sebelum kita meneruskan lebih jauh.

Fungsi penapis minyak enjin:

Seperti namanya, penapis memerangkap kekotoran dan objek-objek asing dalam minyak enjin. Ia dilakukan supaya objek asing ini tidak diedarkan di sekeliling enjin bersama-sama dengan minyak.

Minyak dipam melalui penapis dan minyak yang ditapis keluar darinya untuk terus beredar di sekeliling enjin.

Sumber kekotoran dan objek asing termasuk:
  • Jisim logam disebabkan oleh pergeseran di antara permukaan bahagian yang bergerak. Sesetengah jisim logam ini mungkin sangat halus atau mikroskopik dan tidak dapat dikesan oleh mata.
  • Karbon, jelaga, sebatian berasid terhasil daripada pembakaran bahan api. Ini adalah salah satu sebab mengapa minyak menjadi gelap.
  • Debu halus yang terlepas melalui penapis udara.
Apa yang berlaku jika penapis tidak diganti?
  • Penapis lama akan tersumbat akibat terlalu banyak kotoran, kekotoran dan objek asing.
  • Akibatnya, aliran minyak tersekat daripada mengalir melalui penapis.
  • Kehilangan kuasa enjin kerana pelinciran tidak mencukupi.
  • Sebahagian daripada kekotoran akhirnya dihantar ke sekeliling enjin, mengakibatkan kehausan dipercepatkan.

Patutnya bila ditukar?

Adalah lebih baik untuk mematuhi jadual servis yang disyorkan yang ditetapkan oleh pengeluar kenderaan anda. Mereka biasanya syorkan agar penapis minyak enjin ditukar sekali apabila anda menukar minyak enjin. Lagipun, minyak baharu akan menjadi kotor dan tidak dapat memberikan perlindungan sepenuhnya, serta tidak tahan lama apabila telah bercampur dengan sisa minyak lama di dalam penapis minyak yang lama.

Selain daripada itu, minyak dan penapis mesti ditukar tanpa mengira jarak jika anda menggunakan motosikal anda  secara ekstrim seperti di dalam perlumbaan, hari trek, atau off-road.

Nasihat kami ialah jangan terlepas pandang kepentingan penapis minyak. Dan gunakan penapis tulen. Ia tidak menelan kos sebanyak membina semula (overhaul) enjin.

Harga bahan api diesel dijangka meningkat sebanyak 71% apabila kerajaan menghapuskan subsidi sepenuhnya.

Simulasi oleh SME Bank menunjukkan harga diesel mungkin antara RM3.25 hingga RM 3.67 seliter memandangkan harga petroleum global kekal tinggi, apabila kerajaan kembali kepada mekanisme terapung bebas berdasarkan harga minyak global. Harga semasa ialah RM2.15 seliter.

Mereka juga berkata bahawa kenaikan 1% dalam harga diesel menyumbang kepada kenaikan 0.1% dalam Indeks Harga Pengguna (CPI/Consumer Price Index), sekali gus meningkatkan inflasi sebanyak 7.1% lagi. Indeks Harga Pengeluar (PPI/Producer Price Index) juga dijangka meningkat secara mendadak, walaupun ia tidak disebut dalam laporan itu.

Kedua-dua CPI dan PPI membentuk harga runcit domestik yang terjejas oleh inflasi.

Semua frasa-frasa perniagaan ini hanya membawa kepada maksud perniagaan dan industri akan berdepan dengan kos operasi yang lebih tinggi merentas semua sektor dan industri terutamanya pengangkutan, pembinaan, peruncitan, pertanian, dan pembuatan.

Walaupun sesetengah syarikat dijangka menyerap sebahagian daripada kenaikan ini, adalah lebih realistik untuk mereka memindahkan kos tersebut kepada pengguna. Dalam erti lain, harga barangan turut akan naik mencanak.

SME Bank, dalam kesimpulan mereka, menjangkakan penarikan subsidi diesel dijalankan secara separa bagi membolehkan kumpulan M40 dan B40 terus menggunakan bahan api bersubsidi, bahawa jumlah penarikan hanya untuk pengguna diesel buat masa ini kerana ia menyumbang 44% daripada subsidi bahan api, dan bahawa Sabah dan Sarawak dikecualikan daripada penarikan itu.

Kaliper brek Brembo Hypure baharu bakal diperkenalkan pada penghujung tahun ini.

Apa lagi yang boleh dikatakan tentang jenama Brembo? Malah mereka yang bukan peminat motosikal juga mengenali jenama itu, sehinggakan ada yang merujuk kepada mana-mana kaliper brek sebagai “Brembo.” Jadi, kita teruskan dengan pengenalan produk ini sahajalah.

Brembo Hypure direka khusus untuk motosikal-motosikal supersport atasan. Sebaliknya kaliper Stylema yang lebih awal telah digunakan pada semua jenis motosikal daripada yang supersport hinggalah kepada jenis dwi-guna (dual-sport). Oleh itu, apa yang Hypure berikan ialah gabungan kuasa brek, rasa yang lebih baik pada tuil ,dan keringanan.

Ciri-ciri Brembo Hypure:
  • 10% lebih ringan daripada pesaing. Penjimatan berat dalam bidang ini bermakna motosikal anda mempunyai jisim yang yang lebih rendah, oleh itu mengurangkan inersia, justeru menghasilkan pengendalian yang lebih baik.
  • Brembo berkata ini dicapai melalui pengalaman mereka dan alatan reka bentuk baharu untuk mengedarkan aluminium di tempat yang betul.
  • Hasilnya, kekuatan yang kekal sama walaupun beratnya lebih rendah, dan penyejukan yang lebih baik.
  • Mengurangkan penggunaan pad melalui sistem spring, pad dan pin baharu, selain permukaan galas yang direka khas antara kaliper dan pad.
  • Syarikat itu mengatakan bahawa dengan sistem ini, pad bergerak tanpa rintangan ke arah cakera pada permulaan membrek. Apabila tuil dilepaskan, pad bergerak dengan cepat dari cakera untuk mengurangkan geseran.

 

Brembo Hypure mula diacah di EICMA tahun lepas dan akan dipasang sebagai peralatan asli kepada motosikal supersport yang akan datang. Spekulasinya adalah sama ada pada KTM 990 RC R atau Yamaha YZF-R9, atau kedua-duanya.

Apapun, nasihat kami ialah gunakanlah pengunci khas untuk kaliper brek motosikal anda.

KTM 990 RC R Bakal Dilancarkan

Ribuan liter minyak masak tumpah di Lebuh Raya Karak semalam.

Tumpahan itu disebabkan oleh sebuah lori tangki yang membawa muatan minyak masak terpakai terbabit dalam sebuah kemalangan di Kilometer 36.8 lebu raya tersebut berhampiran dengan Genting Sempah.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 9 malam.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku jam 2 petang ketika lelaki berusia 50 tahun yang memandu lori tangki itu dalam perjalanan dari Kuantan ke Pelabuhan Klang, Selangor.

“Ketika tiba di lokasi, keadaan hujan lebat sebelum kenderaan dipandu hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan.”

Beliau berkata pemandu tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59.

Kami ingin menasihatkan pengguna lebuh raya tersebut, terutamanya kepada mereka yang menunggang motosikal agar berhati-hati ketika berada di kawasan tersebut kerana permukaan jalan mungkin masih licin. Apapun, selekoh-selekoh di Lebuh Raya Karak sememangnya nampak mengundang keseronokkan, namun banyak terdapat banyak kejadian yang tidak diingi berlaku di sana.

Pusingan MotoGP India 2024 mungkin akan digugurkan.

Autosport mendedahkan bahawa promoter tempatan, Fairview Sports belum membuat pembayaran kepada “vendor tempatan dan pemegang hak MotoGP Dorna Sport.” Bagaimanapun, Fairview diberi masa sehingga 20 Mei untuk menyelesaikan perkara itu.

MotoGP India 2024 ditetapkan untuk kembali kali kedua dari 19 hingga 22 September. Pembatalannya mungkin bermakna Kazakhstan mengambil alih tarikh itu. Pusingan Kazakhstan sepatutnya bermula pada 16 Jun tetapi ditangguhkan kerana banjir besar.

Kalendar MotoGP 2024 akan menyaksikan pengurangan semula kepada 20 pusingan sekiranya MotoGP India dibatalkan. Pusingan Argentina telah pun dibatalkan sebelum permulaan musim, menjadikan jumlah keseluruhan berkurangan kepada 21 pusingan.

GP sulung di negara itu pada tahun lalu turut mengalami beberapa kesukaran kerana litar Buddh hanya siap dan diberikan penarafan pada saat-saat akhir, namun kekal kotor apabila MotoGP tiba. Penunggang juga menimbulkan kebimbangan bahawa susun atur trek yang beralun tidak mempunyai kawasan kecemasan (run-off) yang tidak mencukupi.

Selain daripada itu, kelulusan visa bagi beberapa pelumba dan kakitangan pasukan turut tertangguh menyebabkan beberapa pelumba terpaksa membatalkan acara promosi sebelum perlumbaan.

India pada masa ini merupakan pasaran motosikal terbesar di dunia justeru merupakan perhentian yang penting bagi pengeluar motosikal dan MotoGP.

Berkonvoi bermotosikal ada keseronokkannya seperti kemesraan sesama rakan yang mempunyai minat yang sama terhadap motosikal. Namun, ada kalanya kembara solo lebih menyeronokkan. Lagipun, setiap orang perlu meluangkan sedikit masa untuk sendiri sekali-sekala.

1. Sendiri dengan pemikiran kita

Inilah sebab utama sesetengah penunggang motosikal suka menunggang secara solo. Sudah tiba masanya untuk menjauhkan diri daripada rakan hidup yang toksik, anak-anak yang menjerit, bos yang tidak menghargai kita, dsb. Menunggang secara solo menjernihkan fikiran dan siapa tahu, kita mungkin menemui jawapan kepada masalah suatu masalah yang merunsingkan kita.

2. Tiada tekanan daripada rakan

Tekanan daripada rakan semasa berkonvoi itu wujud, dan ia tidak terhad kepada menunggang secara laju sahaja, namun turut ketika menunggang terlalu perlahan. Ia bukan sesuatu yang luar biasa bagi penunggang yang lebih laju untuk mengejek penunggang yang lebih perlahan (atau yang memilih untuk menunggang secara santai), atau sebaliknya. Kita juga akan menjumpai penunggang lain suka mencabar untuk berlumba. Dinamik kumpulan sedemikian mewujudkan persekitaran menunggang yang berbahaya. Menunggang secara solo dapat mengelakkan kejadian seumpama ini.

3. Ikut rentak dan jadual kita sendiri

Menunggang solo bermakna kita menunggang mengikut rentak dan jadual kita sendiri. Tidak ada orang yang mengganggu kita jika kita memakai peralatan menunggang dengan perlahan. Atau kita hendak berhenti setiap beberapa minit. Atau terpaksa mengejar jadual orang lain.

4. Berhenti bila-bila masa kita mahu

Kita tentukan bila kita hendak berhenti. Atau berhenti apabila kita melihat pemandangan matahari terbenam yang indah. Atau sawah padi yang seperti permaidani hijau. Tiada siapa yang akan mengeluh.

5. Mulakan bila-bila masa kita mahu

Seperti mana kita suka mengambil masa kita sendiri, kita juga tidak suka mereka yang mengambil terlalu banyak masa untuk bersiap. Pelik tetapi benar, bukan? Kami SENTIASA akan mendapati seorang rakan yang mengambil masa untuk bersiap sedia (hanya untuk menghentikan keseluruhan konvoi kerana dia terlupa sesuatu). Atau seseorang yang perlu berhenti dan untuk membuang air setiap 15 minit. Atau kumpulan yang sentiasa berhenti makan walaupun sebelum enjin mula suam. Jadi daripada mengambil masa 4 jam untuk sampai ke destinasi yang anda inginkan, ia mengambil masa 8 jam. Jawapan? Ride solo.

6. Penunggang bodoh

Kadangkala menunggang dalam kumpulan menyebabkan ego penunggang tercabar untuk menonjolkan skill untuk membuat aksi ngeri. Atau mengusik wanita tempatan dan menimbulkan kemarahan penduduk (Ia sebenarnya berlaku ketika salah satu perjalanan kami ke Thailand!). Atau beberapa ahli konvoi yang memutuskan untuk mengikut jalan lain, dan akhirnya tersesat dan semua peserta konvoi yang lain terpaksa menunggu mereka.

7. Keselamatan

Aspek keselamatan ditingkatkan kerana tidak menunggang dengan penunggang lain yang seperti hendak menempah maut. Kita boleh mengurangkan risiko pada diri kita sendiri dan bukannya serahkan nyawa kita di tangan orang lain. Apabila kita menunggang secara solo, kita boleh menunggang dengan santai dan jauh daripada bimbang tentang keselamatan orang lain dan kita.

8. Perubahan fikiran

Bayangkan menunggang dan anda tiba-tiba mengidam makanan yang sudah lama tidak anda makan. Atau putuskan untuk bermalam di bandar yang menarik minat kita. Buatlah kerana tidak perlu berunding dengan sesiapa.

BONUS: Latih kemahiran menunggang anda

Percubaan melatih kemahiran anda semasa konvoi berkumpulan bukanlah satu perkara yang bijak kerana terdapat motosikal lain di sekeliling kita. Selain itu, ada penunggang lain yang akan menyampaikan nasihat yang salah dan yang akan memudaratkan perjalanan dan keselamatan kita. Menunggang solo membolehkan anda berlatih set kemahiran anda sendiri.

Jualan motosikal Suku Pertama 2024 di Malaysia merosot 20 peratus

Angka itu dilaporkan dalam laman web MotorCycles Data yang menjejaki jualan kepada pelanggan, bukannya jualan daripada pengilang dan pengedar kepada kedai.

Sebanyak 135,717 motosikal telah dihantar pada Q1 2024, mewakili penurunan -20% berbanding tempoh yang sama pada 2023. Semua jenama utama mencatatkan penurunan dua digit. Sebaliknya, jualan untuk keseluruhan 2023 juga turun -11.9% daripada paras tertinggi pada 2022.

Jualan Yamaha turun sebanyak -18.3%, Honda menyaksikan penurunan -11.9%, dan jenama domestik utama seperti SM turun sebanyak -35.8% dan Modenas mencecah -51.0%.

Pengurangan jualan itu berkemungkinan akibat daripada banyak cuti panjang pada suku pertama, kerana Tahun Baharu Cina jatuh pada bulan Februari, diikuti oleh bulan Ramadan sepanjang Mac, dan Hari Raya Puasa pada bulan April.

Walaupun Bank Negara menjangkakan ekonomi akan berkembang antara 4 hingga 5%, justeru peningkatan dalam jualan, beberapa rancangan “rasionalisasi” subsidi (hanya perkataan fancy untuk “pengurangan”) pasti akan memberi kesan kepada kuasa membeli ramai rakyat pada bulan-bulan akan datang .

Angka jualan yang tinggi pada tahun 2022 sebahagiannya disebabkan oleh kerajaan pada masa itu membenarkan pengeluaran daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja pencarum. Inilah yang dikatakan oleh sesetengah pakar sebagai “memacu ekonomi palsu.” Kerajaan sekarang telah membenarkan perkara yang sama, walaupun melalui struktur pengeluaran yang berbeza. Adakah ini akan meningkatkan jualan motosikal untuk beberapa bulan yang singkat?

Malaysia adalah pasaran motosikal ke-13 terbesar di dunia. 3 teratas sekarang ialah India, China dan Indonesia. Sebenarnya, hampir semua pasaran melaporkan penurunan dalam jualan pada Q1 2024.

Pelumba muda Malaysia, Hakim Danish Ramli sekali lagi berada di atas podium Red Bull MotoGP Rookies Cup, kali ini di Grand Prix Perancis. Ia adalah podium kedua beliau pada musim 2024, selepas meraih tempat kedua di Sepanyol, sebelum ini.

Pemain berusia 16 tahun itu telah mendahului banyak lap di dalam Perlumbaan 2 selepas bermula dengan baik. Dia juga telah menukar gaya tunggangannya, yang membolehkannya menyamai kelajuan kelompok hadapan.

“Kali ini saya menukar tunggangan saya, saya pindahkan badan saya lebih ke depan dan menolak siku saya ke bawah, dan saya mencecahnya melalui selekoh, serta cuba membuka pendikit lebih awal di selekoh dan ia terbukti dengan baik.”

Bagaimanapun, dia dipintas oleh pemenang Brian Uriarte dan penamat tempat kedua Màximo Quiles detik-detik terakhir perlumbaan. Quiles, yang merupakan pemenang Perlumbaan 1 sehari sebelum itu mendahului sebelum Uriarte menerjah masuk pada selekoh terakhir. Tindakan ini mengejutkan Quiles dan menyebabkan dia menggelongsor tayar depan motosikalnya. Quiles berjaya menyelamatkan keadaan dan dapat mengekalkan kedudukan di hadapan Hakim.

“Pada lap terakhir saya cuba mendahului tetapi dua orang memintas saya, dan saya cuba memintas semula. Di selekoh terakhir, saya hampir mahu mencuba memotong Maximo dan Brian namun saya terlalu jauh di belakang. Saya sudah memintas pelumba lain pada selekoh sebelum ini dan itu melambatkan saya sedikit, dan saya tidak dapat meraih kemenangan di selekoh terakhir,” sambung Hakim yang menduduki tempat ke-3.

Hakim telah menduduki tempat ke-6 dalam Perlumbaan 1 pada hari Sabtu, dan mengakui bahawa dia tidak dapat menandingi rentak kelompok hadapan. Namun, ia adalah keputusan yang positif secara keseluruhan kerana dia telah menyasarkan tempat podium dalam pusingan ini.

Seperti yang kami siarkan sebelum ini, Lambretta kembali ke Malaysia dan sejak itu ia telah menunjukkan banyak minat, apatah lagi mencetuskan nostalgia di kalangan bekas pemilik dan peminat Lambretta. Malah, mendiang ayah saya menaikki Lambretta pada tahun 60-an dan dia seperti bintang rock di kalangan rakan sebaya ketika itu!

Walau bagaimanapun, ada satu komen membuat kami berfikir juga. “Adakah enjin itu dibuat di China?” salah seorang pengikut kami bertanya.

Jadi, kami memutuskan untuk mencari beberapa fakta.

Permulaan dan kemuncak Lambretta

Mari kita mulakan dengan sejarah Lambretta, kerana kita tidak tahu di mana kita berada dan ke mana kita pergi jika kita tidak tahu di mana kita telah pergi.

Itali mengalami kerosakan teruk semasa Perang Dunia 2, dan rakyatnya mencari bentuk pengangkutan yang lebih berpatutan pasca perang. Vespa adalah yang pertama mengenali peluang itu dan memulakan operasi pada tahun 1946. Setahun kemudian, Dr. Ferdinando Innocenti yang memiliki sebuah kilang besi dan jentera di Milan yang menghasilkan tiub keluli, menyedari bahawa ia sememangnya masa yang tepat untuk firmanya memasukki segmen itu. Beliau mengarahkan kakitangan teknikalnya bentuk kenderaan beroda dua untuk dihasilkan dengan kos yang rendah.

Oleh kerana tidak mahu mengikuti jejak Vespa, kakitangan Innocenti mendapat inspirasi daripada skuter boleh lipat Model Cushman 53 yang digunakan oleh tentera airborne Amerika dan British ketika mereka mendarat di Itali semasa perang. Oleh itu, rangka tiub tunggal digunakan bagi menyambungkan semua komponen lain.

Kini mereka memerlukan suatu nama dan dalam tradisi Rom/Itali lama, mereka memilih satu bidadari air mitos yang tinggal di sungai Lambro berhampiran tempat syarikat itu berada. Lambretta telah dilahirkan.Ini adalah zaman perintis dan setiap pengeluar mencari ciri yang membezakan, berbanding dengan budaya menyalin dan menampalnya seperti yang mereka lakukan hari ini. Sekali lagi, Lambretta tidak mahu mengikut kaedah Vespa seperti menyambungkan enjin terus ke roda belakang. Sebaliknya, mereka menghantar kuasa enjin melalui kotak gear tiga kelajuan dan rantai yang dilitupi. Enjin dan kotak gear diletakkan di sepanjang paksi bingkai.

Reka bentuk inilah yang memulakan kejayaan Lambretta dan persaingan sengit di antara peminat mereka dengan peminat Vespa. Penunggang Lambretta mengejek pembinaan Vespa  di mana enjin terletak di sebelah yang menjadikan mereka “kelihatan seperti perahu layar.”

Jadi, untuk memendekkan cerita, Lambretta mengeluarkan beberapa model yang menjadi perintis seperti LD pada tahun 1950, diikuti oleh LD yang telah dinaikkan taraf pada tahun 1951, dan siri LI yang bermula pada tahun 1958 hingga 1973.

Beberapa Lambretta yang menarik termasuklah 175 TV Series 3 yang merupakan skuter pertama yang dilengkapi dengan brek cakera pada tahun 1962.

Kemuncak syarikat milikan Innocenti ini ialah pada tahun 1969 dengan 200 SX 200/200 DL Electronic, yang menampilkan pencucuhan elektronik, brek cakera, dan enjin 200cc silinder-tunggal dua lejang yang menghasilkan 11 hp. Ia adalah enjin yang paling berkuasa dalam skuter pada masa itu. Kalau nak dibandingkan dengan 2024, enjin Ysuku (Yamaha Y15ZR) hanya menjana 15 hp.

Kemorosotan Lambretta

Jenama itu sebenarnya lebih laris daripada Vespa selama beberapa tahun tetapi mengalami mula krisis apabila kereta murah seperti Fiat 500 mula menjadi lebih popular.

Vespa, sebaliknya, mengharungi detik kritikal ini kerana antara beberapa faktor ialah pemasaran yang agresif dan imej yang tidak berubah. Sebaliknya Lambretta berusaha untuk memasarkan motosikal mereka sebagai produk yang lebih canggih dan mewah, malah mengupah pereka terkenal di Itali seperti Bertone (yang mereka bentuk Ferrari, Lamborghini, Lancia, Citroën, antara jenama terkenal lain) untuk memperhalusi motosikal mereka. Walau bagaimanapun, ini hanya menambahkan kos, manakala majoriti pembeli masih mencari mod pengangkutan yang murah.

Innocenti menjual Lambretta

Fasiliti pemasangan dijual kepada kerajaan India, yang seterusnya mencipta Scooters India Limited (SIL), yang menggunakan nama Lambretta sehingga 1998. SIL menghasilkan derivatif LI 150, Lamby dan GP150 untuk dieksport. Kita dapat melihat banyak Lamby dalam filem Bollywood klasik.

SIL kemudiannya menjual Innocenti kepada BMC (British Leyland). BMC mula mengeluarkan Mini di Itali, tidak lama selepas itu. Pasaran Itali bertindak balas secara positif, dan BMC merancang pelaburan besar untuk meningkatkan keupayaan pembuatan.

Tetapi BMC tidak menyangka bahawa Fiat adalah taikor (abang besar) di Itali, yang menyebabkan kerajaan Itali menyekat projek BMC. Oleh itu, BMC Innocenti jatuh muflis.

Aset syarikat telah dipindahkan kepada seorang individu yang bernama Alessandro de Tomaso yang mempunyai hubungan dalam kerajaan Itali. Ya, Tomaso yang sama yang membuat De Tomaso Pantera yang legenda. Bagaimanapun, sama seperti firma de Tomaso yang lain, Lambretta menderita dan ditutup untuk selamanya.

Lambretta mendapat pemilik baharu

Tahun-tahun berikutnya menyaksikan jenama Innocenti dan Lambretta beredar dari satu mahkamah ke mahkamah yang lain kerana terlibat dalam perebutan pemilikan.

Akhirnya, seorang pemilik lama Lambretta dan pelabur daripada Belanda, Walter Scheffrahn, menjadi pemilik kedua-dua jenama itu. Beliau kemudiannya menubuhkan ibu pejabat operasi baharu bernama Innocenti SA di Lugano, Switzerland. Innocenti SA akhirnya melancarkan tiga Lambretta, V50, V125 dan V200 pada 2017 yang mendapat kejayaan dalam pasaran Timur Jauh.

Kejayaan ini membuka jalan kepada perkongsian dengan syarikat Gaoking di Thailand.

Jadi, untuk menjawab pembaca kami: Ibu pejabat Lambretta di Switzerland adalah pusat jabatan R&D mereka di bawah kawalan peribadi dan kepimpinan Scheffrahn. Rakan kongsi di Thailand pula bertanggungjawab dalam pembuatan.

Lambretta Kembali ke Malaysia

Sebanyak 26 motosikal musnah manakala 10 lagi mengalami kerosakan akibat kebakaran di asrama UniMap pada awal pagi ini.

Hampir kesemua motosikal itu dimilikki oleh penuntut Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang diparkir di kolong sebuah blok asrama di Pauh Putra.

Kejadian dipercayai berlaku jam 4.41 pagi di Blok B, Kompleks Perumahan (Kolej Kediaman) Pauh Putra.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis berkata, seramai enam anggota diketuai Penguasa Bomba Kanan II, Megat Zairilnizam Ahmad dari Balai Bomba dan Penyelamat Arau dikerah ke lokasi kejadian.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kita dapati api sudah merebak sehingga memusnahkan dan merosakkan 36 motosikal yang diparkir di situ.

“Pegawai penyiasat jenayah sudah pun melawat tempat kejadian untuk siasatan awal,” katanya.

Seorang mangsa kejadian berkata dia dikejutkan ketika sedang tidur oleh rakannya yang mengatakan bahawa blok asrama mereka terbakar.  “Saya tinggal di tingkat lima dan rakan saya mengejutkan saya mengatakan berlaku kebakaran, saya ingatkan blok asrama ini yang terbakar.

“Saya bawa barangan apa yang boleh diselamatkan termasuk komputer riba ke bawah tetapi apabila melangkah turun, saya melihat motosikal saya, Yamaha Y16 yang baharu setahun digunakan disambar api.

“Saya tidak mampu hendak berbuat apa untuk selamatkan motosikal saya kerana keadaan di situ berbahang dan api sedang marak dan kerugian saya anggarkan sebanyak RM14,500,” katanya.

Rakannya, Muhammad Muaz Mohd Sofi, 25, juga tidak sempat berbuat apa untuk menyelamatkan motosikal Honda RS150 yang sudah digunakan lebih lima tahun lalu apabila api marak dengan cepat.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube