Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 1.13 juta saman menerusi Ops Khas Motosikal yang dijalankan sejak tahun lalu sehingga kini.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, daripada jumlah notis saman berkenaan, sebanyak 848,885 notis pada tahun lalu dan 283,255 notis sepanjang tahun ini.
Katanya, menerusi Ops Khas Motosikal yang dijalankan, tiga kesalahan utama yang dikenal pasti iaitu tiada lesen, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, dan tiada perlindungan insuran.
“Bagi kesalahan tiada lesen memandu membabitkan sebanyak 301,774 notis saman, LKM tamat tempoh sebanyak 251,886 saman dan tiada insuran kenderaan sebanyak 233,819.
“Sehingga kini, masih banyak kesalahan dilakukan penunggang motosikal dan kita sentiasa meningkatkan operasi bagi mengekang kemalangan jalan raya. Ini kerana kemalangan membabitkan penunggang motosikal antara yang terbesar iaitu menyumbang sebanyak 65 peratus kadar kemalangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika Operasi Khas Motosikal sempena Ops Khas Aidiladha (HRAA) di Jalan Kuala Krai, semalam.
Mengulas lanjut katanya, menerusi Ops HRAA 2025, pihaknya menugaskan lebih 2,000 anggota penguat kuasa dan fokus utama aktiviti penguatkuasaan bagi memantau dan mengambil tindakan terhadap penunggang motosikal yang gagal mematuhi peraturan.
“Justeru kita mengingatkan penunggang motosikal supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.