Bikesrepublic

BM

Pelumba negara, Hakim Danish telah menjuarai Perlumbaan Kedua Red Bull Rookies Cup 2025 yang berlangsung di litar Aragon, Sepanyol, semalam.

Hakim berjaya memintas pencabar kejohanan yang terdekat, Brian Uriarte serta David Gonzalez di selekoh terakhir untuk menjejakkan kaki di podium teratas kali ini.

Bercakap mengenai kemenangannya di laman web Red Bull Rookies Cup, Hakim berkata, “Akhirnya, kami di P1. Perlumbaan ini sangat hebat dan sukar kerana prestasi tayar kami menurun dengan sangat pantas. Saya cuba menguruskan tayar dengan sebaik mungkin. Kemudian, pada pusingan terakhir, saya cuba memecut lebih awal di selekoh akhir, jadi saya berjaya melintas garisan penamat di P1.

Saya terpaksa berusaha keras untuk menang kerana pada pusingan kedua terakhir, saya tersilap gear di selekoh akhir lalu hilang kedudukan terdepan dan jatuh beberapa tempat. Saya berjuang untuk bangkit semula, memotong penunggang lain di mana sahaja boleh. Entah bagaimana saya berjaya, tapi akhirnya berjaya juga.

Hakim telah mendudukki tempat kedua berturut-turut lima kali di dalam 5 perlumbaan sebelum ini. Dia juga merupakan penunggang di kolompok atas yang paling konsistan. Dengan itu, dia mendahalui kedudukan pungutan mata keseleruhan dengan 125 mata, diikuti oleh Uriarte dengan 95 mata, dan Benat Fernandez dengan 63 mata.

Seramai 15 orang disahkan maut dalam satu kemalangan tragis membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi. 14 mangsa yang maut terdiri daripada pelajar UPSI, manakal seorang lagi ialah kelindan bas tersebut.

Menurut maklumat sumber, kejadian dilaporkan berlaku 1.10 pagi apabila pihak Hospital Gerik memaklumkan tentang kemalangan jalan raya berimpak tinggi di kawasan berkenaan.

Pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik dengan kekuatan seorang pegawai dan tiga anggota segera dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba pada 2.11 pagi.

Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah bas yang membawa pelajar UPSI terbalik setelah bertembung dengan sebuah Perodua Alza.

Daripada beberapa temubual, mangsa yang terselamat berkata ada rakan-rakan mereka yang meronta-ronta kemudian diam, ada yang meminta tolong dan diajar mengucap. Pihak penyelamat berkata kerusi di dalam bas tercabut dan bertindih-tindih, dan ada juga mangsa yang tercampak keluar daripada bas.

Sementara ini, Polis berkata akan menyiasat dakwaan bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi, dipandu laju.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya akan menyiasat dari pelbagai sudut termasuk dakwaan bas itu dipandu laju.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

“Mereka diminta hadir ke balai polis berdekatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Universiti Putra Malaysia baru-baru ini menjalankan satu kajian dan mendapati bahawa ramai penunggang motosikal kurang kesedaran tentang keselamatan tayar. Keselamatan tayar bukan hanya tentang jenis kompaun yang terbaik, tetapi juga merangkumi tekanan pengembungan, keadaan tayar, dan usia. Itulah sebabnya kami memutuskan untuk menyusun 5 petua penjagaan tayar mudah ini.

Jadi, jika anda baru memasang set tayar yang sangat “grip” atau membeli motosikal baru, tugas utama adalah menjaga tayar-tayar tersebut agar mereka memberikan prestasi terbaik dan keyakinan di mana sahaja anda pergi.

Tayar memang memerlukan sedikit penjagaan, walaupun tidak intensif dan tidak memerlukan pengetahuan teknikal tahap kejuruteraan automotif. Ingat, anda mungkin memiliki motosikal terpantas di dunia, tetapi ia tidak akan ke mana tanpa “donat getah” itu.

 

1. “Run in” dengan betul

Penjagaan tayar bermula sebaik sahaja anda memasang set baharu. Ingat istilah ini: “Tayar mempunyai ingatan.” Cara anda memecahkannya menentukan prestasinya kelak.

Jadi, berhati-hati dalam 300–500 km pertama. Elakkan pecutan dan brek keras, serta sengetan maksimum.

Percubaan untuk menunggang laju dengan tayar baharu boleh membawa padah kerana sesetengah tayar baharu mungkin dilapisi dengan bahan pelepas acuan (mould release). Permukaan licin dan berkilat ini perlu dihapuskan sebelum kita boleh menunggang secara maksimum.

Memang ada tayar yang dihasilkan tanpa bahan pelepas ini, tetapi “run in” tayar secara berhati-hati membolehkan komponen dan kompaun dalam tayar menjadi stabil. Tayar diperbuat daripada puluhan (jika bukan ratusan) kompaun berbeza, dan ia memerlukan haba (daripada penungganan) untuk “memasaknya.”

Mengasak tayar terlalu awal menyebabkan kompaun mengeras sebelum mencapai separuh hayatnya. Inilah sebab utama mengapa sesetengah penunggang mengadu tayar mereka hilang cengkaman dan keanjalan apabila mula haus. Ya, inilah “ingatan” yang kita maksudkan.

2. Periksa tekanan

Tekanan pengembungan tayar adalah segalanya.

  • Tekanan rendah menyebabkan tayar terlalu panas dan cepat haus. Selain itu, ia meningkatkan rintangan gelongsor, menjadikan motosikal kurang responsif dan meningkatkan penggunaan minyak.

  • Tekanan berlebihan pula membuatkan bahagian tengah tayar cepat haus. Traksi dan keselesaan juga terjejas kerana tayar tidak dapat menyerap ketidakteraturan permukaan jalan.

Setiap tayar mempunyai struktur berbeza—ada yang keras, ada yang lembut—tetapi tekanan yang disyorkan oleh pengeluar motosikal adalah yang terbaik untuk menampung berat dan prestasi motosikal. Anda boleh menambah tekanan jika membawa beban berat, tetapi lakukan dalam had munasabah (±10 kPa).

Tip tambahan: Jangan bergantung pada meter pam tayar di stesen minyak kerana ia mungkin tidak dikalibrasi dengan betul. Lebih baik beli tolok tekanan udara tayar yang berkualiti dan bawa bersama. Sebaik-baiknya tekanan diperiksa sebelum menunggang atau sekurang-kurangnya setiap 2–3 hari. Pastikan tayar dalam keadaan sejuk semasa mengisi udara.

3. Periksa keadaan tayar

Lakukan pemeriksaan setiap kali sebelum menunggang, semasa mengisi udara atau membersihkan motosikal. Cari:

  • Objek asing (paku, batu kecil).
  • Kebocoran.
  • Retakan.
  • Haus tidak sekata – mungkin disebabkan oleh pelarasan rantai mahupun suspensi.

Jika ada masalah, tangani segera.

4. Bersihkan tayar

Ini bukan sekadar untuk penampilan, tetapi membersihkan tayar membantu mengesan kerosakan awal. Gunakan pembersih yang tidak menghasikis — elakkan pelarut keras seperti petrol, minyak tanah, atau diesel kerana ia boleh mengeraskan getah. Tayar yang keras kurang cengkaman dan mudah retak.

5. Cara membaikki tayar yang pancit

Untuk tayar tanpa tiub (tubeless), cara terbaik adalah menggantikannya kerana objek yang menembus tayar mungkin merosakkan struktur tayar yang memberikan bentuk, kekuatan, dan keselamatan.

Namun, jika anda memilih untuk membaiki:

  • Bawa ke bengkel reputasi baik untuk tampal dari dalam.

  • Kit cacing hanyalah untuk kecemasan dalam memberikan kita masa untuk ke bengkel terdekat, oleh itu, jangan biarkan ia selama-lamanya.

BONUS 1: Usia tayar

Tayar lama (biasanya 5 tahun ke atas) menjadi keras dan kurang cengkaman. Anda boleh semak kod pengeluaran pada sisi tayar. Contohnya seperti gambar di bawah di mana “0117” bersamaan minggu pertama, tahun 2017.

BONUS 2: Penunjuk kehausan tayar (TWI)

Setiap tayar mempunyai penunjuk tahap kehausan tayar (tyre wear indicator). Anda boleh cari satu bentuk segitiga di tepi tayar dengan huruf “TWI” dan ikutnya ke permukaan tayar di mana terdapat bonggolan kecil. Apabila bunga tayar sudah sampai ke tahap itu, ia bermaksud tayar itu telah kira haus walaupun belum botak sepenuhnya. Ini kerana tayar tersebut sudah dikira tidak dapat mengalirkan air dengan tahap optimum.

Penutup

Hanya 5 tip petua penjagaan tayar yang mudah ini boleh memastikan tayar anda tahan lama, selamat, dan menjimatkan wang.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 1.13 juta saman menerusi Ops Khas Motosikal yang dijalankan sejak tahun lalu sehingga kini.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, daripada jumlah notis saman berkenaan, sebanyak 848,885 notis pada tahun lalu dan 283,255 notis sepanjang tahun ini.

Katanya, menerusi Ops Khas Motosikal yang dijalankan, tiga kesalahan utama yang dikenal pasti iaitu tiada lesen, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, dan tiada perlindungan insuran.

Bagi kesalahan tiada lesen memandu membabitkan sebanyak 301,774 notis saman, LKM tamat tempoh sebanyak 251,886 saman dan tiada insuran kenderaan sebanyak 233,819.

Sehingga kini, masih banyak kesalahan dilakukan penunggang motosikal dan kita sentiasa meningkatkan operasi bagi mengekang kemalangan jalan raya. Ini kerana kemalangan membabitkan penunggang motosikal antara yang terbesar iaitu menyumbang sebanyak 65 peratus kadar kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika Operasi Khas Motosikal sempena Ops Khas Aidiladha (HRAA) di Jalan Kuala Krai, semalam.

Mengulas lanjut katanya, menerusi Ops HRAA 2025, pihaknya menugaskan lebih 2,000 anggota penguat kuasa dan fokus utama aktiviti penguatkuasaan bagi memantau dan mengambil tindakan terhadap penunggang motosikal yang gagal mematuhi peraturan.

Justeru kita mengingatkan penunggang motosikal supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Kadar penggunaan pengangkutan awam di Malaysia hanya di sekitar 20 peratus, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata angka itu masih di bawah sasaran 40 peratus seperti yang digariskan dalam Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030.

Jadi cabaran kita ialah bagaimana memastikan dasar ini dapat dicapai mengikut apa yang dihasratkan,” katanya ketika ditemui selepas Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri 6 di Menara Prasarana, semalam.

Forum itu membincangkan topik “Pengangkutan untuk Rakyat: Mengimbangi Antara Kemampuan Rakyat, Kualiti dan Kemampanan Pengangkutan Awam”, yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain Loke, ahli panel lain ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Mohd Azharuddin Mat Sah serta Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Mengulas lanjut, Loke berkata pelaksanaan inisiatif Road to Rail sedang berjalan secara berfasa dan dijangka memberi impak besar kepada sektor logistik negara.

Kita memang menggalakkan penggunaan rel. Sebab itu, inisiatif yang ingin kita fokuskan ialah Road to Rail untuk menggalakkan lebih banyak penggunaan rel bagi penghantaran kontena dan barangan.

Apabila projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) siap kelak, ia akan meningkatkan penggunaan rel untuk penghantaran barangan dan kontena ke Pantai Timur, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan darat seperti lori,” katanya.

Setelah berbulan-bulan menjadi bahan spekulasi, juara World Superbike (WSBK) dua kali, Toprak Razgatlıoğlu, akan beralih ke MotoGP pada tahun 2026.

Walaupun pengurusnya, Kenan Sofuoğlu (ya, pelumba yang pernah memecut sehingga 400 km/j dengan motosikal Kawasaki Ninja H2R dan juga juara WSBK) belum mengesahkan pasukan mana yang ditandatangani Razgatlıoğlu, sumber dalaman menyatakan bahawa ia adalah pasukan Pramac Yamaha.

Selama beberapa musim, pelumba berusia 28 tahun ini sangat dicari oleh pasukan-pasukan MotoGP. Namun, Razgatlıoğlu sering menolak tawaran dan memilih untuk kekal di WSBK kerana tiada pasukan pengilang yang kompetitif boleh ditawarkan kepadanya di MotoGP.

Namun, Yamaha berjaya mendapatkan tandatangannya setelah mengatasi saingan daripada Honda bagi memastikan peralihan Razgatlıoğlu ke MotoGP pada musim 2026, sebaik tamat kontraknya dengan BMW di WSBK. Siapa yang akan digantikannya dalam pasukan satelit Yamaha itu masih belum diputuskan.

Dikatakan bahawa Honda pernah bertemu dengan pengurus Razgatlıoğlu untuk membincangkan peralihan ke MotoGP. Rancangan mereka adalah untuk pelumba Turki itu kekal di World Superbikes dengan Honda pada 2026 sambil membantu membangunkan motosikal MotoGP mereka untuk peraturan 2027. Namun, Razgatlıoğlu lebih berminat untuk membuat peralihan lebih awal ke siri tersebut. Pelumba ini memenangi gelaran WSBK pertamanya bersama Yamaha.

Menurut SPEEDWEEK, seorang sumber rapat dengan Razgatlıoğlu mengesahkan bahawa dia telah bersetuju dengan kontrak Yamaha dan juga menyatakan bahawa Yamaha akan mengumumkan penandatanganan Razgatlıoğlu sebelum Grand Prix Itali di Mugello pada Jun ini.

Faktor penting dalam rundingan untuk membawa juara WSBK dua kali ini ke MotoGP musim depan adalah bahawa Razgatlıoğlu akan menggunakan ‘peralatan yang sama’ di Pramac seperti Fabio Quartararo dan Alex Rins dalam barisan pelumba pasukan pengilang Yamaha. Dia tidak akan diberikan motosikal spesifikasi-B.

Kekurangan kesedaran tentang keselamatan tayar di kalangan penunggang motosikal adalah antara faktor penyumbang kepada tingginya bilangan kemalangan dan kematian, kata Prof. Madya Dr. Law Teik Hua.

Beliau yang juga merupakan ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia menambah, keselamatan tayar bukan sahaja melibatkan tahap haus tayar, tetapi juga tekanan udara di dalam tayar dan keadaan bunga tayar. Ramai pengguna kenderaan juga tidak tahu cara mengtafsirkan penunjuk kehausan tayar (Tyre Wear Indicator – TWI) dan tarikh luput tayar.

“Ramai hanya menukar tayar apabila ia sudah benar-benar botak atau bocor. Ada tanggapan salah bahawa jika tayar masih kelihatan tebal, ia tidak perlu ditukar, tanpa memeriksa usia sebenar atau keadaan getahnya.”

“Ada juga yang percaya tayar terpakai atau tayar botak memberikan kelajuan lebih baik, yang merupakan tanggapan sangat berbahaya,” jelasnya kepada Bernama.

Prof. Law berkata jangka hayat biasa tayar motosikal adalah antara tiga hingga lima tahun dari tarikh pengeluaran. Namun, bagi kes penggunaan tinggi seperti penunggang penghantar makanan, tayar mungkin perlu diganti setiap 1.5 hingga 2 tahun.

“Tayar yang selamat untuk kegunaan harian perlu mempunyai bunga tayar dengan cengkaman yang baik, terutamanya dalam keadaan basah, serasi dengan permukaan jalan, mempunyai binaan tahan lasak, serta indeks kelajuan dan muatan yang sesuai dengan motosikal yang digunakan,” jelasnya.

Law menegaskan bahawa kedalaman bunga tayar kurang daripada 1.6mm menunjukkan tayar perlu diganti, manakala paras bunga tayar yang sama rata dengan tanda TWI (Tyre Wear Indicator) bermakna tayar tersebut sudah terlalu haus.

“Retak kecil, gelembung, atau pengerasan tayar adalah tanda penuaan atau kerosakan. Tekanan udara juga perlu diperiksa setiap minggu berdasarkan spesifikasi pengeluar,” tambahnya.

Beliau turut mencadangkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil pendekatan lebih proaktif dalam kempen pendidikan keselamatan tayar, termasuk pemeriksaan berkala dan mewajibkan penggunaan tayar yang mematuhi piawaian keselamatan.

BMW R 1300 GS Adventure (2025) telah dilancarkan secara rasmi di sini semasa Malaysian Autoshow 2025 baru-baru ini. Walaubagaimanapun, harganya tidak didedahkan pada masa itu.

BMW Motorrad Malaysia kini telah mengumumkan harga motosikal tersebut mengikut varian yang berbeza:

  • 2025 BMW R 1300 GS Adventure dalam warna Racing Red – RM148,500.00
  • 2025 BMW R 1300 GS Adventure dalam warna Triple Black – RM153,500.00
  • 2025 BMW R 1300 GS Adventure dalam gaya Style GS Trophy – RM153,500.00
  • 2025 BMW R 1300 GS Adventure dalam pilihan Option 719 Karakorum – RM164,500.00

Semua harga adalah harga jualan disyorkan (di atas jalan, dengan Warranty Baharu 3 Tahun BMW Motorrad Malaysia dan Program Bantuan Jalan Raya 3 Tahun, tanpa insurans).

Perkhidmatan Kewangan – Semua Termasuk, Bijak dan Mudah

Dengan Pelan Pembiayaan daripada BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan BMW R 1300 GS Adventure 2025 boleh bermula dari RM2,078 sebulan (berdasarkan anggaran Pembiayaan Garis Lurus untuk pinjaman 90% dengan tempoh 7 tahun).

Ciri-ciri BMW R 1300 GS Adventure (2025)
  • Enjin, casis, badan, reka bentuk dan konsep storan yang direka bentuk semula sepenuhnya.
  • Enjin Boxer 1300cc baharu dengan BMW ShiftCam, menghasilkan 145 hp (107 kW) pada 7,750 RPM dan 149 Nm pada 6,500 RPM.

  • Transmisi 6-kelajuan baharu diletakkan di bawah enjin untuk lebih padat.
  • Sistem ekzos 2-dalam-1 keluli tahan karat yang ringan.

  • Tangki bahan api aluminium 30 liter serba baharu menawarkan jarak yang lebih jauh.
  • Roda jejari silang dengan gelang rim aluminium untuk prestasi off-road.

  • Sebagai sebahagian daripada Dynamic Package standard, Riding Modes Pro menyertakan “Eco” untuk kecekapan dan “Enduro” untuk pengembaraan off-road selain “Rain”, “Road”, “Dynamic”, “Dynamic Pro”, dan “Enduro Pro”.
  • Sports Brake adalah peralatan standard untuk model.

  • Juga sebahagian daripada Dynamic Package ialah transmisi automatik Automated Shift Assistant (ASA).
  • ASA tersedia sebagai ciri standard untuk BMW R 1300 GS Adventure (2025) bagi pilihan warna Style GS Trophy, Triple Black, dan Option 719 “Karakorum”, manakala versi Racing Red menampilkan Shift Assistant Pro sebagai standard.

  • Touring Package juga adalah standard bagi semua varian, termasuk topang utama, ekzos bersalut krom, penyediaan peranti navigasi, cermin depan boleh laras elektrik, pemegang kotak simpanan barang atas dan pemegang kotak simpanan barang aluminium.
  • Rangka BMW R 1300 GS Adventure (2025) kini termasuk rangka utama logam kepingan keluli, dan rangka belakang tiub aluminium untuk meningkatkan ketegaran.

  • Suspensi depan EVO Telelever dan suspensi belakang EVO Paralever yang disemak memberikan ketepatan stereng dan kestabilan.
  • Pelarasan  dinamik pada redaman hadapan dan belakang boleh dilakukan lagi dengan Dynamic Suspension Adjustment (DSA) baharu.

  • Dengan kawalan ketinggian kenderaan adaptif sebagai standard, BMW R 1300 GS Adventure 2023 juga menawarkan pelarasan automatik sepenuhnya bagi ketinggian kenderaan untuk disesuaikan dengan keadaan operasi.
  • Pelana ‘Comfort‘ untuk penunggang dan penumpang adalah standard.

  • Lampu depan LED Matriks yang terdiri daripada unit LED tunggal untuk lampu rendah dan tinggi, bersama empat unit LED tambahan untuk lampu nyalaan siang hari dan lampu sisi.
  • Dengan Headlight Pro sebagai standard, lampu depan dilaraskan secara dinamik.

  • Melengkapkan ini ialah dua lampu depan tambahan rata dengan teknologi LED yang menyepadukan mereka ke dalam badan motosikal.
  • Penunjuk membelok LED yang direkabentuk baru disepadukan ke dalam pelindung tangan di depan dan disepadukan fungsi di belakang.

  • Ciri standard lanjutan lain ialah Dynamic Traction Control (DTC), Engine drag torque control (MSR), Dynamic Brake Control (DBC), serta Hill Start Control (HSC), ABS Pro.
  • Bantuan tunggangan seterusnya termasuk Active Cruise Control (ACC), Front Collision Warning (FCW), Lane Change Warning, dan Rear End Collision Warning (RECW) yang juga merupakan ciri standard.

  • Paparan TFT warna penuh 6.5 inci, menawarkan maklumat masa nyata seperti kelajuan, tahap bahan api, mod tunggangan dan banyak lagi.
  • Skrin Sport tambahan tersedia, membolehkan paparan maklumat tambahan tentang sudut condong, cengkaman tayar, dan tingkah laku brek, serta meter RPM sport dengan penunjuk gear.

  • Aplikasi BMW Motorrad Connected disepadukan dengan lancar dengan paparan, membolehkan penunggang mengakses status kenderaan, navigasi dan data prestasi melalui telefon pintar mereka.
  • Paparan boleh dikendalikan dengan mudah melalui pengawal multi-controller BMW Motorrad.

  • Peralatan standard lain pada BMW R 1300 GS Adventure (2025) termasuk RDC, genggaman dipanaskan, Keyless Ride, dan petak pengecasan telefon pintar dengan soket USB bersepadu dan soket kuasa 12V.

Minyak enjin Motul 7000 4T baharu telah dilancarkan di Malaysia.

Motul merupakan minyak enjin (dan produk lain juga) yang popular di sini, memandangkan mereka menghasilkan pelincir terbaik dengan konsistan berdasarkan teknologi minyak ester dan sintetik.

Motul 7000 4T ialah minyak 100% sintetik, berkembang daripada H-Tech 100 yang sudah pun berkualiti. 7000 4T kini mematuhi piawaian servis API SP, serta diluluskan mengikut piawaian terkini JASO MA2 2023 untuk operasi klac basah.

Daripada Siaran Media

Motul Asia Pacific dengan penuh bangga, ingin mengumumkan pelancaran rasmi minyak motor 7000 4T yang sangat dinanti-nantikan di Malaysia. Produk baharu ini merupakan evolusi daripada rangkaian H-Tech 100 yang terkenal, menyesuaikan diri dengan teknologi dan piawaian pelincir terkini, memberikan respons enjin yang lebih lancar, tahap perlindungan tinggi, serta kebolehpercayaan untuk semua keadaan dalam pemanduan harian. Dengan formulanya yang ditingkatkan, 7000 4T kini muncul sebagai minyak motor berprestasi tinggi 100% sintetik terunggul, direka untuk memenuhi keperluan pengguna harian yang menginginkan perjalanan lebih baik sambil menitikberatkan kualiti dan kegunaan praktikal.

Pengalaman di Sebalik Motul 7000 4T

Dengan lebih 170 tahun kepakaran dan inovasi, Motul kekal sebagai peneraju dalam pelinciran enjin, memberikan prestasi yang lebih lancar, lebih cekap dan perlindungan. Daripada pemandu harian kepada peminat sukan permotoran, komitmen Motul yang tidak berbelah bahagi terhadap kualiti terserlah dalam setiap produk.

Membina legasi inovasi Motul, 7000 4T yang dicipta semula memberikan prestasi yang tiada tandingan, pengalaman pemanduan yang lancar, sambil mengekalkan enjin lebih sejuk untuk lebih lama. Ini dimungkinkan oleh minyak sintetik 100% tandatangan Motul, yang menampilkan molekul seragam yang mengurangkan geseran, meningkatkan kecekapan dan mengurangkan penggunaan minyak.

Perjalanan Harian Unggul, dengan Formula 100% Sintetik

Direka untuk menjadi pilihan utama untuk penunggang setiap hari dalam semua keadaan penunggangan, 7000 4T ialah pelincir enjin termaju yang menggabungkan pengalaman Motul dengan beberapa dekad ujian untuk mencipta produk pemusing kepala. 7000 4T direka bentuk untuk memenuhi permintaan penunggang setiap hari, melebihi piawaian industri keserasian klac basah mengikut JASO MA2 dan API SP, menawarkan perlindungan unggul terhadap haus dan lusuh.

Spesifikasi utama
  • Formula Sintetik 100%: Formula termaju Motul memastikan prestasi yang boleh dipercayai merentas pelbagai suhu dan model enjin, memberikan pelinciran tahan lama untuk enjin moden.
  • Prestasi yang Dipertingkatkan: Penggunaan minyak yang rendah dan geseran yang berkurangan menghalang kehausan enjin, memanjangkan jangka hayat kenderaan.
  • Faedah yang Dipertingkatkan: Dirumus khas untuk tindak balas enjin yang pantas, peralihan yang lancar dan perlindungan enjin yang komprehensif.
    Piawaian Prestasi Dipertingkat: Memenuhi piawaian API SP dan JASO MA2 terkini untuk prestasi optimum.
  • Keserasian Luas: Direka untuk semua jenis kenderaan bermotor empat lejang dua roda, memberikan prestasi tinggi dan kebolehpercayaan dalam keadaan yang mencabar untuk kegunaan harian.
  • Ketahanan: Botol dibuat dengan 50% plastik kitar semula dan 100% boleh dikitar semula, mencerminkan komitmen Motul terhadap kemampanan dan mengurangkan kesan alam sekitar.
  • Kelikatan Tersedia: Ditawarkan dalam kelikatan 5W40, 10W30, 10W40 dan 10W50 untuk memenuhi pelbagai keperluan enjin.

7000 4T baharu kini boleh didapati di pasaran dalam kuantiti 1 L dan 1.2 L.

Untuk maklumat lanjut dan kemas kini mengenai 7000 4T, sila layari laman web rasmi Motul di sini www.motul.com.

Wang tunai berjumlah RM1.9 juta, dua unit kereta mewah bernilai RM900,000 dan akaun bank bernilai RM34 juta disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan tuntutan palsu dan salah guna bon pinjaman bagi pembinaan sebuah lebuh raya di Lembah Klang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, dalam siasatan itu, pihaknya membuka tiga kertas siasatan apabila siasatan berkenaan bermula pada 9 Mei lalu.

Kita membuka tiga kertas siasatan iaitu membabitkan tuntutan palsu berjumlah RM361 juta yang menjadi dana sukuk bagi siasatan kes pertama.

Siasatan kedua adalah berhubung tuntutan palsu berjumlah RM416 juta dana sukuk dan RM50 juta pinjaman institusi perbankan.

Kertas siasatan ketiga adalah membabitkan kesalahan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM12 juta membabitkan beberapa pihak,” katanya.

Mengulas lanjut, Azam berkata, pihaknya juga sudah menahan seramai sembilan individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri manakala 31 individu lagi sudah dirakam percakapan.

Secara amnya kes ini adalah membabitkan salah guna wang sukuk yang diberikan oleh pihak pemberi pinjaman atau mereka yang menerbitkan bon atau sukuk berkenaan,” katanya.

Bulan lalu, empat individu termasuk seorang ‘Datuk Seri’ ditahan kerana disyaki membuat tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM360 juta.

Kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 50-an hingga 70-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara jam 4 hingga 6 petang semalam.

Siasatan awal mendapati, kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2016 hingga 2017.

Keempat-empat suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM360 juta yang menggunakan dana sukuk dalam sebuah projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM1.3 bilion.

Mencari penjelejahan motosikal di atas jalan raya? Ada banyak. Tapi bagaimana dengan penjelajahan off-road? Itu jarang. Atau lebih baik lagi: Penjelejahan motosikal yang menggabungkan kedua-dua atas jalan DAN off-road? Tambah lagi, dipandu oleh jurulatih yang bertauliah? KEV Advenduro Tours ada penyelesaiannya!

Malaysia adalah syurga untuk penunggang motosikal dan pelancongan bermotosikal, kerana kita mempunyai rangkaian lebuh raya yang menghubungkan bandar-bandar besar dan pekan utama, jalan-jalan yang membawa anda ke pekan kecil, serta jalan kecil melalui kampung-kampung yang dihiasi rumah-rumah tradisional dan dilitupi pokok-pokok besar. Malah, terdapat sebuah gunung dengan cuaca dingin seperti Alpine kurang dari satu jam dari ibu kota Kuala Lumpur. Namun, jika anda ingin meneroka lokasi yang lebih indah dan belum diterokai, ia hanya boleh diakses melalui laluan off-road.

Oleh itu, KEV Advenduro Tours mempunyai jawapannya. Para peserta boleh memilih antara beberapa pakej jelajah: Di atas jalan raya sepenuhnya, off-road sepenuhnya, atau gabungan kedua-duanya.

Organisasi ini juga menyediakan peralatan menunggang lengkap termasuk helmet Givi, jaket dan sarung tangan Hevik, malah kamera aksi GoPro untuk merakam detik-detik berharga anda.

Tapi, bagaimanakah jika anda tidak mempunyai motosikal sendiri atau hanya ingin mencuba model berbeza? Servis ini juga menawarkan pelbagai jenis motosikal. Terdapat motosikal 250cc dan ke bawah untuk pemula, serta model berkuasa tinggi dari 450cc hingga 1000cc.

Setiap jelajah termasuk makanan dan minuman, serta trak sokongan bersama juruteknik berpengalaman. Penginapan juga disediakan untuk perjalanan berbilang hari.

Dan ada lagi! KEV Advenduro Tours juga menawarkan tawaran eksklusif di mana sehingga 50% kos tour anda boleh dijadikan kredit untuk pembelian motosikal baharu bagi jenama yang anda tunggang ketika jelajah (dalam kalangan jenama terpilih) dalam tempoh 45 hari.

Sila hubungi atau WhatsApp 012-3928818, atau layari laman Facebook and Instagram KEV Advenduro Tours untuk dapatkan maklumat terkini.

  • RCB mengibarkan Jalur Gemilang di pameran motosikal terbesar di Amerika Selatan.

Sebuah jenama tempatan sekali lagi membanggakan Malaysia: RCB baru sahaja membuat penampilan sulung mereka di Amerika Selatan.

RCB, atau Racing Boy, telah berkembang pesat dalam tempoh dua dekad menjadi jenama global, malah turut menaja pasukan pengilang Monster Energy Yamaha MotoGP. Pertumbuhan mereka adalah senarai produk yang meluas dan kualiti tinggi.

Daripada Kenyataan Media Rasmi RCB

Colombia, Selasa, 27 Mei 2025 – RCB dengan bangga menandakan penampilan rasmi pertamanya di Amerika Selatan dengan menyertai pameran dua roda terbesar di rantau ini, mempamerkan rangkaian produk terkini dan berhubung terus dengan komuniti penunggang Amerika Latin yang bersemangat. Sambutannya luar biasa, dengan penunggang dan peniaga dari Colombia serta negara jiran mengalu-alukan kehadiran RCB.

Kami gembira apabila mendapati bahawa RCB sudah mempunyai basis peminat yang semakin berkembang di rantau ini. Selama bertahun-tahun, kedai motosikal dan penunggang telah mendapatkan produk RCB melalui pengedar Asia, membuktikan jenama ini sudah diterima dan mempunyai reputasi yang kukuh dalam kalangan peminat dua roda. Walaupun ini adalah pameran rasmi pertama RCB di Amerika Selatan, jenama ini sebenarnya sudah mempunyai kehadiran yang semakin meluas. Sambutan hangat daripada penunggang dan peniaga Colombia mencerminkan pengiktirafan terhadap produk RCB yang dipercayai dan berprestasi tinggi.

Kehadiran rasmi kami kini memperkukuh momentum itu, memudahkan penunggang, pengedar, pasukan lumba, peniaga, dan kelab di seluruh Amerika Selatan untuk mendapatkan produk RCB yang asli. Pameran ini ternyata sangat berjaya, membuka jalan untuk perkongsian dan hubungan komuniti yang lebih erat.

Lawatan ini mengesahkan apa yang kami percaya selama ini, RCB sudah mempunyai komuniti yang setia dan bersemangat di Colombia,” kata Marcus Leong, Pengarah Pemasaran Kumpulan.

Kami kini komited untuk menyokong mereka dengan lebih langsung dengan memudahkan akses kepada produk RCB yang asli, menjadikannya lebih pantas, mudah, dan boleh dipercayai berbanding sebelum ini,” tambahnya.

RCB mengucapkan terima kasih kepada semua yang singgah di gerai kami dan menjayakan penampilan sulung kami di Colombia. “Amo a Colombia,” ujar pasukan kami dengan bangga.

RCB mempamerkan pelbagai komponen motosikal berprestasi tinggi, termasuk sistem brek, rim, bahagian suspensi, dan aksesori lumba, yang menarik perhatian pengunjung. Jenama ini menerima minat yang menggalakkan daripada pengedar tempatan, pasukan lumba, dan peniaga motosikal yang berminat untuk menjalin kerjasama. Sepanjang acara, RCB berjaya berhubung dengan kelab penunggang, peminat RCB Amerika Selatan, influencer, dan penunggang harian, memperoleh maklumat berharga tentang keperluan dan pilihan komuniti dua roda Amerika Latin. Jenama ini juga mencipta buzz yang besar di media sosial dan menarik minat pengunjung pameran.

Ikuti RCB untuk kemas-kini terkini mengenai pelancaran produk, kerjasama serantau, dan acara akan datang:

Instagram: @rcb.global

Instagram: @rcb.colombia

Galeri foto

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube