Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mengingatkan orang ramai bahawa jangan terpedaya dengan iklan lesen memandu percuma serta tanpa mengambil ujian.
Iklan tersebut yang telah tular di media sosial menggunakan nama dan gambar JPJ. Jabatan itu telah mengeluarkan sebuah kenyataan bahawa ianya ialah palsu.
JPJ dalam kenyataan menegaskan, penggunaan nama dan gambar rasmi jabatan pada iklan itu semata-mata bertujuan memancing keyakinan orang ramai.
“JPJ ingin menegaskan bahawa iklan dan akaun berkenaan adalah palsu. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya akan penyebaran promosi menerusi iklan atau akaun yang tidak sah.
“Ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan kerugian. Orang ramai juga digalakkan merujuk atau menghubungi JPJ terlebih dahulu untuk maklumat lanjut,” katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.
JPJ memaklumkan sebarang aduan rasmi boleh disalurkan kepada pihaknya menerusi Portal Aduan Rasmi JPJ iaitu https://jpj.spab.gov.my.