Bikesrepublic

Berita Terkini

BMW R 1300 RT (2025) telah tiba di Malaysia, dengan harga (anggaran) antara RM167,000 hingga RM180,000 bergantung pada “edisi” dan kelengkapan.

Perlu diingatkan bahawa ia merupakan model serba baharu daripada aspek enjin, casis, rangka, rekabentuk, ciri-ciri elektronik, dan lain-lain. Ia pastinya membawa RT yang sudah sangat berkeupayaan ke tahap yang lebih tinggi.

Ciri-ciri utama BMW R 1300 RT (2025):
  • Enjin Boxer dua silinder mendatar dengan sesaran 1300cc, menggunakan dimensi gerek dan lejang 106.5 x 73mm.
  • Enjin berteknologi BMW Shift Cam ini menghasilkan 143 hp pada 7,750 RPM dan 149.2 Nm pada 6,500 RPM. Ia merupakan enjin Boxer BMW pengeluaran paling berkuasa setakat ini.

  • Casis direka semula sepenuhnya dengan rangka keluli baharu (seperti R 1300 R) ditambah rangka belakang aluminium tuang.
  • RT baharu ini dilengkapi Telelever Evo baharu yang memberikan pengasingan lebih baik antara handel dan suspensi berbanding sebelum ini.

  • Di belakang ialah Evo Paralever yang memberikan sambungan lebih kukuh melalui suspensi dalam rangka dan gandar dengan pelepas pantas pada lengan ayun.
  • Roda tuangan aluminium 17 inci baharu dengan reka bentuk baharu, mengurangkan berat sebanyak 1.4 kg.

  • Sistem brek termasuk cakera brek depan berkembar dengan kaliper empat piston dipasang secara radial.
  • Skrin warna TFT 10.25 inci dengan navigasi peta bersepadu dan Hub Keterhubungan baharu.

  • Bantuan elektronik untuk penunggang termasuk mod standard Road, Rain, Eco dan ABS Cornering.
  • Pilihan “Riding Modes Pro” yang menawarkan mod tambahan seperti ‘Dynamic’ dan ‘Dynamic Pro’.

  • Peningkatan lain termasuk Riding Assistant yang dilengkapi Active Cruise Control (ACC), Front Collision Warning (FCW), Lane Change Warning (SWW), dan Front Collision Warning (FCW).
  • Warna yang ditawarkan: Alpine White 3 (RM167,000), Triple Black Limited Edition (RM177,000), Impulse Limited Edition (RM180,000). Semua harga adalah anggaran harga jualan runcit disyorkan dan belum termasuk kos jalan.
Galeri foto

Pengawal keselamatan tidak mempunyai kuasa mahupun hak untuk meminta, memegang atau mengimbas kad pengenalan (MyKad) orang awam, menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Kami rasa kita semua pernah terjumpa pengawal keselamatan sesebuah kondominium atau kawasan perumahan yang meminta kad pengenalan atau lesen memandu kita. Tetapi ia merupakan suatu kesalahan di bawah rang undang-undang Malaysia.

Isu ini telah pernah ditimbulkan beberapa kali di masa lepas namun ia menjelma semula.

JPN dalam kenyataan kepada Bernama memaklumkan hanya lima kategori pegawai dibenarkan berbuat demikian di bawah Peraturan 7(1), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, iaitu pegawai JPN, pegawai polis, pegawai kastam, anggota tentera yang sedang bertugas, serta pegawai awam yang diberi kuasa oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara.

Di bawah peraturan 8A, jika kakitangan yang tidak berkuasa memegang IC anda, dia melakukan satu kesalahan. Sesiapa yang sabit kesalahan ini boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 3 tahun dan/atau denda sehingga RM 20,000.

Sebarang tindakan oleh pengawal keselamatan untuk meminta atau menyimpan kad pengenalan melanggar undang-undang dan boleh dikenakan tindakan,” menurut kenyataan itu.

JPN turut menegaskan bahawa penggunaan alat elektronik untuk mengimbas data MyKad juga tidak dibenarkan kerana ia tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Sebarang pemprosesan data peribadi oleh pihak swasta tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, yang menetapkan garis panduan dan kewajipan untuk melindungi maklumat peribadi individu,” menurut JPN.

Bernama menghubungi JPN bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu terbabit, susulan satu hantaran yang tular melalui media sosial baru-baru ini berkenaan tindakan seorang pengawal keselamatan di sebuah premis yang didakwa menggunakan peranti elektronik untuk mengimbas MyKad.

Tindakan pegawal keselamatan itu mencetuskan persoalan orang awam mengenai kesahannya dari aspek undang-undang.

Sebagai langkah keselamatan, JPN menasihati orang ramai supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada mana-mana individu yang tidak diberi kuasa, serta segera melaporkan sebarang pelanggaran kepada pihak berkuasa yang berkenaan.

Polis mengesahkan bahawa pemandu bas yang membawa pelajar-pelajar Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terbabit dalam nahas maut mempunyai rekod 18 saman. Pada masa yang sama, terdapat juga 21 saman yang dikeluarkan terhadap bas tersebut.

Daripada 18 saman itu, 13 telah dikeluarkan atas kesalahan memandu laju, 1 untuk kemalangan, 3 untuk tidak memakai tali pinggang keledar, dan satu tiada lampu brek ketiga. Data itu dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Kesemua 18 saman itu belum diselelaikan.

Selain daripada itu, bas yang terbabit di dalam kemalangan itu turut mempunyai rekod sebanyak 21 saman di atas sebab kesalahan trafik. Bagaimanapun, 16 daripada jumlah saman itu telah dijatuhkan hukum, manakala 5 lagi berada di dalam siasatan.

Tuan Pengarah itu juga dilaporkan berkata bahawa PDRM dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan pihak berkaitan akan menyiasat nahas itu secara menyeluruh.

Kita akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin untuk kita mendakwa pemandu (bas) terbabit di mahkamah.

Kita akan menyiasat dalam pelbagai sudut dari segi rekod (kesalahan), latar belakang, kegiatan dan kerjaya dia sebelum ini, kita akan siasat semuanya,” katanya.

Sementara itu, pihak Polis juga berkata bahawa perintah reman terhadap pemandu bas tersebut akan dikeluarkan apabila dia dilepaskan daripada hospital. Pemandu itu sedang menjalani rawatan di Hospital Taiping kerana cedera di bahagian tangan.

Semalam, seramai 15 pelajar UPSI meninggal dunia manakala tujuh mengalami cedera parah selepas bas yang dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan jam 1.15 pagi.

Bas itu dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar sebuah Perodua Alza dan terbabas. Tiga daripada empat penumpang di dalam Alza itu juga cedera parah.

Pelumba negara, Hakim Danish telah menjuarai Perlumbaan Kedua Red Bull Rookies Cup 2025 yang berlangsung di litar Aragon, Sepanyol, semalam.

Hakim berjaya memintas pencabar kejohanan yang terdekat, Brian Uriarte serta David Gonzalez di selekoh terakhir untuk menjejakkan kaki di podium teratas kali ini.

Bercakap mengenai kemenangannya di laman web Red Bull Rookies Cup, Hakim berkata, “Akhirnya, kami di P1. Perlumbaan ini sangat hebat dan sukar kerana prestasi tayar kami menurun dengan sangat pantas. Saya cuba menguruskan tayar dengan sebaik mungkin. Kemudian, pada pusingan terakhir, saya cuba memecut lebih awal di selekoh akhir, jadi saya berjaya melintas garisan penamat di P1.

Saya terpaksa berusaha keras untuk menang kerana pada pusingan kedua terakhir, saya tersilap gear di selekoh akhir lalu hilang kedudukan terdepan dan jatuh beberapa tempat. Saya berjuang untuk bangkit semula, memotong penunggang lain di mana sahaja boleh. Entah bagaimana saya berjaya, tapi akhirnya berjaya juga.

Hakim telah mendudukki tempat kedua berturut-turut lima kali di dalam 5 perlumbaan sebelum ini. Dia juga merupakan penunggang di kolompok atas yang paling konsistan. Dengan itu, dia mendahalui kedudukan pungutan mata keseleruhan dengan 125 mata, diikuti oleh Uriarte dengan 95 mata, dan Benat Fernandez dengan 63 mata.

Seramai 15 orang disahkan maut dalam satu kemalangan tragis membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi. 14 mangsa yang maut terdiri daripada pelajar UPSI, manakal seorang lagi ialah kelindan bas tersebut.

Menurut maklumat sumber, kejadian dilaporkan berlaku 1.10 pagi apabila pihak Hospital Gerik memaklumkan tentang kemalangan jalan raya berimpak tinggi di kawasan berkenaan.

Pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik dengan kekuatan seorang pegawai dan tiga anggota segera dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba pada 2.11 pagi.

Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah bas yang membawa pelajar UPSI terbalik setelah bertembung dengan sebuah Perodua Alza.

Daripada beberapa temubual, mangsa yang terselamat berkata ada rakan-rakan mereka yang meronta-ronta kemudian diam, ada yang meminta tolong dan diajar mengucap. Pihak penyelamat berkata kerusi di dalam bas tercabut dan bertindih-tindih, dan ada juga mangsa yang tercampak keluar daripada bas.

Sementara ini, Polis berkata akan menyiasat dakwaan bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi, dipandu laju.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya akan menyiasat dari pelbagai sudut termasuk dakwaan bas itu dipandu laju.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

“Mereka diminta hadir ke balai polis berdekatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Universiti Putra Malaysia baru-baru ini menjalankan satu kajian dan mendapati bahawa ramai penunggang motosikal kurang kesedaran tentang keselamatan tayar. Keselamatan tayar bukan hanya tentang jenis kompaun yang terbaik, tetapi juga merangkumi tekanan pengembungan, keadaan tayar, dan usia. Itulah sebabnya kami memutuskan untuk menyusun 5 petua penjagaan tayar mudah ini.

Jadi, jika anda baru memasang set tayar yang sangat “grip” atau membeli motosikal baru, tugas utama adalah menjaga tayar-tayar tersebut agar mereka memberikan prestasi terbaik dan keyakinan di mana sahaja anda pergi.

Tayar memang memerlukan sedikit penjagaan, walaupun tidak intensif dan tidak memerlukan pengetahuan teknikal tahap kejuruteraan automotif. Ingat, anda mungkin memiliki motosikal terpantas di dunia, tetapi ia tidak akan ke mana tanpa “donat getah” itu.

 

1. “Run in” dengan betul

Penjagaan tayar bermula sebaik sahaja anda memasang set baharu. Ingat istilah ini: “Tayar mempunyai ingatan.” Cara anda memecahkannya menentukan prestasinya kelak.

Jadi, berhati-hati dalam 300–500 km pertama. Elakkan pecutan dan brek keras, serta sengetan maksimum.

Percubaan untuk menunggang laju dengan tayar baharu boleh membawa padah kerana sesetengah tayar baharu mungkin dilapisi dengan bahan pelepas acuan (mould release). Permukaan licin dan berkilat ini perlu dihapuskan sebelum kita boleh menunggang secara maksimum.

Memang ada tayar yang dihasilkan tanpa bahan pelepas ini, tetapi “run in” tayar secara berhati-hati membolehkan komponen dan kompaun dalam tayar menjadi stabil. Tayar diperbuat daripada puluhan (jika bukan ratusan) kompaun berbeza, dan ia memerlukan haba (daripada penungganan) untuk “memasaknya.”

Mengasak tayar terlalu awal menyebabkan kompaun mengeras sebelum mencapai separuh hayatnya. Inilah sebab utama mengapa sesetengah penunggang mengadu tayar mereka hilang cengkaman dan keanjalan apabila mula haus. Ya, inilah “ingatan” yang kita maksudkan.

2. Periksa tekanan

Tekanan pengembungan tayar adalah segalanya.

  • Tekanan rendah menyebabkan tayar terlalu panas dan cepat haus. Selain itu, ia meningkatkan rintangan gelongsor, menjadikan motosikal kurang responsif dan meningkatkan penggunaan minyak.

  • Tekanan berlebihan pula membuatkan bahagian tengah tayar cepat haus. Traksi dan keselesaan juga terjejas kerana tayar tidak dapat menyerap ketidakteraturan permukaan jalan.

Setiap tayar mempunyai struktur berbeza—ada yang keras, ada yang lembut—tetapi tekanan yang disyorkan oleh pengeluar motosikal adalah yang terbaik untuk menampung berat dan prestasi motosikal. Anda boleh menambah tekanan jika membawa beban berat, tetapi lakukan dalam had munasabah (±10 kPa).

Tip tambahan: Jangan bergantung pada meter pam tayar di stesen minyak kerana ia mungkin tidak dikalibrasi dengan betul. Lebih baik beli tolok tekanan udara tayar yang berkualiti dan bawa bersama. Sebaik-baiknya tekanan diperiksa sebelum menunggang atau sekurang-kurangnya setiap 2–3 hari. Pastikan tayar dalam keadaan sejuk semasa mengisi udara.

3. Periksa keadaan tayar

Lakukan pemeriksaan setiap kali sebelum menunggang, semasa mengisi udara atau membersihkan motosikal. Cari:

  • Objek asing (paku, batu kecil).
  • Kebocoran.
  • Retakan.
  • Haus tidak sekata – mungkin disebabkan oleh pelarasan rantai mahupun suspensi.

Jika ada masalah, tangani segera.

4. Bersihkan tayar

Ini bukan sekadar untuk penampilan, tetapi membersihkan tayar membantu mengesan kerosakan awal. Gunakan pembersih yang tidak menghasikis — elakkan pelarut keras seperti petrol, minyak tanah, atau diesel kerana ia boleh mengeraskan getah. Tayar yang keras kurang cengkaman dan mudah retak.

5. Cara membaikki tayar yang pancit

Untuk tayar tanpa tiub (tubeless), cara terbaik adalah menggantikannya kerana objek yang menembus tayar mungkin merosakkan struktur tayar yang memberikan bentuk, kekuatan, dan keselamatan.

Namun, jika anda memilih untuk membaiki:

  • Bawa ke bengkel reputasi baik untuk tampal dari dalam.

  • Kit cacing hanyalah untuk kecemasan dalam memberikan kita masa untuk ke bengkel terdekat, oleh itu, jangan biarkan ia selama-lamanya.

BONUS 1: Usia tayar

Tayar lama (biasanya 5 tahun ke atas) menjadi keras dan kurang cengkaman. Anda boleh semak kod pengeluaran pada sisi tayar. Contohnya seperti gambar di bawah di mana “0117” bersamaan minggu pertama, tahun 2017.

BONUS 2: Penunjuk kehausan tayar (TWI)

Setiap tayar mempunyai penunjuk tahap kehausan tayar (tyre wear indicator). Anda boleh cari satu bentuk segitiga di tepi tayar dengan huruf “TWI” dan ikutnya ke permukaan tayar di mana terdapat bonggolan kecil. Apabila bunga tayar sudah sampai ke tahap itu, ia bermaksud tayar itu telah kira haus walaupun belum botak sepenuhnya. Ini kerana tayar tersebut sudah dikira tidak dapat mengalirkan air dengan tahap optimum.

Penutup

Hanya 5 tip petua penjagaan tayar yang mudah ini boleh memastikan tayar anda tahan lama, selamat, dan menjimatkan wang.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube