Salah soalan terbesar setelah program penyasaran subsidi petrol RON95 – Budi Madani RON95 (BUDI95) – dijalankan ialah mengapa golongan T15 juga layak, walaupun kerajaan pada mulanya berkata golongan tersebut akan dikecualikan. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa golongan tersebut akan dikecualikan apabila sistem BUDI95 lebih mantap.
“Kalau ada keperluan di masa akan datang, di mana sistem itu lebih mantap, maka boleh kita kenakan (pengecualian pemberian subsidi RON95 kepada T15) bagi yang (mempunyai pendapatan) benar-benar tinggi atau (menggunakan) kenderaan betul-betul mewah,” katanya sewaktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai mengapa kerajaan memutuskan untuk melaksanakan BUDI95 yang memanfaatkan semua warganegara termasuk golongan T15.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, dengan pelaksanaan BUDI95, kerajaan dapat menjimatkan kira-kira RM2.5 bilion.
Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju unuk meningkatkan lagi quota bulanan RON95 kepada 800 liter daripada 600 liter kepada pemandu e-hailing.
“Untuk Oktober, (pemandu bagi BUDI95) e-hailing aktif dinaikkan daripada 300 liter kepada 600 liter. Berapa (jumlah pemandu) yang dapat? 58,000 pemandu e-hailing layak menerima sehingga 600 liter sebulan.
“(Tetapi) ada lagi rakan-rakan, anak-anak kita dari (sektor) e-hailing yang merasakan masih belum cukup.
“Kalau betul ada rekod dan keperluan, maka kerajaan, saya nak umumkan di sini, bersetuju meningkatkan had kelayakan BUDI95 bagi pemandu e-hailing yang layak kepada 800 liter sebulan,” katanya sewaktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai kemajuan bulan pertama pelaksanaan Program Penyasaran Subsidi RON95 dan tindakan diambil kerajaan dalam menyelesaikan isu berbangkit terutamanya golongan pemandu teksi lapangan terbang, pemandu e-hailing dan pengguna bot sungai berhubung kelayakan mereka di bawah BUDI95.