Bikesrepublic

Kekurangan Kesedaran Keselamatan Tayar di Kalangan Penunggang Motosikal, Kata Prof UPM

Kekurangan kesedaran tentang keselamatan tayar di kalangan penunggang motosikal adalah antara faktor penyumbang kepada tingginya bilangan kemalangan dan kematian, kata Prof. Madya Dr. Law Teik Hua.

Beliau yang juga merupakan ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia menambah, keselamatan tayar bukan sahaja melibatkan tahap haus tayar, tetapi juga tekanan udara di dalam tayar dan keadaan bunga tayar. Ramai pengguna kenderaan juga tidak tahu cara mengtafsirkan penunjuk kehausan tayar (Tyre Wear Indicator – TWI) dan tarikh luput tayar.

“Ramai hanya menukar tayar apabila ia sudah benar-benar botak atau bocor. Ada tanggapan salah bahawa jika tayar masih kelihatan tebal, ia tidak perlu ditukar, tanpa memeriksa usia sebenar atau keadaan getahnya.”

“Ada juga yang percaya tayar terpakai atau tayar botak memberikan kelajuan lebih baik, yang merupakan tanggapan sangat berbahaya,” jelasnya kepada Bernama.

Prof. Law berkata jangka hayat biasa tayar motosikal adalah antara tiga hingga lima tahun dari tarikh pengeluaran. Namun, bagi kes penggunaan tinggi seperti penunggang penghantar makanan, tayar mungkin perlu diganti setiap 1.5 hingga 2 tahun.

“Tayar yang selamat untuk kegunaan harian perlu mempunyai bunga tayar dengan cengkaman yang baik, terutamanya dalam keadaan basah, serasi dengan permukaan jalan, mempunyai binaan tahan lasak, serta indeks kelajuan dan muatan yang sesuai dengan motosikal yang digunakan,” jelasnya.

Law menegaskan bahawa kedalaman bunga tayar kurang daripada 1.6mm menunjukkan tayar perlu diganti, manakala paras bunga tayar yang sama rata dengan tanda TWI (Tyre Wear Indicator) bermakna tayar tersebut sudah terlalu haus.

“Retak kecil, gelembung, atau pengerasan tayar adalah tanda penuaan atau kerosakan. Tekanan udara juga perlu diperiksa setiap minggu berdasarkan spesifikasi pengeluar,” tambahnya.

Beliau turut mencadangkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil pendekatan lebih proaktif dalam kempen pendidikan keselamatan tayar, termasuk pemeriksaan berkala dan mewajibkan penggunaan tayar yang mematuhi piawaian keselamatan.

Wahid's lust for motorcycles was spurred on by his late-Dad's love for his Lambretta on which he courted, married his mother, and took baby Wahid riding on it. He has since worked in the motorcycle and automotive industry for many years, before taking up riding courses and testing many, many motorcycles since becoming a motojournalist. Wahid likes to see things differently. What can you say about a guy who sees a road safety message in AC/DC's "Highway to Hell."

Artikel Berkaitan