Bikesrepublic

BM

Mengecapi tahap umur 50-an ini telah mengajar saya untuk menghargai perkara yang paling mudah dalam hidup. Saya pernah mengidamkan superbike terpantas sambil tidak memberi perhatian kepada motosikal berkuasa rendah. Tetapi motosikal superbike pula telah menjadi terlalu berkuasa dan kompleks… Jadi, adakah Suzuki Burgman Street 125EX (2024) ini muncul pada masa yang sesuai?

Apakah motosikal ini?

Rangkaian Burgman terdiri daripada model-model skuter mewah Suzuki, yang terdiri daripada varian 125cc, 400cc dan 650cc. Rangkaian Avenis pula terdiri daripada model yang lebih sporty.

Burgman Street 125EX menggunakan enjin Suzuki Eco Performance-Alpha (SEP-α) 125cc, dengan SOHC, dua injap, 4-lejang, dan penyejukan udara. Ia menghasilkan 8.6 hp pada 6,750 RPM dan tork 10 Nm pada 5,500 RPM. Ia juga dilengkapi dengan ciri Engine Auto Stop-Start (EASS) yang mematikan enjin ketika berhenti, dan Suzuki Silent Starter System.

Ciri-ciri tambahan sama seperti pada mana-mana skuter seperti papan pemijak kaki, ruang simpanan barang bawah tempat duduk, ruang-ruang penyimpanan barang di depan, cangkuk di depan, dan satu lagi di bawah bahagian depan pelana.

Perkara pertama yang menarik perhatian anda ialah betapa besarnya walaupun ia sebuah skuter 125cc. Panel depannya lebih lebar, dan panel sisi dibulatkan serupa untuk melengkapkan tema. Ia mengingatkan saya kepada Suzuki Gladius 650.

Pengalaman menunggang Suzuki Burgman Street 125EX (2024)

Hendalnya lebih lebar seperti motosikal yang lebih besar. Secara peribadi, saya lebih menggemari hendal yang lebih lebar kerana ia memberikan lebih kuasa pengendalian yang lebih efektif.

Anda hanya perlu menekan butang penghidup sekali dan melepaskannya kerana Sistem Pemula Senyap (Suzuki Silent Starter System) yang disebutkan di atas akan mengambil alih dan er… menghidupkan enjin.

Pusingkan pendikit dan… skuter ini mula bergerak dengan lancar. Ia tidak memberikan tujahan (pikap) yang pantas, walaupun apabila kami membuka pendikit sepenuhnya. Ia seperti motosikal dengan nisbah pacuan akhir yang sangat tinggi.

Walaubagaimanapun, kami mendapati bahawa Suzuki membinanya dengan cara ini untuk tunggangan di dalam bandar. Enjinnya sangat lancar dan agak tenang ketika di antara 60 – 80 km/j.

Motosikal Suzuki terkenal dengan ciri pengendaliannya yang mudah dan ini skuter ini tidak terkecuali. Ia stabil di atas jalan lurus, manakala hendal lebar memberikan banyak daya untuk mengemudi. Ia hanya memerlukan sedikit tekanan untuk menukar arah, dan membolehkan anda mencilok melalui trafik dengan mudah.

Yang menghairankan, skuter itu mempunyai banyak kelegaan tanah yang banyak walaupun ketinggian pelananya rendah. Saya cuba sedaya-upaya untuk sagat fairing bahagian bawah ataupun topang namun saya tidak pernah berjaya. (Shhh… Saya sagat  silinder sebuah BMW R 1200 GS di selekoh sebelum ini.)

Kami memutuskan untuk menunggangnya sehingga ke Genting Highlands, seperti yang selalu kami lakukan dengan mana-mana motosikal ujian. Kami sudah mengenali laluan itu dan oleh itu menguji motosikal yang berbeza pada laluan yang sama membolehkan kami menguji motosikal, bukan laluan.

Kami memaksimumkan kuasa enjin Suzuki Burgman di lebuh raya, dan dapat mencecah 108 km/j di cerun menurun. Enjin terus lancar tanpa bunyi meraung. Hanya ada sedikit gegaran yang boleh dirasakan melalui hendal. Sekali lagi, penghargaan mestilah diberkan kepada Suzuki kerana membina enjin yang kuat.

Jarak roda yang panjang sekali lagi menunjukkan kelebihannya kerana skuter ini tidak bergoyang apabila memotong atau dipotong oleh kenderaan berat.

Tetapi perkara yang paling menyeronokkan bagi saya ialah apabila kami mendaki gunung itu. Dengan terotel yang di-lock (buka habis-habisan), motosikal itu menghasilkan kelajuan antara 60 – 70 km/j. Tidaklah laju, tetapi kami biarkan pendikit pada kedudukan terbuka sepenuhnya dan mengemudikan Burgman ini melalui semua selekoh. Motosikal ini tidak bergoyang langsung melainkan melanggar lubang atau permukaan yang tidak rata. Semua pemandu kereta mewah terbeliak mata apabila melihat sebuah skuter kecil ini memotong mereka di selekoh! Dan selekoh-selekoh “S” sebelum Gohtong Jaya itu sangat menyeronokkan. Ah, kepuasannya.

Kita juga harus menyatakan bahawa permukaan jalan ketika itu masih lembap akibat hujan semalaman. Beberapa skuter yang kami uji sebelum ini kegelinciran di selekoh, tetapi Burgman dapat bertahan. Hanya terdapat satu kejadian apabila tayar belakang mula menggelongsor tetapi ia serta-merta berhenti apabila motosikal diangkat sedikit basikal daripada sudut merengnya.

Tetapi, mesti ada beberapa keburukannya, kan? Ya, sudah tentu, setiap motosikal pun begitu.

Ketika menuruni Genting Highlands, kami mendapati brek depan memerlukan tekanan yang kuat pada tuilnya untuk memperlahankan motosikal dengan penunggang seberat 85 kg ini. Berita baiknya ialah brek dram belakang tidak pernah terkunci walaupun membrek kuat di atas jalur kuning. Jadi, berikan diri anda lebih banyak ruang untuk membrek dan berhenti.

Selain itu, sebagai skuter jalanan, suspensinya mempunyai jarak gerakan yang lebih pendek. Jalan Genting yang berlubang tidak membantu. Daya-daya daripada bonggol disalurkan melalui casis kepada penunggang. Walaubagaimanapun, kami ingin menyatakan bahawa penunggang sportbike akan merasakan perkara yang sama, jadi ia tidak bermakna Burgman 125 secara khusus adalah buruk di sudut ini.

Jadi, kembali ke Lebuhraya Karak, kami membuka pendikit sepenuhnya dari ketika memasukki lebuhraya dan melalui siri selekoh hingga yang akhir dan tajam sebelah kiri, selepas selekoh kanan yang panjang. Casis Burgman memberikan begitu banyak keyakinan walaupun rodanya kecil(!). Kami sebenarnya memintas beberapa motosikal yang lebih besar (150cc, 155cc, dan 200cc) dalam selekoh.

Kembali pada bahagian yang lebih lurus, sudah tiba masanya untuk berehat dan saya memperlahankan motosikal kepada 90 km/j, sambil menikmati kelancaran enjin itu. Suspensinya juga kembali selesa. Pelananya berlapik tebal dan tiada rasa lenguh atau sakit di penghujung perjalanan.

Jadi Suzuki Burgman Street 125EX (2024) ini sesuai untuk siapa?

Dalam pendapat kami, ia adalah motosikal yang sesuai untuk mereka yang berulang-alik setiap hari tanpa drama. Ia adalah motosikal yang anda naiki, hidupkan enjin, putar pendikit, dan jalan. Begitu mudah.

Ia juga merupakan pilihan yang bagus untuk Ibu (dan beberapa Ayah) yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Saya melakukan perkara itu untuk anak saya, dan sekaligus memotong ibu bapa yang sayu dan jengkel yang terpaksa bangun begitu awal dan akhirnya terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Ada sebabnya breknya tidak terlalu kuat kerana ia mengelakkan penunggang daripada mengunci tayar depan dalam situasi panik. Tambah lagi, julat kuasa yang lancar dan mesra pengguna, serta pelana yang selesa dan yang luas akan meningkatkan keyakinan kanak-kanak. Anak saya kecewa apabila saya mengembalikannya. Ini boleh dikatakan amat penting kerana saya telah membawanya dengan pelbagai jenis motosikal.

Akhir sekali, enjin itu benar-benar jimat bahan api, dengan penunjuk penggunaan bahan api berlegar sekitar 46 hingga 52 km/liter ketika menunggang saban hari di dalam bandar. Itu memberikan jarak lebih daripada 250 km daripada tangki 5.5 liter itu. Kegilaan di Lebuhraya Karak dan Genting Highlands menggunakan lebih banyak bahan api dan menurunkan jarak kepada kepada 36 km/l.

Sebagai penutup, kami mendapati Suzuki Burgman Street 125EX (2024) sesuai dengan namanya Street (jalan), dan memberikan makna menghargai perkara mudah dalam kehidupan.

Galeri gambar Suzuki Burgman Street 125EX (2024)

Honda CRF250 Rally (2024) telah dilancarkan di Malaysia.

Motosikal adventure ringan ini telah mendapat sambutan yang agak baik sejak dilancarkan beberapa tahun lalu. Kita tidak melihat banyak daripadanya di jalan raya kerana pemiliknya sedang menikmati pengembaraan off-road mereka!

Apa yang tidak disukai mengenai motosikal ini? Ia mempunyai julat kuasa yang mudah lancar, kelihatan tampan, mempunyai suspensi yang selesa, serta beberapa ruang simpanan barang yang terbina di dalam. Tetapi yang paling penting ialah ia tidak banyak kerenah dan penyelengaraannya tidak memerlukan kos yang besar.

Bercakap mengenai penampilan, rekabentuk CRF250 Rally diilhamkan secara langsung oleh pelumba Honda CRF450 di dalam Dakar Rally yang telah memenangi rali itu banyak kali berturut-turut. CRF450 itu dibangunkan oleh cabang perlumbaan Honda, iaitu Honda Racing Corporation (HRC). Oleh itu, versi 2024 ini masih mengekalkan skim warna Extreme Red. Selain itu, terdapat lampu depan LED dengan kanta berkembar asimetri, penahan angin depan terapung, penutup radiator yang lebar, dan pelana berwarna merah yang cantik.

Model ini turut menggunakan fork depan terbalik Showa, sistem brek anti-kunci (ABS), dan klac assist dan slipper. Terdapat swingarm baru yang 5 kg lebih ringan daripada pendahulunya. Tangki bahan api 12.8 liter membolehkan penunggangan jarak jauh.

Enjinnya masih merupakan jenis 250cc, silinder tunggal, DOHC, dengan penyejukan cecair yang menghasilkan 24 hp (18 kW) pada 9,000 RPM dan tork 23 Nm pada 6,500 RPM.

Honda CRF250 Rally (2024) dilindungi oleh waranti 20,000km atau dua tahun (mana-mana dahulu). Harga jualan yang disyorkan ialah RM 28,599. Sila kunjungi pengedar Honda Impian X atau Honda Big Wing berhampiran anda untuk mendapatkannya.

Galeri Foto Honda CRF250 Rally (2024)

Italjet Dragster sudah cukup radikal untuk mana-mana motosikal, walaupun ia sebuah skuter. Kemudian muncul pula Dragster 559 Twin di EICMA 2023 yang membuatkan orang terliur. Dan kini, terdapat sesuatu yang lebih garang yang akan dilancarkan, iaitu Italjet Dragster 700 Twin.

Italjet Dragster 559 Twin

Syarikat itu telah menyiarkan ciapan acah yang menunjukkan beberapa bahagian motosikal baharu itu dalam akaun Instagram mereka, selain meletakkan beberapa spesifikasi enjin: Enjin dua silinder dengan penyejukan cecair, DOHC, 8-injap, empat lejang yang menghasilkan 68 hp (51 kW) pada 8,500 RPM dan 70 Nm tork. Kuasa itu disalurkan melalui kotak gear enam kelajuan manual, dan pemacu terakhir adalah melalui rantai. Terdapat sebuah media yang mendakwa kelajuan tertinggi mencapai 190 km/j.

Terdapat juga Factory Limited Edition yang menambahkan:

Warna hitam dan emas.
Sistem ekzos Akrapovič.
Suspensi belakang dan peredam stereng Öhlins.
Kaliper brek Brembo.
Penutup klac DucaBike dengan tingkap paparan lutsinar.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by ITALJET_OFFICIAL (@italjet_official)

Tetapi lihat sahajalah foto yang menarik seperti galeri Scarlett Johansson: Bahagian depan dengan sayap besar, monoshok Öhlins belakang, peredam bunyi ekzos Akrapovič yang diletakkan di bawah tempat duduk, lengan ayun dan pemacu rantai.

Malah, prapesanan untuk Factory Limited Edition akan bermula dari esok (12 Julai 2024) sehingga permulaan EICMA 2024. Anda boleh layari https://www.italjetshop.com/ untuk mendapatkan butiran lanjut.

Menariknya, Ketua Pegawai Eksekutif Italjet Massimo Tartarini berkata, “kami tidak suka memanggilnya skuter, tetapi terpulanglah kepada apa yang diputuskan oleh oleh pengguna sama ada mereka melihatnya sebagai skuter atau motosikal.

Daripada siaran akhbar Kempen The Good Riders MotoCheck Berjaya Sompo:

Dalam usaha bersepadu untuk mempromosikan kepentingan penyelenggaraan motosikal dan keselamatan jalan raya di kalangan penunggang Malaysia, Berjaya Sompo Insurance Berhad (“Berjaya Sompo”) telah melancarkan kempen The Good Riders: MotoCheck dengan kerjasama iMotorbike. Inisiatif ini direka untuk meningkatkan keselamatan penunggang motosikal di jalan raya dan menekankan kepentingan penyelengaraan motosikal.

Pada 2023, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia merekodkan 6,344 kematian dalam kemalangan jalan raya, dengan kira-kira 63% melibatkan motosikal. Sebagai tindak balas kepada statistik yang membimbangkan ini, Berjaya Sompo telah memperkenalkan kempen The Good Riders: MotoCheck untuk menangani kadar kemalangan maut motosikal yang membimbangkan melalui pendidikan sambil menekankan peranan kritikal penyelenggaraan motosikal.

The Good Riders ialah satu inisiatif yang mengukuhkan komitmen Berjaya Sompo untuk memastikan keselamatan jalan raya untuk semua dengan menonjolkan kepentingan amalan menunggang selamat dalam kalangan penunggang motosikal di Malaysia. Ia juga merupakan sebahagian daripada The Good Policy, inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Berjaya Sompo yang telah berkembang secara organik daripada komitmen asas ESG menjadi pemangkin dinamik untuk perubahan, berfungsi sebagai seruan untuk bertindak yang memberi inspirasi yang bergema secara mendalam dengan individu dan organisasi sama-sama, menyemarakkan semangat kolektif dan mendesak untuk memacu impak yang bermakna ke arah Malaysia yang lebih mampan, saksama dan lebih baik.

“Kami percaya melalui kempen The Good Riders: MotoCheck Berjaya Sompo, kami boleh mendidik penunggang tentang kepentingan penyelenggaraan motosikal secara berkala dan amalan menunggang yang selamat, akhirnya mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya yang melibatkan motosikal,” kata Encik Tan Sek Kee, Ketua Pegawai Eksekutif of Berjaya Sompo.

Cik Sharmeen Looi, Ketua Pegawai Pemasaran iMotorbike menambah, “Perkongsian kami dengan Berjaya Sompo for The Good Riders: Kempen MotoCheck mencerminkan komitmen bersama kami untuk meningkatkan keselamatan jalan raya. Dengan menyediakan pemeriksaan untuk motosikal pelanggan dan penukaran minyak, penunggang boleh mengekalkan motosikal mereka dalam keadaan terbaik sambil memastikan keselamatan. Kami ingin memastikan semua orang memahami kepentingan penyelenggaraan berkala untuk keselamatan semua pengguna jalan raya.”

Aturcara kempen:

Tempoh pendaftaran: 1 Julai to 31 Julai 2024.

Tempoh penebusan: 1 Ogos – 31 Oktober 2024, 9 pagi – 10 malam, Isnin – Ahad (kecuali cuti awam).

Cara mendaftar:

  1. Muat turun dan daftar dalam aplikasi MySOMPO. Isikan borang di dalam aplikasi untuk mendaftar.
  2. Lokasi penebusan: Ibupejabat iMotorbike, Glenmarie.
  3. Jumlah penebusan: RM 50 (bagi penukaran minyak enjin dan penyelenggaraan sahaja. Kos tambahan akan ditanggung oleh pelanggan).
  4. Eksklusif buat 250 pelanggan sahaja, berdasarkan siapa cepat dia dapat.

Pengesahan: Peserta mesti mengemukakan IC dan lesen memandu, nombor kenderaan berdaftar (mengikut borang yang diserahkan), dan e-mel rasmi daripada Berjaya Sompo. Untuk maklumat lanjut tentang kempen The Good Riders: MotoCheck, sila layari https://www.berjayasompo.com.my/good-riders-kempen-motocheck

Penunggang profesional zaman kini mengambil selekoh dengan mencecah lutut, siku, malah bahu ke atas permukaan trek. Mereka berupaya melakukan begini kerana kemajuan teknologi dalam tayar dan casis motosikal. Ada juga wira yang tidak didendang, iaitu pelapik lutut.

Seperti semua produk di trek, pelapik lutut telah melalui proses pembangunan yang menjangkau beberapa dekad.

Kenapa mencecah lutut di atas litar?

Mencecah lutut membolehkan penunggang untuk mengukur berapa banyak sudut condong yang dibawanya melalui selekoh.

Pada masa yang sama, susunan badan, punggung dan lutut ke satu sisi motosikal menggerakkan pusat graviti (centre of gravity/CoG) penunggang dari garis tengah motosikal. Dengan itu, ia mengurangkan berat penunggang daripada ditambah kepada daya emparan yang bertindak pada tompok sentuhan tayar. Daya emparan yang terlalu banyak akan menyebabkan tayar cepat haus dan juga lebih mudah untuk tayar hilang cengkaman.

Selain itu, apabila CoG penunggang berada di sisi, motosikal kurang condong apabila melalui selekoh berbanding ketika penunggang duduk di tengah pelana. Ini juga meningkatkan keupayaan cengkaman tayar, justeru penunggang dapat mengambil selekoh dengan lebih dan juga lebih selamat.

Dan akhirnya, penunggang dapat menggunakan lutut itu untuk menolak motosikal ke atas sedikit dari jalur sentuhan tayar hadapan apabila ia mula hilang cengkaman dan meluncur.

Bilakah teknik mencecah lutut bermula?

Jika anda melihat gambar perlumbaan motosikal lama sebelum 70-an, anda akan melihat penunggang duduk tegak di atas basikal mereka di selekoh.

Orang yang mempopularkan teknik mencecah lutut di litar ialah legenda “King” Kenny Roberts, Sr. Namun, dia bukan orang pertama yang berbuat demikian, kerana Jarno Saarinen yang pertama kali melakukannya. Pelumba Finland itu memulakan kerjayanya sebagai pelumba ais sebelum berhijrah ke perlumbaan litar. Roberts kemudian menyaksikan bagaimana Saarinen menggerakkan badannya, dan mengeluarkan lututnya di selekoh, serta menggelongsorkan tayar belakang di Ontario Motor Speedway pada tahun 1972.

Roberts sendiri adalah penunggang trek tanah dan biasa menggelongsor tayar belakang motosikal juga. Dia memutuskan untuk mencuba teknik Saarinen, tetapi dengan menggerakkan badannya lebih banyak. (Terdapat cerita yang mengatakan bahawa dia mencederakan salah satu buah zakarnya semasa kemalangan motosikal scrambler, justeru dia terpaksa menggerakkan badannya sedemikian.) Dia serta-merta mendapati bahawa motosikalnya lebih stabil di dalam selekoh, dan teknik itu amat berguna untuk dua motosikal tunggangannya yang paling terkenal, Yamaha TZ750 dan TZ500. Akhirnya, dia dapat menunggang lebih laju ke dalam selekoh dan ini membawa sudut mereng yang lebih condong, dan ini membuatkan lututnya mula menyentuh permukaan litar.

Pelumba lain melihat betapa berjayanya dia dan mula meniru tekniknya. Maka bermulalah teknik mencecah lutut.

Pelapik lutut yang awal

Mencecah lutut menghasilkan geseran yang memecahkan sut Roberts di kawasan lutut. Selain itu, kulit tidak menggelongsor dengan baik, dan boleh mencengkam permukaan trek. Jadi dia mula membalut lutut-lututnya dengan pita pelekat yang banyak.

Freddie Spencer meletakkan pita pelekat.

Kemudian seseorang pelumba menampal visor topi keledar motosikal pada lututnya. Ia dapat meluncur dengan lebih lancar tetapi juga cepat haus.

Eddie Lawson (kiri) dan Roberts (kanan). Perhatikan visor helmet di lutut Lawson.

Perlu diingat bahawa sut perlumbaan masa ini tidak mempunyai ciri untuk melekatkan pelapik lutut. Kemudian pada tahun 1981, Dainese mencipta suatu sut dengan pelapik lutut yang dijahit kepadanya. Ia mempunyai beberapa silinder plastik, dan digelar istrice (landak). Ia terbukti sukar untuk diganti apabila ia haus.

Istrice di kiri, diikuti dengan pelapik lutut kulit, dan seterusnya yang plastik

Beberapa tahun kemudian, sut dengan pelapik lutut Velcro telah diperkenalkan. Pelapik lutut kini diperbuat daripada kulit yang lebih keras. Ia mudah diganti, tetapi tidak cukup licin untuk menggelongsor.

Pada tahun 1986, peluncur lutut baharu muncul. Ia diperbuat daripada plastik dan mula kelihatan berbentuk bujur seperti yang kita ada sekarang. Tetapi pelapik lutut moden yang sebenar muncul pada tahun 1990 dengan bentuk dan bahan yang kita lihat hari ini.

Bagaimanapun, beberapa penunggang terus menyuarakan bantahan mereka kerana plastik itu terlalu mencengkam. Oleh itu, pembuat sut dan pelapik lutut terus berusaha untuk meningkatkan kelicinan dan ketahanan pelapik.

Ke era baharu

Pelapik lutut moden dibuat mengikut beberapa kriteria: Betapa licin, berapa banyak rasa yang dihantar kepada penunggang, ketahanan, dan, ciri aerodinamik. Turut disediakan ialah pelapik lutut untuk keadaan hujan yang lebih tebal supaya penunggang tidak menyandarkan motosikal mereka seperti yang mereka lakukan di atas trek kering.

Oh ya, pelapik siku dan juga bahu diperbuat daripada bahan yang sama seperti pelapik lutut.

 

Vespa bermula sebagai pengangkutan murah di Itali selepas Perang Dunia II, tetapi telah berkembang menjadi fenomena gaya hidup sejak itu. Vespa kini hampir berada dalam kelas tersendiri, dan syarikat itu pantas memperkenalkan model ‘lokal’ edisi terhad seperti Batik Primavera Vespa Edisi Terhad ini.

Pereka Piaggio (pemilik jenama Vespa) mengambil inspirasi daripada rekaan batik Indonesia untuk edisi ini. Batik telah diisytiharkan sebagai Warisan Dunia oleh UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu). Mengikut sejarah yang tercatat, pembuatan batik bermula pada abad ke-12 dan masih kekal sebagai pakaian tradisional di negara tersebut, serta pakaian rasmi di kalangan penjawat awam.

Dengan menggunakan reka bentuk batik Indonesia, Piaggio berharap dapat menyampaikan mesej kegembiraan, kemakmuran, kekuatan, umur panjang, menghormati semua budaya, dan kebijaksanaan. Terdapat motif batik di bahagian depan dan pada petak sarung tangan, di sepanjang tulang belakang basikal di sebelah papan kaki, dan di bawah penutup enjin. Tempat duduk coklat cappucino dengan jahitan hijau melengkapkan tema.

Secara mekanikal, edisi terhad ini kekal sama dengan enjin 150cc, sejukan udara, silinder tunggal, yang menghasilkan 12.8 hp dan tork 12.9 Nm.

Piaggio belum mengesahkan harga untuk Vespa Primavera Batik Edisi Terhad ini, dan bilakah ia akan mula dijual.

Apa kata kita gesa Piaggio untuk membuat edisi terhad ‘Bunga Raya’ untuk pasaran Malaysia?

DJI sudah dalam pembuatan dron dan aksesori video tetapi Kongres Amerika Syarikat sedang berusaha untuk mengharamkan dron mereka. Pengharaman di AS juga boleh menyebabkan larangan di Kesatuan Eropah. Jadi, apa yang DJI lakukan? Mereka mempelbagaikan perniagaan mereka untuk menghasilkan sistem pacuan DJI Avinox Drive System untuk basikal elektrik.

DJI menggunakan pengetahuan mereka dalam pengawal dan motor elektrik tanpa berus untuk menghasilkan satu unit pemacu yang mempunyai kuasa puncak 1,000 Watt (1 kW/1.34 hp) dan tork 120 Nm. Berat unit pemacu ini hanya 2.52 kg.

Terdapat dua pilihan bateri: 600 Wh dan 800 Wh. Yang pertama mempunyai berat hanya 2.9 kg dan mampu memberikan jarak sehingga 120 km. Bateri 800 Wh, sebaliknya, mempunyai berat 3.7 kg dan boleh sampai 157 km. Kedua-dua bateri kalis habuk dan air tahap IP56 serta menggunakan teknologi pengecasan pantas GaN, yang membantu mereka mengecas daripada 0% hingga 75% dalam masa kira-kira 1.5 jam.

Jarak maksimum bergantung pada cara penggunaan kuasa, oleh itu terdapat lima mod tunggangan: Auto, Eco, Trail, Turbo dan Boost. Eco memberikan jarak terjauh, manakala Boost memberikan tork tertinggi sambil mengurangkan jarak maksimum. Tetapi, terdapat juga mod kuasa yang berbeza dalam mod tunggangan tersebut iaitu Intelligent Walk Assist, Auto Hold, Hill Start Assist dan Stationary Shifting. Terdapat sepasang suis tanpa wayar yang dipasang pada bar hendal untuk menyesuaikan tetapan semasa dalam perjalanan.

Termasuk dalam set ialah Paparan Kawalan (Control Display) dengan skrin sentuh OLED warna penuh berukuran 2-inci yang berfungsi sebagai hab kawalan yang bersambung ke telefon pintar anda. Melalui aplikasi Avinox, anda boleh mengunci/membuka kunci basikal anda dan merekodkan data perjalanan anda. Terdapat pelbagai penderia yang menangkap hampir 50 titik data, membolehkan anda menyesuaikan kandungan pada Paparan Kawalan melalui aplikasi, termasuk parameter seperti masa perjalanan, jarak, kelajuan purata, output kuasa masa nyata dan banyak lagi.

Sistem pacuan DJI Avinox Drive System sudah digunakan oleh basikal mountain-bike Amflow PL. Dan, ia telah pun memenangi Anugerah Eurobike 2024. DJI berkata anda boleh menghubungi mereka sekiranya anda ingin menyesuaikannya ke basikal semasa anda.

Inilah BMW R 1300 GS Adventure 2025 atau lebih dikenali sebagai GSA yang dinanti-nantikan.

Kami akan menunggu ulasan tentang penggayaannya daripada anda, namun di bawah badan baharu itu ialah segala-gala ciri yang boleh dipasangkan oleh BMW. Dan kami bermaksud segala-galanya.

GSA terkenal dengan tangki bahan apinya yang lebih besar dan model baharu ini turut menggunakannya, berkapasiti 30 liter, sama seperti R 1250 GS Adventure yang terdahulu.

Ciri-ciri BMW R 1300 GS Adventure (2025):
  • Automated Shift Assistant (ASA) dengan operasi klac automatik dan penukaran gear automatik mengikut mod tunggangan yang dipilih. Oleh itu, tiada lagi tuil klac.
  • Enjin Boxer yang dikongsi dengan GS bukan Adventure yang menampilkan transmisi pada bahagian bawah.
  • Teknologi BMW ShiftCam dikekalkan untuk mengubah pemasaan injap dan lejang injap pada bahagian pengambilan.

  • Ia menghasilkan 107 kW (145 hp) pada 7,750 RPM dan 149 Nm pada 6,500 RPM.
  • Casis direka bentuk semula sepenuhnya berbanding pendahulunya dengan kerangka utama kepingan logam dan kerangka belakang dengan tiub aluminium.
  • Suspensi Telelever EVO baharu dengan elemen lentur dan panduan roda belakang EVO Paralever yang disemak semula untuk pengendalian yang lebih tepat dan tunggangan yang lebih stabil.

  • BMW Motorrad Full Integral ABS sebagai ciri standard.
  • Empat mod tunggangan.
  • Engine drag torque control (MSR), Dynamic Brake Control (DBC) and Hill Start Control (HSC) sebagai ciri standard.

  • Ciri Driving Modes Pro sebagai ciri tambahan.
  • Dynamic Traction Control (DTC) sebagai standard.
  • Electronic Dynamic Suspension Adjustment (DSA) juga merupakan ciri tambahan.

  • Adaptive vehicle height control sebagai ciri tambahan. Sistem ini meninggikan motosikal 30mm secara automatik setelah bergerak, dan merendahkannya kembali apabila bergerak perlahan sebelum berhenti.
  • Lampu depan Matrix LED dan lampu spotlight baharu sebagai ciri standard.
  • Headlight Pro dengan ciri lampu depan adaptif sebagai ciri tambahan.

  • Pelindungan tangan berserta lampu signal sebagai standard.
  • Dynamic Cruise Control (DCC) dengan fungsi brek sebagai standard.
  • Riding Assistant with Active Cruise Control (ACC), Front Collision Warning (FCW), Lane Change Warning, dan Rear End Collision Warning (RECW) merupakan ciri-ciri tambahan.

  • Kompartmen mengecas telefon dengan soket USB dan soket pengecas 12V adalah ciri-ciri standard.
  • Pemanas pelana penunggang dan pembonceng sebagai ciri tambahan.
  • Penambah tinggi hendel sebanyak 30mm juga ciri tambahan.

  • Terdapat juga berbagai variasi pelana sebagai ciri tambahan.
  • Meter TFT 6.5-inci dengan berbagai ciri sebagai standard.
  • RDC, Keyless Ride, dan pemanas handel sebagai ciri-ciri standard.

  • Intelligent Emergency Call merupakan ciri standard tetapi bergantung kepada pasaran.
  • Terdapat tiga pilihan warna iaitu Triple Black, GS Trophy, and Option 719 Karakorum.

BMW Motorrad berkata bahawa berat basah BMW R 1300 GS Adventures (2025) ialah 269kg, berbanding 237kg untuk R 1300 GS (2024), manakala ketinggian tempat duduknya ialah 870mm dan boleh laras kepada 890mm.

Harga di UK bermula dari £18,870 (RM113,872.52) hingga £21,300 (RM128,536.55).

Sepasang kekasih yang giat menjual topi keledar tiruan yang berjenama Arai ditangkap oleh pihak berkuasa. Mereka menjalankan kegiatan mereka menerusi aplikasi TikTok dan Facebook.

Operasi serbuan dilakukan oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah bersama wakil syarikat di sebuah rumah di Alor Setar.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan itu selepas aduan dan hasil risikan yang dilakukan sejak Februari lalu.

“Pemeriksaan lanjut di dalam premis menemukan 95 topi keledar, 133 unit beg sarung topi keledar dan lain-lain barangan yang mempunyai label jenama yang disahkan tiruan oleh wakil syarikat.

“Semua barangan disita dengan nilai rampasan dianggar RM16,248 dan pasangan berusia 30-an itu ditahan. Mereka dilepaskan selepas diambil keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan orang ramai dinasihat agar tidak menjual atau menawarkan apa-apa barangan yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat sebarang kegiatan mencurigakan boleh menyalurkannya menerusi semua saluran aduan rasmi KPDN atau pejabat KPDN Kedah di talian 04-7001745, “katanya.

Juara dunia sembilan kali Valentino Rossi dan Francesca Novello bakal menyambut anak kedua mereka.

Rossi mengumumkan berita gembira itu dalam akaun media sosial X dengan beberapa gambar dan kapsyen “La Franci è incinta, aspettiamo un’altra bambina,” yang diterjemahkan kepada “Franci hamil, kami menjangkakan seorang lagi gadis kecil.” Ya, anak pertama mereka juga seorang perempuan, bernama Guilietta.

Foto-foto menunjukkan Rossi berpakaian seperti seorang doktor yang dikaitkan dengan nama samarannya “The Doctor” ketika berlumba. Foto ini meniru foto ketika dia mengumumkan anak pertama mereka pada 2021. Dia bersara daripada perlumbaan motosikal profesional tidak lama kemudian.

Walaupun masih mengekalkan jawatan sebagai duta Yamaha, “The Doctor” ialah pemilik pasukan VR46 Racing Team yang menggunakan jentera Ducati di dalam kejuaraan MotoGP.

Selain itu, Rossi telah beralih kepada perlumbaan kereta dan telah mencapai beberapa keputusan yang baik.

Beliau kini merupakan pemandu GT3 pasukan pengilang untuk BMW. Beliau memulakan kerjaya GT3-nya dengan pasukan WRT dan Audi pada 2022, tetapi pasukan itu beralih kepada BMW tahun lepas untuk menghadapi usaha pengilang dalam kelas Hypercar di dalam Kejuaraan Endurans Dunia (WEC). Oleh itu, pertukaran kepada BMW dalam GT3 adalah sebahagian daripada pakej tersebut.

Memandu BMW M4 GT3, Rossi telah menaikki podium beberapa kali dalam siri GT World Challenge Europe (GTWCE), termasuk dua kemenangan, kedua-duanya di Misano.

Tahun ini, beliau berganjak ke WEC segaris dengan penglibatan beliau di dalam GTWCE. Rossi meraih podium pertamanya awal tahun ini pada pusingan kedua di Imola. Malangnya, BMW #46 miliknya terlibat dalam kemalangan berbilang kereta di Spa. Perlumbaan Le Mans 24 Jam baru-baru ini menyaksikan keretanya mendahului beberapa kali sebelum terlibat dalam satu lagi kemalangan berbilang kereta.

Art of Speed ​​Malaysia 2024 (AOS) akan lebih besar daripada sebelumnya. Dengan slogan “Stop The Violence” (“Hentikan Keganasan”) tahun ini, ia memupuk cinta tanpa kebencian, dan perpaduan tanpa sempadan.

Acara tahunan Kustom & Counter Culture terbesar di Malaysia ini kembali ke Taman Ekspo Agro Malaysia, Serdang (MAEPS). Tapak ini mempunyai kawasan pameran dalaman seluas 42,000 meter persegi (452,084 kaki persegi) dan kawasan pameran luaran seluas 3.5 hektar (8.6 ekar). AOS berkata bahawa setiap dewan acara telah dipenuhi serta akan menampilkan banyak aktiviti dan pameran yang menyeronokkan untuk peminat dan pelawat pada hujung minggu. MAEPS akan menganjurkan Art of Speed ​​2024 (AOS 2024) pada 27 Julai 2024 (10:00 pagi – 7:00 malam) dan 28 Julai 2024 (10:00 pagi – 7:00 malam).

Daripada siaran media AOS:

Senarai tetamu yang diketengahkan AOS 2024 daripada komuniti custom dan media  antarabangsa akan termasuk:
  • Shige Suganuma, Shinotsuka “NATQQ” Michihisa & Hey Murakamii daripada MOONEYES, Jepun. 

  • Ikon drift terkenal dunia Daigo Saito dari Toyota Gazoo Racing akan menghadiri AOS 2024! Daigo ialah pemandu yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun dan telah memenangi pelbagai kejuaraan, termasuk siri Grand Prix D1 dan siri Formula Drift. Beliau juga telah mengasaskan kedainya sendiri bernama Fat Five Racing, di mana beliau telah membina banyak kereta drift yang unik. Satu contoh yang ketara ialah Lamborghini Murcielago (drift-spec) miliknya. Sejak itu beliau telah mengembangkan kedainya – kini dikenali sebagai Fat Five Land – yang merangkumi ruang istirahat/bar, pameran kereta dan kawasan drift di mana anda boleh menunggang bersama Daigo.

  • Katie’s Customs; Jepun – akan menampilkan motosikal kustom Vincent Black Shadow (https://en.wikipedia.org/wiki/Vincent_Black_Shadow). Ditubuhkan pada tahun 2005, Katie’s Custom Shop beroperasi di Daerah Nishitama di Tokyo. Pemiliknya Encik Katsuya Tasaki, adalah seorang yang pakar dalam Harley-Davidsons, dan visi kreatifnya adalah untuk mencipta satu silhouette dimana orang yang tidak berminat dengan budaya kustom akan tertarik dengannya! Beliau juga telah memenangi pelbagai anugerah di Yokohama Hot Rod Custom Show.

  • STOOP Motorcycles; Jepun – Masato Ikemori dari STOOP Motorcycles akan hadir ke AOS 2024 dengan Harley-Davidson Panhead miliknya. Panhead pertama kali diperkenalkan pada tahun 1948 dan telah dikeluarkan sehingga tahun 1965, dibuat dalam dua versi (61 and 74 cubic inch displacements). Nama panggilan “Panhead” merujuk kepada bentuk penutup injap aluminium yang ditekan yang menyerupai kuali memasak. Panhead terletak tinggi dalam hierarki enjin Harley-Davidson klasik bersama-sama enjin terulung lain seperti Flathead, Knucklehead dan Shovelhead.

  • EVILACT, Jepun – Dilahirkan dan dibesarkan di Yokohama, Jepun, Minato Yamamoto dibesarkan di bawah pengaruh counterculture yang terkenal di kampung halamannya. Selain mengasaskan EVILACT, Minato juga seorang bekas pelukis dan kini merupakan pereka fesyen. Minato akan membawa Harley-Davidson Knucklehead EL 1947 miliknya ke AOS 2024.
  • Nigel Petrie dari Engineered To Slide; Australia – Nigel Petrie terkenal dengan kerja-kerjanya bersama kereta kustom. Minatnya yang mendalam terhadap kereta dan motosikal telah mendorongnya untuk menjadi pengimpal dan pereka, dengan rekaanya yang paling terkenal iaitu space frame drift Toyota Hilux, yang dibina di bawah jenamanya Engineered To Slide. Nigel kekal komited mengasah kemahirannya untuk mencipta kereta serta motosikal kustom untuk dipadankan dengan gaya uniknya.
  • Spinny, Thailand – Pemenang Best European Custom Bike di Bangkok Hot Rod Show 2024.
  • Little Boy Cycles, Thailand – Pemenang Best of Show di Bangkok Hot Rod Show 2024.
  • Dino Dalle Carbonare & Alexander Iain dari Speedhunters.com; Global.
  • ONE LOW, Masashi Tasaki; Japan – One Low ialah kedai Volkswagen Speed Shop yang ternama dari Jepun, terkenal kerana membina MOONEYES Volkswagen Beetle drag car – Moon Bug.
  • Tengku Djan, The Prince of Drift – Tengku Djan Ley bin Tengku Mahaleel ialah seorang pemandu drift profesional Malaysia yang telah bertanding dalam siri D1 Grand Prix Racing sepanjang beberapa siri drift dan perlumbaan. Beliau mempunyai banyak pencapaian dalam kerjaya perlumbaan profesionalnya seperti memenangi perlumbaan Merdeka Millennium Endurance selama 12 jam berturut-turut pada 2005 dan 2006.

  • Makoto from Makoto M&K Custom Signs – Makoto ialah artis yang menghasilkan poster AOS 2024 dan juga pereka untuk kereta die-cast di Hot Wheels Japan Collectors Convention.
  • 2 Percenter, Jepun
  • Masanari Kobyashi dari Jepun 
  • Burnout Magazine, Jepun
  • Majalah Vibes, Japan – Tahun ini pemilik majalah Vibes, Encik Tosihiro, akan mengunjungi AOS 2024
  • Majalah Ignite, Thailand
  • Cynar, Jepun

  • Mow, Australia
  • Choppajoop, Singapore
  • Hisa Artes 66 Paintlab, Indonesia (a collective group of 15 pinstripe artists)
  • Fahmi Freeflow, Indonesia
  • Mill Art, Indonesia
  • Mr. Pinman, Thailand
  • Irvine Jasta, Indonesia
  • Cherry Bomb Pin-Up Parlour, Singapore
  • Bangkok Hot Rod Show, Thailand
  • Mooneyes Bangkok, Thailand
  • Kustomfest, Indonesia
  • Borneo Kustom Show, Brunei
  • BBQ Ride, Indonesia
  • Wicked Wallop, Singapore
  • Ya Seat, Thailand
  • Wheelspin, Thailand
  • Von Dutch, Indonesia
Sorotan khas AOS 2024 bakal merangkumi:
  • Terbaharu Untuk 2024! – SoundCircus Takeover oleh Art of Speed kali ini berbeza dari tahun sebelumnya. Bukan lagi festival di luar dewan, SoundCircus kini mengambil alih Dewan A! Kugiran musik seperti Spider, Gerhana Ska Cinta, Salam Musik, Jemson X Forcesparkbois, Slatan, 53 Universe dan ramai lagi akan menggegar AOS kali ini! SoundCircus akan diadakan sepanjang acara berlangsung dari 27 ke 28 Julai 2024 dari jam 4:00 petang hingga lewat di MAEPS Serdang. Tiket kini boleh didapati di https://scf.artofspeedmy.com/ticket/ (Tiket Early Bird sudah habis dijual). 

*PENTING* Memandangkan SoundCircus Takeover ialah acara tertutup, ibu bapa perlu mengawasi anak-anak yang hadir!

  • Terbaharu Untuk 2024! – Art of Speed ​​akan berkolaborasi dengan Selangor FC (SFC) dalam menyokong kempen SFC yang sedang berjalan; “Stop The Violence”, melayari daripada bola sepak kepada gaya hidup automotif.
  • Terbaharu Untuk 2024! – Komuniti Moto4sale untuk jual beli motosikal bawah 500cc.
  • Terbaharu Untuk 2024! – Kolaborasi Art of Speed ​​bersama IGL Coatings akan mempamerkan coating edisi terhad yang dibuat khas untuk penunggang motosikal dan motosikal.
  • Terbaharu Untuk 2024! – AOS berkolaborasi bersama 4 jenama tahun ini! Pertama, Art of Speed X Zippo. Kedua, Art of Speed X Von Dutch (baju kerja dan topi). Ketiga, Art of Speed X Selangor FC, dan kolaborasi yang ditunggu-tunggu tahun ini ialah Art of Speed x MOONEYES.
  • Terbaharu Untuk 2024! – AOS Invitational Build-Off kembali dengan  10 orang pembina binaan khas yang akan merebut hadiah wang tunai dan juga peluang untuk menghantar motorsikal kustom mereka ke Jepun untuk acara The 32nd Yokohama Hot Rod Custom Show 2024. Pembina binaan khas yang tepilih adalah;
    • Abah & Sons (Padin Musa)
    • Nodie Cycles
    • Acid Welding
    • Zuhalfast
    • RGF
    • Flying Loser
    • Chaos Customs
    • FNG Works
    • Son of Abdul
  • The 2nd Official Hot Wheels Collectors Convention Malaysia kembali lagi di Dewan C selepas mendapat sambutan yang hangat dari pelawat dan pengumpul kereta figura tersebut pada tahun 2023. Kali ini pengunjung akan dapat menikmati lebih banyak aktiviti Hot Wheels – yang termasuk Pameran Hot Wheels Rare dan Collectibles, Hot Wheels Skate School, Hot Wheels Swap Buy And Sell, sesi perkongsian pengumpul, Pertandingan Kustom Hot Wheels dan banyak lagi! Dan untuk satu malam, majlis makan malam juga akan diadakan untuk Hot Wheels Collector Convention di Hotel Concorde, Kuala Lumpur. AOS 2024 akan melancarkan modal die-cast eksklusif konvensyen pertama untuk Malaysia bersama-sama Pengurus Pereka – Kenderaan Hot Wheels, Dwayne Vance.
  • Kembali di AOS juga ialah Outdoor ThunderCircus “Brotherhood Rally” – kawasan terbuka yang dikhaskan sepenuhnya untuk penunggang dan peminat motosikal. Sorotan untuk ThunderCircus termasuk “ride-in” mega dan pengumpulan kumpulan motosikal dari sekitar rantau ini.
  • Kerjasama dengan NoEqual.co akan menampilkan NEAT Fest di Dewan C, menampilkan paparan kolektif kereta bermodifikasi yang dipilih dari seluruh Malaysia. Kereta yang diketengahkan adalah beberapa yang diubah suai menarik daripada kategori tempatan, Jepun, Eropah dan supercar.
  • Daripada menjadi sebahagian AOS kepada acaranya tersendiri – Off The Grid akan kembali semula di Dewan C. Menampilkan “gaya hidup outdoor” yang diadakan di ruangan tertutup dengan keselesaan hawa dingin, Off The Grid akan mempamerkan banyak aktiviti di atas dan luar pentas untuk dinikmati seisi keluarga. Jenama-jenama tempatan dan antarabangsa juga tersedia buat peminat “gaya hidup outdoor” cuci mata dan membeli belah!
  • Hail Vintage dan Streetware Con menampilkan fesyen pakaian jalanan dan thrift di Hall D. Kini dengan lebih banyak vendor untuk 2024. Tahun ini menampilkan  Backdoor Soundsystem Collective untuk menghiburkan orang ramai sepanjang hujung minggu.
  • Christopher Ng dari Motoqar akan menjadi hos pada tahun ini untuk acara Kustom & Koffee Talk tahunan di Dewan A pada pukul 3.30 petang pada hari Sabtu, bersama-sama dengan ahli panel dari luar negara. Forum ini akan membincangkan trend terkini dalam industri motosikal dan automobil.
  • Show & Shine juga kembali di Dewan A, menampilkan kereta-kereta yang telah diubah suai dan motosikal bermodifikasi terbaik dengan peluang memenangi Best of Show iaitu lawatan ke The 32nd Annual Yokohama Hot Rod Custom Show yang akan diadakan pada Disember 2024 nanti.
Aktiviti tambahan AOS 2024 merangkumi:
  • Roda Rumble 2024 – Two Wheels Gathering & Outdoor Festival yang dianjurkan oleh Retro Mania.
  • La Cultura – Malaysia’s Chicano Culture Appreciation Gathering, merangkumi persembahan fesyen gaya Cholo dan Chicano, persembahan Tarian dan DJ, dan lain-lain lagi.
  • Food Park- Vendor dan foodtruck makanan kini di LUAR!
  • Bazar vintaj automobil.
  • Pelancaran produk di atas pentas.
  • Test Ride Zone untuk motorsikal (Royal Enfield, Vespa, Aprilia, Triumph, Lambretta, Harley-Davidson, dan lain-lain).

Cabutan bertuah tahun ini akan berlangsung pada hari Ahad dan ianya istimewa kerana hadiahnya merupakan kolaborasi antara AOS X QARTEL TV. Seorang pemegang tiket bertuah akan pulang dengan hadiah cabutan bertuah dengan SATU (1) Honda yang telah dimodifikasi. Kereta ini merupakan kenderaan “moden” pertama yang dipilih sebagai hadiah, dipilih kerana berfungsi serba boleh dan kecakapannya. Oleh itu, AOS telah bekerjasama dengan pakar Honda, Qaqal Jeffry dari QARTEL TV.

Pas hujung minggu AOS 2024 boleh diperolehi di depan pintu dan atas talian dengan harga RM35.00, manakala kanak-kanak di bawah umur 12 tahun masuk secara PERCUMA. Pemegang pas OKU juga diberikan kemasukan secara percuma. Baharu untuk tahun 2024 adalah pilihan untuk mendapatkan parkir tiket valet VIP. Dengan bayaran RM30.00, pengunjung boleh meletakkan kereta mereka di aras bawah di Dewan D dan ia sah untuk kemasukan sehari. *Tidak termasuk yuran pemprosesan RM3.

“Kami amat bersyukur kerana dapat menganjurkan Art of Speed ​​Malaysia selama 13 tahun. Ia bukan sahaja untuk merealisasikan sebuah impian tetapi juga untuk kekal dengan cita-cita asal kami iaitu mengadakan acara yang mengumpulkan peminat-peminat di bawah satu bumbung untuk meraikan segala yang berkaitan dengan seni, gaya hidup, budaya dan permotoran,” kata Encik Asep Ahmad Iskandar, Pengarah Festival, Art of Speed ​​Malaysia (AOSM).

“Kami dengan sedaya upaya telah mencipta acara kami dengan dasar dan cara yang betul untuk diikuti, yaitu menyediakan ruang yang selamat, selesa dan inklusif, kandungan untuk semua deria manusia, aspirasi yang berpatutan, persaudaraan, dan sentiasa meraikan masa yang baik. Kesimpulannya, Art of Speed ​​adalah untuk semua orang; sentiasa ada dan akan sentiasa ada. Terima kasih kerana bersama dengan kami sekali lagi untuk tahun 2024 dan jom kita sama-sama nanti meraikan AOS 2024!”

Permohonan Vendor & Korporat kini dibuka, sila hubungi Rafiq di talian +6012 2620 405 untuk sebarang pertanyaan perniagaan. Maklumat lanjut mengenai acara ini boleh dilayari di www.artofspeedmy.com atau www.facebook.com/ArtOfSpeedMY/ 

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mula menguatkuasakan kadar kompaun baharu bagi kesalahan lalu lintas mulai Isnin, 1 Julai 2024. Kesalahan-kesalahan tersebut adalah di bawah bidang kuasa Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan perundangan subsidiarinya.

DBKL mengumumkan kadar kompaun bagi kategori motosikal ialah RM30 bagi pembayaran yang dibuat dalam tempoh satu hingga 15 hari, RM50 (16 hingga 30 hari) dan RM80 (31 hingga 60 hari).

Bagi kesalahan yang melibatkan kereta, kadar kompaun adalah RM50 bagi pembayaran yang dibuat dalam tempoh satu hingga 15 hari, RM80 (16 hingga 30 hari) dan RM100 (31 hingga 60 hari).

Manakala bagi kenderaan berat, kadar kompaun adalah RM200 bagi pembayaran yang dibuat dalam tempoh satu hingga 15 hari, RM250 (16 hingga 30 hari) dan RM300 (31 hingga 60 hari).

JENIS KENDERAAN Dibayar dalam
1-15 hari 16-30 hari 31-60 hari
Motosikal RM30 RM50 RM80
Kereta RM50 RM80 RM100
Kenderaan berat RM200 RM250 RM300

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube