KM 78 Jalan Gua Musang-Lojing (dari Gua Musang menghala ke Tanah Tinggi Cameron) , berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke, di sini, ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula hari ini.
Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataan berkata, jalan terbabit ditutup bermula hari ini kepada semua kenderaan sehingga diberitahu kelak akibat berlaku kejadian lubang benam di kawasan itu.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif yang di cadangkan dan sentiasa berhati-hati serta merancang perjalanan.
“Pengguna laluan boleh menggunakan laluan alternatif Gua Musang ke Sungai Koyan, Pahang, melalui Ringlet, Tapah dan Ipoh, Perak,” katanya.
Dalam kejadian lubang benam terbaharu pada 12 September lalu adalah lubang benam ke lima di laluan terbabit sehingga menyebabkan laluan dari Gua Musang Ke Tanah Tinggi Lojing terpaksa di tutup satu lorong.
Kejadian lubang benam pertama di lokasi terbabit di kesan pada 23 November tahun lal, sehingga menyebabkan laluan terbabit ditutup kepada semua kenderaan.
Seterusnya pada 12 Disember tahun lalu, lubang benam kedua dengan kedalaman sembilan meter berlaku di lokasi sama pada jarak lima meter dari lubang benam pertama.
Selain itu pada 15 Mac lalu satu lagi lubang benam, iaitu yang ketiga sejak November tahun lalu, dilaporkan berlaku di lokasi sama.
Pada 27 Mac lalu pula laluan terbabit dibuka kepada semua kenderaan ringan sempena sambutan Aidilfitri.
























































