Bikesrepublic

Berita Terkini

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah menjalani beberapa penambahbaikan menjelang perlumbaan MotoGP Malaysia.

Bagi memastikan kelancaran perlumbaan kali ini, SIC telah membelanjakan lebih RM30 juta untuk menggantikan bahagian bumbung yang meliputi 1.8 kilometer, menaik taraf tandas dan kawasan paddock serta memperbaiki sistem saluran.

Menurut laporan New Straits Times, Ketua Pegawai Eksekutif (SIC), Datuk Razlan Razali, mendedahkan bahawa kebanyakan kemudahan yang terdapat di Litar Sepang tidak diperbaiki sejak 1999.

“Bumbung di bahagian grandstand telah pun digantikan selepas 20 tahun,” katanya.

Razlan turut menjelaskan RM9 juta telah dibelanjakan bagi naik taraf bahagian tandas.

Menurutnya lagi, lebih 80,000 tiket telah pun dijual setakat ini namun menjangkakan angka tersebut akan mencecah 100,000 menjelang hari perlumbaan, Ahad ini.

Tahun lalu, SIC merekodkan kehadiran pengunjung paling tinggi dengan 103,000 penonton.

(SUMBER: NST)

BMW memuat naik video ‘teaser’ kedua menjelang EICMA 2019 yang akan berlangsung November ini.

Video berdurasi 14 saat itu memaparkan dua buah motosikal sedang melintasi jalan raya namun tidak jelas jentera apakah yang ditayangkan.

 

Bagaimanapun, menurut laporan media lain, salah satu daripadanya merupakan model BMW XR.

Video ‘teaser’ pertama telah ditayangkan pada 25 Oktober lalu namun tiada sebarang petunjuk jelas diberikan kecuali gambar bahagian penyerap hentakan belakang.

 

EICMA 2019 akan berlangsung 5 November ini di Milan, Itali.

Gambar hiasan

Mahkamah Majistret Johor Bahru telah membebaskan seorang pemandu wanita atas dakwaan memandu secara berbahaya selepas mengakibatkan lapan kematian remaja berbasikal, dua tahun lalu.

Menurut laporan Bernama, Majistret Siti Hajar Ali melepaskan Sam Ke Ting, 24 tahun, susulan pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie.

Difahamkan, pihak mahkamah telah mengambil kira beberapa faktor sebelum membuat keputusan antaranya senario jalan berbukit dan gelap dan keadaan berbahaya tersebut disebabkan oleh kumpulan basikal lajak terbabit.

“Berdasarkan keterangan pasukan penyiasat, terdapat pokok besar di laluan berkenaan dan pencahayaan malap walaupun terdapat lampu di tembok pembahagi jalan.

“Aktiviti itu (basikal lajak) sudah umum diketahui di situ (lokasi kejadian), terdapat aduan mengenai perlumbaan basikal lajak di situ.

“Hanya mereka yang biasa melalui jalan tersebut akan menjangka terdapat kumpulan berbasikal lajak jadi tidak adil bagi pemandu yang jarang menggunakan jalan tersebut,” katanya menurut Bernama.

Sam telah didakwa menyebabkan kematian lapan remaja, Mohamad Azrie Danish Zulkefli, Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, Fauzan Halmijan, Mohamad Azhar Amir, Muhammad Harith Iskandar Abdullah, Muhammad Shahrul Nizam Marudin dan Haizad Kasrin pada 18 Februari 2017 pada jam 3.20 pagi.

Kesemua lapan remaja terbabit berusia di antara 13 hingga 16 tahun.

Sementara itu, mahkamah turut mengarahkan agar lesen memandu dan wang jaminan RM10,000 dikembalikan.

(SUMBER: Bernama)

Ketika BMW Motorrad memanggil MotoMalaya untuk menghadiri sesi pelancaran dua skuter baharu, kami skeptikal kerana sukar untuk mengaitkan BMW dengan skuter meskipun pengeluar motosikal Jerman itu pernah memperkenalkan skuter versi 650 cc.

Saksikan reviu kami tentang BMW C400 GT dibawah:

Pasaran Malaysia memang penuh dengan lambakan motosikal jenis skuter dengan harga yang berpatutan jadi bila BMW juga turut sama mahu menyertai segmen popular ini, kami berasakan harga yang ditawarkan mesti mahal gila.

Hakikatnya, tanggapan awal yang kami letak mengenai harga tidak jauh menyimpang apabila harga bagi BMW C400 X adalah RM44 ribu sementara versi C400 GT adalah RM48,000.

Bagi kami, harga itu terlalu mahal tetapi setelah merasai sendiri kemampuan kedua-dua jentera, harga yang ditawarkan mula masuk akal.

Meskipun dilahirkan sebagai sebuah skuter, segala intipati masih lagi menonjolkan jenama BMW terutamanya daripada aspek rekaan dan teknologi yang ditawarkan.

Rekaan keseluruhan bagi C400 GT dan C400 X dah cukup untuk menjelaskan kegunaan bagi kedua-dua jentera ini.

GT merujuk kepada tunggangan jarak jauh sementara X merupakan versi mesra tunggangan dalam kawasan urban atau bandar.

Kedua-duanya menggunakan enjin 350cc – jangan tanya kenapa BMW namakan 400 – yang dihasilkan oleh Loncin yang berpangkalan di China dan menghasilkan 34hp.

Kalau hati ada yang berbisik – barang diperbuat di China tak berkualiti – kami nak ingatkan bahawa kilang sama turut menghasilkan enjin untuk BMW 750 dan 850 GS!

Saksikan reviu kami tentang BMW C400 X dibawah:

Dari aspek rekaan, GT tampil lebih besar berbanding X terutamanya bahagian cermin depan yang tinggi dan lebar.

Menariknya, C400 GT dan C400 X didatangkan dengan BMW Flexcase, ruang unik boleh ubah yang mampu menempatkan sebuah helmet full face namun hanya boleh digunakan ketika jentera berada dalam keadaan berhenti.

Kedua-duan model turut didatangkan dengan ABS an ASC Automatic Stability Control – traction control dalam bahasa mudah – secara standard.

Ducati World Premier 2020 (DWP2020) yang berlangsung di Rimini, Itali, telah pun melabuhkan tirai Rabu lalu dengan beberapa model mencuri tumpuan antaranya Ducati Streetfighter V4.

Bagaimanapun, pengeluar motosikal Itali tersebut turut memaparkan beberapa jentera konsep yang akan ditayangkan di EICMA 2019, November ini.

Ketika Ducati memperkenalkan varian keenam Ducati Scrambler – Scrambler Icon Dark, Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali, turut berkongsikan beberapa rekaan konsep daripada keluarga Scrambler.

Ducati Scrambler bakal menayangkan Motard dan Desert X di EICMA 2019.

Bagi peminat dua roda, rekaan Motard jelas mendapat inspirasi daripada jentera ‘flat track’ dan Domenicali menjelaskan bahawa motosikal konsep ini berlandaskan Scrambler 800 namun dengan beberapa perubahan.

Dalam pada itu, Desert X paling mencuri tumpuan terutamanya bagi peminat motosikal ADV.

Ketika ini, hanya Multistrada memenuhi segmen tersebut namun Desert X dijangka tampil lebih ringan dan kecil kerana berlandaskan Scrambler 1100.

Keluarga Multistrada kini dikembangkan bagi tahun 2020 menerusi Multistrada 1260S Grand Tour yang didedahkan di Ducati World Premier (DWP) 2020 di Rimini, Itali.

Namanya sahaja sudah cukup menerangkan konsep yang ditawarkan jentera baharu ini.

Multistrada 1260S Grand Tour dihasilkan dengan satu objektif, menawarkan keselesaan tinggi bagi yang gemar tunggangan jarak jauh.

Tidak hairanlah, jentera ini dilengkapi dengan ‘centre stand’, ‘panniers’ dan dua tempat duduk yang selesa, ‘heated grip’, lampu LED ekstra dan sensor tekanan angin tayar yang sentiasa menghantar maklumat kepada paparan skrin.

Multistrada 1260S Grand Tour digerakkan dengan enjin 1262cc Ducati Testastretta DVT yang menghasilkan 158hp pada 9,500rpm seperti model Multistrada lain, jentera ini turut menawarkan Ride by Wire dengan empat mod tunggangan.

Ketika Multistrada diperkenalkan julung kalinya pada 2010, ramai yang kagum dengan kemampuan jentera ini yang menggabungkan motosikal kegunaan harian, sebuah tourer, sportbike dan enduro.

Berikut ciri yang terdapat pada Multistrada 1260S Grand Tour:

  • Inertial Measurement Unit (IMU)
  • Sistem brek Brembo dengan ABS 9.1 ME Cornering
  • Kaliper radial Brembo M50 4-piston
  • Electronic cruise control
  • Ducati Multimedia System (DMS)
  • Riding Modes
  • Ride-by-Wire, Power Modes (PM)
  • Ducati Wheelie Control (DWC)
  • Ducati Traction Control (DTC)
  • Ducati Quick Shift (DQS) Up&Down
  • Vehicle Hold Control (VHC)
  • Tempat duduk penunggang boleh laras
  • Semi-active electronic suspension (depan dan belakang) dengan Ducati Skyhook Suspension (DSS) Evolution
  • Lampu depan LED dengan Ducati Cornering Lights (DCL)
  • Paparan TFT 5 inci
  • Panniers
  • Centre stand
  • Heated grips
  • Petrol cap with Hands Free system
  • Tyre Pressure Monitoring System (TPMS)

DWP 2020 turut menyaksikan Ducati memperkenalkan Ducati Diavel 1260S versi facelift dan Ducati Scrambler Icon Dark yang tampil dengan warna baharu.

Scrambler Icon Black tampil dengan kerangka warna hitam matte dan rim berwarna kelabu bagaimanapun, segala aspek lain masih sama seperti yang terdapat pada varian Icon lain.

Sementara Diavel 1260 2020 kini tampil dengan pilihan warna baharu dengan model standard didatangkan dengan warna serba hitam sementara versi S didatangkan dengan gabungan warna merah, hitam dan putih sekaligus menyerlahkan lagi rupa agresif jentera tersebut.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube