Bikesrepublic

Keshy Dhillon

Kelab Peminat Cub Prix Malaysia meminta agar kerajaan negeri Perak mempertimbang cadangan untuk mewujudkan sebuah litar lumba motosikal.

Cadangan tersebut dikemukakan Presiden Kelab Peminat Cub Prix Malaysia, Datuk Ton Zailani Mat Darus.

Menurutnya, pembangunan litar lumba tersebut adalah bagi memenuhi permintaan peminat motosikal berkuasa rendah.

“Saya mencadangkan kawasan sekitar Bukit Merah dipilih bagi mewujudkan sebuah litar lumba motosikal berkuasa rendah kerana strategik.

“Lokasi ini lengkap dengan segala kemudahan yang ada seperti berdekatan dengan Lebuh Raya Utara Selatan dan berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” jelasnya.

Tambah Datuk Ton lagi, cadangan tersebut telah pun dikemukakan kepada Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad baru-baru ini.

“Kita telah kemukakan perkara itu kepada Menteri Besar dan mengusulkan Lembah Beriah, Bukit Merah sebagai tapak litar lumba motosikal berkuasa rendah.

“Jika litar lumba ini ada, golongan anak muda yang sukakan aktiviti permotoran dapat mengadakan aktiviti di tempat yang betul dan secara tidak lansung, gejala lumba haram dapat dicegah,” tambahnya. – K! Online

Satu ketika dulu terutamanya pada era 80an dan 90an, pasaran motosikal dunia dibanjiri jentera empat-silinder 400cc.

Pembangunan motosikal seperti itu kemudiannya dihentikan tidak lama selepas itu sehinggalah Kawasaki melancarkan ZX-25R pada Julai 2020.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, sebuah pengeluar OEM di China, Colove, dilaporkan sedang membangunkan enjin empat-silinder 400cc.

Menariknya, laporan di China mendakwa enjin tersebut adalah lebih berkuasa daripada platform 400cc yang terdapat pada Honda CBR400RR, Kawasaki ZXR400 dan Yamaha FZR400 yang rata-rata menawarkan 60hp.

Sebaliknya, enjin dibangunkan Colove ini menawrakan 74hp pada 13,500rpm dan 44Nm pada 12,000rpm.

Kuasa tinggi itu dicapai dengan bore yang lebih bsar dan stroke pendek (59mm x 36.5mm) dan mampu menghasilkan rev yang lebih tinggi berbanding enjin buatan Jepun terdahulu.

Pembangunan platform baharu ini sekaligus memberi bayangan bahawa terdapat beberapa model supersports bersesaran 400cc bakal diperkenalkan pasaran China tidak lama lagi.

Pada masa sama, kemampuan syarikat China membangunkan enjin 4-silinder 400cc yang berkuasa juga secara tidak langsung membuktikan pasaran di negara itu semakin berkembang pesat. – Bennetts

Penularan Covid-19 menyaksikan penganjuran MotoGP hanya berlangsung di luar Eropah sebanyak tiga kali sahaja (dua di Qatar, satu di AS) dalam tempoh dua musim ini.

Meskipun musim 2021 berjalan lancar, Dorna terpaksa membatalkan enam pusingan atas faktor peningkatan kes Covid-19.

Dorna turut membatalkan ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjelang pembukaan tirai musim 2020 ekoran kekangan kuarantin wajib 14-hari yang dilaksanakan kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, bagi memastikan ujian pra-musim di Sepang dapat berjalan lancar bagi musim 2022, Dorna memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat Covid-19 sepanjang Sepang Shakedown Test pada 31 Januari hingga 2 Februari diikuti ujian rasmi MotoGP pada 5 hingga 6 Februari 2022.

SOP ketat itu juga bagi memastikan varian Omicron yang ketika ini melanda negara dapat dibendung.

“Setiap pihak yang terlibat telah menerima emel berserta arahan untuk dipatuhi di Sepang.

“Peraturan ini sangat ketat dan membolehkan ujian pra-musim dijalankan dengan risiko rendah,” jelas Pengurus Pelumba MotoGP, Carlo Pernat.

Pernat turut memaklumkan bahawa pihak penginapan (hotel) juga telah dimaklumkan termasuk perpindahan segala struktur ke litar yang akan diuruskan sepenuhnnya pihak pngurusan.

“Tiada kemungkinan langsung untuk keluar daripada gelembung virtual ini,” tambah Pernat.

Pada masa sama, semua kakitangan dan pelumba MotoGP akan menginap sama ada di Hotel Sama-Sama atau Hotel Movenpick.

Sebaik ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semua pasukan akan menjalani jian PCR dan dibawa terus ke hotel untuk tujuan kuarantin kendiri bagi menunggu keputusan ujian yang akan memakan masa antara 12 hingga 24 jam.

MotoGP hanya akan dibenarkan bergerak dari hotel ke litar sahaja.

Sementara itu, individu yang mahu ke SIC perlu mempamerkan bukti lengkap vaksin dan keputusan ujian negatif Covid-19 sebelum dibenarkan masuk.

Menurut laporan media antarabangsa, protokol sama akan turut dilaksanakan di Litar Mandalika, Indonesia.

Yamaha telah pun melancarkan Cygnus Gryphus skuter 125cc khas untuk pasaran Jepun.

Meskipun mengikut acuan sama seperti Cygnus X 125 namun imej keseluruhan Cygnus Gryphus 125 lebih sporty dan agresif.

Bernadikan enjin 125cc, Cygnus Gryphus merupakan skuter dalam kelas sama seperti Honda Vario 125.

Bagi tahun 2022, beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan di ruangan enjin dan aspek lain.

Antara penambahbaikan terbaru adalah penggunaan lampu LED penuh dan paparan skrin digital LCD.

Model 2022 ini juga menggunakan pakai kerangka yang telah direka semula, sistem suspensi baharu dan tayar yang lebih lebar (120/70-12 depan dan 130/70-12 belakang).

Sementara itu, enjin 125cc satu-silinder itu kini menawarkan peningkatan kuasa 20 peratus berbandung model sebelumnya dan 20 peratus lebih jimat minyak hasil penggunaan sistem VVA (Variale Valve Actuation).

Hasilny,a Yamaha Cygnus Gryphus 2022 menawarkan 11.8hp pada 8,000rpm dan 9.8Nm pada 6,000rpm.

Sistem membrek pula dikendalikan cakera brek depan dan belakang namun model ini ketiadaan ABS.

Menariknya, Cygnus Gryphus ini juga didatangkand dengan pilihan warna ulang tahun ke-60 Yamaha dan terhad kepada 1,000 unit sahaja.

EFKON Asia Sdn Bhd, penyedia teknologi Austria agi kutipan tol Infra-Merah (IR) di menyifatkan penggunaan kad Touch ‘n Go (TnG) dan SmartTag adalah lebih terbukti.

Perkara itu dinyatakan menerusi Pengarah EFKON Asia, Helmut Blasch.

“Ditambah dengan usaha menaik taraf produk berterusan yang telah meningkatkan kebolehpercayaan sistem dan pengalaman pengguna dengan ketara, sistem ini menjadi titik persediaan yang ideal dan jauh lebih maju untuk mencapai objektif lebuh raya bebas kesesakan yang digariskan dalam Pelan Tindakan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) berbanding dengan sistem pembayaran Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) yang masih baru,” jelasnya.

Menurut Blasch, lebih 75 peratus daripada 270,000 kereta penumpang dan kenderaan komersial baharu yang didaftarkan setakat ini telah disertakan dengan pembaca tol terbina serasi dengan SmartTAG.

“Ini merupakan petunjuk jelas bahawa sistem IR terus menikmati keyakinan pengeluar, penjual dan pemilik kenderaan dan telah membuktikan nilainya sebagai sistem kutipan tol tanpa tunai yang cekap, mudah dan kos efektif,” tambahnya.

Sebaliknya, Blasch meminta agar konsesi lebuh raya menambah lorong SmartTAG bagi mengurangkan kesesakan.

“Di Jerman, Sistem Tol Trak Seluruh Negara yang dipasang di semua lebuh raya dalam konfigurasi Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) telah terbukti sangat berkesan, memenuhi keperluan lebih dua juta trak yang bergerak sehingga 100 km/j.

“Ia menggunakan teknologi IR yang serupa, seperti di Malaysia, untuk mengesahkan pembayaran.

“Kami juga telah berjaya mengulangi ujian ini di Malaysia. Unit serasi SmartTAG kami mematuhi piawaian DSRC (Dedicated Short-Range Communication) dan diperakui ECE R10.

“Mereka beroperasi dalam jalur 400THz dan, oleh itu, dapat memindahkan data 10,000 kali lebih cepat daripada RFID. Memandangkan dikuasakan bateri, setiap unit aktif dengan masa bangun hanya dua milisaat berbanding RFID pasif 45 milisaat,” ujar Blasch lagi.

Sementara itu, Blasch mendedahkan fokus 2022 adalah bergerak ke arah pendigitalan termasuk menyambungkan peranti SmartTAG kepada telefon pintar dan e-wallet bagi memudahkan proses tambah nilai.

Baru-baru ini tular di media sosial yang memaparkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendesak jurutol supaya mereka dikecualikan daripada bayaran tol.

Bagaimanapun, Plus Malaysia Bhd (PLUS) menegaskan bahawa hanya beberapa enderaan untuk urusan rasmi dan kecemasan sahaja yang layak menerima pengecualian.

Antara kenderaan yang dapat pengecualian bayaran tol adalah kenderaan rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba dan Penyelamat serta ambulans.

Video berdurasi 37 saat itu memaparkan beberapa individu meminta agar mereka dikecualikan daripada bayaran tol bagi tujuan kebajikan.

Namun, jurutol yang berada dilokasi bertindak tegas dan menjelaskan kumpulan NGO tidak layak untuk dikecualikan daripada bayaran. – Majoriti

Demi memberi perlindungan yang lebih baik kepada enjin, Honda Malaysia dengan rasminya memperkenalkan minyak enjin SP Grade.

Minyak enjin SP Grade membolehkan enjin Honda beroperasi dengan prestasi yang lebih stabil dan menjimatkan minyak untuk jangka masa panjang.

Minyak enjin SP Grade ini akan menggantikan produk SN Grade kecuali SN SN 0W-30 Fully Synthetic yang akan terus diguna pakai bagi model berprestasi tinggi seperti Honda Civic Type-R.

Sesuai untuk enjin petrol dan turbocharged, minyak enjin SP Grade ini juga mendapat kelulusan Honda Research & Development (R&D).

Menurut Honda Malaysia, SP Grade menawarkan perlindungan terhadap ‘low-speed pre-ignition’, fenomena pembakaran abnormal yang boleh merosakkan enjin.

Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) telah pun tertangguh selama dua musim setakat ini ekoran pandemik Covid-19.

Kejuaraan motosikal itu hampir pasti kembali bagi musim 2022 namun kemuncul varian Omicron sedikit sebanyak menggugat perlumbaan itu sekali lagi.

Pelumba negara, Zaqhwan Zaidi, yang beraksi dalam kateogri ASB1000 turut meluahkan kebimbangan terhadap varian baharu itu.

“Kalau diikutkan, perancangan jadual perlumbaan itu sudah ada termasuk juga di peringkat Asia (ARRC). Jadi saya harap tak ada halangan bagi tahun depan.

“Bimbang juga sebab ada varian baharu, tak tahulah kalau kita akan diberikan kelonggaran (sekatan perjalanan), harap tak ada masalah apa-apa nanti.

“Namun untuk masa ini, saya tetap melakukan persiapan untuk diri sendiri, fizikal dan sebagainya,” jelasnya.

Pada masa sama, Zaqhwan juga tidak sabar untuk beraksi dengan jentera Honda CBR1000RR-R serba baharu.

“Mengenai jentera, kami sudah memperoleh keserasian dengannya ketika MSBK (Kejuaraan Superbike Malaysia) tahun ini. Walaupun motosikal itu tidak sepenuhnya lengkap (spek perlumbaan) namun kita sudah tahu di mana kemampuan motosikal berkenaan.

“Sekarang ini, kita bersiap sedia untuk sesi ujian rasmi pada Mac ini. Masa itu akan menggunakan spesifikasi penuh untuk perlumbaan Asia. Kita mempunyai keyakinan dan boleh mencuba mana-mana bahagian yang boleh difikirkan untuk dipertingkatkan lagi,” tambahnya.

Zaqwhan tekad memperbaiki keputusan pada 2019 apabila muncul tempat ketiga keseluruhan bagi pasukan Honda Asia Dream Racing With Showa sementara juara jadi milik Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team. – BH

Tahun 2021 semakin melabuhkan tirai dengan rata-rata pengeluar motosikal telah pun mengemas kini kalendar tahun ini dengan beberapa model baharu.

Yamaha juga telah melancarkan beberapa model baharu menerusi Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) antaranya MT-09 dan Tracer 9 GT serta TMax 560.

Dalam perkembangan terbaru, Yamaha dilaporkan bakal memperkenalkan dua motosikal elektrik serba baharu bagi tahun 2021.

Menariknya, skuter elektrik tersebut merujuk kepada model E01 dan E02 yang telah pun ditayangkan sewaktu di Tokyo Auto Show 2019.

Bagaimanapun, ketika itu kedua-dua model hanyalah sebuah konsep.

Namun, perkembangan terbaru dari Yamaha mengesahkan skuter elektrik E01 dan E02 akan dibawa ke peringkat pengeluaran dan akan dilancarkan di Asia dan Eropah pada 2022.

Setakat ini spesifikasi kedua-dua model ini masih lagi tidak didedahkan kepada umum kecuali dijangkakan E01 dan E02 akan menyamai prestasi skuter 125cc dan 50cc.

Meskipun kecil, kedua-dua model ini boleh dinaiki penunggang dan pembonceng dan mensasarkan penggunaan di kawasan bandar.

Pasukan Honda WorldSBK membuat keputusan untuk tidak lagi mengguna pakai komponen Ohlins dan Brembo menjelang WorldSBK musim 2022.

Keputusan itu dibuat setelah dua pelumba baharu, Iker Lecuona dan Xavi Vierge menguji jentera Honda CBR1000RR-R di Jerez dengan tetapan Ohlins-Brembo serta Showa-Nissin.

Selepas penilaian termasuk input daripada kedua-dua pelumba, Honda membuat keputusan untuk menggunakan komponen buat Jepun itu sepenuhnya dan tidak lagi mempertaruhkan komponen Ohlins dan Brembo yang telah digunakan sebelum ini.

HRC telah pun menggunakan Ohlins dan Brembo sehingga musim lalu namu keputusan mengecewakan bagi musim 2021 memaksa pasukan membuat perubahan teknikal.

Showa telah pun memiliki pengalaman yang lama di pentas WorldSBK menerusi pasukan Kawasaki sementara Nissin diguna pakai BWM.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan projek Lebuhraya EKVE (Lebuhraya Lembah Klang Timur) antara punca berlakunya banjir lumpur di sekitar Taman Sri Nanding, Hulu Langat.

Menurut beliau, keputusan pemantauan mendapati projek pembinaan tersebut telah menyebabkan sistem perparitan tersekat lantas mengganggu saliran air.

“Banjir ini bukan saja disebabkan oleh air hujan, tapi (tinjauan) di Taman Sri Nanding tadi (mendapati) kerana projek EKVE.

“Longkang tertutup dan sebagainya, menyebabkan banjir lebih cepat berlaku,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin turut berkata bahawa tanah dari projek EKVE juga masuk ke Sungai Ampang lalu mengakibatkan sungai lebih cetek.

Menurut laporan media tempatan, pembangunan projek Lebuhraya EKVE sebelum ini turut menyebabkan sistem perparitan menjadi sempit seperti yang diadukan penduduk di Lembah Jaya. – MG

Yamaha Cares mengadakan kempen servis percuma kepada pemilik motosikal Yamaha terkesan dengan banjir kilat yang melanda negara baru-baru ini.

Menurut Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) kempen tersebut berjalan hari ini (27 Disember) hingga 31 Disember di pusat servis serta pengedar rasmi Yamaha terpilih sekitar Lembah Klang.

HLMY dalam satu kenyataan menjelaskan mangsa yang terkesan dinasihatkan membuat janji temu terlebih dahulu.

“”Sebagai langkah berjaga, anda dinasihatkan untuk membuat temu janji sebelum ke pusat servis.

“Selain daripada pemeriksaan motorsikal secara percuma, kami juga menawarkan minyak enjin, minyak gear, penapis minyak dan penapis angin serta palam pencucuh secara percuma.

“Perkhidmatan adalah tertakluk pada terma dan syarat.”

Berikut adalah senarai pengedar sah yang terlibat dengan kempen servis percuma:

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube