Universiti Putra Malaysia baru-baru ini menjalankan satu kajian dan mendapati bahawa ramai penunggang motosikal kurang kesedaran tentang keselamatan tayar. Keselamatan tayar bukan hanya tentang jenis kompaun yang terbaik, tetapi juga merangkumi tekanan pengembungan, keadaan tayar, dan usia. Itulah sebabnya kami memutuskan untuk menyusun 5 petua penjagaan tayar mudah ini.
Jadi, jika anda baru memasang set tayar yang sangat “grip” atau membeli motosikal baru, tugas utama adalah menjaga tayar-tayar tersebut agar mereka memberikan prestasi terbaik dan keyakinan di mana sahaja anda pergi.
Tayar memang memerlukan sedikit penjagaan, walaupun tidak intensif dan tidak memerlukan pengetahuan teknikal tahap kejuruteraan automotif. Ingat, anda mungkin memiliki motosikal terpantas di dunia, tetapi ia tidak akan ke mana tanpa “donat getah” itu.
1. “Run in” dengan betul
Penjagaan tayar bermula sebaik sahaja anda memasang set baharu. Ingat istilah ini: “Tayar mempunyai ingatan.” Cara anda memecahkannya menentukan prestasinya kelak.
Jadi, berhati-hati dalam 300–500 km pertama. Elakkan pecutan dan brek keras, serta sengetan maksimum.
Percubaan untuk menunggang laju dengan tayar baharu boleh membawa padah kerana sesetengah tayar baharu mungkin dilapisi dengan bahan pelepas acuan (mould release). Permukaan licin dan berkilat ini perlu dihapuskan sebelum kita boleh menunggang secara maksimum.
Memang ada tayar yang dihasilkan tanpa bahan pelepas ini, tetapi “run in” tayar secara berhati-hati membolehkan komponen dan kompaun dalam tayar menjadi stabil. Tayar diperbuat daripada puluhan (jika bukan ratusan) kompaun berbeza, dan ia memerlukan haba (daripada penungganan) untuk “memasaknya.”
Mengasak tayar terlalu awal menyebabkan kompaun mengeras sebelum mencapai separuh hayatnya. Inilah sebab utama mengapa sesetengah penunggang mengadu tayar mereka hilang cengkaman dan keanjalan apabila mula haus. Ya, inilah “ingatan” yang kita maksudkan.
2. Periksa tekanan
Tekanan pengembungan tayar adalah segalanya.
-
Tekanan rendah menyebabkan tayar terlalu panas dan cepat haus. Selain itu, ia meningkatkan rintangan gelongsor, menjadikan motosikal kurang responsif dan meningkatkan penggunaan minyak.
-
Tekanan berlebihan pula membuatkan bahagian tengah tayar cepat haus. Traksi dan keselesaan juga terjejas kerana tayar tidak dapat menyerap ketidakteraturan permukaan jalan.
Setiap tayar mempunyai struktur berbeza—ada yang keras, ada yang lembut—tetapi tekanan yang disyorkan oleh pengeluar motosikal adalah yang terbaik untuk menampung berat dan prestasi motosikal. Anda boleh menambah tekanan jika membawa beban berat, tetapi lakukan dalam had munasabah (±10 kPa).
Tip tambahan: Jangan bergantung pada meter pam tayar di stesen minyak kerana ia mungkin tidak dikalibrasi dengan betul. Lebih baik beli tolok tekanan udara tayar yang berkualiti dan bawa bersama. Sebaik-baiknya tekanan diperiksa sebelum menunggang atau sekurang-kurangnya setiap 2–3 hari. Pastikan tayar dalam keadaan sejuk semasa mengisi udara.
3. Periksa keadaan tayar
Lakukan pemeriksaan setiap kali sebelum menunggang, semasa mengisi udara atau membersihkan motosikal. Cari:
- Objek asing (paku, batu kecil).
- Kebocoran.
- Retakan.
- Haus tidak sekata – mungkin disebabkan oleh pelarasan rantai mahupun suspensi.
Jika ada masalah, tangani segera.
4. Bersihkan tayar
Ini bukan sekadar untuk penampilan, tetapi membersihkan tayar membantu mengesan kerosakan awal. Gunakan pembersih yang tidak menghasikis — elakkan pelarut keras seperti petrol, minyak tanah, atau diesel kerana ia boleh mengeraskan getah. Tayar yang keras kurang cengkaman dan mudah retak.
5. Cara membaikki tayar yang pancit
Untuk tayar tanpa tiub (tubeless), cara terbaik adalah menggantikannya kerana objek yang menembus tayar mungkin merosakkan struktur tayar yang memberikan bentuk, kekuatan, dan keselamatan.
Namun, jika anda memilih untuk membaiki:
-
Bawa ke bengkel reputasi baik untuk tampal dari dalam.
-
Kit cacing hanyalah untuk kecemasan dalam memberikan kita masa untuk ke bengkel terdekat, oleh itu, jangan biarkan ia selama-lamanya.
BONUS 1: Usia tayar
Tayar lama (biasanya 5 tahun ke atas) menjadi keras dan kurang cengkaman. Anda boleh semak kod pengeluaran pada sisi tayar. Contohnya seperti gambar di bawah di mana “0117” bersamaan minggu pertama, tahun 2017.
BONUS 2: Penunjuk kehausan tayar (TWI)
Setiap tayar mempunyai penunjuk tahap kehausan tayar (tyre wear indicator). Anda boleh cari satu bentuk segitiga di tepi tayar dengan huruf “TWI” dan ikutnya ke permukaan tayar di mana terdapat bonggolan kecil. Apabila bunga tayar sudah sampai ke tahap itu, ia bermaksud tayar itu telah kira haus walaupun belum botak sepenuhnya. Ini kerana tayar tersebut sudah dikira tidak dapat mengalirkan air dengan tahap optimum.
Penutup
Hanya 5 tip petua penjagaan tayar yang mudah ini boleh memastikan tayar anda tahan lama, selamat, dan menjimatkan wang.