Bikesrepublic

BM

Perhimpunan Panigale Kingdom Mega Gathering 2024 baru-baru ini mencipta rekod baharu.

Ia adalah peristiwa penting apabila lebih 310 pemilik Ducati Panigale berserta motosikal mereka berkumpul untuk acara tersebut. ia jelas mengatasi rekod sebelumnya yang merekodkan 150 Ducati Panigale pada 2011. Perhimpunan terbesar ini mendapat tempat dalam Malaysia Book of Records.

Acara Panigale Kingdom Mega Gathering 2024 bermula di bilik pameran Ducati KL, dan seterusnya menuju ke Nilai Spring untuk perayaan selanjutnya. Keseluruhan acara dan konvoi menyerlahkan keakraban dan perpaduan masyarakat Panigale.

Beberapa tokoh menghadiri acara itu termasuk wira MotoGP, WSBK dan ARRC Hafizh Syahrin; Siddhartha Varma, Pengarah Pemasaran Asia Pasifik, Ducati Motor Thailand; dan Dennis Michael, COO Ducati Malaysia.

Dennis Michael mengongsikan pendapatnya, “Perhimpunan Panigale Kingdom Mega Gathering ini adalah lebih daripada sekadar acara pemecahan rekod dunia; ia turut meraikan semangat ‘Malaysia Boleh!’ dan cinta Ducati di negara kita. Kami sangat teruja untuk menyokong kelab Ducati tempatan kami yang bersemangat dan pemilik bersemangat mereka, terutamanya apabila ia berkaitan dengan cinta mereka untuk Ducati, di Malaysia dan juga di seluruh dunia. Saya juga ingin menyampaikan ucapan penghargaan kepada rakan sekerja saya Siddhartha kerana menyerikan acara ini dan menyaksikan sendiri kekuatan peminat Ducati Malaysia kami.”

Siddhartha Varma menambah, “Perhimpunan Panigale Kingdom di Malaysia adalah bukti semangat dan dedikasi penunggang kami. Ia adalah pemandangan yang luar biasa untuk melihat begitu banyak motosikal Panigale bersama-sama, mencerminkan perpaduan dan semangat yang mentakrifkan keluarga Ducati.”

Secara keseluruhannya, Panigale Kingdom Mega Gathering 2024 bukan sahaja mencatat rekod dunia baharu tetapi juga menekankan komitmen dan semangat yang tidak berbelah bagi pelumba Ducati. Acara bersejarah ini mempamerkan intipati warisan Ducati, semangat inovasi, dan semangat kemasyarakatan yang mendalam yang mengikat peminat Panigale di seluruh dunia.

Lesen syarikat bas persiaran yang terbabit di dalam kemalangan maut di Genting Highland pada Sabtu, 29 Jun 2024, akan digantung.

Ia difahamkan bahawa pemandu bas malang tersebut tidak mempunyai lesen yang sah, serta mempunyai 27 rekod kesalahan trafik yang lampau. Kemalangan itu menyebabkan 2 orang pelancong negara China terbunuh, manakala 13 lagi pelancong cedera. 4 pemandu pelancong, dan pemandu bas juga terselamat.

Seramai lapan mangsa kemalangan yang menerima rawatan di hospital dilaporkan stabil.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing mendedahkah bahawa terdapat aduan daripada mangsa yang mengatakan bas itu tidak mempunyai pendingin hawa dan berbunyi bising. Selain itu, pelancong-pelancong tersebut telah menukar bas sebanyak tiga kali dalam tempoh enam hari lima malam mereka berada di sini. Menteri itu berkata, “Ini membuktikan bas tidak diselenggara dengan baik.”

“Itulah sebabnya saya sentiasa beritahu semua syarikat pelancongan mesti bersedia menerima pelancong dari luar negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa kemalangan bas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yuging.

Susulan itu, lesen operasi syarikat itu digantung sementara siasatan dan laporan penuh dilakukan. “Saya sudah mengarahkan kementerian menjalankan siasatan terhadap syarikat pelancongan itu kerana difahamkan mereka mempunyai subline (pihak ketiga).

Mengulas lanjut, Tiong berkata, satu mesyuarat khas membabitkan kementeriannya bersama Kementerian Pengangkutan akan diadakan pada Selasa ini, bagi membincangkan mengenai siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata, antara yang akan dibincangkan termasuk prosedur operasi standard (SOP) membabitkan syarikat pelancongan dan bas persiaran yang di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, pihaknya memandang serius mengenai isu keselamatan pelancong asing yang mendapatkan khidmat syarikat pelancongan di negara ini.

“Saya sudah minta kementerian segerakan siasatan pendek bermula esok dan selepas siasatan penuh mendapati ada kesalahan, maka kami akan membatalkan lesen syarikat terbabit,” katanya.

Beliau turut memohon maaf kepada kesemua mangsa yang terbabit nahas berkenaan dan berharap kejadian sama tidak berulang lagi.

Inilah Ducati Desert X Discovery (2024): Desert X dengan semua peralatan penjalahan rasmi yang anda perlukan.

Ia menggunakan motosikal standard sebagai asas, yang sudah cukup berkuasa dengan enjin 937cc, V-Twin 90° (Ducati menegaskan ia adalah ‘L-Twin’) yang menghasilkan 110 hp.

 

Dan seolah-olah itu tidak mencukupi, anda mendapat suspensi KYB boleh laras, kaliper brek Brembo M50, sepasang cakera brek 320mm di hadapan, rim depan 21 inci dan belakang 18 inci yang dipasang dengan tayar Pirelli Scorpion Rally STR, serta skrin TFT dengan ciri Bluetooth sebagai standard.

Untuk membawanya kepada spesifikasi Discovery, Ducati menambahkan:

  • Pelindung enjin.
  • Pelindung tadahan minyak.
  • Pelidung tangan yang diperkuatkan.
  • Pelindung radiator.
  • Skrin depan jelajah yang lebih tinggi.
  • Pemanas handel.
  • Topang tengah.
  • Sepasang kotak simpanan barangan aluminium berkapasiti 76 liter.

Tiba-tiba idea untuk menunggang motosikal ini ke tapak perkhemahan terpencil bukanlah suatu rancangan yang perlu membimbangkan.

Ducati Desert X Discovery (2024) berharga £17,295 (RM103,185.71), iaitu £2,300 (RM13,722.29) lebih tinggi daripada Desert X standard.

Tetapi… harga itu sebenarnya lebih mahal daripada Ducati Multistrada V4 standard yang dijual pada harga £16,995 (RM101,394.30) di UK.

Motosikal BMW R 1300 GS Trophy Competition (2024) telah didedahkan menjelang BMW International GS Trophy 2024 yang akan berlangsung di Namibia, Afrika pula.

BMW Motorrad telah menyediakan BMW R 1300 GS 2024 yang dilancarkan baru-baru ini untuk usaha ini.

Tetapi sudah tentu, model ini bukan jenis yang dibuat khusus sebagai prototaip. Sebaliknya, BMW menjadikannya dengan membuat beberapa perubah ke atas R 1300 GS yang anda boleh beli di pengedar BMW Motorrad berdekatan anda.

Enjin Boxer baharu itu kelihatan tidak disentuh dan mengekalkan 145 hp dan tork 149.2 Nm. Selain itu, ia dipasang dengan roda jejari silang hitam dengan rim dengan warna yang di-anodise, dan disarungkan dengan tayar Metzeler Karoo 4. Suspensi motosikal ini dilengkapi dengan ciri Adaptive Height Control untuk pengendalian yang lebih selamat dan mudah.

Perlindungan untuk motosikal termasuk bar perlindungan enjin, pelindung kerangka, plat pelindung enjin yang besar, pelindung lampu depan, pelindung tangan dengan warna putih.

Sistem ekzos Akrapovič, penaik bar hendal, tuil penukar gear dan brek yang boleh laras, pemijak kaki GS Vario, tuas tangan enduro dan tempat duduk rali, melengkapkan senarai peralatan pertandingan GS. Beg pengembaraan dipasang untuk penyimpanan barang.

GS Trophy kembali ke benua di mana ia bermula pada 2008 selepas mengembara ke seluruh dunia ke lokasi seperti Thailand, New Zealand, Mongolia, Albania, dan lain-lain. Namibia, yang terletak di pantai barat daya Afrika menjanjikan pemandangan yang menakjubkan bersama dengan haiwan Lima Terbesar (The Big Five). Walau bagaimanapun, BMW Motorrad mengatakan bahawa ini mungkin edisi paling mencabar yang pernah ada.

Seramai 60 pelumba daripada 22 pasukan kebangsaan (16 lelaki, 6 wanita) akan bersaing untuk merebut GS Trophy 2024 Namibia dari 15 hingga 20 September. Berdasarkan acara GS Trophy yang lalu, pasukan yang paling berjaya ialah pasukan yang paling bersedia, semangat berpasukan yang terbaik, dan paling mahir menunggang motosikal.

Boon Siew Honda juga telah melancarkan Honda Dash 125 (2024) setelah melancarkan Honda CB350RS (2024).

Terdapat beberapa kemas kini pada model walaupun kedudukannya sebagai moped mesra bajet.

Ciri-ciri utama:
  • Honda menggelar enjin ini sebagai “enjin 125cc yang mematuhi EURO 4 yang telah diperhalusi.” Ini bermakna kecekapan bahan api yang lebih baik untuk melepasi piawaian pelepasan yang sukar.
  • Mengikut tradisi Honda untuk menghasilkan tork yang lebih baik dalam julat RPM rendah hingga pertengahan, enjin ini turut menggunakan lejang yang lebih panjang dengan dimensi gerek x lejang 52.4 mm x 57.9 mm.

  • Enjin 124.9cc, DOHC, empat injap, penyejukan udara, suntikan bahan api PGM-FI ini menghasilkan 7.35 kW (9.8 hp) pada 8,000 RPM dan 9.54 Nm pada 6,500 RPM. Lihat apa yang kami maksudkan dengan lejang yang lebih panjang menghasilkan tork yang lebih tinggi?
  • Spesifikasi lain tetap sama seperti transmisi 4-kelajuan dan penghidup tendang.

  • Dari segi rupa, kini terdapat visor dan penutup hendal pemegang yang diperhalusi.
  • Lampu depan kini LED.

  • Honda Dash 125 (2024) mempunyai brek cakera hadapan dan belakang, walaupun tanpa ABS.
  • Terdapat tiga warna iaitu Merah, Biru, dan Kelabu.

Ia boleh didapati di semua Honda IMPIAN X dan pengedar sah di seluruh negara mulai hari ini, 28 Jun, dengan harga jualan yang disyorkan daripada RM6,599 (tidak termasuk cukai jalan, insurans,
dan pendaftaran).

Galeri gambar Honda Dash 125 (2024)

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menebang 175 pokok yang diklasifikasinya sebagai berisiko, setelah memeriksa 1,588 pokok berusia di sekitar ibu kota.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, penilaian itu dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selain pemeriksaan berterusan akan dilakukan terhadap pokok-pokok berusia.

“Bagi mencerminkan komitmen DBKL, sebanyak 21 kontraktor telah dilantik bermula 15 Jun 2024 bagi penyelenggaraan pokok rendang secara berkala dan setiap kontraktor perlu menyediakan seorang arboris, iaitu individu yang pakar dalam pemeriksaan pokok, untuk menilai tahap kesihatan dan tindakan mitigasi ke atas pokok,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) yang ingin tahu tindakan dalam memastikan pokok di bawah seliaan DBKL dan premis persendirian mematuhi garis panduan untuk mengelakkan ancaman bahaya kepada orang awam.

Bagi kerja-kerja penyelenggaraan pokok, beliau berkata, menurut rekod DBKL, sejak Januari sehingga Jun kerja-kerja penyelenggaraan telah dijalankan ke atas 22,283 batang pokok.

Mengenai pokok di premis persendirian, Dr Zaliha berkata, DBKL sudah mengeluarkan 65 surat pemberitahuan mengenai pokok-pokok berisiko di kawasan persendirian hasil aduan orang awam sejak 2021 sehingga Mei lalu.

Menjawab soalan Zahir mengenai data insiden kecederaan dan kemalangan akibat pokok tumbang di Kuala Lumpur, beliau berkata, terdapat 14 kes kemalangan yang disebabkan kejadian itu dengan sembilan kes menyebabkan kecederaan dan lima kes kematian bagi tempoh 2017 hingga 2024.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, tiga kes masih dalam siasatan dan prosiding mahkamah, enam kes ditolak kerana kemalangan berlaku di luar kawasan seliaan DBKL, manakala baki lima kes lagi telah selesai dibayar oleh pihak insurans.

Honda CB350RS (2024) telah dilancarkan di Malaysia.

Honda menggelarnya sebagai “model sport jalanan” tetapi lebih tepat jika digelar retro moden atau lebih khusus UJM (universal Japanese motorcycle/motosikal Jepun sejagat). Walauapapun, ini adalah bentuk semua motosikal pada zaman dahulu. Anda beli hanya sebauh motosikal seperti ini, ubah suainya dan pergi berlumba tidak kira di atas jalan atau off-road (jadi scrambler), dan kemudiannya pergi ke tempat kerja pada hari berikutnya.

Bagaimanapun, Honda CB350RS (2024) ialah sebuah motosikal moden dengan ciri-ciri moden, di dalam bentuk badan klasik berbanding rekabentuk “neo retro” Honda CB250 yang cacamarba.

Ciri-ciri utama:
  • Enjin 348cc, silinder tunggal, penyejukan udara, empat lejang, OHC.
  • Ia menghasilkan 15.5 kW (20.8 hp) pada 5,500 RPM dan 30 NM pada 3,000 RPM.

  • Enjin ini menggunakan sistem suntikan bahanapi Programmed Fuel Injection (PGM-FI) yang sinonim dengan Honda.

  • Kuasa enjin dihantar ke kotak gear melalui klac Assist and Slipper Clutch. Honda-lah yang mereka klac slipper.

  • Kerangka dwi tiub keluli. Honda berkata ia direka untuk mengimbangi kekuatan menegak, mendatar, dan sisi.
  • Ciri bantuan elektronik berupa sistem kawalan cengkaman Honda Selectable Torque Control (HSTC).

  • Sistem brek motosikal ini terdiri daripada cakera tunggal di depan dan belakang.
  • Sistem brek anti-kunci (ABS) dwi saluran.

  • Saiz rim dan tayar ialah 100/90-19 di depan dan 150/70-17 di belakang.
  • Lampu depan bulat klasik, dengan pencahayaan LED.

  • Digital-analogue metre panel displaying some useful data including gear position, battery voltage, and distance to dry fuel status.
  • Meter digital-analog yang memaparkan data-data yang berguna seperti posisi gear, volt bateri, serta jarak untuk petrol yang tinggal.

Honda CB350RS (2024) boleh didapati dalam dua warna iaitu Mat Massive Gray Metallic and Athletic Blue Metallic, dan harga jualannya daripada RM20,500 (bukan di atas jalan).

Galeri gambar Honda CB350RS (2024)

Kerajaan sedang meneliti keperluan rasionalisasi subsidi petrol RON95.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bagaimanapun berkata, buat masa ini tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasarannya menjadi stabil.

“Ia sekali gus mencapai objektif yang ditetapkan, antaranya untuk memperkukuh kemampanan fiskal negara serta mengurangkan ketirisan dalam pengagihan subsidi diesel.

“Sekiranya rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95 dilaksanakan pada masa akan datang, kerajaan akan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan golongan terkesan akan diberikan bantuan sewajarnya,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) adakah melaksanakan pengurangan subsidi petrol memberi impak positif kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, pelaksanaan pemberian subsidi diesel secara bersasar bermula 10 Jun turut dijangka dapat memberikan penjimatan RM4 bilion setahun.

Dalam pada itu katanya, pelaksanaan inisiatif penyasaran subsidi turut membantu kerajaan memperkukuhkan kedudukan dasar kewangan dan memanfaatkan sumber yang ada.

“Penjimatan daripada inisiatif penyasaran semula subsidi akan dipulangkan kepada rakyat melalui pelaksanaan program serta projek yang lebih memberi manfaat dan benar-benar diperlukan oleh rakyat, seperti penambahbaikan dalam penyediaan perkhidmatan sosial serta kemudahan awam termasuk kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan keselamatan,” katanya.

Jualan diesel di sempadan merosot 30 peratus mengesahkan kewujudan aktiviti penyeludupan diesel sebelum kerajaan mengumumkan pengapungan harga subsidi diesel.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah penyasaran subsidi bermula 10 Jun lalu menyaksikan jumlah jualan runcit diesel di stesen minyak menurun hampir lapan juta liter sehari atau 30 peratus untuk minggu pertama selepas perlaksanaan penetapan semula harga diesel, berbanding minggu sebelum perlaksanaan.

“Selain itu, jualan diesel komersial pula meningkat sebanyak empat juta liter sehari yang memberi isyarat bahawa sebahagian penggunaan diesel runcit bersubsidi selama ini, sudah digunakan oleh sektor industri yang sepatutnya membeli diesel pada harga pasaran.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengapungan harga diesel tidak bermaksud kerajaan memansuhkan sepenuhnya subsidi ke atas bahan bakar itu memandangkan ketika ini, kerajaan masih menanggung subsidi diesel sehingga RM10 bilion, menurun berbanding RM14 bilion tahun lalu, sekali gus menyaksikan penjimatan RM4 bilion setahun.

“Kerajaan mampu raih penjimatan tahunan RM4 bilion. Penjimatan ini tentunya dapat dimanfaat untuk menambah baik mutu hidup rakyat melalui penyediaan infrastruktur awam berkualiti serta perlindungan sosial yang lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, perbelanjaan subsidi diesel negara meningkat 10 kali ganda iaitu daripada RM1.4 bilion pada 2019, kepada RM14.3 bilion pada tahun lalu.

“Trend kenaikan subsidi diesel ini tidak mampu lagi ditampung kerajaan secara berterusan. Peningkatan belanja subsidi bukan hanya disebabkan kenaikan harga pasaran, tetapi juga akibat peningkatan ketirisan diesel bersubsidi.

“Jumlah diesel bersubsidi digunakan naik mendadak 80 peratus iaitu daripada 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 bilion liter tahun lalu, walaupun tiada peningkatan kenderaan diesel baharu yang ketara dalam tempoh sama.

“Pada masa sama, jumlah jualan diesel komersial tanpa subsidi turun dua bilion liter dalam tempoh itu. Peningkatan penggunaan diesel bersubsidi amat ketara ini disebabkan jurang perbezaan harga besar antara harga komersial dengan harga runcit diesel bersubsidi di pam Malaysia,” katanya.

Katanya, harga runcit diesel Malaysia jauh lebih murah berbanding negara jiran, antaranya Thailand sekitar RM4.20, Indonesia lebih kurang RM4.40 dan Singapura hampir mencecah RM9 seliter membolehkan sebilangan perniagaan sektor komersial tempatan yang sepatutnya membeli diesel pada harga pasaran mengambil kesempatan menikmati dan menyeleweng diesel bersubsidi.

“Contohnya, mereka beli diesel bersubsidi daripada stesen minyak dan disalah guna untuk gen set di kilang, tapak pembinaan atau ladang sawit.

“Isu lebih utama ialah akibat harga diesel kita murah, ia menyebabkan aktiviti penyeludupan diesel ke negara jiran sukar dibendung. Inilah yang ditemui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semasa Op Tiris,” katanya.

Pasaran motosikal Jepun merosot -8.2 peratus dalam lima bulan pertama 2024. Ini berikutan penurunan -9.1% pada suku pertama tahun berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Berita ini tidak benar-benar mengejutkan kerana generasi baru di negara itu tidak menggemari motosikal sebagai alat pengangkutan dan rekreasi. Sistem pengangkutan Jepun amat baik dan menyediakan banyak alternatif yang lebih menjimatkan kos daripada menunggang atau memandu.

Tinjauan Piece of Japan jelas menunjukkan majoriti penunggang motosikal berumur antara 50 hingga 60 tahun.

Walaubagaimanapun, berita ini sememangnya mempunyai kesan ironi kerana jenama motosikal Jepun masih menguasai pasaran motosikal global.

Malah, Honda yang menerajui pasaran global merosot sebanyak -8.5%, Yamaha mencatatkan kemerosotan besar -18.1%, dan Suzuki juga menyaksikan susutan dua digit pada -12.1%.

Walau bagaimanapun, pengeluar Jepun yang lain, Kawasaki menyaksikan kenaikkan besar sebanyak +31%.

Pengeluar lain seperti Harley-Davidson melantun semula ke arah keuntungan pada +4.6% (ya, Harley masih popular di Jepun), Triumph meningkat +10.7%, dan KTM menunjukkan peningkatan +23.1%.

Pasaran keseluruhan Jepun masih merosot walaupun terdapat peningkatan oleh jenama lain ini hanya menunjukkan jumlah motosikal yang dijual oleh Honda, Yamaha, Suzuki, dan Kawasaki.

Data ini disusun oleh MotorCycles Data yang menjejaki penghantaran sebenar kepada pembeli dan bukannya jualan daripada pengilang kepada pengedar.

Sebanyak 652 kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan berat dilaporkan pada suku tahun pertama 2024.

Statistik yang membimbangkan itu didedahkan oleh  Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah. Daripada jumlah itu, terdapat 287 kes maut, 95 parah dan 270 cedera ringan.

Beliau berkata, kemalangan tersebut berpunca daripada pelbagai faktor termasuk kecuaian pemandu yang mengantuk, memandu melebihi had laju dibenarkan, dan kenderaan membawa lebih muatan serta tidak diselenggara dengan baik.

Beliau turut berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menggiatkan aktiviti penguatkuasaan, khususnya dari segi peraturan had muatan kenderaan dan had laju bagi kenderaan berat.

“Selain mengoperasikan 53 stesen penguatkuasa di seluruh negara, JPJ turut dibekalkan dengan 75 unit alat timbang mudah alih bagi tujuan penguatkuasaan.

“Tahun lalu, sejumlah 45,015 notis saman dikeluar membabitkan kesalahan muatan bahaya, manakala hingga April tahun ini pula, sejumlah 9,214 notis saman dikeluarkan.”

Menjelaskan lanjut, Hasbi berkata, Kementerian Pengangkutan bersama Kementerian Kerja Raya sedang dalam proses akhir membangunkan sistem ‘High Speed – Weigh in Motion’ (HS-WIM).

“Menerusi penggunaan sistem HS-WIM, aktiviti penguatkuasaan kenderaan berat boleh dilaksanakan secara masa sebenar atau automatik tanpa memerlukan kenderaan itu berhenti untuk ditimbang.

“Penggunaan sistem HS-WIM juga akan dapat mengurangkan kebergantungan pada jumlah tenaga manusia atau anggota penguatkuasa yang tinggi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, anggota akan boleh melaksanakan aktiviti penguatkuasaan di lokasi-lokasi lain yang tidak dipasang sistem HS-WIM.

“Sistem HS-WIM dijangka dapat memperluas capaian, meningkatkan pematuhan dan memperkukuh lagi keberkesanan penguatkuasaan ke atas peraturan had muatan kenderaan motor serta menjadi penyelesaian jangka panjang dalam menangani isu had muatan kenderaan berat,” katanya.

Harus diingatkan bahawa jumlah kemalangan tersebut mungkin lebih banyak kerana terdapat kes-kes yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

 

Spesifikasi CFMoto 675 SR untuk lesen kelas A2 telah didedahkan.

Seperti yang kami nyatakan sebelum ini, CFMoto sedang bersiap untuk melancarkan dua motosikal sportbike kelas pertengahan. Yang pertama ialah dengan enjin 500cc empat silinder sebaris yang dipanggil CFMoto 500 SR Voom, dan yang kedua dengan enjin 675cc tiga silinder yang dipanggil CFMoto 675 SR.

Pengilang ini telah pun menunjukkan edisi khas 675 SR-R Aspar pada bulan lepas. Ia dihiasi dengan segala warna Aspar serta grafik yang agak bersemak. Kini, CFMoto telah memfailkan permohonan kelulusan jenis untuk versi 675 SR yang standard.

CFMoto telah berkata bahawa enjin tiga silinder ini akan menghasilkan “lebih daripada 100hp” semasa di EICMA 2023, tetapi dokumen itu menunjukkan pada 70kW (94hp). Kenapa pula begitu? Itu adalah kerana 94hp merupakan kuasa maksimum menurut sekatan Kesatuan Eropah untuk pemegang lesen kelas A2. Adakah terdapat versi yang tidak mematuhi kelas A2? Kita akan nantikan.

Dokumen kelulusan juga menyatakan kapasiti enjin pada 674cc dengan tiga silinder dan gerek 72mm. Ini bermakna lejang mestilah sekitar 55mm, memberikan lejang yang lebih panjang daripada enjin 675cc Triumph (gerek 73mm) dan MV Agusta (gerek 79mm). Ini boleh bermakna bahawa enjin CFMoto mungkin mempunyai RPM maksimum yang lebih rendah tetapi menghasilkan tork lebih tinggi khususnya dalam julat RPM rendah dan pertengahan.

Spesifikasi 675 SR standard ini tidak mempunyai sayap yang lebih panjang dan lebih besar berbanding dengan 675 SR-R Aspar, tetapi ia mempunyai ekor yang lebih panjang dan pelana pembonceng, serta pemijak kaki untuk pembonceng. Edisi Aspar dikatakan motosikal trek sahaja, justeru tidak mempunyai lampu, lampu isyarat, cermin. Namun, berita baiknya ialah 675 SR standard ini mengekalkan fairing brek daripada prototaip yang menyalurkan udara penyejuk ke kaliper brek empat piston J.Juan.

Mungkin terdapat fork KYB boleh laras seperti pada CFMoto 800 NK dan lengan ayun aluminium. Jarak roda adalah 1399.6mm, lebih pendek sedikit daripada Honda CBR650R. Berat basah ialah 195kg.

Bagi anda yang taksub top speed, pengeluar meletakkan kelajuan maksimum CFMoto 675 SR pada 219km/j untuk versi A2 ini, jadi versi standard mungkin akan lebih pantas.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube