Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia memberi ruang dan menyokong penganjuran aktiviti permotoran dalam skala besar dengan syarat ia mesti menepati beberapa aspek penting khususnya pematuhan undang-undang dan keselamatan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, kejayaan penganjuran acara seperti Himpunan RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Ogos lalu dengan lebih 150,000 penyertaan turut dilihat sebagai perkembangan positif terutama menjadi platform kepada anak muda yang meminati dunia permotoran.
“Acara (Himpunan RXZ Members) adalah usaha baik untuk hidupkan satu-satu bandar, kita sokong cuma perlu perhatikan bagaimana untuk memastikan penganjurannya mengikut lunas undang-undang, malah (dicadangkan) supaya ada kerjasama lebih baik selain penelitian kepada pelbagai aspek termasuk impak kepada ekonomi tempatan.
“Kita juga mengharapkan karnival sukan permotoran sebegini boleh tarik pihak lain untuk turut bekerjasama, bukan hanya KBS atau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tetapi misalnya boleh babitkan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan bagi aspek keselamatan,” katanya padasesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang ingin tahu perancangan KBS susulan Himpunan RXZ Members 7.0 di Terengganu berhasil menarik penyertaan ratusan ribu peminat permotoran hingga memberi limpahan ekonomi sehingga RM50 juta kepada peniaga kecil tempatan.
Sementara itu, Adam Adli turut menjawab soalan asal Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang ingin tahu pendirian terkini KBS terhadap cadangan kerajaan terdahulu mengenai pembinaan litar drag sekurang-kurangnya sebuah di setiap negeri.
Adam Adli memaklumkan, KBS ketika ini tidak merancang untuk membina litar drag di setiap negeri memandangkan kos pembinaan dan penyelenggaraan yang sangat tinggi.
“Bagaimanapun, KBS tiada halangan sekiranya terdapat inisiatif atau cadangan untuk membina litar drag baharu dengan pembiayaan peruntukan daripada pihak Kerajaan Negeri atau lain-lain pihak berkaitan.
“Tanggungjawab untuk membina dan menaik taraf fasiliti sukan adalah kerjasama kolektif daripada pelbagai pihak, termasuk Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Pihak-pihak ini boleh memainkan peranan penting dengan menjalin kerjasama dengan sektor swasta untuk melaksanakan projek pembinaan atau penambahbaikan kemudahan sukan dan rekreasi awam demi manfaat masyarakat setempat,” katanya.


























































