Bikesrepublic

Keshy Dhillon

Kategori kapcai 150cc kini bertambah sengit dengan penyertaan model terbaru, WMoto F15.

Pada harga hanya RM5,999 menjadikan WMoto F15 motosikal 150cc yang paling mampu milik dalam pasaran ketika ini.

Model tahun 2022 itu tampil dengan tiga warna menarik – Turquoise, Green dan Dark Blue – dan didatangkan dengan enjin satu silinder 149.2cc SOHC yang menawarkan 10.5hp pada 7,000rpm dan 11Nm pada 8,000rpm.

Meskipun angka kuasa dihasilkan jauh lebih rendah berbanding pesaing lain antaranya Honda RS-X (15.8hp) dan Yamaha Y15ZR (15.4hp) namun F15 menawarkan jarak perjalanan yang lebih baik hasil penggunaan tangki berkapasiti 5.5L.

Menurut WMoto, F15 ini juga sesuai untuk penunggang yang rendah hasil ketinggian tempat duduk hanyalah 720mm.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • rim aloi depan dan belakang
  • cakera brek 290mm depan dan 190mm belakang
  • fork depan teleskopik
  • monoshock belakang boleh laras (preload)
  • rim 17-inci depan dan belakang
  • pengecas USB

Pemandu treler yang sebabkan 10 kematian termasuk sembilan sekeluarga maut dalam tragedi menyayat hati mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini.

Mohd Rafi Jaafar, 37 tahun, membuat pengakuan tidak bersalah itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.

Ketika insiden, Mohd Rafi didakwa memandu treler jenis Hanvan secar berbahaya dan menyebabkan kematian sembilan penumpang sebuah kereta termasuk seorang pemandu yang berada dalam sebuah lagi kereta di Kilometer 8.3 Lebuhraya ELITE dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghala ke arah Shah Alam.

Sembilan sekeluarga yang maut adalah Norul Naziah Buyong, 37, dan lapan beradik, Mohd Raid Fathi Abdul Razak, 10 bulan; Puteri Nur Ain Shalwana, 3; Mohd Hidayat Hakimie, 7; Mohd Rokaizat Rezky, 9; Mohd Aizat Syazwan, 10; Puteri Hidayah, 12, Razatul Aliah, 16 dan Mohd Razarul Amin, 17.

Sementara, itu pemandu sebuah lagi kereta yang maut ialah Muhammad Rahimi Rolex, 27 tahun.

Mohd Rafi dituduh mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 jika disabit bersalah. – BH

Ducati telah pun disahkan sebagai pembekal jentera elektrik bagi kejuaraan dunia MotoE bermula musim 2023.

Jenama motosikal Itali itu bakal mengambil alih tugas Energica yang sebelum ini telah pun membekalkan saingan MotoE dengan jentera Ego Corse.

Bagaimanapun, ketika Energica Ego Corse merupakan jentera ‘production’, jentera lumba oleh Ducati pula dibina khas bagi perlumbaan MotoE sahaja.

Dalam perkembangan terbaru, kilang Borgo Panigale itu telah pun selesai menjalani ujian sulung terhadap jentera elektrik itu di Litar Misano bersama pelumba uji, Michelle Pirro.

Berdasarkan gambar rasmi dikongsikan Ducati, jelas jenama motosikal Itali itu tampak serius dalam membangunkan sebuah jentera lumba elektrik yang berkemampuan tinggi.

Selain daripada rekaan yang jelas futuristik dan diinspirasikan daripada model Panigale, jentera MotoE ini juga didatangkan dengan spesifikasi tinggi antaranya sistem suspensi Öhlins, brek Brembo serta rim Marchesini.

Bahagian kerangka dan swingarm juga mengguna pakai bahan jenis gentian karbon dalam usaha menurunkan lagi berat keseluruhan jentera yang akan dimuatkan dengan bateri yang berat.

Sebahagian besar kawasan di Malaysia telah ditimpa hujan lebat tanpa henti lebih 24 jam sekaligus menyebabkan berlakunya banjir besar.

Ini menyebabkan akses ke kawasan yang terkesan dengan banjir sukar dimasuki kenderaan lain kecuali beberapa trak pikap yang tinggi.

Bagaimanapun, pengguna Twitter, Nedim Nazri Aziz mendedahkan sahabatnya telah menggunakan kenderaan jenis Brabus G700 6X6 untuk meredah banjir bagi tujuan menyelamatkan mangsa dan menghulur bekalan dan bantuan kepada mereka yang terkesan.

Dalam gambar yang dimuat naik, jelas Brabus G700 6X6 itu membawa bekalan dan beberapa barangan lain meredah banjir.

Dengan jarak kelegaan tanah berada pada 460mm dan mampu melalui kedalaman sehingga 1,000mm menjadikan G700 6X6 ini kenderaan yang cukup sesuai untuk menempuh permukaan sukar.

Menurut laporan Paultan.org, Brabus G700 6X6 ini dibina berdasarkan Mercedes-AMG G 63 6X6 namun hanya untuk pemanduan tangan kiri namun NAza World telah meminta Brabus untuk menghasilkan 15 unit pemanduan tangan kanan untuk pasaran Malaysia.

Ketika diperkenalkan pada 2015, Brabus G700 6X6 ini dipasarkan pada harga RM3.2 juta (sebelum cukai).

Brabus G700 6X6 ini dikuasakan enjin bi-turbo 5.5L V8 yang menjana 690hp dan 960Nm dan dipadankan bersama AMG Speedshift Plus 7G-Tronic automatik. – Paultan.org

Perodua menawarkan beberapa bantuan khas bagi meringankan beban pemilik kereta yang terjejas dengan banjir yang berlaku.

Antara bantuan tersebut merangkumi rebat perkhidmatan tunda kenderaan, diskaun ke atas alat-alat ganti terpilih dan pemeriksaan kenderaan secara percuma.

Inisiatif itu dimaklumkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Para pelanggan kami amat penting buat kami dan perkhidmatan tambah nilai ini disediakan bagi membantu meringankan sedikit beban yang dihadapi oleh mereka semasa bencana ini.

“Walaupun beberapa pusat servis kami turut terjejas akibat banjir, para pelanggan kami amat dialu-alukan untuk merujuk mana-mana cawangan perkhidmatan kami yang lain di seluruh Malaysia untuk mendapatkan bantuan.

“Kami sedang melakukan yang terbaik untuk menyambung semula operasi kami (di kawasan terjejas) secepat mungkin,” jelasnya.

Sementara itu, pemilik Perodua boleh membuat tuntuan perkhidmatan tunda kenderaan maksimum sehingga RM100 manakala diskaun 20 peratus diberikan bagi alat ganti terpilih.

Pemilik Perodua yang terjejas banjir diminta menghubungi talian perkhidmatan pelanggan di 1-800-88-5555 untuk bantuan tundaan (towing).

Kerajaan Itali telah pun meluluskan rang undang-undang yang melarang aktiviti menunggang motosikal secara ‘off-road’ di dalam hutan mahupun padang.

Berdasarkan peraturan baharu itu yang telah diterbitkan dalam Italian Official Gazette, menjelaskan laluan dengan kelebaran kurang dari 2.5m tidak boleh digunakan oleh sebarang kenderaan termasuk motosikal.

Hanya kenderaan seperti traktor yang digunakan untuk menyelia laluan tersebut dibenarkan.

Bagaimanapun, larangan terbaru itu bukan berpunca daripada gangguna bunyi bising kerana kenderaan elektrik juga dilarang daripada menggunakan laluan ‘off-road’.

Sejak larangan itu berkuatkuasa pada 16 Disember lalu, pengguna motosikal jenis ‘adventure’ membidas pelaksanaan tersebut apatah lagi Itali merekodkan jualan motosikal ADV tertinggi di Eropah menerusi Benelli TRK 502, Honda CRF1100L Africa Twin, Yamaha Tracer 9 and BMW R 1250 GS Adventure.

Jenama kebanggaan Itali, Ducati juga telah memperkenalkan Multistrada V4 dan DesertX yang sememangnya jentera yang digunakan untuk permukaan ‘off-road’.

National Association of Cycle/Motorcycles Accessories (ANCMA) dan Italian Motorcycle Federation (FMI) juga menentang undang-undang terbaru itu yang disifatkan sebagai tergopoh-gapah.

Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), akan beralih ke RFID di semua plaza tol dari Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor bermula 15 Januari depan.

Perkara itu disahkan Kementerian Kerja Raya dalam satu kenyataan.

“Kutipan tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih diteruskan buat ketika ini, namun kedua-duanya akan dihentikan secara berperingkat untuk memberi ruang kepada pembukaan lebih banyak lorong RFID,” katanya.

Jelas kementerian itu lagi, peralihan ke transaksi RFID adalah bagi meningkatkan tahap kelancaran trafik di plaza tol selaras dengan Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar yang termasuk Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong.

Sehubungan itu kementerian menggesa orang ramai untuk beralih kepada RFID dengan mendapatkan tag RFID secara dalam talian di portal Touch’n Go atau ejen yang telah dilantik serta sebarang 39 pusat pemasangan RFID.

Kawasaki sememangnya antara pengeluar motosikal yang paling mencuri tumpuan kebelakangan ini.

Jenama motosikal Jepun itu kembali menjadi sebutan dengan pelancaran model ZX-25R yang kembali menawarkan enjin 250cc 4-silinder.

Hasilnya, sebuah jentera 250cc yang berkemampuan menghasilkan 51hp pada 15,000rpm dan 22.9Nm pada 14,500rpm.

Ankga tersebut ternyata lebih mengujakan berbanding enjin 250cc parallel-twin atau satu-silinder yang terdapat dalam pasaran ketika ini.

Kini dalam perkembangan terbaru, Kawasaki didakwa bakal memperkenalkan platform sama itu ke dalam model ‘naked’, Z250.

Lebih menarik, dakwaan itu kini sedang kuat berlegar di Jepun oleh media antarabangsa di sana sehingga ada yang berkongsi imej ‘render’ jentera tersebut.

Difahamkan, model baharu itu juga akan diperkenalkan tidak lama lagi dan akan tampil dengan spesifikasi sama seperti ZX-25R.

Datuk Razlan Razali, yang masih memikul jawatan selaku prinsipal pasukan Petronas Sepang Racing Team sehingga 31 Disember ini, telah membuat permohonan maaf terhadap Petronas.

Permohonan maaf itu dibuat selepas Razlan membuat pendedahan dan luahan mengenai perpisahan dengan Petronas selaku penaja utama SRT sewaktu temu bula bersama media Jerman, Speedweek pada Oktober dan November.

Kedua-dua temu bual itu mendedahkan pelbagai perkara, termasuk perpisahan dengan pengurus pasukan, Johan Stigefelt yang telah bersama Razlan untuk tempoh lama serta akui berasa kesal mengambil Valentino Rossi yang telah memasuki musim terakhirnya sebelum bersara.

Razlan juga memaklumkan dia berasa kesal menolak tawaran kontrak baharu dengan bajet dikurangkan daripada Petronas.

Meskipun pendedahan tersebut meliputi pelbagai aspek namun isu dengan Petronas paling mencuri perhatian apabila Razlan mendakwa pertukaran staf di jabatan pemasaran Petronas sebagai punca penajaan SRT ditarik balik.

Senario itu ternyata membuatkan Petronas tidak senang duduk lantas memaksa Razlan membuat permohonan maaf.

Dalam satu kenyataan, pengendali RNF Racing Team itu meluahkan rasa kesal atas impak yang ditinggalkan artikel tersebut.

“bukan niat saya untuk memwujudkan ketegangan antara diri saya dan pihak yang terlibat. Untuk itu, saya memohon maaf jika pihak yang disebut oleh wartawan ini terkesan,” jelasnya.

Allianz General Insurance Company telah pun menghadiahkan 20 unit Honda Wave Alpha kepada pemenang hadiah bulanan Kempen 111 Motosikal yang sedang berlangsung, ketika ini.

Kesemua pemenang bulan Oktober merupakan pelanggan yang telah membeli atau memperbaharui polisi Allianz Motorcycle Plus (Komprehensif atau Third Party) atau Allianz Motorcycle antara 1 Oktober hingga 31 Disember 2021.

Sejumlah 110 buah Honda Wave Alpha menanti pelanggan cabutan bertuah antara 1 Oktober hingga 31 Disember 2021 dengan hadiah utama, sebuah Honda CBR250RR bernilai RM25,999 akan diberikan kepada seorang pemenang bertuah sebaik kempen berakhir.

Sementara itu, menurut Timbalan Ketua Pegawai Jualan Allianz General, Sazali Abdul Rahman, tujuan kempen adalah meraikan pelanggan setia Allianz General.

” Tujuan kempen ini adalah melakukan sesuatu untuk pelanggan kami. Menghadiahkan kumpulan pertama Honda Wave Alpha kepada para pelanggan yang telah menang adalah sesuatu yang sangat istimewa dan kami teruja melakukannya,” jelasnya.

Sementara itu, seramai 20 lagi pemenang bagi bulan November akan diumumkan diikuti 50 pemenang bagi bulan Disember dan satu pemenang hadiah utama.

Menariknya, pelanggan yang tidak memenangi apa-apa sewaktu cabutan masih layak untuk bertanding dalam cabutan berikutnya sepanjang kempen berlangsung.

Program Perantisan Pemindahan Teknologi (TTAP) yang dibangunkan hasil kerjasama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARII) serta Persona Energy Sdn Bhd telah pun disempurnakan menerusi anugerah penghargaan dan penyerahan TTAP yang telah dianjurkan di MITI, pada Isnin.

TTAP merupakan program pemindahan teknologi yang unik dalam pembangunan rangkaian bakat muda automotif tempatan menerusi perantisan oleh jurutera terpilih bagi mendapatkan input kejuruteraan daripada teknologi perlumbaan endurance di FIA World Endurance Championship (WEC).

Majlis tersebut dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Empat jurutera perantis TTAP telah dihantar bagi menjadi sebahagian daripada pasukan JOTA di WEC 2021 pada Jun lalu dalam usaha meningkatkan skil dan pengetahuan bakat tempatan menerusi perantisan jurutera berpengalaman.

Sepanjang program tersebut, para perantis telah dianggap sebagai sebahagian daripada ahli pasukan dan dibeir tanggungjawab memikul tugas kejuruteraan sebenar dalam beberapa aspek perlumbaan.

Antara tugasan yang dijalankan adalah mengumpul dan menganalisis prestasi komponen jentera perlumbaan, memperbaiki dan menyelenggara jentera perlumbaan dan beberapa tugasan kejuruteraan lain yang diperlukan sewaktu hari perlumbaan.

Aspek penting TTAP adalah mengumpul data kenderaan sepanjang enam perlumbaan WEC yang kemudiannya boleh digunakan bagi pembangunan komponen dan kenderaan masa depan.

Antara data yang dikutip adalah ketahanan, prestasi, dan beberapa info penting lain yang boleh digunakan untuk analisis kejuruteraan kenderaan masa depan termasuk kenderaan autonomous dan elektrik.

Pasukan JOTA berjaya menamatkan kesemua enam peringkat perlumbaan di kedudukan podium dan merekodkan tempat pertama dan kedua sewaktu aksi 8 jam di Portimao.

Harley-Davidson telah pun mengumumkan bahawa jenama motosikal elektrik, LiveWire memasuki bursa saham dalam usaha menyuntik lebih banyak pelaburan ke dalam syarikat itu.

LiveWire akan dikenali sebagai LVW dalam bursa saham New York (NYSE).

Menariknya, langkah tersebut turut menyaksikan LiveWire telah memeterai perjanjian bersama pengeluar motosikal dan skuter Taiwan, Kymco.

Perjanjian tersebut meletakkan Kymco sebagai rakan strategik baharu LiveWire yang akan bertindak memasang dan mengedar jenama motosikal elektrik itu serata dunia.

“LiveWire merancang untuk memperhalusi industri motosikal elektrik dengan memfokuskan pasaran urban.

“LiveWire akan menggunakan DNA dari Harley-Davidson dan input dari sektor EV bagi mewujudkan sebuah jenama paling dikehendaki di dunia,” jelas Harley-Davidson dalam satu kenyataan.

Kerjasama dengan Kymco dijangka bakal membuahkan hasil positif bagi kedua-dua pihak apatah lagi Kymco turut sibuk membangunkan barisan model EV bermula dengan RevoNEX sebelum ini.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube