Bikesrepublic

Berita Terkini

Seramai 15 orang disahkan maut dalam satu kemalangan tragis membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi. 14 mangsa yang maut terdiri daripada pelajar UPSI, manakal seorang lagi ialah kelindan bas tersebut.

Menurut maklumat sumber, kejadian dilaporkan berlaku 1.10 pagi apabila pihak Hospital Gerik memaklumkan tentang kemalangan jalan raya berimpak tinggi di kawasan berkenaan.

Pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik dengan kekuatan seorang pegawai dan tiga anggota segera dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba pada 2.11 pagi.

Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah bas yang membawa pelajar UPSI terbalik setelah bertembung dengan sebuah Perodua Alza.

Daripada beberapa temubual, mangsa yang terselamat berkata ada rakan-rakan mereka yang meronta-ronta kemudian diam, ada yang meminta tolong dan diajar mengucap. Pihak penyelamat berkata kerusi di dalam bas tercabut dan bertindih-tindih, dan ada juga mangsa yang tercampak keluar daripada bas.

Sementara ini, Polis berkata akan menyiasat dakwaan bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi, dipandu laju.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya akan menyiasat dari pelbagai sudut termasuk dakwaan bas itu dipandu laju.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

“Mereka diminta hadir ke balai polis berdekatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Universiti Putra Malaysia baru-baru ini menjalankan satu kajian dan mendapati bahawa ramai penunggang motosikal kurang kesedaran tentang keselamatan tayar. Keselamatan tayar bukan hanya tentang jenis kompaun yang terbaik, tetapi juga merangkumi tekanan pengembungan, keadaan tayar, dan usia. Itulah sebabnya kami memutuskan untuk menyusun 5 petua penjagaan tayar mudah ini.

Jadi, jika anda baru memasang set tayar yang sangat “grip” atau membeli motosikal baru, tugas utama adalah menjaga tayar-tayar tersebut agar mereka memberikan prestasi terbaik dan keyakinan di mana sahaja anda pergi.

Tayar memang memerlukan sedikit penjagaan, walaupun tidak intensif dan tidak memerlukan pengetahuan teknikal tahap kejuruteraan automotif. Ingat, anda mungkin memiliki motosikal terpantas di dunia, tetapi ia tidak akan ke mana tanpa “donat getah” itu.

 

1. “Run in” dengan betul

Penjagaan tayar bermula sebaik sahaja anda memasang set baharu. Ingat istilah ini: “Tayar mempunyai ingatan.” Cara anda memecahkannya menentukan prestasinya kelak.

Jadi, berhati-hati dalam 300–500 km pertama. Elakkan pecutan dan brek keras, serta sengetan maksimum.

Percubaan untuk menunggang laju dengan tayar baharu boleh membawa padah kerana sesetengah tayar baharu mungkin dilapisi dengan bahan pelepas acuan (mould release). Permukaan licin dan berkilat ini perlu dihapuskan sebelum kita boleh menunggang secara maksimum.

Memang ada tayar yang dihasilkan tanpa bahan pelepas ini, tetapi “run in” tayar secara berhati-hati membolehkan komponen dan kompaun dalam tayar menjadi stabil. Tayar diperbuat daripada puluhan (jika bukan ratusan) kompaun berbeza, dan ia memerlukan haba (daripada penungganan) untuk “memasaknya.”

Mengasak tayar terlalu awal menyebabkan kompaun mengeras sebelum mencapai separuh hayatnya. Inilah sebab utama mengapa sesetengah penunggang mengadu tayar mereka hilang cengkaman dan keanjalan apabila mula haus. Ya, inilah “ingatan” yang kita maksudkan.

2. Periksa tekanan

Tekanan pengembungan tayar adalah segalanya.

  • Tekanan rendah menyebabkan tayar terlalu panas dan cepat haus. Selain itu, ia meningkatkan rintangan gelongsor, menjadikan motosikal kurang responsif dan meningkatkan penggunaan minyak.

  • Tekanan berlebihan pula membuatkan bahagian tengah tayar cepat haus. Traksi dan keselesaan juga terjejas kerana tayar tidak dapat menyerap ketidakteraturan permukaan jalan.

Setiap tayar mempunyai struktur berbeza—ada yang keras, ada yang lembut—tetapi tekanan yang disyorkan oleh pengeluar motosikal adalah yang terbaik untuk menampung berat dan prestasi motosikal. Anda boleh menambah tekanan jika membawa beban berat, tetapi lakukan dalam had munasabah (±10 kPa).

Tip tambahan: Jangan bergantung pada meter pam tayar di stesen minyak kerana ia mungkin tidak dikalibrasi dengan betul. Lebih baik beli tolok tekanan udara tayar yang berkualiti dan bawa bersama. Sebaik-baiknya tekanan diperiksa sebelum menunggang atau sekurang-kurangnya setiap 2–3 hari. Pastikan tayar dalam keadaan sejuk semasa mengisi udara.

3. Periksa keadaan tayar

Lakukan pemeriksaan setiap kali sebelum menunggang, semasa mengisi udara atau membersihkan motosikal. Cari:

  • Objek asing (paku, batu kecil).
  • Kebocoran.
  • Retakan.
  • Haus tidak sekata – mungkin disebabkan oleh pelarasan rantai mahupun suspensi.

Jika ada masalah, tangani segera.

4. Bersihkan tayar

Ini bukan sekadar untuk penampilan, tetapi membersihkan tayar membantu mengesan kerosakan awal. Gunakan pembersih yang tidak menghasikis — elakkan pelarut keras seperti petrol, minyak tanah, atau diesel kerana ia boleh mengeraskan getah. Tayar yang keras kurang cengkaman dan mudah retak.

5. Cara membaikki tayar yang pancit

Untuk tayar tanpa tiub (tubeless), cara terbaik adalah menggantikannya kerana objek yang menembus tayar mungkin merosakkan struktur tayar yang memberikan bentuk, kekuatan, dan keselamatan.

Namun, jika anda memilih untuk membaiki:

  • Bawa ke bengkel reputasi baik untuk tampal dari dalam.

  • Kit cacing hanyalah untuk kecemasan dalam memberikan kita masa untuk ke bengkel terdekat, oleh itu, jangan biarkan ia selama-lamanya.

BONUS 1: Usia tayar

Tayar lama (biasanya 5 tahun ke atas) menjadi keras dan kurang cengkaman. Anda boleh semak kod pengeluaran pada sisi tayar. Contohnya seperti gambar di bawah di mana “0117” bersamaan minggu pertama, tahun 2017.

BONUS 2: Penunjuk kehausan tayar (TWI)

Setiap tayar mempunyai penunjuk tahap kehausan tayar (tyre wear indicator). Anda boleh cari satu bentuk segitiga di tepi tayar dengan huruf “TWI” dan ikutnya ke permukaan tayar di mana terdapat bonggolan kecil. Apabila bunga tayar sudah sampai ke tahap itu, ia bermaksud tayar itu telah kira haus walaupun belum botak sepenuhnya. Ini kerana tayar tersebut sudah dikira tidak dapat mengalirkan air dengan tahap optimum.

Penutup

Hanya 5 tip petua penjagaan tayar yang mudah ini boleh memastikan tayar anda tahan lama, selamat, dan menjimatkan wang.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 1.13 juta saman menerusi Ops Khas Motosikal yang dijalankan sejak tahun lalu sehingga kini.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, daripada jumlah notis saman berkenaan, sebanyak 848,885 notis pada tahun lalu dan 283,255 notis sepanjang tahun ini.

Katanya, menerusi Ops Khas Motosikal yang dijalankan, tiga kesalahan utama yang dikenal pasti iaitu tiada lesen, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, dan tiada perlindungan insuran.

Bagi kesalahan tiada lesen memandu membabitkan sebanyak 301,774 notis saman, LKM tamat tempoh sebanyak 251,886 saman dan tiada insuran kenderaan sebanyak 233,819.

Sehingga kini, masih banyak kesalahan dilakukan penunggang motosikal dan kita sentiasa meningkatkan operasi bagi mengekang kemalangan jalan raya. Ini kerana kemalangan membabitkan penunggang motosikal antara yang terbesar iaitu menyumbang sebanyak 65 peratus kadar kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika Operasi Khas Motosikal sempena Ops Khas Aidiladha (HRAA) di Jalan Kuala Krai, semalam.

Mengulas lanjut katanya, menerusi Ops HRAA 2025, pihaknya menugaskan lebih 2,000 anggota penguat kuasa dan fokus utama aktiviti penguatkuasaan bagi memantau dan mengambil tindakan terhadap penunggang motosikal yang gagal mematuhi peraturan.

Justeru kita mengingatkan penunggang motosikal supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Kadar penggunaan pengangkutan awam di Malaysia hanya di sekitar 20 peratus, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata angka itu masih di bawah sasaran 40 peratus seperti yang digariskan dalam Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030.

Jadi cabaran kita ialah bagaimana memastikan dasar ini dapat dicapai mengikut apa yang dihasratkan,” katanya ketika ditemui selepas Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri 6 di Menara Prasarana, semalam.

Forum itu membincangkan topik “Pengangkutan untuk Rakyat: Mengimbangi Antara Kemampuan Rakyat, Kualiti dan Kemampanan Pengangkutan Awam”, yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain Loke, ahli panel lain ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Mohd Azharuddin Mat Sah serta Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Mengulas lanjut, Loke berkata pelaksanaan inisiatif Road to Rail sedang berjalan secara berfasa dan dijangka memberi impak besar kepada sektor logistik negara.

Kita memang menggalakkan penggunaan rel. Sebab itu, inisiatif yang ingin kita fokuskan ialah Road to Rail untuk menggalakkan lebih banyak penggunaan rel bagi penghantaran kontena dan barangan.

Apabila projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) siap kelak, ia akan meningkatkan penggunaan rel untuk penghantaran barangan dan kontena ke Pantai Timur, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan darat seperti lori,” katanya.

Setelah berbulan-bulan menjadi bahan spekulasi, juara World Superbike (WSBK) dua kali, Toprak Razgatlıoğlu, akan beralih ke MotoGP pada tahun 2026.

Walaupun pengurusnya, Kenan Sofuoğlu (ya, pelumba yang pernah memecut sehingga 400 km/j dengan motosikal Kawasaki Ninja H2R dan juga juara WSBK) belum mengesahkan pasukan mana yang ditandatangani Razgatlıoğlu, sumber dalaman menyatakan bahawa ia adalah pasukan Pramac Yamaha.

Selama beberapa musim, pelumba berusia 28 tahun ini sangat dicari oleh pasukan-pasukan MotoGP. Namun, Razgatlıoğlu sering menolak tawaran dan memilih untuk kekal di WSBK kerana tiada pasukan pengilang yang kompetitif boleh ditawarkan kepadanya di MotoGP.

Namun, Yamaha berjaya mendapatkan tandatangannya setelah mengatasi saingan daripada Honda bagi memastikan peralihan Razgatlıoğlu ke MotoGP pada musim 2026, sebaik tamat kontraknya dengan BMW di WSBK. Siapa yang akan digantikannya dalam pasukan satelit Yamaha itu masih belum diputuskan.

Dikatakan bahawa Honda pernah bertemu dengan pengurus Razgatlıoğlu untuk membincangkan peralihan ke MotoGP. Rancangan mereka adalah untuk pelumba Turki itu kekal di World Superbikes dengan Honda pada 2026 sambil membantu membangunkan motosikal MotoGP mereka untuk peraturan 2027. Namun, Razgatlıoğlu lebih berminat untuk membuat peralihan lebih awal ke siri tersebut. Pelumba ini memenangi gelaran WSBK pertamanya bersama Yamaha.

Menurut SPEEDWEEK, seorang sumber rapat dengan Razgatlıoğlu mengesahkan bahawa dia telah bersetuju dengan kontrak Yamaha dan juga menyatakan bahawa Yamaha akan mengumumkan penandatanganan Razgatlıoğlu sebelum Grand Prix Itali di Mugello pada Jun ini.

Faktor penting dalam rundingan untuk membawa juara WSBK dua kali ini ke MotoGP musim depan adalah bahawa Razgatlıoğlu akan menggunakan ‘peralatan yang sama’ di Pramac seperti Fabio Quartararo dan Alex Rins dalam barisan pelumba pasukan pengilang Yamaha. Dia tidak akan diberikan motosikal spesifikasi-B.

Kekurangan kesedaran tentang keselamatan tayar di kalangan penunggang motosikal adalah antara faktor penyumbang kepada tingginya bilangan kemalangan dan kematian, kata Prof. Madya Dr. Law Teik Hua.

Beliau yang juga merupakan ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia menambah, keselamatan tayar bukan sahaja melibatkan tahap haus tayar, tetapi juga tekanan udara di dalam tayar dan keadaan bunga tayar. Ramai pengguna kenderaan juga tidak tahu cara mengtafsirkan penunjuk kehausan tayar (Tyre Wear Indicator – TWI) dan tarikh luput tayar.

“Ramai hanya menukar tayar apabila ia sudah benar-benar botak atau bocor. Ada tanggapan salah bahawa jika tayar masih kelihatan tebal, ia tidak perlu ditukar, tanpa memeriksa usia sebenar atau keadaan getahnya.”

“Ada juga yang percaya tayar terpakai atau tayar botak memberikan kelajuan lebih baik, yang merupakan tanggapan sangat berbahaya,” jelasnya kepada Bernama.

Prof. Law berkata jangka hayat biasa tayar motosikal adalah antara tiga hingga lima tahun dari tarikh pengeluaran. Namun, bagi kes penggunaan tinggi seperti penunggang penghantar makanan, tayar mungkin perlu diganti setiap 1.5 hingga 2 tahun.

“Tayar yang selamat untuk kegunaan harian perlu mempunyai bunga tayar dengan cengkaman yang baik, terutamanya dalam keadaan basah, serasi dengan permukaan jalan, mempunyai binaan tahan lasak, serta indeks kelajuan dan muatan yang sesuai dengan motosikal yang digunakan,” jelasnya.

Law menegaskan bahawa kedalaman bunga tayar kurang daripada 1.6mm menunjukkan tayar perlu diganti, manakala paras bunga tayar yang sama rata dengan tanda TWI (Tyre Wear Indicator) bermakna tayar tersebut sudah terlalu haus.

“Retak kecil, gelembung, atau pengerasan tayar adalah tanda penuaan atau kerosakan. Tekanan udara juga perlu diperiksa setiap minggu berdasarkan spesifikasi pengeluar,” tambahnya.

Beliau turut mencadangkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil pendekatan lebih proaktif dalam kempen pendidikan keselamatan tayar, termasuk pemeriksaan berkala dan mewajibkan penggunaan tayar yang mematuhi piawaian keselamatan.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube