Bikesrepublic

BM

  • Honda menegaskan keaslian, menangani dakwaan yang mengelirukan

Honda merupakan pengeluar motosikal terbesar di dunia dan antara peneraju dalam teknologi baharu. Sebagai peneraju, sudah tentu ada pihak yang ingin mengaitkan diri mereka — sama ada secara rasmi atau tidak.

Perkara ini benar-benar berlaku, dengan segelintir pihak mendakwa bahawa beberapa motosikal bukan Honda yang dijual di Malaysia sebenarnya menggunakan enjin atau teknologi Honda. Ini mendorong Boon Siew Honda untuk mengeluarkan penafian berikut.

Daripada Siaran Media Rasmi

Boon Siew Honda ingin menangani dakwaan tidak tepat yang baru-baru ini tersebar. Dakwaan ini menyatakan bahawa enjin Honda digunakan pada motosikal bukan Honda.

Kami ingin menjelaskan bahawa dakwaan ini adalah tidak benar. Enjin yang digunakan dalam semua model Honda adalah rekabentuk hak milik yang direka dan dikilang secara eksklusif oleh Honda. Teknologi canggih kami tidak dikongsi, dilesenkan, atau dibekalkan kepada jenama motosikal lain yang ada di Malaysia.

Di Honda, kami menghargai kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan dan kekal komited untuk memberikan piawaian kualiti serta kemajuan teknologi yang tinggi. Setiap komponen, termasuk enjin kami, adalah hasil penyelidikan dan kejuruteraan yang teliti untuk meningkatkan pengalaman menunggang pelanggan.

Kami menggalakkan orang ramai untuk mengesahkan sebarang dakaran mengenai produk Honda melalui saluran rasmi atau dengan merujuk kepada pengedar Honda yang diberi kuasa di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 1-800-88-3993 untuk bercakap dengan wakil perhubungan pelanggan atau emel ke enquiry@bswhonda.com.my.

Petaling Jaya, 23 Mei 2025 – Menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan transformasinya, Kumpulan Automotif NAZA (NAZA Auto), melalui anak syarikat milik penuhnya Naza Eastern Motors, hari ini melancarkan secara rasmi bilik pameran utama pertama Suzuki Cars Malaysia di Petaling Jaya – sebuah kemudahan canggih yang direka untuk mentakrif semula pengalaman runcit Suzuki di Malaysia serta mempercepatkan pertumbuhan jenama tersebut di negara ini.

Terletak strategik bersebelahan NAZA Auto Mall yang ikonik, billik pameran seluas 5,000 kaki persegi ini bukan sekadar pusat jualan, malah sebuah destinasi pengalaman, mencerminkan tumpuan lebih tajam NAZA Auto terhadap inovasi berpusatkan pelanggan dan pertumbuhan perniagaan mampan.

Bilik pameran ini menggabungkan identiti korporat dan rekabentuk terkini Suzuki, menampilkan zon dinamik, kaunter servis khas dalam bilik pameran, ruang rehat gaya hidup dengan sudut kanak-kanak, serta bilik perbincangan peribadi – menawarkan pengalaman pelanggan yang lancar dan peribadi dari penerokaan produk sehingga pemilikan.

Dato’ Jasmy Ismail, Pengerusi Kumpulan Automotif NAZA, berkata pelancaran ini melambangkan visi lebih luas NAZA Auto untuk mempersiapkan perniagaannya menghadapi masa depan serta memperkukuh hubungan dengan pengguna Malaysia dalam pasaran yang semakin berorientasikan pengalaman.

“Bilik pameran utama ini adalah pernyataan berani transformasi NAZA Auto menjadi kumpulan automotif yang lebih cekap, lincah, dan berfokuskan pelanggan. Ia mencerminkan penyelarasan strategik kami untuk menumpu pada segmen teras berimpak tinggi seperti Suzuki, yang kekal sebagai salah satu jenama paling dipercayai dan dinamik dalam ruang mobiliti bandar dan kompak,” kata Dato’ Jasmy.

“Kemudahan ini bukan sekadar untuk mempamerkan kereta – ia tentang mencipta perjalanan pelanggan yang bermakna dari hujung ke hujung, memberikan nilai melebihi produk, serta memastikan Suzuki terus berkembang sebagai jenama pilihan dalam industri automotif Malaysia yang sangat kompetitif.”

Sebagai sebahagian daripada strategi penyelarasan berterusan, NAZA Auto sedang mempermudah portfolio perniagaannya untuk menumpu pada jenama automotif menguntungkan sementara menghentikan secara berperingkat segmen bukan teras yang tidak lagi selari dengan matlamat jangka panjangnya. Suzuki Cars Malaysia adalah tunjang pertumbuhan strategik di bawah pelan ini, dengan rancangan untuk mengembangkan rangkaian pengedarannya dalam beberapa tahun akan datang, disokong oleh platform penglibatan digital, penyelesaian pasca jualan inovatif, serta program loyaliti yang disesuaikan dengan keperluan pelanggan yang semakin berkembang.

Bilik pameran baharu di Petaling Jaya ini juga akan berfungsi sebagai pameran eksklusif untuk semua model Suzuki baharu yang akan memasuki pasaran Malaysia, mengukuhkan kedudukannya sebagai hab utama pengalaman jenama Suzuki dan pelancaran produk baharu.

Sempena pelancaran ini, pelanggan boleh menikmati promosi eksklusif pertengahan tahun serta program loyaliti tersuai yang direka untuk memberi ganjaran kepada pemilik Suzuki baharu dan sedia ada.

“Sambutan pembukaan penting ini mengukuhkan keyakinan NAZA Auto terhadap potensi pertumbuhan industri automotif Malaysia, terutamanya dalam segmen SUV kompak dan ‘crossover‘ di mana kelenturan, kebolehpercayaan, dan gaya unik Suzuki terus mendapat sambutan hangat,” tambah Dato’ Jasmy.

“NAZA Auto kekal komited untuk melabur dalam penyelesaian inovatif yang mengutamakan pelanggan serta memperkukuh kepimpinan kami dalam sektor automotif Malaysia dengan membina perniagaan mampan, menguntungkan, dan bersedia masa depan yang mencipta nilai jangka panjang untuk pelanggan, rakan kongsi, dan pemegang kepentingan kami.”

Pelancaran bilik pameran utama ini mengukuhkan kedudukan NAZA Auto sebagai peneraju automotif terpercaya di Malaysia, dan mencerminkan ketahanan serta kelincahan Kumpulan dalam menyesuaikan diri dengan perubahan industri sambil merebut peluang baharu dalam mobiliti, digitalisasi, dan penglibatan pelanggan.

Galeri foto

Pulau Pinang, 23 Mei 2025 – Boon Siew Honda meneruskan dedikasinya terhadap kelestarian alam sekitar dengan menganjurkan aktiviti pembersihan pantai di R&R Bagan Ajam, Pulau Pinang, pada Sabtu lepas.

Diilhamkan oleh YB Chee Yeeh Keen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Boon Siew Honda terhadap kelestarian, selaras dengan kepercayaan syarikat untuk mewujudkan masa depan di mana keseronokan mobiliti wujud seiring dengan penjagaan alam sekitar. Sejajar dengan usaha untuk memberi sumbangan positif kepada komuniti sekitar, program ini juga menekankan tanggungjawab syarikat yang melangkaui produk dan teknologi dengan menyokong persekitaran yang lebih bersih dan sihat melalui tindakan kolektif.

Aktiviti ini menandakan permulaan Honda Ride to Reach, satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Boon Siew Honda yang berdedikasi untuk membantu komuniti yang memerlukan, bermula dari dalam organisasi itu sendiri. Ia mencerminkan komitmen Boon Siew Honda terhadap kedua-dua tanggungjawab alam sekitar dan penglibatan aktif dalam komuniti.

Maklumat Media

Aktiviti bermula pada pukul 7:30 pagi dengan perarakan konvoi basikal Ride to Reach dari Ibu Pejabat Boon Siew Honda ke R&R Bagan Ajam untuk menjalankan aktiviti pembersihan pantai. Secara keseluruhan, 64.8 kilogram sisa telah dikutip dan dihantar ke pusat pengurusan sisa yang ditetapkan untuk pemprosesan dan pelupusan yang bertanggungjawab.

Encik Rosidan bin Haron, Ketua Pegawai Pentadbiran dan Pengerusi Ride to Reach, berkata, “Saya gembira kerana Boon Siew Honda dapat menyumbang ke arah memperbaiki ruang awam kita pada tahun ini. Ini adalah sebahagian daripada usaha dan tanggungjawab berterusan kami dalam menghijaukan dan memelihara alam sekitar. Tahun lepas, kami berjaya menanam 888 pokok di sekitar Ibu Pejabat Boon Siew Honda. Kini, dengan melangkah ke luar premis kami, saya berharap dapat melihat lebih banyak inisiatif alam sekitar yang memberi impak dan mampan daripada Boon Siew Honda.”

Aktiviti ini disertai oleh 51 rakan sekerja Boon Siew Honda, termasuk Encik Rosidan dan Encik Koji Nishimura, Ketua Pegawai Pembuatan & Pembelian.

Pada masa depan, Boon Siew Honda merancang untuk memperluas usaha ini dengan melibatkan rakan niaga dan penunggang Honda dalam program CSR yang akan datang. Bersama-sama, kami beraspirasi untuk mewujudkan komuniti yang lebih kuat, bersatu padu, dan prihatin.

Ia belum masanya untuk S 1000 RR generasi baharu, sekurang-kurangnya bukan dalam bentuk produksi, tetapi BMW Motorrad telah mendedahkan BMW Concept RR awal pagi tadi. Konsep RR ini ditunjukkan kepada senarai tetamu khas yang eksklusif di acara Concorso d’Eleganza Villa d’Este tahun ini di tepi Tasik Como, Itali.

Dengan ini, BMW Motorrad telah mengesahkan komitmen mereka terhadap model superbike RR pada masa hadapan. Konsep baharu ini ini dikuasakan oleh enjin 1000cc yang sama seperti S 1000 RR yang ditunggang oleh juara World Superbike Toprak Razgatlıoğlu. Ia bukan enjin 800cc seperti yang dispekulasi oleh sesetengah pihak. Malah, enjin ini menghasilkan lebih daripada 226 hp.

Malangnya, ia belum dijual buat masa ini, terutamanya memandangkan enjin tersebut tidak mematuhi piawaian pelepasan. Namun, kita boleh yakin bahawa BMW pasti akan mengambil inspirasi daripada konsep ini untuk model RR pada masa depan.

Salah satu contohnya ialah lampu hadapan yang mencadangkan bahawa ia juga akan tersedia sebagai mesin yang boleh digunakan di atas jalan raya, sementara model khusus lumba seperti Yamaha YZF-R1 dan Suzuki GSX-R1000RR di Eropah juga akan ditawarkan.

Dari segi elektronik, ia mengekalkan sistem kawalan elektronik yang sama seperti mesin lumba World Superbike, yang menguruskan enjin, kawalan cengkaman tayar, brek enjin, suis berasaskan lumba, dengan paparan TFT warna penuh standard digantikan dengan meter yang lebih kecil dan khusus untuk litar, dan lain-lain.

Rangka ini juga mempunyai paksi lengan ayun dan pemijak kaki dengan kedudukan yang boleh dilaras.

BMW Concept RR dibalut dengan fairing yang menakjubkan, dan diperbuat daripada gentian karbon. BMW menyatakan bahawa mereka menekankan aerodinamik untuk kelajuan maksimum yang tinggi dan kelajuan di selekoh. Walaubagaimanapun, sayapnya lebih kecil berbanding S 1000 RR dan M 1000 RR semasa. Terdapat sirip sekunder berhias emas seperti bulu mata untuk melancarkan aliran udara di sebelah lampu hadapan.

Satu-satunya perkara yang perlu ditunggu sekarang ialah pengumuman BMW Motorrad bahawa ia akan tersedia untuk pembeli awam dan pasukan lumba. Ia pasti akan berlaku.

Galeri foto

KTM telah diberikan talian hayat pada saat terakhir oleh rakan lama mereka, Bajaj Auto, seperti yang dijangka. Dan dengan itu, Bajaj bakal memegang saham majoriti pembuat motosikal berwarna oren itu.

Berita ini muncul selepas laporan bahawa KTM telah memperoleh suntikan dana €600 juta minggu lepas. Khabar angin mula tersebar bahawa Bajaj adalah pembawa dana tersebut. Namun, KTM tidak mendedahkan sumber dana itu, manakala Bajaj berdiam diri.

Dan kemudian…

Pada Khamis, Bajaj Auto membuat pengumuman rasmi bahawa mereka merancang untuk mengambil alih kawalan majoriti KTM AG melalui anak syarikat milik penuh mereka, Bajaj Auto International Holdings BV (BAIHBV). Selain itu, rancangan pembiayaan penuh akan berjumlah €800 juta untuk menstabilkan kewangan KTM dan menyokong penyusunan semula yang sedang berjalan.

Perjanjian ini menandakan perubahan besar dalam strategi global Bajaj Auto bagi segmen dua roda, kerana ia beralih daripada pemegang saham minoriti kepada pemegang saham majoriti dalam KTM. Syarikat yang berpangkalan di Pune, India ini telah lama bekerjasama dengan KTM, tetapi langkah ini akan memberikannya kawalan operasi dan kewangan yang lebih mendalam, mengukuhkan kedudukannya dalam segmen motosikal berprestasi tinggi dan sukan di peringkat global.

Menurut fail pertukaran saham Bajaj Auto bertarikh 22 Mei 2025, Lembaga Pengarah telah meluluskan cadangan itu pada 21 Mei. Inisiatif pembiayaan ini bertujuan untuk memberikan kecairan segera kepada KTM dan memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan mahkamah Austria berkaitan pelan penyusunan semula hutang syarikat.

Tarikh Akhir 23 Mei

Pembiayaan ini bertujuan memenuhi tarikh kritikal 23 Mei 2025 yang ditetapkan mahkamah Austria. Di bawah pelan penyusunan semula yang diluluskan mahkamah, KTM mesti menyelesaikan 30 peratus tuntutan pemiutang sebelum tarikh tersebut. Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan prosiding muflis dan penamatan daripada pentadbiran sendiri.

Sokongan kewangan Bajaj Auto amat penting untuk mengelakkan senario ini, memastikan kelangsungan operasi KTM dan melindungi reputasi globalnya sebagai jenama motosikal premium.

Perincian Paket Penyelamat €800 Juta

Sebagai sebahagian daripada pakej penyelamat, BAIHBV telah melaksanakan perjanjian kemudahan untuk memberikan pinjaman bercagar sebanyak €450 juta kepada KTM AG. Dana ini akan dipegang dalam escrow sehingga diluluskan oleh mahkamah Austria. Selain itu, anak syarikat Bajaj telah melanggan bon boleh tukar bernilai €150 juta yang dikeluarkan oleh Pierer Bajaj AG (PBAG), sebuah entiti KTM.

Komitmen baru ini adalah tambahan kepada €200 juta yang telah disalurkan oleh Bajaj sebagai hutang pemegang saham, menjadikan jumlah sokongan kewangan kepada €800 juta.

BMW S 1000 RR (2027) generasi baharu akan didedahkan pada 23 Mei, 7 malam CEST (1 pagi, 24 Mei di Malaysia). BMW Motorrad baru sahaja mengeluarkan imej acah dalam platform media sosial mereka sebelum pelancaran.

Imej acah itu menunjukkan sebuah motosikal yang diprofilkan dengan latar belakang hitam dan kelabu, dan kita hanya boleh melihat bentuk asas S 1000 RR. Namun, bahagian atas cermin depan yang besar, tangki bahan api yang dibelah, pelana, dan unit ekor kelihatan jelas . Anda juga boleh melihat sayap depan yang besar juga.

Bagaimanapun, adakah model BMW S 1000 RR (2027) baharu ini membawa peningkatan prestasi? Enjin empat silinder sebaris semasa menghasilkan 209 hp dan 112.6 Nm. Ia bukan yang paling berkuasa di kalangan superbike yang lain, jadi peningkatan kuasa maksimumnya juga boleh memberi manfaat kepada motosikal ini dalam gelanggang Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK).

BMW S 1000 RR (2025)
BMW telah menggunakan casis prototaip yang tidak dihomologasikan apabila mereka memenangi mahkota WSBK pada 2024 sebagai sebahagian daripada kelonggaran yang diberikan mengikut peraturan kejohanan. Walaubagaimanapun, mereka terpaksa kembali kepada kerangka S 1000 RR yang standard (mengikut peraturan WSBK), dan itu menyebabkan penunggang peniglang dan juara dunia Toprak Razgatlıoğlu mengadu hampir setiap hujung minggu. Oleh itu, kerangka baharu juga merupakan suatu yang amat penting.
Pelancaran pada 24 Mei ini sepatutnya untuk varian asas S 1000 RR, manakala varian homologasi perlumbaan M 1000 RR akan menyusul setahun selepas itu.

Acara Distinguished Gentleman’s Ride 2025 meneruskan tradisinya dalam meningkatkan kesedaran untuk kesihatan lelaki, di Malaysia dan seluruh dunia. DGR, dalam bentuk ringkasnya, juga terus ditaja oleh Triumph Motorcycles di seluruh dunia.

Beberapa bandar utama di Malaysia mengambil bahagian pada tahun ini, termasuklah Kuala Lumpur, Penang, Melaka, Johor Bahru, Bintulu, Kota Bahru, Kota Kinabalu, Kuching, Sandakan, Sibu, serta Genting Highlands.

Perjalanan bermula pada hari Sabtu, 17 Mei apabila satu lagi rombongan berkonvoi dari Kuala Lumpur ke Melaka. Terdapat dua kumpulan pada hari Ahad, 18 Mei: Satu berkumpul di Triumph Motorcycles Petaling Jaya, dan satu lagi bermula dari Balai Seni Negara di Jalan Tun Razak.

Acara ini mengalu-alukan mana-mana jenama dan model motosikal, manakala kebanyakan penunggang berpakaian rapi. Itu semua untuk tujuan yang baik.

Dari situ, kedua-dua kumpulan menunggang ke tempat letak kereta Xintiandi Genting. Seramai 207 penunggang mendaftar secara rasmi dan menderma USD1,533 (RM6585). Acara di Pulau Pinang itu mencatatkan 602 pendaftaran, yang menyumbangkan sejumlah USD2,075 (RM8913.16).

Berikutnya ialah gambar-gambar daripada DGR 2025. Kita berjumpa lagi di dalam DGR 2026.

Galeri foto

Motorsikal lain yang turut dilancarkan ialah skuter QJMotor AX200 (2025), dengan harga jualan bermula dari RM7,988.00.

QJMotor AX200 merupakan sebuah skuter bandar berpenampilan sporty yang bersaing terus dengan Yamaha NVX dalam segmen yang sama.

Ciri-ciri:
  • Enjin 175cc, satu silinder, SOHC, 4-injap, dengan kuasa maksimum: 17.0 hp (13.0 kW) @ 8,500 RPM dan tork maksimum: 15.2 Nm @ 6,500 RPM.
  • Suspensi depan menggunakan fork teleskopik, manakala suspensi belakang menggunakan peredam hentak berkembar dengan peredam minyak.

  • Sistem brek dengan cakera 230mm tunggal di depan, dan cakera tunggal 220mm di belakang.
  • ABS dwi-saluran, serta TCS sebagai standard.

  • Kedua-dua roda depan dan belakang berukuran 14 inci.
  • Tangki minyak 10 liter.

  • Keberatan 127 kg.
  • Skrin meter LCD.

  • Lampu LED.

QJMotor AX200 (2025) boleh didapati dalam warna-warna Grey, Moon Blue, dan Sand Brown.

Photo gallery

Motorsikal lain yang dilancarkan semalam ialah CFLite 250NK 2025, dengan harga jualan menarik bermula dari RM9,888.00.

Ia merupakan motosikal jenis naked/roadster ringan dari CFMoto, dengan bentuk yang mirip model NK lebih besar jenama tersebut. Terdapat juga beberapa elemen rekabentuk yang serupa dengan KTM 250 Duke, memandangkan CFMoto berkongsi agensi rekabentuk yang sama, iaitu Kiska, bersama KTM.

Ciri-ciri:
  • Enjin 249cc, silinder tunggal, DOHC yang menghasilkan 27.5hp (20.5 kW) pada 9,750 RPM dan tork 22 Nm pada 7,500 RPM.

  • Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di bahagian hadapan dan monoshock di belakang.
  • Brek depan menggunakan cakera tunggal 292mm yang dipasang dengan kaliper 4-piston.

  • Brek belakang menggunakan cakera 220mm dengan kaliper 1-piston.
  • Sistem ABS dwi-salur disediakan sebagai peralatan standard.

  • Mempunyai tangki minyak berkapasiti 12.5 liter.
  • Berat tanpa muatan ialah 158 kg.

  • Ketinggian tempat duduk ialah 795mm.
  • Dilengkapi lampu LED.

  • Pengecas USB Type-A and Type-C.

CFLite 250NK (2025) boleh didapati dalam warna-warna Bordeaux Red, Nebula Black, Nebula White, dan Zephyr Blue.

Galeri foto

Skuter adventure SYM ADXTG 400 (2025) yang kami uji di Taiwan baru-baru ini telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia. MForce Bike Sdn. Bhd. menetapkan harga jualannya bermula dari RM29,888.

Skuter ini dilengkapi dengan pelbagai ciri yang boleh menyaingi motosikal lebih besar, apatah lagi pesaing dalam kategori yang sama.

Baca ulasan pertama kami mengenai SYM ADXTG 400 di sini.

 

Ciri-ciri utama:
  • Enjin 399cc, satu silinder, penyejuk cecair, SOHC, 4 injap dengan Hyper VVS, yang menghasilkan 34.5 HP (27.5 kW) pada 7,000 RPM, dan 37.0 Nm pada 5,500 RPM.
  • Sistem Hyper VVS (variable valve system/sistem injap berubah) memastikan tork optimum pada kedua-dua RPM rendah dan tinggi.

  • Enjin ini dilengkapi dengan sepasang syaf pengimbang (‘counterbalancer‘) di bahagian bawah kedua-dua sisi blok silinder untuk mengurangkan getaran enjin.
  • Rangka baharu yang dibangunkan daripada skuter jelajah MAXSYM TL bukan sahaja memberikan prestasi kendalian yang mantap, malah turut menawarkan ruang penyimpanan yang luas untuk barang-barang.

  • Fork terbalik 41mm di depan dengan monoshok yang pasang pada posisi tengah di belakang.
  • Monoshok tersebut pula dipasang kepada penyambung (‘linkage‘) dan kemudiannya disambung kepada lengan ayun aluminium yang digilapkan.

  • Brek depan merupakan cakera 275mm tunggal yang digenggam oleh sebuah kaliper empat piston, manakala brek belakang terdiri daripada cakera 233mm tunggal.
  • Ciri TCS (‘traction control system‘/sistem kawalan cengkaman) and ABS yang dibuat oleh Bosch adalah standard. TCS and fungsi ABS roda belakang boleh ditutup untuk kegunaan off-road.

  • Roda depan berukuran 15 inci, manakala roda belakang 14 inci. Rekaannya diperbuat daripada tuangan yang cantik dengan dinding nipis bagi menjimatkan berat.
  • Antara ciri lain termasuk panel LCD berwarna yang terang dan tajam, setanding dengan paparan TFT.

  • Pemegang handel yang boleh ditukar posisi  membolehkan anda menyesuaikan jarak pemegangan mengikut keselesaan.
  • Sistem kunci pintar.

  • Ruang penyimpanan bawah tempat duduk 32 liter – cukup untuk muat satu helmet muka penuh saiz XXL.
  • Mekanisme membuka pelana berada di depan dan pelana terangkat ke belakang untuk akses lebih mudah.

  • Skrin angin boleh laras 92mm dalam dua kedudukan berbeza.
  • Pelinung tangan dan plat perlindungan bawah enjin – untuk keselamatan dan ketahanan.

Bercakap tentang pesaing, SYM ADXTG 400 (2025) pasti akan memberikan saingan sengit kepada Zontes 368G. Juga dalam segmen yang sama adalah Honda ADV350.

ADXTG 400 boleh didapati dalam tiga pilihan warna, iaitu Dark Grey (Kelabu Gelap), Grey (Kelabu), dan White (Putih).

Pandu Uji Pertama SYM ADXTG 400

Galeri gambar

Pemandu Maserati yang berasal daripada Singapura yang didakwa menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Malaysia mengaku tidak bersalah. Lelaki berusia 27 tahun itu terlibat dalam kemalangan maut di Lebuhraya Kedua Malaysia-Singapura di Johor pada 9 Mei.

Pemandu tersebut, Irshad Abdul Hameed, seorang penjawat awam Singapura, membuat pengakuan selepas pertuduhannya dibacakan di mahkamah Malaysia. Dia dituduh memandu Maseratinyanya secara berbahaya dan menyebabkan kematian A. Vasanthraj, 32 tahun, pada pukul 6.40 petang hari itu.

Oleh itu, dia didakwa di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana pemanduan melulu yang mengakibatkan kematian orang lain. Jika disabitkan bersalah, dia boleh menghadapi hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 kerana ini adalah kesalahan pertamanya di bawah akta tersebut.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 dan membatalkan lesen memandu tertuduh. Dia juga diwajibkan melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali sebulan.

Pada mulanya, Irshad dikatakan sedang menuju ke Johor, tetapi membuat pusingan U secara haram ke arah Singapura. Namun, keretanya kemudian merempuh penghadang jalan logam, menyebabkan penghadang itu terjulur ke lorong paling kanan.

Mangsa tidak dapat mengelak pembaris tersebut lalu terlanggar objek tersebut 10 minit kemudian. Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan kaki.

Dua peguam Irshad menegaskan bahawa anak guam mereka tidak cuba membuat pusingan U secara haram. Sebaliknya, kereta mengalami masalah sehingga menyebabkan Irshad hilang kawalan, merempuh penghadang, dan akhirnya terhenti di sebelah jalan yang bertentangan.

Penunggang motosikal tempatan yang tiba di lokasi kemudian dilaporkan berhadapan dengan Irshad dan penumpangnya, selain merosakkan Maserati tersebut.

Perbicaraan akan disambung semula pada 10 Jun.

Minyak enjin Castrol POWER1 ULTIMATE SUPERBIKE 10W-50 baharu telah dilancarkan di Malaysia.

Memilih minyak enjin untuk motosikal kesayangan anda bukanlah tugas yang mudah. Pasaran dibanjiri dengan puluhan, jika tidak ratusan, jenama yang menawarkan gred berbeza untuk jenis motosikal yang berbeza, dan bajet yang berbeza. Malah kami pun kadang-kadang mendapati ia amat mengelirukan pada masa-masa tertentu.

Dan, sudah tentu, setiap minyak diiklankan mengikut lima fungsi utama minyak enjin iaitu 1) Pelinciran, 2) Penyejukan, 3) Pembersihan, 4) Pencegahan pengoksidaan, 5) Pengedap. Tidak lupa juga istilah-istilah seperti “prestasi terbaik” dan sebagainya.

Apakah Tugas-tugas Utama Minyak Enjin?

Bagaimanapun, anda beli membeli minyak itu dan mengujinya pada motosikal anda, tapi malangnya, enjin terasa lembap dan malas untuk memecut selain kedengaran lebih bising (ia menjadi lebih teruk apabila minyak mula haus), enjin seolah-olah lebih panas, pertukaran gear memerlukan kekuatan kaki King Kong, menarik tuil klac memerlukan tangan Conan, dan lain-lain. Kami melebih-lebihkan sedikit, tetapi anda faham maksud kami.

Memikirkan kembali penulisan iklan, nampaknya ada sesuatu yang “tertinggal” dalam terjemahan antara teknologi minyak kepada prestasinya di dunia nyata. Ya, kami juga pernah alaminya.

Pengenalan

Walaubagaimanapun, kami pernah merasai minyak yang berprestasi seperti yang diiklankan, atau kadangkala lebih baik. Kami mendapati bahawa ia seringnya dikeluarkan oleh jenama yang kukuh (tidak, kami tidak dibayar untuk mengatakan ini) kerana mereka memberikan banyak perhatian kepada penyelidikan dan pembangunan di dunia nyata.

Salah satu jenama tersebut ialah Castrol, yang telah menjalankan perniagaan sejak 1899. Perlu dikatakan bahawa nama syarikat itu berasal daripada minyak kastor (castor) yang ditambah kepada produk mereka. Minyak kastor adalah ester yang lebih kompleks berbanding dengan ester am. Dan jika anda dibesarkan dengan motosikal dua lejang, anda pasti kenal satu produk Castrol terkenal yang dipanggil “Castrol R40.” R40 ditambahkan pada minyak 2T untuk memberikan perlindungan yang lebih baik agar enjin tidak “jem.”

Botol Castrol R40 klasik

Beralih ke hari semasa, syarikat itu baru sahaja melancarkan minyak enjin Castrol POWER1 ULTIMATE SUPERBIKE 10W-50. Spesifikasinya ialah:

  • Jenis: Sintetik sepenuhnya, berasaskan ester
  • Gred kelikatan: 10W-50
  • Pensijilan klac basah: JASO MA2
  • Kod perkhidmatan: API SN
  • Indeks Kelikatan: 169

Faktor yang paling penting, tetapi malangnya, yang paling diabaikan dan disalahertikan di atas ialah Indeks Kelikatan (Viscosity Index atau VI) sesuatu minyak enjin. Ia adalah ukuran bagaimana selaput minyak kekal utuh apabila didedahkan kepada haba tinggi. Lebih tinggi nombor VI, sesuatu minyak itu boleh tahan panas tanpa menipis terlalu banyak. Oleh itu, 169 adalah baik.

Selain itu, minyak Castrol POWER1 ULTIMATE SUPERBIKE 10W-50 mempunyai formula 5-dalam-1, untuk faedah tambahan, iaitu:

  1. Pecutan yang sangat baik.
  2. Perlindungan yang sangat baik.
  3. Prestasi yang berkekalan.
  4. Menunggang dengan lancar.
  5. Memastikan enjin sejuk.

Sebelum anda mengetepikan perkara ini sebagai pengiklanan semata-mata, ia sebenarnya telah diuji di jalanan dan hasilnya disahkan.

1. Pecutan yang kuat

Terbukti melalui ujian pecutan dengan pendikit dibuka penuh (“lock terotel”) selama 30 saat. Menunggang dengan pendikit yang dibuka penuh sukar untuk sebarang minyak, apatah lagi 30 saat. Untuk menggambarkan perkara ini, sebuah motosikal superbike (apatah lagi MotoGP) mengambil masa kurang daripada 30 saat untuk melitupi jalan lurus hadapan Litar Antarabangsa Sepang pada pendikit penuh.

Tambahan lagi, Castrol mengukur jarak motosikal yang menggunakan CASTROL POWER1 ULTIMATE SUPERBIKE 10W-50 dan mendapati ia berada 8 meter di hadapan pesaing utama semasa ujian.

2. Excellent protection

Perlindungan kepada enjin tidak boleh dikompromi untuk prestasi. Minyak yang baik perlu melindungi bahagian enjin daripada kehausan, dan minyak ini didapati memberikan lebih 50% lebih perlindungan daripada minyak standard.

3. Prestasi jangka masa lama

Tiada siapa yang mahukan minyak yang kekal baik hanya untuk 1000 kilometer pertama (kadang-kadang kurang daripada itu!), dan mula haus tidak lama kemudian. Minyak yang baik sepatutnya melihat prestasinya merosot secara beransur-ansur sehingga selang servis enjin. Formulasi dalam CASTROL POWER1 ULTIMATE SUPERBIKE 10W-50 membantu minyak itu mengekalkan kelikatan permulaannya dan memastikan enjin lebih bersih lebih lama.

4. Tunggangan yang lancar

Pelincir baharu ini diberi penarafan JASO MA2, yang merupakan penarafan prestasi geseran klac tertinggi. Ini memberikan tunggangan yang lancar dengan mengekalkan tahap geseran yang betul untuk mengelakkan gelinciran klac. Walaupun selepas 3000 km, minyak itu mengekalkan penarafan MA2, memastikan tunggangan lebih lancar.

5. Enjin kekal sejuk

Ingat apa yang kami katakan dalam artikel sebelum ini? Minyak enjin kekal sebagai agen penyejukan penting di dalam enjin yang disejukkan oleh cecair kerana minyak beredar di mana penyejuk (coolant) tidak boleh sampai seperti piston dan gelang piston, sistem injap, kotak engkol, transmisi, klac. Ini adalah satu aspek di mana indeks kelikatan memainkan faktor penting.

Dan, kami ingin menambah bahawa ester mempunyai keupayaan itu dari peringkat awal, itulah sebabnya Castrol menggunakan ester sebagai minyak asas.

Castrol menguji minyak baharu ini melalui pengumpulan perbatuan pada motosikal 300cc dan 1000cc, dan mendapati suhu minyak kekal stabil sepanjang ujian.

CASTROL POWER1 ULTIMATE SUPERBIKE 10W-50 telah diuji dalam kalangan 10 penunggang motosikal Malaysia sejauh lebih 2000 kilometer sebelum ia tersedia untuk pasaran. Ulasan mereka termasuk:

  1. Pengaktifan klac yang lebih lancar.
  2. Penukaran gear yang lebih lancar dan penyegerakan gear yang lebih baik.
  3. Lebih senyap apabila menukar gear.
  4. Penunggang menilai pecutan dengan 85 daripada 100 markah, termasuklah dengan peningkatan prestasi yang ketara.
  5. Semua penunggang akan mengesyorkannya.

Penutup

Jadi begitulah, minyak baharu bernama CASTROL POWER1 ULTIMATE SUPERBIKE 10W-50 di pasaran yang dibuat oleh pakar pelincir yang dipercayai. Ia memberikan prestasi dan perlindungan yang unggul pada masa yang sama.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube