Bikesrepublic

Tunggangan Pertama HOG Petaling Jaya

  • Harley-Davidson Petaling Jaya telah melancarkan HOG Petaling Jaya Chapter yang baru.
  • Bersempena dengan pelancaran tersebut, mereka telah menganjurkan “HOG Petaling Jaya’s Inaugural Ride”.
  • Tunggangan tersebut bermula di kedai pengedar rasmi yang baru itu di The Gasket Alley menuju ke Tanjung Malim dan kembali semula ke cawangan tersebut.

Harley-Davidson Petaling Jaya

Petaling Jaya, 10 Mac 2018 – Bersempena dengan pelancaran kedai pengedar rasmi Harley-Davidson Petaling Jaya yang baru di The Gasket Alley pada 9 Mac 2018 (bagi pihak media), ianya telah diumumkan juga bahawa kedai pengedar rasmi berkenaan akan menubuhkan Harley Owners’ Group (HOG) Petaling Jaya Chapter yang baru.

Sila tekan pautan yang ada di bawah bagi mengetahui dengan lebih lanjut liputan kami mengenai perlancaran tersebut.

Harley-Davidson Petaling Jaya Dibuka Secara Rasmi

Harley-Davidson Petaling Jaya kemudiannya telah menyeru para pemilik motosikal Harley untuk berhimpun di The Gasket Alley untuk tunggangan sulung Chapter berkenaan.

Para pemilik motosikal Harley mulai tiba di perkarangan kedai pengedar rasmi tersebut seawal jam 7 pagi walaupun dengan cuaca hujan pada pagi berkenaan. Mereka dapat dilihat mengelap motosikal kesayangan masing-masing sebaik sahaja hujan berhenti. Setelah berhentinya hujan, barulah dapat dilihat para pemilik tiba beramai-ramai dan mereka tiba dalam kelompok yang besar – menunggang bersendirian, bersama pembonceng, dalam kumpulan kecil, mahu pun kumpulan yang besar.

Tidak dapat dinafikan bahawa motosikal Harley-Davidson menarik minat penggemar serta pemilik daripada pelbagai latar belakang yang berbeza, dan ianya dapat dilihat dengan nyata sekali ketika para penunggangnya tiba, lengkap dengan gaya masing-masing, yang mana boleh dilihat pada motosikal mereka mahu pun pemakaian masing-masing. Malah, ada seorang pemilik yang tiba lengkap dengan hiasan kepala Red Indian.

Motosikal model kembara ditukar menjadi motosikal bagger, Softail menjadi motosikal peragaan, Sportster menjadi Bobber, Dyna menjadi motosikal drag, semuanya mengikut imaginasi pemiliknya.

Selain itu, bak kata pepatah, “No two Harley’s are alike”, kebanyakan motosikal telah tiba lengkap dengan pengkhususan tersendiri. Ada sebuah motosikal Street Glide yang datang dengan kemasan warna khas dengan hiasan dapra yang berkait rapat dengan nama gelaran jentera Harley ini. Ada juga motosikal yang dilengkapi dengan palang pemegang ‘tall ape hanger’, ‘drag bars’, dan juga ‘boulevard bars’. Pengubahsuaian yang paling popular sudah semestinya pada bahagian ekzos, di mana kebanyakan pemilik sudah pasti ingin ‘mengalunkan’ lagi bunyi enjin Milwaukee V-Twin jentera mereka. Ada paip lurus pendek (yang bingit) berganda, paip besar ala meriam bazuka, ‘fishtails’, dan bermacam-macam lagi.

Pemilik juga tiba dengan mengebarkan ‘warna’ masing-masing, mewakili ‘sub-Chapter’ atau kelab atau kumpulan motosikal yang mereka sertai. Mujur sekali tiada yang datang dengan lencana “1%er”.

Ianya juga tampak jelas sekali yang mereka gembira dapat bertemu dengan rakan-rakan tunggangan masing-masing – wajah-wajah yang dikenali dalam lautan manusia yang menimbulkan semangat persaudaraan. Pelukan, tegur sapa, dan hilai tawa menyambut rakan serta taulan sepenunggangan.

 

 

Pada masa yang sama, ‘Road Captain’ HOG, marsyal, dan pengiring Polis Trafik PDRM berkumpul untuk taklimat.

 

Sejurus selepas itu, juruacara majlis telah menjemput para pemilik yang hadir untuk bergerak ke ruangan dewan di dalam The Gasket Alley, bagi acara pelancaran rasmi kedai pengedar berkenaan. Pada waktu itu, lebih daripada 500 orang penunggang motosikal telah pun tiba, memenuhi kompaun The Gasket Alley dan melimpah ke jalan raya.

Encik Juan Chow Wee, Pengurus Besar DIDI Resources Sdn. Bhd., mengumumkan pembukaan Harley-Davidson Petaling Jaya dan juga turut melancarkan Harley-Davidson Petaling Jaya HOG Chapter. Encik Rewi Hamid Bugo, Pengerusi DIDI Resources dan Encik Goh Kian Sin, Pengerusi Goh Motorcycles Sdn. Bhd. telah menyertai tunggangan tersebut. Encik Juan mengakhiri ucapannya dengan, “Let the good times roll and wished the participants a good ride.”

Konvoi besar-besaran itu bermula dengan iringan runut bunyi “Highway to Hell”, nyanyian AC/DC, berselang seli dengan deruan bunyi ekzos yang barangkali boleh di kesan pada skala Richter.

Petugas RELA bersama dengan pengiring Polis Trafik bertugas mengawal trafik ketika jentera-jentera “Iron Horse” ini merentasi laluan jalan raya menuju ke pekan kecil Tanjung Malim di Perak. Para penunggang bergerak dalam jajaran dua motosikal yang terkawal.

Pihak polis, bersama dengan pegawai polis yang sudah bersara dan marsyal HOG memimpin konvoi yang panjang ini di sepanjang lebuh raya Utara-Selatan menuju ke destinasi mereka dengan penuh professional, di samping memberi isyarat bagi kenderaan yang lain untuk memotongnya, bagi mengelakkan kesesakan lalulintas. Dan oleh kerana itu, tiada satu insiden pun yang telah terjadi sewaktu perjalanan tersebut.

Gerombolan itu tiba di pekan kecil itu, barangkali membangunkan sesiapa yang masih lagi lena diulit mimpi pada pagi tersebut dan berhenti di Sarang Art Hub untuk makanan dan minuman ringan. Tapak acara tersebut merupakan sebuah rumah banglo lama yang dihias dengan pelbagai barangan antik. Penunggang yang sudah lapar dan dahaga beratur bagi mendapatkan makanan dan juga minuman.

Pihak hos telah menyediakan hiburan ‘live band’, yang diketuai oleh seorang penyanyi yang suaranya saling tidak tumpah seperti legenda Rock negara, Ramli Sarip, dan ditemani oleh kugiran yang mengagumkan, dia menghiburkan para peserta di atas pentas secara berkaki ayam. Mendendangkan lagu-lagu klasik yang popular, dia berjaya menghiburkan para penunggang yang ada. Ada di kalangan penunggang membuat permintaan kepada salah seorang daripada ahli konvoi itu sendiri untuk menaiki pentas dan menghiburkan mereka. Segan pada mulanya, dia mengalah dan memanjat ke atas pentas dan menyanyikan lagu popular nyanyian kumpulan Guns ‘N’ Roses, “Sweet Child O’ Mine” dan ini telah membuatkan para hadirin bangun dan menari bersama. Dia juga turut menari bagaikan Axl Rose, lengkap dengan bandana merah.

Setelah berehat buat beberapa ketika, sudah tibanya masa bagi mereka menuju kembali ke Petaling Jaya, diketuai oleh Polis Trafik dan marsyal.

Perjalanan pulang terasa sekejap sahaja, dan sekali lagi, semua penunggang tiba dengan selamat untuk makan tengah hari. The Gasket Alley juga turut menyediakan The Gasket Bistro, yang didirikan di bahagian kompaun, dipenuhi dengan penjual makanan dan juga minuman. Keraian ini berterusan sehingga lewat larut malam.

Nampaknya, pemilik Harley-Davidson di Malaysia ada satu lagi ‘Chapter’ yang mengagumkan.

GALERI GAMBAR

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube