Skuter adventure SYM ADXTG 400 (2025) yang kami uji di Taiwan baru-baru ini telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia. MForce Bike Sdn. Bhd. menetapkan harga jualannya bermula dari RM29,888.
Skuter ini dilengkapi dengan pelbagai ciri yang boleh menyaingi motosikal lebih besar, apatah lagi pesaing dalam kategori yang sama.
Baca ulasan pertama kami mengenai SYM ADXTG 400 di sini.
Ciri-ciri utama:
- Enjin 399cc, satu silinder, penyejuk cecair, SOHC, 4 injap dengan Hyper VVS, yang menghasilkan 34.5 HP (27.5 kW) pada 7,000 RPM, dan 37.0 Nm pada 5,500 RPM.
- Sistem Hyper VVS (variable valve system/sistem injap berubah) memastikan tork optimum pada kedua-dua RPM rendah dan tinggi.
- Enjin ini dilengkapi dengan sepasang syaf pengimbang (‘counterbalancer‘) di bahagian bawah kedua-dua sisi blok silinder untuk mengurangkan getaran enjin.
- Rangka baharu yang dibangunkan daripada skuter jelajah MAXSYM TL bukan sahaja memberikan prestasi kendalian yang mantap, malah turut menawarkan ruang penyimpanan yang luas untuk barang-barang.
- Fork terbalik 41mm di depan dengan monoshok yang pasang pada posisi tengah di belakang.
- Monoshok tersebut pula dipasang kepada penyambung (‘linkage‘) dan kemudiannya disambung kepada lengan ayun aluminium yang digilapkan.
- Brek depan merupakan cakera 275mm tunggal yang digenggam oleh sebuah kaliper empat piston, manakala brek belakang terdiri daripada cakera 233mm tunggal.
- Ciri TCS (‘traction control system‘/sistem kawalan cengkaman) and ABS yang dibuat oleh Bosch adalah standard. TCS and fungsi ABS roda belakang boleh ditutup untuk kegunaan off-road.
- Roda depan berukuran 15 inci, manakala roda belakang 14 inci. Rekaannya diperbuat daripada tuangan yang cantik dengan dinding nipis bagi menjimatkan berat.
- Antara ciri lain termasuk panel LCD berwarna yang terang dan tajam, setanding dengan paparan TFT.
- Pemegang handel yang boleh ditukar posisi membolehkan anda menyesuaikan jarak pemegangan mengikut keselesaan.
- Sistem kunci pintar.
- Ruang penyimpanan bawah tempat duduk 32 liter – cukup untuk muat satu helmet muka penuh saiz XXL.
- Mekanisme membuka pelana berada di depan dan pelana terangkat ke belakang untuk akses lebih mudah.
- Skrin angin boleh laras 92mm dalam dua kedudukan berbeza.
- Pelinung tangan dan plat perlindungan bawah enjin – untuk keselamatan dan ketahanan.
Bercakap tentang pesaing, SYM ADXTG 400 (2025) pasti akan memberikan saingan sengit kepada Zontes 368G. Juga dalam segmen yang sama adalah Honda ADV350.
ADXTG 400 boleh didapati dalam tiga pilihan warna, iaitu Dark Grey (Kelabu Gelap), Grey (Kelabu), dan White (Putih).