Bikesrepublic

BM

JSPT (Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik) Bukit Aman sedang menyiasat tindakan seorang juruiring (escort) yang memberhentikan sebuah lori dengan cara mengejut.

Pengarah jabatan tersebut, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata pihaknya mengambil maklum berhubung kejadian itu. “Pihak JSPT akan siasat kejadian yang berlaku dan daripada segi pematuhan kepada prosedur operasi standard,” katanya kepada Harian Metro.

Kejadian itu tular selepas satu klip berdurasi 35 saat dipercayai rakaman kamera papan pemuka lori tersebut dimuat naik di media sosial.

Video itu menunjukkan seorang juruiring polis memangkah ke hadapan sebuah lori dengan tiba-tiba dan mengarahkan pemandu kenderaan itu berhenti dengan serta-merta. Lori itu dapat diberhentikan tetapi dengan jarak yang amat dekat dengan dua buah motosikal di hadapannya. Juruiring itu sendiri turut berada di dalam keadaan bahaya jika brek lori itu tidak berfungsi dengan baik.

Setiap pengguna jalan raya, tidak kira apa kenderaan sepatutnya peka terhadap jarak membrek kenderaan lain, khususnya untuk kenderaan berat seperti lori dan bas, apatah lagi penguatkuasa yang terlatih seperti polis trafik. Keberatan kenderaan berat menghasilkan momentum (dalam bahasa pasar, “lajak”) yang amat tinggi justeru memerlukan jarak berhenti yang lebih jauh. Tambah lagi, aksi membrek secara mengejut mempunyai risiko tinggi untuk menyebabkan pemandu kehilangan kawalan.

Selain daripada itu, pemandu kenderaan di belakang bas atau lori juga mungkin terkesan kerana mereka tidak dapat melihat lebih jauh ke hadapan melainkan bahagian belakang lori atau bas itu. Pemandu di belakang berpotensi merempuh kenderaan di hadapan dan menyebabkan kemalangan berantai.

Polis menahan sembilan penunggang motosikal di Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban, pada malam Ahad yang lalu. Tujuh daripada yang ditahan itu ditahan kerana menunggang secara merbahaya dan membuat aksi “Superman,” manakala dua lagi kerana mengubahsuai nombor pendaftaran motosikal bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafic Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, sembilan motosikal merupakan jenis Yamaha Y15ZR, Yamaha 135 LC Dan Modenas Kris 110. Kesemua motosikal telah disita untuk tindakan lanjut.

“Orang yang ditahan berumur lingkungan 16 hingga 24 tahun dan mereka dibawa ke Balai Polis Trafik IPD Seremban untuk tindakan lanjut. Tindakan undang-undang dijalankan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 108 (3) (F) akta sama,” katanya.

Mohd Azman berkata mereka yang ditangkap tidak terbabit dengan mana-mana kumpulan motosikal dari daerah berhampiran seperti Port Dickson dan Kuala Pilah. “Ada antara mereka datang daripada beberapa kawasan sekitar Lembah Klang dan hanya menjadikan lebuhraya ini sebagai laluan konvoi untuk ke kedai makan yang terletak di sekitar bandar Senawang.

Mereka ditahan ketika pihak berkuasa sedang menjalankan operasi Op Samseng Jalan (OSJ) di Plaza Tol Senawang. Seramai enam pegawai dan 68 anggota terbabit dalam operasi bermula daripada jam 4 petang hingga jam 4 pagi tersebut.

Polis juga mengeluarkan sebanyak 101 keping saman atas pelbagai kesalahan. Antaranya seperti nombor pendaftaran tidak ikut peraturan (5), tiada nombor pendaftaran (20), nombor pendaftaran fancy (1), aksesori tidak sempurna (12) dan tiada cermin sisi (14).

Selain daripada itu, kesalahan lain termasuk tidak pamer pelekat P dan L (10), cukai jalan tamat tempoh (10), ekzos bising (7), lesen tamat tempoh (2), ubah suai struktur (1) tidak ada brek (5) dan pemilik benarkan (1).

 


CFMoto telah melancarkan versi 450SR yang lebih garang, yang dipanggil CFMoto 450SR S.

Ia menggunakan enjin dua silinder berkembar selari 46.3bhp, 449.5cc dengan aci engkol 270 darjah (untuk meniru V-Twin 90 darjah). Terdapat pengimbang berkembar untuk mengurangkan getaran enjin. Ciri-ciri lain termasuk yang sudah ada pada 450SR seperti sayap (winglet), dan skrin TFT warna penuh, tetapi perbezaan utama di sini ialah swingarm sebelah.

Oleh kerana ia berkongsi platform yang sama dengan SR, kemas kini kepada 450SR S baharu termasuk ekzos underslung, sayap, cakera brek belakang 240mm yang lebih besar dan garpu terbalik 37mm yang lebih besar dengan pelarasan redaman. Seperti saudaranya, enjin itu dipasang dalam casis Chro-Moly yang beratnya hanya 11kg apabila digabungkan dengan kerangka belakang.

CFMoto mendakwa berat kerb 179kg. Tangki itu memuatkan 14 liter bahan api, dengan pengeluar berkata ia dapat memberikan jarak tunggangan hampir 300km.

Sistem brek disediakan oleh Brembo pada kedua-dua hujungnya, disokong dengan ABS.

Skrin TFT lima inci yang melengkung itu membolehkan anda mengawal kawalan cengkaman dan ketersambungan mudah alih. Terdapat juga lampu hadapan automatik dan ciri brek kecemasan ESS, yang memancarkan lampu henti belakang untuk memaklumkan pengguna jalan raya lain tentang nyahpecutan yang kuat.

Adakah CFMoto 450SR S ini akan sampai ke Malaysia? Kami harap begitu!

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran gelombang panas. Menurut mereka, suhu di 12 kawasan dijangka mencecah 37 darjah Celsius, sekurang-kurangnya untuk 3 hari berturut-turut.

MetMalaysia, menerusi satu ciapan dalam laman Facebook mereka, berkata kawasan-kawasan tersebut adalah di Perlis dan juga Kedah. Antaranya ialah Pulau Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Padang Terap Sik, Baling, and Kulim.

Kawasan-kawasan lain ialah Kuala Kangsar in Perak, and Beaufort in Sabah.

Suhu di kawasan-kawasan yang tidak disenaraikan dijangka akan mencecah maksimum di bawah 35-darjah Celsius.

Oleh itu, sila ambil langkah-langkah berjaga-jaga apabila menunggang ketika gelombang panas:

Hidrasi

Dehidrasi (kekurangan air di dalam badan) akan membuat anda mengantuk, dan menyebabkan sakit kepala dan badan. Anda juga akan mula hilang fokus apabila anda menunggang. Jadi, teruskan minum air, jus buah-buahan (tanpa gula), dan minuman isotonik (dengan sederhana). Jauhi minuman ringan berkarbonat.

Pakaian yang betul

Pakai jaket mesh (berjaring) dan seluar menunggang motosikal yang berventilasi. Ya, and masih akan rasa panas apabila berhenti tetapi sekurang-kurangnya badan anda dilindungi. Selain itu, pakai topi keledar yang memberikan banyak aliran udara seperti jenis sport-touring jika anda lebih suka jenis full-face.

Sejukkan badan

Jika anda menunggang jarak jauh, berhenti apabila anda berasa mengantuk. Kemudian basahkan baju anda dan pakaikan untuk mengekalkan kesejukan. Kaedah lain ialah dengan membasahkan balaclava anda dan memakainya. Udara sejuk di muka anda akan membuatkan anda terjaga. Begitu juga, anda juga boleh membasahkan sehelai kain atau pakaian dan lilitkan di leher anda seperti selendang.

Berhenti!

Berhentilah seberapa kerap yang anda perlukan kerana ia lebih merbahaya jika anda mendesak untuk terus menunggang semasa anda berasa mengantuk. Berehat sebentar, minum air dan makan makanan ringan yang memberikan tenaga yang tinggi (jauhi makanan pedas dan berminyak).

 

QJMOTOR Malaysia telah melancarkan skuter terbaharu mereka iaitu QJMOTOR LTR150.

Walaupun ia berbentuk retro klasik, ia dilengkapi dengan enjin silinder tunggal, SOHC, 4-lejang, 149cc yang agak berkuasa dengan menghasilkan 16.4hp (12.2kW) pada 8,500 RP dan tork maksimum 14.8Nm pada 6,500 RPM. (Sebagai tolok perbandingan, enjin 150cc, SOHC, sejukan cecair Yamaha Y15ZR menghasilkan 15.1hp pada 8,500 RPM dan tork maksimum 13.8Nm pada 7,000 RPM).  Kuasa enjin ini dihantar ke roda belakang melalui transmisi CVT.

Daripada segi casis pula, ia mencirikan sistem brek cakera dengan saiz cakera yang besar iaitu 190mm di depan dan 225mm di belakang. Sistem brek anti-kunci (ABS) dwi-saluran (depan dan belakang) merupakan ciri yang standard untuk keselamatan penunggang.

QJMOTOR berkata pelana skuter ini dibuat empuk bagi keselesaan penunggang dan pembonceng walaupun menunggang saban hari. Ruang penyimpanan barang di bawah pelana pula amat luas untuk kesenangan penunggang membawa barang. Terdapat juga soket pengecas jenis USB di dalam ruang simpanan depan.

Ciri-ciri lain termasuklah paparan meter digital, lampu-lampu LED, sistem Idling Stop yang mematikan enjin ketika berhenti, tangki minyak 6.5 liter.

QJMOTOR LTR150 ditawarkan dengan tiga warna iaitu Lime Creme, Sky Blue, Mint Green dan Carnation Park. Ia dijual pada harga RM8,888 (bukan atas jalan) dan dilindungi dengan waranti dua tahun atau 20,000km (yang mana tiba dahulu). Ia boleh didapati di semua pengedar QJMOTOR yang sah di seluruh Malaysia. MM

Dua anggota polis cedera apabila kereta peronda (MPV) dinaiki mereka terbabas ketika mengejar kenderaan suspek di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berdekatan arah utara berdekatan Taiping.

Kereta peronda Honda Civic 1.8 itu terbabas setelah melanggar objek besi yang dilempar daripada kenderaan Toyota Hilux yang dinaikki oleh suspek.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu, kereta peronda tersebut dikerahkan daripada pusat kawalan daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bagi memberi bantuan kepada lima lagi kereta peronda polis dari IPD Ipoh dalam usaha menahan kenderaan suspek.

Polis berkata kenderaan suspek dikejar kereta peronda polis sejauh lebih 50 km dari Plaza Tol Ipoh Utara melepasi Plaza Tol Changkat Jering di Taiping.

Anggota polis yang terbabit memberi amaran kepada suspek supaya dia memberhentikan kenderaannya sebanyak tiga kali, namun tidak diendahkan sebelum bertindak melempar objek besi terbabit. Objek besi yang dilemparkan ke arah MPV berkenaan dan mengenai bahagian bawah kenderaan itu yang mengakibatkan ia hilang kawalan dan terus berpusing-pusing sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan di sebelah kiri.

Seorang anggota polis mengalami luka di kepala serta calar di kaki manakala rakannya sakit bahagian dada, tengkuk dan kecederaan kecil di tangan kanan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan mengenai kejadian itu.

Mohd Yusri berkata suspek itu sempat melepaskan diri.

 

Kadang-kadang kejadian di dalam dunia nyata mempunyai plot twist yang tidak boleh diilhamkan oleh mana-mana pembuat filem. Kes seorang pemandu yang dipukul sehingga mati tempoh hari telah menjadi bahan bualan ramai. Khususnya kenapa ada yang tergamak boleh memukul seorang manusia lain sehingga maut. Namun polis baharu sahaja mendedahkan bahawa ujian dadah mendapatinya positif dadah syabu dan ganja pada masa kejadian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata mangsa mempunyai 10 rekod dadah yang lampau, serta dikehendakki polis berkaitan kes dadah.

Datuk Hussein turut mendedahkan bahawa pihak polis telah menerima dua laporan yang dibuat oleh dua pemilik kenderaan terhadap lelaki tersebut. Mereka menyatakan bahawa mangsa telah melanggar kenderaan mereka dan melarikan diri.

Ketika malam kejadian, polis menerima panggilan mengenai satu kemalangan justeru mengerahkan anggota trafik ke situ. Mereka menjumpai sebuah kereta Proton Saga yang dipercayai terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan di situ.

Mereka juga menemui pemandu kereta tersebut dalam keadaan terbaring di atas jalan. Anggota paramedik yang sampai kemudian dan mendapati bahawa mangsa sudah meninggal dunia. Pemeriksaan lanjut mendapati ada kesan pada pergelangan tangan seperti bekas ikatan.

Lelaki Maut Dipukul Dituduh Larikan Diri Lepas Langgar Rider e-Hailing

Mengulas lanjut, Datuk Hussein berkata motif kejadian masih disiasat selepas bedah siasat mendapati tiada kecederaan ketara pada mangsa yang menyebabkan kematian.

“Kami masih lagi menunggu keputusan analisis makmal bagi mengenal pasti punca kematian mangsa,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau meminta orang ramai yang menjadi saksi kejadian itu supaya tampil membantu siasatan. “Kita akan melihat penulisan orang ramai di media sosial berkaitan kes itu sekiranya boleh dipanggil bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan.

“Kita juga menasihatkan orang ramai supaya tidak tokok tambah serta reka cerita berkaitan kes ini. Kerana ia akan memberi kesan kepada siasatan dilakukan pihak polis serta mendatangkan kegusaran kepada orang ramai.”

Polis sudah menahan 5 suspek berumur di antara 22 hingga 52 tahun berkaitan kes ini. Mereka juga menahan 2 lagi suspek baharu-baharu ini yang berusia 22 dan 39 tahun.

Yamaha MT-09 2024 yang dikemas kini telah didedahkan dengan rasmi.

Model Yamaha MT-09 merupakan salah satu motosikal naked terlaris di seluruh dunia dengan menawarkan prestasi, keringanan, gaya (walaupun kontroversi) dalam satu pakej yang mampu milik. Yamaha tidak berpuas hati dengan kejayaan mereka, justeru mengemas kininya untuk 2024 dengan teknologi yang dipertingkatkan, komponen casis baharu dan penggayaan yang diubah. Oh, ia mempunyai beberapa ciri “audio” juga.

Kemas kini yang paling jelas ialah penggayaannya selepas yang terakhir pada 2021. Walaubagaimanapun, unit lampu depan yang masa itu tidak diterima dengan baik. Ia samada anda menyukainya atau membencinya.

Lampu depan cyclops tidak lagi digunakan untuk 2024. Kini, lampu depan projektor LED segi empat mengambil tempatnya, sambil diapit dengan dua lampu penunjuk kedudukan LED. Malah, keseluruhan unit lampu depan telah bertukar. Yamaha berkata bentuknya lebih serasi dengan bentuk tangki bahan api.

Berkenaan tangki minyak, Yamaha juga telah merombak semula gayanya agar lebih tajam dengan sisi yang lebih jelas untuk kedudukan tunggangan yang lebih baik. Bagi lubang pembesar suara tersebut, ya, ia mengeluarkan bunyi. Walau bagaimanapun, ia bukanlah lagu kegemaran anda, sebaliknya ia membenarkan lebih banyak bunyi kemasukan udara daripada saluran masuk udara. Kotak udara itu sendiri menampilkan trompet kemasukan udara yang disemak semula untuk mengurangkan bunyi frekuensi tinggi sambil mengekalkan tindak balas pendikit (throttle) yang lebih lancar.

Semakan lain termasuk pam brek hadapan Brembo yang dipasang secara jejari, kedudukan tunggangan yang disemak semula, brek belakang dan tuil gear baharu, pelana duduk yang dibahagi kepada penunggang dan pembonceng (akhirnya), larasan fork yang disemak semula, dan pautan monoshok belakang baharu untuk memberikan rasa yang lebih baik apabila membelok.

Yamaha MT-09 (2024) dijual pada harga £10,100 (RM61,184.49) di UK.

Pelumba motosikal negara, Azlan Shah Kamaruzaman mungkin terpaksa bersara awal daripada perlumbaan aktif di pentas Asia.

Ketika ditemui oleh Harian Metro, Azlan mendedahkan bahawa dia belum menerima jawapan mengenai penyertaan pasukannya di dalam Kejohanan Motosikal Asia (ARRC) 2024. Ini kerana pasukannya sekarang, TKKR Racing Team berkata di Facebook baru-baru ini bahawa mereka tidak berjaya mendapatkan penaja untuk musim 2024, sekali gus menimbulkan keraguan masa depan mereka dan Azlan.

“Saya akan bersara awal daripada saingan Asia jika tidak menerima tawaran. Saya sudah pun meletakkan sasaran untuk berlumba di peringkat Asia sehingga umur 40 tahun,” katanya.

“Secara realistiknya, pasukan lain lebih suka mengupah pelumba muda berbanding yang sudah tua. Badan saya tidak sekuat sekarang… Saya masih boleh bersaing tetapi saya memerlukan usaha dua kali ganda untuk bersaing dengan pelumba muda khususnya daripada segi stamina.”

Secara lebih positif, Azlan mungkin akan beralih kepada perlumbaan dalam Kejohanan Endurance Dunia (EWC) pada 2025 sekiranya penyertaan ARRC tahun ini tidak menjadi kenyataan. Dia telah pun berlumba di Suzuka 8-Hour Endurance 2023 sebagai sebahagian daripada kalendar EWC dalam kelas Formula EWC dengan Frontier Racing.

Azlan mempunyai pengalaman yang mengagumkan, setelah memenangi beberapa gelaran superbike kebangsaan sebagai penunggang untuk Chia PJ Kawasaki, serta pernah mengambil bahagian dalam Kejohana Moto2 Dunia dari 2013 hingga 2015. Beliau juga merupakan juara kelas ASB1000cc yang julung kalinya dalam ARRC pada 2019, sebagai pelumba untuk pasukan ONEXOX TKKR SAG ketika itu. Beliau kini memiliki AS25 Academy Racing Team yang mengambil bahagian dalam kategori WIRA dalam Kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia.

Seorang lelaki maut dipukul sekumpulan individu selepas dipercayai cuba melarikan diri berikutan dia merempuh penunggang e-hailing, di Taman Pelangi, Kajang pada malam Selasa.

Polis berkata Proton Saga yang dipandu mangsa berusia 42 tahun telah merempuh pintu pagar sebuah rumah. Dia kemudian diseret keluar dari kereta dan diserang oleh beberapa individu. Pergelangan tangannya juga menunjukkan tanda-tanda diikat.

Polis menemui mangsa dalam keadaan terbaring di atas tanah ketika mereka tiba. Dia kemudiannya diumumkan telah meninggal dunia oleh paramedik yang tiba di tempat kejadian. Saksi di tempat kejadian menyifatkan mangsa diseret keluar daripada keretanya dan dipukul oleh sekumpulan lelaki. Mereka juga mengatakan bahawa tangannya diikat ke belakang. Kumpulan itu kemudian membaringkannya di atas tanah dan meninggalkan tempat kejadian sebelum polis tiba.

Tempat kejadian kemudiannya diproses oleh Unit Forensik Bukit Aman yang mengumpul beberapa sampel darah dan cap jari. Mereka juga menjumpai dua gulung tali. Berdasarkan maklumat yang ada, polis mengesan suspek dan menahan 5 individu di sekitar Semenyih dan Beranang.

“Suspek berusia antara 22 hingga 52 tahun itu diberkas anggota polis Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang sekitar jam 2.05 pagi, Rabu,” kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (diklasifikasikan sebagai membunuh), serta Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis menggalakkan saksi tampil untuk memberikan maklumat lanjut dengan menghubungi Asisten Superintendan Redzuan Mat Salleh dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang di talian 013-7854100.

Mereka juga boleh menyampaikan maklumat kepada Inspektor Ammar Tahir dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di talian 018-2194013 untuk membantu siasatan.

Apa kata kita bincangkan tajuk lengan ayun sebelah (single sided swingarm) setelah tular satu video tidak lama dahulu?

Video tersebut bermula dengan seorang penunggang motosikal yang menunggang bersama pemboncengnya, apabila pembonceng itu kelihatan cemas dengan tiba-tiba. Kamera kemudian berpusing ke sebelah kanan dan ketika itulah kelihatan sebiji tayar bersama rimnya bergerak sendiri dan memotong motosikal mereka. Video itu ditamatkan dengan adegan sebuah Ducati Hypermotard yang dibaringkan di atas jalan tanpa roda belakangnya.

Seperti biasa, netizen bertindak cepat dan mengemukakan komen mereka. Ada yang membuat lawak, ada yang membahan, dan ada juga yang menawarkan sebab terjadinya insiden tersebut.

Tetapi ada satu komen yang menarik perhatian kami. Beliau berkata, “Kelemahan single arm.” Komen beliau dibahan oleh beberapa netizen yang lain.

Sebenarnya, ada kebenaran di dalam komennya. Tetapi sebelum kami meneruskan rencana ini, kami ingin menegaskan bahawa insiden ini amat jarang berlaku. Selain daripada itu, bukan Ducati sahaja yang menggunakan lengan ayun sebelah, malah BMW, Honda, Moto Guzzi, KTM, CFMoto, MV Agusta, Triumph, serta skuter turut menggunakan ciri ini.

Apakah kelebihan utama untuk lengan ayun sebelah?

Kelebihan utama untuk lengan ayun sebelah ialah ciri penanggalan dan pemasangan semula roda belakang dengan cepat. Anda hanya perlu melepaskan nat atau bolt dan roda dapat ditanggalkan tanpa mengganggu penjajaran (alignment) rantai, sproket, dan kaliper brek kerana komponen-komponen ini dipasang pada braket yang berasingan. Sama juga apabila roda dipasang kembali.

Terdapat satu spindel/gandar yang tebal dan pendek untuk meletakkan roda di tempatnya (lihat gambar di bawah).

Mendiang Massimo Tamburini mereka Ducati 916 dengan lengan ayun sebelah dengan mengambil kira kelebihan ini kerana Ducati bercadang hendak melumbakan motosikal tersebut di dalam acara-acara lasak (endurance). Tamburini juga pernah berkata yang beliau mendapat ilham daripada Honda NR750 yang menggunakan swingarm sebelah. Selain daripada itu, lawan terdekat 916 ialah Honda RC30 dan kemudiannya RC45 yang turut digunakan di dalam perlumbaan endurance selain daripada World Superbike.

Tamburini juga berkata pengunaan swingarm sebelah membuatkan roda belakang seakan terapung dan tidak disambungkan kepada motosikal. Setelah itu, Ducati bersambung dengan penggunaan swingarm sebelah sehingga hari ini.

Lengan ayun dua belah pula…

Sebaliknya, pemasangan roda belakang pada lengan ayun dua belah (konvensional) memerlukan satu spindel (rod) dimasukkan bagi menyambungkan kedua-dua belah.

Kita kenalah menarik keluar spindel itu, lepaskan rantai daripada sproket, dan lepaskan cakera brek daripada kaliper.

Oleh itu, rantai dan gandar belakang perlu dijajarkan kembali apabila roda belakang dipasang semula. Proses ini hendaklah dijalankan dengan cermat kerana roda belakang yang tidak dijajarkan dengan sempurna akan menyebabkan masalah kehausan tayar, rantai, dan pad brek yang tidak normal. Selain daripada itu, motosikal juga akan mengalami masalah pengendalian.

Namun, bergantung kepada rekaan blok penjajar lengan ayun, roda belakang mungkin tidak akan tercabut terus kerana dipegang oleh rantai dan braket kaliper brek, jika nat pengunci tercabut. Penunggang masih berpeluang untuk merasakan sesuatu tidak betul seperti bahagian belakang motosikal yang cuba bergerak ke arah yang lain.

Memang ada insiden di mana roda belakang tercabut daripada lengan ayun biasa dua belah.

Penutup

Jadi, adakah lengan ayun sebelah merbahaya?

Semua solusi kejuruteraan mempunyai kompromi. Oleh itu roda belakang dikunci dengan nat yang besar atau beberapa bolt serta pin. Tork pengetatan wajib betul oleh itu gunakanlah spanar tork!

Kami ingin tegaskan sekali lagi bahawa ini merupakan suatu kejadian luarbiasa. Apapun, periksalah motosikal anda sebelum memulakan perjalanan.

Model Triumph Tiger 660 Rally berkemungkinan sedang dibangunkan bagi melengkapi banjaran model 660 tiga silinder.

Triumph amat fasih dalam strategi menghasilkan model-model motosikal tetapi berasaskan platform yang sama. Contohnya: Banjaran 400cc bersilinder tunggal, banjaran Bonneville dwi-silinder 900cc dan 1200cc, banjaran Tiger 900cc dan 1200cc tiga silinder, dan banjaran 660cc tiga silinder yang amat popular.

Platform yang terakhir itu telah menghasilkan tiga model iaitu Trident 660, Daytona 660, dan Tiger Sport 660. Model Trident merupakan jenis roadster/naked, manakala Daytona merupakan sportbike, dan Tiger Sport 660 ialah sport-tourer. Namun, tiada model adventure (lasak) Triumph Tiger 660 Rally di dalam rangkaian itu.

Pembuat yang berpusat di Hinckley, UK ini amat peka terhadap hakikat ini. Sekmen adventure 700cc sedang hangat direbut oleh pembuat-pembuat motosikal. Pembeli motosikal adventure gemar kepada sekmen ini kerana ia terdiri daripada motosikal yang lebih besar daripada model 250cc-500cc tetapi tidak sebesar, seberat, dan semahal model-model 900cc-lebih daripada 1000cc. Antara model-model adventure sekmen pertengahan ialah Aprilia Tuareg 660, Honda XL750 Transalp, KTM 790 Adventure, dan Yamaha Tenere 700.

Fanning this rumour is Triumph Motorcycles Mumbai with a post in their Facebook page pointing to a reveal at the 2024 EICMA motorcycle expo.  This may of course be over-enthusiasm and taken with with a pinch of salt, but Triumph is aggressive as usual in populating each segment. Only thing that remains to be seen if the final bike will have Rally and/or Rally Pro designations.

Khabar angin ini sebenarnya dimulakan oleh Triumph Motorcycles Mumbai melalui ciapan di akaun Facebook mereka. Mereka berkata lagi yang model baharu ini mungkin akan dilancarkan di ekspo EICMA 2024 kelak. Mungkin ciapan ini kerana mereka agak teruja tetapi Triumph amat agresif dalam pembangunan model-model motosikal bagi mengisi semua jurang!

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube