Bikesrepublic

Dalam Negara

Pemandu di Malaysia akan menikmati tol percuma untuk dua hari di lebuh raya semasa Hari Raya Aidilfitri. Bagaimanapun, kerajaan tidak akan melanjutkannya lebih dari itu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan mereka tidak akan melanjutkannya kerana kerajaan sudah memperuntukkan RM37.6 juta untuk menampung pengecualian itu. Jumlah itu akan dibayar kepada 33 syarikat konsesi lebuh raya.

“Ia kira-kira RM19 juta sehari. Ini adalah keputusan Kabinet dan ia muktamad,” katanya selepas meninjau persiapan PLUS Malaysia Bhd untuk Hari Raya Aidilfitri di Menara Korporat Persada PLUS di sini semalam.

Pada Khamis, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan bahawa kerajaan telah meluluskan tempoh dua hari bebas tol pada 8 dan 9 April untuk pengguna kenderaan persendirian Kelas 1 di lebuh raya sempena Hari Raya. Langkah yang sama turut dilakukan semasa Tahun Baru Cina pada Februari tahun ini.

Ahmad Maslan menambah bahawa PLUS menjangkakan trafik harian kira-kira 2.1 juta kenderaan semasa cuti perayaan. Hari-hari yang paling sibuk yang dijangkan ialah 5, 6, 9, 12, 13, dan 14 April, berbanding 1.82 juta pada hari puncak biasa.

PLUS bersedia untuk menempatkan lebih 4,500 kakitangan di lebuh rayanya untuk memastikan tindak balas pantas dalam tempoh tersebut.

“PLUS mempunyai 70 kakitangan pada waktu puncak harian di pusat pemantauan trafiknya untuk memantau, mengumpul dan menyebarkan maklumat trafik terkini serta menyelaras bantuan kepada pengguna lebuh raya.

“Pemandu perlu merancang perjalanan mereka menggunakan jadual perjalanan digital yang terdapat pada aplikasi MyPLUS-TTA,” kata Ahmad Maslan.

Kerajaan telah mengumumkan sebelum ini bahawa monopoli Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) sebagai penyedia perkhidmatan pemeriksaan kenderaan komersial wajib akan berakhir pada September 2024, apabila konsesinya tamat pada 31 Ogos.

Justeru, pihak yang berminat untuk menawarkan perkhidmatan tersebut dipelawa untuk menghantar permohonan mereka pada suku pertama 2025. Bengkel ini perlu melantik pekerja yang memenuhi syarat kelayakan, serta menggunakan peralatan pemeriksaan berkomputer yang diluluskan oleh JPJ. .

Menterinya Pengangkutan, Anthony Loke turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan memberikan bantuan dalam menyediakan kemudahan tersebut. “Kami tidak akan membelanjakan wang untuk membina sistem mereka,” katanya.

Loke juga menyatakan bahawa isu penyedia perkhidmatan tunggal, selain masa menunggu pemeriksaan yang panjang, telah wujud selama bertahun-tahun.

“Kenderaan besar, lori dan bas tergendala berjam-jam. Terdapat aduan bahawa beberapa negeri hanya mempunyai satu pusat perkhidmatan.

Bagaimanapun, kerajaan menegaskan bahawa mereka tidak menutup Puspakom. Sebaliknya, mereka ingin mewujudkan persaingan sihat di sektor pemeriksaan kenderaan mandatori. Kabinet semasa memutuskan untuk tidak memperbaharui konsesi bagi membuka sektor itu kepada semua pihak yang layak untuk menjalankan pemeriksaan bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Menteri Pengangkutan Malaysia telah berkata bahawa langkah sedemikian “membolehkan persekitaran perkhidmatan yang lebih kompetitif dan memudahkan semua rakyat Malaysia.”

Puspakom telah menikmati monopoli selama tiga dekad walaupun wujudnya undang-undang anti-monopoli, kerana anak syarikat DRB-HICOM ini telah ditubuhkan pada tahun 1994 oleh kerajaan pada masa itu.

Projek LRT (Transit Aliran Ringan) di Bayan Lepas, Pulau Pinang dijangka bermula pada pertengahan tahun ini.

Seorang penganalisa Kenanga Investment Bank Bhd., Teh Kian Yeong, berkata bahawa kontraktor utama, Gamuda Bhd. sudah dalam perbincangan peringkat akhir dengan kerajaan untuk memuktamadkan model pelaksanaan projek terbabit.

“Ini tertakluk kepada kelulusan kerajaan, manakala Jabatan Alam Sekitar telah menerbitkan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk segmen LRT ini pada 5 Mac lalu.

“Projek yang dibiayai kerajaan persekutuan ini terdiri daripada kos pengambilan tanah kira-kira RM1.5 bilion dan kos pembinaan di antara RM7 bilion hingga RM8 bilion.”

Projek ini berskala amat besar, menghubungkan Tanjung Bungah di bahagian utara sehingga Permatang Damar Laut di bahagian selatan pulau. Laluan ini merangkumi beberapa lokasi penting, antaranya:

  • Lapangan Terbang Pulau Pinang,
  • Bayan Lepas dan Bayan Baru,
  • Ayer Itam,
  • Bukit Bendara,
  • Terminal feri,
  • KOMTAR (stesen utama),
  • Pulau Tikus.

Terdapat juga laluan yang menghubungi tanah besar Semenanjung Malaysia, dengan stesen utamanya di Penang Sentral, melalui hubungan terowong sepanjang 7.2km di dasar laut.

Laluan ke utara sampai ke Kepala Batas, manakala laluan ke selatan tamat di Nibung Tebal. Laluan terjauh ke sebelah timur sampai ke Kulim South dan Kulim North.

Antara lokasi penting yang dihubungkan ialah:

  • Juru,
  • Tambun,
  • Batu Kawan,
  • Lunas (kampung mendiang ayah penulis ini),
  • Bukit Mertajam.

Projek LRT ini sudah lama diidamkan oleh penduduk di pulau kerana kesesakan trafik yang makin teruk. Projek ini turut akan memainkan impak dalam kemajuan pengujung ke negeri tersebut, selain daripada mengembangkan lagi ekonomi beberapa bandar dan pekan yang dihubungi.

JPJ memberi amaran jangan hiasi kenderaan masing-masing dengan lampu hiasan, apatah lagi ketika musim perayaan.

Kita sebagai rakyat Malaysia ini secara amnya memang amat kreatif dan semangat ini dibawa sehingga menghiasi atau custom-kan kenderaan kita, tidak kira kereta, motosikal, lori, beca, basikal dan sebagainya. Namun, pihak berkuasa tidak hargai kreativiti kerana mereka mempunyai tugas untuk memastikan bahawa setiap kenderaan kita selamat bukan bagi kita sahaja, tetapi juga buat semua pengguna jalanraya.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohd Syahmi Abdul Latif menjelaskan perbuatan menghias kenderaan dengan lampu hiasan itu sebenarnya adalah perbuatan yang salah. “Walaupun niatnya hanya untuk menyambut Ramadan, pemilik kenderaan boleh diberi amaran supaya menanggalkan lampu hiasan berkenaan dan mengembalikan ia kepada asal atau dikenakan denda.”

“Apa pun, keputusan terletak pada pegawai yang bertanggungjawab. Bagi kesalahan jenis ini, denda biasanya dikenakan antara RM100 dan RM200,” katanya ketika dihubungi oleh Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sebuah video yang dimuat naik ke aplikasi Tik Tok oleh seorang pengguna yang bergelar @kaksuemeow, yang menunjukkan keretanya yang dihiasi penuh dengan lampu hiasan.

@kaksuemeow mendakwa dia pernah terjumpa dengan polis beberapa kali ketika memandu di Bukit Bintang tetapi tidak didenda.

“Sebaliknya, polis berkenaan hanya menunjukkan tanda bagus. Saya sudah menanggalkan lampu hiasan dari kereta tetapi masih ada kemungkinan saya akan menghiasnya semula. Saya mengambil masa kira-kira enam jam untuk memasang semua lampu dan membalutnya di sekeliling kereta saya,” tambahnya.

 

Walaupun kita sebagai dewasa memahami kepentingan memakai helmet (topi keledar) ketika kita menunggang motosikal, kajian yang dijalankan mendapati kebanyakan helmet motosikal dan basikal kanak-kanak di Malaysia gagal piawaian keselamatan.

Tinjauan itu dijalankan bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Kelab Marsyal Keselamatan Jalan Raya Malaysia (RSMC).

Topi keledar motosikal kanak-kanak

Kedua-dua badan itu telah membeli 10 topi keledar kanak-kanak dari kedai runcit, dengan tambahan 10 daripada platform dalam talian. Topi keledar itu kemudiannya dihantar ke Institut Penyelidikan Piawaian dan Perindustrian Malaysia (SIRIM) untuk ujian.

Keputusan ujian membimbangkan. Daripada kumpulan terdahulu, hanya 5 yang lulus standard keselamatan. Kumpulan yang dibeli dalam talian lebih teruk kerana 7 gagal.

Semua topi keledar telah diuji terhadap piawaian topi keledar MS 1-2:2023 baharu. Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan dan SIRIM telah mencadangkan untuk melaksanakan piawaian baharu itu.

Topi keledar basikal kanak-kanak

Bagi topi keledar basikal kanak-kanak pula, 11 dibeli dari kedai runcit dan 10 lagi dari kedai dalam talian. Mereka juga dihantar ke SIRIM untuk ujian piawaian topi keledar basikal MS 1763: 2004 semasa.

6 daripada kedai runcit gagal manakala 7 daripada kedai dalam talian gagal.

MMA dan RSMC menyatakan bahawa peruncit pada umumnya mengetahui keperluan standard untuk topi keledar motosikal kanak-kanak tetapi tidak begitu untuk topi keledar basikal kanak-kanak.

Keadaan yang membimbangkan

“Sesetengah peruncit tidak mengetahui kualiti topi keledar yang mereka jual. Beberapa peruncit secara lisan mengatakan topi keledar itu memenuhi piawaian sedangkan tiada label pada topi keledar.

“Sesetengah topi keledar yang dijual mempunyai label QC yang membayangkan bahawa ia memenuhi piawaian pengeluar,” kata kenyataan itu.

Ia menambah bahawa majoriti topi keledar basikal tidak mempunyai label pensijilan piawaian manakala sesetengahnya mempunyai label piawaian asing yang boleh diterima, seperti piawaian USCPSC dan EU.

“Sesetengah topi keledar dilabel ‘mainan’. Ada yang nipis,” katanya.

MMA dan RSMC menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan bagi memastikan semua topi keledar motosikal dan basikal yang terdapat di kedai runcit dan dalam talian menepati piawaian Malaysia (SIRIM) atau antarabangsa (EC/UN R22).

Mereka juga menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan memastikan mereka membeli topi keledar motosikal dan basikal yang mengikut piwaian.

MMA berkata ia akan menjemput Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada Mei untuk membentangkan penemuan itu kepada kumpulan pengurusan dan membincangkan langkah selanjutnya ke arah melindungi orang ramai daripada topi keledar yang tidak selamat.

Nasihat daripada BikesRepublic.com

Pelaksanaan standard SIRIM baharu akan menjadi perkembangan yang amat dialu-alukan dari segi keselamatan topi keledar, kerana beberapa – jika tidak semua – pengeluar topi keledar tempatan masih mengeluarkan produk yang mematuhi piawaian MS 1:1996 yang terlalu lama.

Sebagai perbandingan, piawaian Eropah yang turut diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kini ECE/UN R22.06 yang berkuat kuasa tahun ini. Piawaian ECE/UN R22.05 sebelum ini telah dilaksanakan pada tahun 2000. Jadi itu menunjukkan kepada anda usia piawaian SIRIM semasa! Terdapat semakan kepada MS 1:2011 namun tidak semua topi keledar tempatan mematuhi perkara ini.

Sekali lagi, beli dan hanya pakai topi keledar yang sama ada diluluskan oleh SIRIM (untuk topi keledar keluaran tempatan) dan/atau oleh ECE/UN R22.05 atau ECE/UN R22.06 (untuk topi keledar import). Topi keledar yang diluluskan oleh DOT sahaja tidak diluluskan untuk dijual di Malaysia melainkan ia mempunyai kelulusan tambahan ECE/UN.

Menteri Besar Kedah menjelaskan bahawa dia menukar ke kereta baharu sebab yang lama selalu rosak. Menurutnya ia merupakan kereta untuk kegunaan rasmi.

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kos penyelenggaraan dan pembaikan kereta yang terlalu tinggi menyebabkan ia tidak lagi berbaloi untuk digunakan. Beliau juga berkata kerajaan negeri tidak pernah membeli kereta untuk kegunaan menteri besar sejak Mei 2020 dan beliau selama ini hanya menggunakan kereta yang dibeli oleh menteri besar terdahulu.

“Kedua-dua Mercedes-Benz lama itu pernah rosak tengah jalan, kadang-kadang senget sebelah, kadang-kadang terangkat sebab masalah suspensi.

“Jadi Mercedes ini bila sampai satu peringkat penggunaannya sudah tidak ekonomi lagi, tapi kita baiki juga sebab nampak macam masih elok dan setiap kali baiki kena sampai RM50,000.

“Kereta baharu (yang dibeli itu pun) bukan kereta mewah, biasa-biasa saja… kalau saya nak beli sendiri pun saya ada duit, dua buah boleh beli.

“Tak mahal sangat pun tapi dah kerajaan beli saya naik, pihak yang cemburu tunggu jadi menteri besar esok kamu beli (dan) naik,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial isu kenderaan utiliti sukan (SUV) buatan Korea Selatan jenis Hyundai Palisade yang berharga di antara RM368,888 hingga RM399,888, yang digunakan Muhammad Sanusi yang menggunakan nombor pendaftaran KCX8.

Muhammad Sanusi berkata, pembelian kereta jenis itu adalah berdasarkan keperluan kerana ia lebih lasak dan sesuai digunakan olehnya yang melakukan perjalanan puluhan ribu kilometer sebulan.

“Kalau tengok pergerakan saya sebagai menteri besar, tuan-tuan boleh mengalah tak boleh ikut. Sebulan berpuluh ribu kilometer perjalanan, jadi kena kereta yang lasak sikit,” katanya.

Keputusan untuk menyambung kembali pencarian pesawat MH370 akan diketahui pada bulan Mei ini. Keputusan akan dibuat selepas pertemuan dengan Ocean Infinity.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau sendiri akan bertemu dengan wakil firma penerokaan dasar laut itu bagi membincangkan mengenai kontrak dan cadangan misi pencarian itu. Kementeriannya sudah mengadakan temujanji dengan Ocean Infinity untuk mereka membentangkan cadangan.

Kementerian Pengangkutan akan membuat kertas cadang kepada Jemaah Menteri selepas itu.

Anthony Loke juga menegaskan bahawa prinsip pencarian adalah “tidak jumpa, tiada bayaran (no find, no fee). Cadangan ini perlu diluluskan oleh Kabinet kerana terdapat implikasi dan janjian kewangan jika terjumpanya pesawat.

Ocean Infinity pernah membuat pencarian di Lautan Hindi daripada 2017 sehingga misi pencarian diberhentikan pada 2018.

Namun pada awal Mac, syarikat berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat (AS) itu mendakwa mempunyai bukti saintifik baharu mengenai lokasi terakhir pesawat MH370.

Loke berkata, setakat ini, pihaknya menunggu cadangan daripada Ocean Infinity terlebih dahulu, terutama fokus carian mereka barulah sebarang keputusan dibuat.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, sebelum ia diumumkan berakhir di Lautan Hindi.

Kes pegawai kanan polis yang didakwa melanggar dan menyebabkan kematian seorang pelajar dipindahkah ke Mahkamah Tinggi Ipoh, bagi perbicaraan tatacara jenayah.

Pegawai kanan itu yang berpangkat Penolong Superintendan (DSP) didakwa membunuh seorang pelajar Tingkatan 5 yang juga calon peperiksaan SPM pada 5 Disember 2023.

Majistret S. Punitha membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz untuk memindah dan membicarakan kes itu di Mahkamah Tinggi, mengikut Seksyen 177A(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Bagaimanapun, tarikh untuk kes itu disebut di Mahkamah Tinggi belum diputuskan.

Pada 18 Disember tahun lalu, Mohd Nazri dituduh menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran SMK Jati, dalam daerah Kinta, di sini, antara jam 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember lalu.

Dalam kejadian tragis itu, Mohd. Nazri yang sedang menunggu untuk mengambil isterinya yang merupakan seorang guru di sekolah mangsa, naik berang apabila mendengar Zaharif “rem” enjin motosikal kawannya.

Nazri didakwa telah mengejar mangsa sejauh satu kilometer sebelum melanggar mangsa yang menyebabkannya cedera parah di bahagian dada dan perut. Kakak mangsa, yang merupakan seorang jururawat berada berdekatan dengan kawasan kemalangan memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada adiknya yang separuh sedar.

Malangnya, mangsa meninggal dunia oleh pasukan ambulans yang sampai kemudian.

Isteri orang yang didakwa berkata bahawa suaminya seorang yang “panas baran dan tidak boleh mendengar orang rem motosikal.”

Kesalahan Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum dengan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan bawaha penganjuran F1 (Formula Satu) ialah empat kali lebih mahal daripada MotoGP (Kejuaraan Motosikal Dunia). Malah, MotoGP lebih murah daripada Formula E juga.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, perbelanjaan ialah RM53.2 juta untuk pengajuran MotoGP, manakala F1 memerlukan modal sekitar RM228 juta. Bagi Formula E (bagi kereta Formula Elektrik), kosnya dianggarkan sekitar RM120 juta.
“Walaupun semua orang mengatakan penganjuran ini bagus, penganjuran itu bagus, tetapi kita kena tengok kemampuan dan minat rakyat terhadap sukan berkenaan.

“Kenapa MotoGP? Seperti saya katakan, 182,000 pengunjung akan datang dan Litar Antarabangsa Sepang memerlukan acara MotoGP ini,” katanya.

Hannah berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2023 KBS di Dewan Rakyat, hari ini.

Hannah berkata, terdapat pihak cuba menganjurkan F1 tanpa pengetahuan pihak kerajaan meskipun ia membida dan mendapat hak itu.

“Selepas bida, mereka datang berjumpa dan kata kita sudah dapat bidaan dan nak duit untuk anjurkan (F1).

“Jadi tidak adil untuk kerajaan kalau ada pihak yang pergi bida tanpa mendapatkan kelulusan,” katanya.

NOTA DARIPADA PENGARANG: Jadi adakah kerajaan yang menanggung segala perbelanjaan penganjuran MotoGP? Seringnya tidak kerana terdapat syarikat-syarikat korporat yang akan menaja acara tersebut. Contohnya, Shell yang yang mengajurkan Shell Malaysia MotoGP pada 2022 hingga 2023. Petronas akan mengambil alih sebagai penaja utama daripada tahun ini. Terdapat juga penaja-penaja lain yang bukan penaja utama. Akan tetapi, mereka tidak mendedahkan jumlah wang yang mereka belanjakan.

Modenas Ninja ZX-25RR yang berspesifikasi lebih tinggi telah dilancarkan di Malaysia. Pelancaran itu diumumkan oleh Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS), anak syarikat milik penuh Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS), hari ini.

Modenas ZX-25R SE yang telah dilancarkan tahun dahulu mendapat sambutan yang baik daripada peminat motosikal Malaysia dan terus dijual dengan baik. Faktor utamanya ialah bunyi enjin empat sebarisnya, antara lain. Enjin ini juga cukup berkuasa dan menghasilkan 46.3 hp (34.5 kW) dan 22 Nm tork.

Sebaliknya, versi ZX-25RR membawa sistem suspensi yang lebih baik, seperti tradisi Kawasaki/Modenas, contohnya Z900 lwn Z900 SE.

Ciri utama bagi Modenas Ninja ZX-25RR ialah suspensi belakang, yang terdiri daripada Showa Horizontal Back-Link BFRC (Balance Free Rear Cushion) Lite bercas gas monoshock. Ia menawarkan pelarasan pemampatan dan redaman lantunan sebagai tambahan kepada pelarasan prabeban. Jadi, ia boleh disesuaikan mengikut berat penunggang, gaya tunggangan dan persekitaran menunggang.

Suspensi hadapannya mengekalkan fork Showa 37mm SFF-BP (Separate Function Forks-Big Piston) yang sama, dan boleh laras untuk prabeban.

Ciri lain termasuk elektronik canggih dan bantuan penunggang, termasuk Kawalan Traksi Kawasaki (KTRC) dan mod tunggangan. Kawasaki Quick Shifter (KQS), Assist & Slipper Cluth dikekalkan.

Selain itu, kedua-dua model juga menampilkan skrin TFT dengan sambungan Bluetooth melalui aplikasi Rideology. Penunggang boleh memainkan muzik, membuat dan menerima panggilan, serta navigasi.

Modenas Ninja ZX25-RR boleh didapati dalam dua warna, iaitu Lime Green yang tradisional, dan Ebony tambahan. Harga Runcit yang Disyorkan (RRP) ialah RM36,500 (bukan atas jalan). Ia boleh didapati di bilik pameran Kawasaki All-Star Dealer pada akhir Mac 2024.

Untuk maklumat lanjut mengenai rangkaian lengkap motosikal Modenas ZX-25RR dan Kawasaki, sila layari http://www.kawasaki.com.my. Anda juga boleh menghubungi Talian Bebas Tol mereka di 1-800-880-008 atau menghubungi Talian WhatsApp Careline mereka di +6019-570 8135.

Salah satu soalan yang sering ditanya oleh pemandu ialah “Ke mana perginya dana daripada jualan nombor pendaftaran istimewa?”

Ke mana perginya dana tersebut?

Pada sesi soal jawab di Parlimen hari ini, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) meminta maklumat mengenai hasil yang dijana daripada tawaran bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI). Beliau juga meminta perincian mengenai inisiatif yang dijalankan oleh kementerian dalam menggunakan kutipan NPI dari 2018 hingga 2023.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menjawab semua hasil yang dijana disalurkan ke dalam Kumpulan Wang Bersepadu Persekutuan. Selain itu, Kementerian Pengangkutan tidak mendapat manfaat daripada hasil jualan nombor plat kenderaan.

Menteri seterusnya menyatakan jumlah hasil jualan nombor pendaftaran khas pada 2023 mencecah RM311.8 juta, termasuk hasil jualan nombor pendaftaran khas berjumlah RM21 juta.

Sebahagian daripada dana itu digunakan untuk menampung yuran ujian memandu bagi kelas B2 motosikal, e-hailing dan lesen teksi, yang memberi manfaat kepada lebih 40,000 belia yang kurang bernasib baik.

Beliau juga menyatakan bahawa 100,000 topi keledar termasuk topi keledar kanak-kanak turut diagihkan secara percuma kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

“Inisiatif FLYsiswa akan diteruskan untuk memberi manfaat kepada hampir 60,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, terutamanya di Sabah, Sarawak, dan Labuan, bersama-sama dengan inisiatif kewangan oleh Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) untuk hampir 50,000 pemandu teksi, pemandu kereta sewa, dan sekolah. pemandu bas,” katanya.

Loke menambah, kementerian baru-baru ini memperkenalkan NPI untuk siri EMAS, dengan jumlah kutipan berjumlah RM17 juta setakat ini.

“Seperti yang dinyatakan sebelum ini, nombor siri GOLD1 telah dibida oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Malaysia sebanyak RM1.5 juta yang menyumbang kepada hasil kerajaan. Separuh daripada kutipan ini dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan untuk pelaksanaan inisiatif seperti yang dinyatakan, “dia menyerlahkan.

Aktiviti penipuan melibatkan penjualan nombor kenderaan

Soalan tambahan daripada Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) telah dibangkitkan berhubung  dakwaan aktiviti penipuan berkaitan penjualan nombor pendaftaran kenderaan di media sosial.

Menteri menggesa orang ramai supaya hanya membida melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan berhati-hati terhadap pembelian daripada sumber pihak ketiga, bagi mengelak daripada menjadi mangsa skim penipuan.

“Jika anda berhasrat untuk membida, gunakan sistem e-bidaan JPJ kerajaan, elakkan saluran pihak ketiga. Meningkatkan kesedaran adalah penting kerana kami menyasarkan hasil untuk menyumbang kepada dana kerajaan, membolehkan kami melaksanakan lebih banyak inisiatif untuk membantu rakyat,” dia menekankan.

Seperti yang telah dijangkakan, jualan kenderaan baharu pada Februari 2024 menyusut berbanding pada Januari 2024.

Menurut Persatuan Automotif Malaysia (AAM), Bulan Februari merekodkan 62,833 unit jualan, berbanding dengan 65,499 pada bulan Januari 2024. Ia merupakan penyusutan 4%, disebabkan tempoh bulan yang lebih pendek serta tempoh bekerja yang lebih singkat berikutan cuti Tahun Baharu Cina.

Daripada jumlah itu, 57,979 merupakan kenderaan penumpang, manakala 4,584 lagi merupakan kenderaan komersil. Jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun lepas, sebanyak 56,443 kenderaan penumpang, dan 7,128 kenderaan komersil dijual.

Jumlah jualan setakat Februari 2024 adalah 128,332 unit, iaitu 13 peratus lebih tinggi daripada 113,729 unit pada tempoh yang sama pada 2023.

Daripada segi pembuatan, pengeluaran kenderaan meningkat 3% kepada 65,611 pada Februari 2024 berbanding dengan 63,798 pada Februari 2023.

Daripada jumlah itu, sebanyak 61,935 unit adalah kenderaan penumpang (meningkat 3 peratus daripada 59,843 unit pada bulan yang sama tahun lepas), manakala baki 3,676 unit adalah kenderaan komersial (turun 7 peratus daripada 3,955 unit sebelumnya).

Jualan kenderaan baharu dijangkakan meningkat pada Mac 2024, berikutan penghantaran yang cepat oleh syarikat kerana tahun kewangan akan berakhir pada 31 Mac 2024, serta berbagai kempen promosi Hari Raya Aidilfitri.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube