Bikesrepublic

Dalam Negara

Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team dan Hafizh Syahrin meraih podium Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) 2024 yang sulung, dan seterusnya mencapai harapan mereka, semalam. Pusingan ARRC yang pertama ini telah berlangsung di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand.

Hafizh yang menunggang jentera Ducati V4 R di dalam kelas Asia Superbike 1000cc (ASB1000) dapat menebus kekecewaan kerana gagal menamatkan Perlumbaan Pertama pada Sabtu. Beliau terpaksa menarik diri kerana masalah teknikal pada motosikalnya.

Apapun, beliau dapat menunggang dengan konsisten dalam perlumbaan kedua. Dia juga dapat mendahului perlumbaan pada satu peringkat, namun dipintas oleh pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar (Honda Asia-Dream Racing with Astemo) untuk menamatkan perlumbaan sebagai pemenang.

Rakan sepasukan Andi dari Thailand, Nakarin Atiratphuvapa melepasi garisan penamat di tempat ketiga. Yuki Kunii (SDG Team HARC-PRO Honda Philippines), dan seorang lagi pelumba Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman (TKKR BMW Racing Team) melengkapkan penghabisan lima teratas.

Perlumbaan pertama pula menyaksikan prestasi Azlah Shah yang menakjubkan. Beliau yang bermula di petak ke-7 dapat mengejar dan memintas seorang demi seorang pelumba lain, sehinggalah dapat menjejakki pendahulu perlumbaan, Nakarin yang telah berada agak jauh di hadapan. Azlan kemudiannya memintas Nakarin pada lap ke-9 dan mendahalui sehingga tamat perlumbaan.

Di belakang Azlan, Andi dapat memintas Nakarin untuk tempat kedua, manakala pelumba Malaysia, Md. Zaqhwan Zaidi (Honda Asia-Dream Racing with Astemo) melonjakkan diri ke tempat ketiga.

Kedudukan Keseleruhan ASB1000, Kejuaraan Perlumbaan Motosikal FIM 2024

(5 teratas)

Pelumba Pasukan Mata
1. Andi Farid Izdihar (INA) Honda Asia-Dream Racing with Astemo 45
2. Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) TKKR BMW Racing Team 36
3. Nakarin Atiratphuvapa (THA) Honda Asia-Dream Racing with Astemo 27
4. Md. Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda Asia-Dream Racing with Astemo 26
5. Yuki Kunii (JPN) (SDG Team HARC-PRO Honda Philippines) 26

 

Lapan kenderaan mewah yang dianggarkan bernilai sekitar RM6 juta disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kesemua kenderaan dimilikki oleh individu-individu yang dipercayai terbabit sindiket penyeludupan tembakau, arak dan rokok.

Kenderaan-kenderaan itu terdiri daripada dua buah Lamborghini, dua Toyota, dan masing-masing sebuah Lexus, Mercedes, BMW, Volvo.

Kenderaan itu disita dalam operasi khas sekitar Lembah Klang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, sejak Isnin lalu dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kenderaan terbabit disita daripada beberapa individu yang berjawatan sebagai pemilik syarikat serta orang tengah yang membuat bayaran wang sogokan kepada pegawai-pegawai di sebuah agensi penguat kuasa,” menurut sumber SPRM.

Sindiket itu disyakki terbabit di dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan syarikat pinjaman wang berlesen, pengurup wang, dan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’.

Kegiatan penyeludupan sindiket ini dipercayai telah menyebabkan ketirisan hasil cukai yang dianggarkan lebih daripada RM400 juta.

Mereka juga disyakki memberi wang suapan lebih RM8 juta kepada beberapa individu termasuk penjawat awam bagi melancarkan kegiatan penyeludupan.

Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan sitaan kenderaan-kenderaan tersebut dan individu-individu yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Gelombang haba melanda Semenanjung Malaysia, sejurus selepas Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran pada hari-hari terakhir Februari.

Agensi tersebut telah mengeluarkan amaran Tahap 2 untuk Pokok Sena, Kedahsemalam. Ia adalah amaran kali kedua bagi kawasan itu, selepas yang pertama pada 28 Februari.

Pokok Sena hangat (pun intended) di seluruh negeri Perlis yang telah dikeluarkan amaran Tahap 2 pada hari Jumaat. Bagaimanapun, ia telah diturunkan kepada status Tahap 1 semalam.

Amaran tahap 1 juga telah dikeluarkan untuk beberapa kawasan di Malaysia Barat seperti yang dinasihatkan oleh MetMalaysia setakat 4.30 petang semalam:

  • Kuala Lumpur.
  • Kedah: Padang Terap, Sik, Baling, Kuala Muda, Pendang, dan Kota Setar.
  • Perak: Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, dan Kampar.
  • Pahang: Raub, Temerloh, dan Bera.
  • Selangor: Hulu Selangor.

Amaran Tahap 1 dikeluarkan apabila suhu di lokasi tertentu adalah antara 35 dan 37°C dalam tempoh 3 hari berturut-turut.

Amaran Tahap 2 dikeluarkan apabila suhu kekal antara 37 dan 40°C selama tiga hari berturut-turut.

Pemantauan kemarau

Menurut laporan pemantauan kemarau MetMalaysia pada 13 Mac, Chuping di Perlis, Kota Baru di Kelantan, Melaka dan Sitiawan di Perak mencatatkan bacaan sederhana kering dan sangat kering.

Chuping, bandar paling panas di Malaysia, merekodkan suhu 37.9°C di sepanjang Februari kerana tiada hujan. Bagaimanapun, suhu tertinggi dalam rekod ialah 40.1 °C pada 9 April 1998.

Laman web Suruhanjaya Air Negara mendedahkan paras air di empangan di Perlis dan Kedah berada pada paras amaran:

  • Perlis: Empangan Timah Tasoh berada pada kapasiti 59.72%.
  • Kedah: Empangan Muda berada pada kapasiti 47.8%, BS Padang Saga (59.83%) dan Malut (45.8%).
  • Pulau Pinang: Empangan Air Hitam hanya pada kapasiti 37.7%.
  • Johor: Empangan Sembrong Barat hanya pada kapasiti 35.23%.
Nasihat untuk rakan-rakan biker dan rider

Sila ingat untuk kekal terhidrat dan berhenti jika anda berasa pening kepala kerana tanda keletihan haba atau lebih teruk lagi, strok haba. JANGAN ambil mudah simptom tersebut. Sila rujuk petua ini tentang cara menunggang dalam cuaca panas.

Juara Formula One (F1) tujuh kali dan pemandu untuk pasukan Petronas Mercedes, Lewis Hamilton galakkan pelajar meminati dan manfaatkan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM – science, technology, engineering, mathematics). Beliau memberikan nasihat tersebut ketika melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keramat, Jumaat lepas.

Lawatan mengejut beliau bersempena sekolah tersebut muncul terbaik daripada 39 buah sekolah lain dalam pertandingan pengurusan sisa yang bertanggungjawab. Pertandingan itu pula dipimpin oleh Petronas Chemicals Group.

Hamilton juga sempat menjalankan beberapa eksperimen bersama pelajar sekolah tersebut. Beliau meluahkan perasaan gembira selepas bertemu murid-murid sekolah berkenaan, serta memuji minat mereka terhadap bidang sains pada usia muda.

Pengetua SMK Seri Keramat, Noraini Ibrahim, berkata pihaknya gembira kerana dapat menyaksikan sendiri usaha sekolah untuk mengintegrasikan inisiatif mesra alam ke dalam kurikulumnya kerana beliau percaya dalam memupuk kesedaran pelajar tentang kepentingan usaha dan amalan lestari dari semasa ke semasa dan itu boleh membina komuniti yang peka alam sekitar.

Pengurus Besar (Pengurusan Komunikasi), Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Khairul Hisham Mazlan berkata, program berkenaan selaras dengan salah satu impak sosial PETRONAS ‘Menanam Hari Esok’ yang memberi tumpuan kepada mendidik pemikiran golongan muda tentang kepentingan pemuliharaan biodiversiti dan kehidupan lestari.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mula menyiarkan angka kemalangan jalan raya dan kematian harian bermula Khamis, 14 Mac 2024. Ia merupakan langkah yang selaras dengan pengumuman Menteri Pengangkutan Malaysia tidak lama dahulu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Saperi berkata, terdapat sebanyak 1,999 kes kemalangan jalan raya yang menyebabkan 12 kematian pada Khamis lepas.

Statistik untuk Jumaat, 15 Mac 2024 pula menurun sebanyak 121 kes kepada 1,878 kes. Namun, jumlah yang maut meningkat kepada 16 kes.

“Penyiaran data statistik kepada umum ini sebagai langkah meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya dan orang ramai betapa seriusnya kes kemalangan setiap hari,” katanya dalam kenyataan semalam (Jumaat).

PDRM turut menyeru agar semua pengguna jalan raya sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi. Jelasnya, kerjasama daripada orang ramai diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran terhadap kepentingan menjaga keselamatan sekali gus mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Nota daripada pengarang: Angka-angka tersebut masih pada tahap yang membimbangkan, kerana secara puratanya, terdapat 83.3 dan 78.3 kemalangan setiap jam masing-masing pada Khamis dan Jumaat. Daripada segi kematian pula, purata harian ialah 1 setiap 2 jam pada Khamis, dan 2 setiap 3 jam pada Jumaat.

Seorang Penunggang Motosikal Maut setiap 2 Jam

Karnival Jualan Harley-Davidson Orange and Black – Jualan yang Tidak Akan Kembali. Acara ini akan berlangsung dari 15 hingga 17 Mac 2024 di pengedar Harley-Davidson di seluruh negara.

Bersedia untuk memulakan keterujaan anda dengan Karnival Jualan Harley-Davidson Orange and Black, acara untuk musim ini yang anda tidak mahu ketinggalan! Dari 15 Mac hingga 17 Mac, penggemar motosikal dan peminat sama-sama boleh menikmati tawaran yang tiada tandingan serta tawaran mendebarkan untuk pelbagai jenis motosikal dan aksesori Harley-Davidson.

Dihoskan oleh pengedar Harley-Davidson di seluruh Malaysia, acara eksklusif ini dengan kerjasama Harley-Davidson, menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan dengan promosi istimewa, dan tawaran hebat yang tidak akan kembali, dan banyak lagi. Sama ada anda seorang penunggang berpengalaman atau baru memulakan perjalanan anda, Karnival Jualan Harley-Davidson Orange and Black mempunyai sesuatu untuk semua orang.

Jangan lepaskan peluang istimewa ini untuk menggiatkan semula perjalanan anda dan nikmati keseronokan jalan terbuka dengan Harley-Davidson. Sertai kami di pengedar kami dan alami Karnival Jualan Harley-Davidson Orange and Black – jualan yang tidak akan kembali.

Polis Johor sedang menjalankan siasatan ke atas dua orang anggota trafik yang disyaki memeras wang daripada warga Singapura dalam satu kejadian di Bangunan Sultan Iskandar pada 10 Mac lalu.

Ketua Polis negeri, Komisioner M. Kumar, berkata pihaknya mengesan video tular di media sosial Facebook yang dimuat naik penama Irene Teo dalam halaman ‘Sage‘. Video tersebut kemudiannya juga dikongsi oleh beberapa laman yang lain termasuklah laman Facebook yang popular, MY SG Road Trip – Your Malaysia Road Trip Guide.

“Pihak polis mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap dua anggota polis trafik yang dipercayai melakukan pemerasan berikutan tular dua hantaran video di Facebook, semalam.

“Hantaran video itu turut diulas melalui artikel yang dimuat naik oleh laman sesawang Mothership bertarikh 11 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, melalui hantaran yang tular itu dipercayai penama ‘Irene Teo’ diarahkan untuk membayar wang sejumlah RM600 kepada kedua-dua anggota polis trafik di BSI bagi mengelakkan tindakan saman diambil.”

Menurut Irene Teo, mereka berkata mereka hanya ada RM500 dan tidak cukup RM600 seperti yang diminta. Anggota polis tersebut menjawab, “RM500 is ok too (Pun cukup lah).”


“Mangsa dikatakan melakukan kesalahan masuk ke laluan lori di kawasan check point 8A arah Johor Bahru ke Singapura pada 10 mac lalu, kira-kira jam 8.15 malam,” katanya.

Namun, menurut Irene lagi dan seperti di dalam video, anggota polis tersebutlah yang mengarahkan mereka memandu ke dalam laluan lori.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

“Bagaimanapun, setakat ini kita masih belum menerima sebarang laporan dibuat oleh mangsa berhubung insiden itu dan permohonan rasmi dibuat ke Pejabat Konsulat Singapura di Johor Bahru untuk bantuan mengesan pemilik Facebook ‘Sage’ dan penama ‘Irene Teo’ bagi membantu siasatan,” katanya.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan bahawa isu paparan gambar pemilik Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) yang berlainan dengan maklumat pemilik sebenar disebabkan oleh penyelengaraan sistem.

JPJ juga memaklumkan bahawa tiada unsur penyalahgunaan sistem atau kecurian identiti dalam isu tersebut.

JPJ dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara berkenaan berlaku ketika pasukan teknologi maklumat melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sistem yang dibuat secara berkala bagi memastikan kelestarian sistem MyJPJ.

“Pihak JPJ mengambil maklum dan memohon maaf berhubung isu paparan gambar pemilik e-LMM yang berlainan dengan maklumat pemilik sebenar. Jabatan ini ingin memaklumkan bahawa perkara ini telah diambil tindakan pembetulan dan penambahbaikan serta-merta,” menurut kenyataan itu.

JPJ memberi jaminan bahawa tiada sebarang unsur penyalahgunaan sistem mahupun kecurian identiti maklumat pemegang lesen memandu sebaliknya segala maklumat adalah terpelihara dan selamat.

“JPJ akan sentiasa menambah baik sistem dari semasa ke semasa bagi memantapkan penyampaian perkhidmatan digital yang terbaik kepada rakyat,” menurutnya.

KTM RC 8C (2024) telah dilancarkan dan pihak yang berminat boleh membuat pra-pesanan dalam talian mulai Rabu, 20 Mac.

Walaupun spesifikasinya menunjukkan motosikal yang serupa dengan model 2023, model 2024 ini akan berharga £2,000 (MYR12,003.16) lebih mahal. Bagaimanapun, KTM akan membina hanya 100 daripada model 2024, berbanding 200 daripada model sebelumnya.

Jadi apa yang anda dapat dengan £36,999 (MYR222,057.57)? Seperti sebelum ini, motosikal itu dibina dengan kerjasama Krämer:

Enjin 889cc LC8c yang sama daripada 890 Duke R, walaupun ditala kepada 135hp pada 12,000 RPM.
Suspensi dengan spesifikasi tertinggi, seperti fork depan WP APEX PRO 7543 dan monoshok belakang WP APEX PRO 7746.
Sayap aerodinamik karbon seperti MotoGP.
Pam brek jenis jejari Brembo 19RCS Corsa Corta berspesifikasi perlumbaan, kaliper Brembo Stylema dan cakera brek dengan plet aluminium dan skru titanium.
Roda aluminium Dymag yang ringan.
Papan pemuka AIM MXS 1.2 RACE dan perakam data dengan fungsi GPS terbina, dipaparkan pada skrin TFT 5″ dengan rakaman data berterusan.

Pelanggan yang mendapatkan KTM RC 8C (2024) ini dengan deposit £900 (MYR5,401.59) pada hari tersebut akan mendapat jemputan ke acara penyerahan di litar perlumbaan Portimao Portugal yang merangkumi sesi persediaan trek, makan malam, bertemu dan bertegur sapa dan pengalaman hari trek eksklusif dengan ‘KTM Race Royalty’.

Jadi, ingat untuk membuat pesanan anda, okay? Banggakan Malaysia.

Pelumba negara yang lebih dikenali sebagai Damok (Syarifuddin Azman) akan menyertai perlumbaan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini.

Pasukan baharunya, Idemitsu Boon Siew Honda (BSH) Racing Team mengeluarkan kenyataan tersebut. Kontrak yang baharu ini bermaksud Damok dapat beraksi dalam kejuaraan perlumbaan yang agak besar setelah beliau tidak lagi beraksi dalam Kejuaraan Moto3 di MotoGP.

Beliau bersama rakan sepasukannya Md Irfan Haykal akan beraksi dalam kelas AP 250cc.

Selain daripada Damok, Md. Zaqhwan Zaidi akan menyambung kariernya di dalam kelas perdana ASB1000 bersama jentera baharu Honda CBR1000RR-R 2024. Md. Helmi Azman dan Azroy Hakeem Anuar pula akan menunggang jentera Honda CBR600RR di dalam SS600cc.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH Mitsuharu Funase berkata pihaknya meletakkan sasaran tinggi bagi memburu pelbagai kejayaan, serta menjadikan 2024 sebagai tahun kejayaan pasukan itu.

“Kami sarkan untuk muncul juara keseluruhan kelas SS600. Pelumba kami mempunyai pengalaman dan semangat juang tinggi manakala Syarifuddin dalam kelas AP250 menjanjikan aksi konsisten,” katanya.

Pusingan pembukaan ARRC (Asia Road Racing Championship) itu berlangsung pada 15-17 Mac ini di Litar Antarabangsa Chang, Thailand.

Polis sudah berjaya memberkas penunggang motosikal yang sengaja melanggar kenderaan lain dan mencetuskan kemalangan agar dapat meminta want gantirugi.

Lelaki berusia 41 tahun yang seorang penganggur ditahan sebuah rumah di Changkat Bukit Gambir, Gelugor, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 13 rekod lampau iaitu lima membabitkan jenayah manakala lapan berkaitan kes dadah.

“Kita sudah lengkapkan kertas siasatan serta serah kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi tindakan lanjut.

“Susulan itu, kita terima arahan bagi mendakwa suspek di mahkamah pada Khamis ini mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Seksyen 384 Kanun Keseksaan ialah undang-undang berkenaan kesalahan memeras ugut.

Ahad lalu, satu gambar dan video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki yang menunggang motosikal sengaja melanggar sebuah kereta sebelum mendakwa kesalahan itu berpunca daripada pemilik kenderaan terbabit. Dia kemudiannya meminta ganti rugi antara RM20 hingga RM60 daripada pemilik kereta dengan alasan cermin sisinya patah akibat insiden berkenaan.

Polis Buru Lelaki Sengaja Sebabkan Kemalangan, Minta Wang

Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) telah mengeluarkan notis panggilan balik untuk Yamaha NVX dan Yamaha YZF-R15M. Program ini melibatkan beberapa Yamaha NVX dan Yamaha YZF-R15M tahun 2021, 2022, 2023 di Malaysia.

Menurut kenyataan akhbar di laman web HLYM, program itu melibatkan penggantian dan peningkatan unit CCU untuk NVX dan R15M. Program ini akan dijalankan secara berperingkat.

CCU ialah Unit Kawalan Komunikasi (Communication Control Unit) dalam istilah Yamaha. Ia merupakan unit elektronik yang membolehkan penunggang berkomunikasi dengan motosikal melalui telefon pintarnya. Dalam erti kata lain, unit ini mengawal ciri sambungan Yamaha Y-Connect. Bagaimanapun, HLYM tidak menghuraikan isu yang dihadapi atau sama ada ia merupakan langkah pencegahan.

Siaran akhbar itu turut memetik unit-unit motosikal yang terlibat dalam program tersebut.

Nombor casis (kerangka) untuk Yamaha NVX ialah:

  • PMYSG7410L0000011 – P0039700
  • PMYSG7420L0000011 – P0026367

Nombor casis (kerangka) untuk Yamaha YZF-R15M ialah:

  • PMYRG7910N0000011 – N0002990
  • PMYRG7910P0002991 – P0005190
  • PMYRG7910P0004991

Hong Leong Yamaha Motor turut menyatakan bahawa mereka tidak akan mengeluarkan surat rasmi kepada pemilik motosikal yang terjejas. Sebaliknya, pemilik motosikal yang terhurai di atas boleh melawat pengedar sah Yamaha untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Pemilik boleh menetapkan temu janji di pengedar sah atau ibu pejabat HLYM di Sungai Buloh. Pautan temu janji adalah https://service.yamaha-motor.com.my/booking.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube