Bikesrepublic

Hubungan SRT-SIC Tamat, Penjenamaan Semula Bergantung Pada Razlan – SIC

Baru-baru ini, berlaku kejutan melibatkan pasukan Sepang Racing Team (SRT) apabila Petronas mengumumkan pengunduran selaku penaja utama (title sponsor).

Perkara itu kemudiannya disahkan pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menerusi satu kenyataan media.

Kami kemudiannya berpeluang menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif mengenai kedudukan SIC bersama SRT, semalam.

Menurut Azhan, kerjasama di antara SIC dan SRT tidak akan diteruskan memasuki musim 2022 namun terserah kepada prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali untuk menentukan sama ada perlunya penjenamaan semula.

“Saya serahkan kepada Datuk Razlan untuk memberikan komen mengenai perkara ini, supaya kami (SIC) mendapat gambaran yang lebih jelas bagaimana dia mahu membawa pasukan di MotoGP selepas ini.

“Tapi seperti yang saya utarakan sebelum ini, mereka (SRT) akan bergerak sebagai entiti baharu dan tidak lagi dibawah SIC. Segalanya terletak pada bahu Datuk Razlan selepas ini” jelasnya.

Bagaimanapun, Azhan turut menjelaskan SIC tidak merancang mewujudkan pasukan MotoGP meskipun kerjasama dengan SRT berakhir.

“Buat masa ini tiada perancangan lagi kerana perlukan bajet dan tajaan besar untuk tubuhkan pasukan di kejuaraan dunia.

“Namun melihat kepada situasi semasa, kami perlu melihat semula program kami, fokus kami adalah terhadap membawa pelumba dari MiniGP kepada CEV terlebih dahulu.

“Mempersiapkan mereka ini dahulu sebelum membawa mereka bertanding di Kejuaraan Dunia.

“Bila dah betul-betul bersedia, saya yakin kami akan sampai ke peringkat itu,” tambahnya.

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan