Seramai 15 orang disahkan maut dalam satu kemalangan tragis membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi. 14 mangsa yang maut terdiri daripada pelajar UPSI, manakal seorang lagi ialah kelindan bas tersebut.
Menurut maklumat sumber, kejadian dilaporkan berlaku 1.10 pagi apabila pihak Hospital Gerik memaklumkan tentang kemalangan jalan raya berimpak tinggi di kawasan berkenaan.
Pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik dengan kekuatan seorang pegawai dan tiga anggota segera dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba pada 2.11 pagi.
Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah bas yang membawa pelajar UPSI terbalik setelah bertembung dengan sebuah Perodua Alza.
Daripada beberapa temubual, mangsa yang terselamat berkata ada rakan-rakan mereka yang meronta-ronta kemudian diam, ada yang meminta tolong dan diajar mengucap. Pihak penyelamat berkata kerusi di dalam bas tercabut dan bertindih-tindih, dan ada juga mangsa yang tercampak keluar daripada bas.
Sementara ini, Polis berkata akan menyiasat dakwaan bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi, dipandu laju.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya akan menyiasat dari pelbagai sudut termasuk dakwaan bas itu dipandu laju.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.
“Mereka diminta hadir ke balai polis berdekatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu tular kenyataan di laman sosial oleh seorang individu mendakwa bas terbabit memotong kenderaannya dan dibawa laju.