Menunggang motosikal membangkitkan banyak sensasi, dan salah satunya adalah seperti berterbang kerana kita tidak terkongkong dalam ‘sangkar.’ Oleh itu, kita sentiasa tertanya-tanya mengapa motosikal tidak mempunyai paparan Heads Up Display (HUD) seperti dalam pesawat pejuang. Helmet Pintar Shoei GT-Air 3 dengan HUD baru sahaja diperkenalkan untuk tujuan itu.
HUD dalam pesawat pejuang, beberapa pesawat komersial (dan sesetengah kereta mewah) memaparkan maklumat penting seperti hala, kelajuan, ketinggian, dan sudut kecondongan pada sekeping kaca untuk membolehkan pandangan pengguna kekal ke hadapan tanpa perlu kerap melihat ke bawah untuk mencari maklumat.
Ini mungkin satu perkara yang bagus untuk penunggang motosikal juga, terutamanya ketika menunggang di jalan berliku atau laju di lebuh raya. Kami tidak memandang ringan perkara ini, lebih-lebih lagi motosikal masa kini, termasuk yang berkapasiti kecil, sudah dilengkapi skrin LCD dan TFT yang mempunyai banyak ciri seperti navigasi, pengstrim muzik, dan sambungan telefon. Bayangkan jika anda perlu menoleh ke bawah untuk melihat siapa yang menghubungi ketika menghampiri kawasan gaung atau persimpangan jalan.
Namun, mata manusia hanya boleh fokus pada objek samada dekat atau jauh pada satu-satu masa, bukan kedua-duanya sekali. Jadi, timbul kebimbangan sama ada data yang dipaparkan melalui HUD dalam helmet juga boleh mengganggu tumpuan. Satu gambar yang dikeluarkan oleh Shoei menunjukkan data dipaparkan pada jarak “jauh”, tetapi kami hanya boleh pastikan selepas mencuba helmet tersebut. Malah, rakan kerjasama Shoei dalam projek ini, EyeLights, mendakwa teknologi mereka meningkatkan masa tindak balas sehingga 32 peratus.
Sudah banyak helmet yang menjanjikan teknologi sedemikian pada masa lalu, termasuk Skully yang akhirnya terbongkar sebagai skim yang mengelirukan pelabur. Shoei juga pernah melancarkan helmet “pintar” yang lain beberapa tahun lalu, tetapi ia dilengkapi dengan aksesori yang janggal. Kali ini, Helmet Pintar Shoei GT-Air 3 lebih halus dan kelihatan seperti helmet harian biasa.
Syarikat itu mendedahkan helmet tersebut di EICMA, dengan menggabungkan teknologi EyeLights ke dalam salah satu helmet GT-Air 3 mereka. Oleh itu, helmet ini kukuh, selesa, dan mematuhi piawaian DOT dan ECE 22.06.
Dalam teknologi ini terdapat sistem komunikasi yang membolehkan anda memberikan arahan suara (seperti yang sudah boleh dilakukan dalam beberapa sistem komunikasi) dan menggunakan sistem interkom ‘sejagat’ yang dilaporkan serasi dengan kebanyakan jenama lain.
Masih belum ada pengumuman mengenai bila Helmet Pintar GT-Air 3 ini akan dijual, tetapi apabila ia dilancarkan, harganya dilaporkan sekitar €1,199 (RM5,713.00).


























































