Bikesrepublic

Berita Terkini

Ducati akan memulakan sebuah akademi penunggaan baharu pada tahun 2026, yang dinamakan Ducati V2 Future Champ Academy (Akademi Juara Masa Depan Ducati V2). Ia bertujuan untuk membawa penunggang muda ke dalam dunia perlumbaan, untuk mencungkil bakat tempatan dan antarabangsa.

Secara jelasnya, program ini direka untuk memberi peluang kepada pelumba muda menunggang motosikal Panigale V2 jenama tersebut, sekaligus mewujudkan pelapis bakat untuk masa depan.

Akademi perlumbaan baharu ini akan bermula pada tahun 2026, dengan projek ini dijadikan sebahagian daripada Kejohanan Itali (CIV), World Ducati Week 2026, dan World Superbike (WorldSBK). Formatnya akan merangkumi sesi tradisional seperti ujian pra-musim, kelayakan, dan dua perlumbaan untuk setiap pusingan.

Garage51 ialah sebuah platform yang membolehkan penunggang muda mempelajari tentang motosikal dan perlumbaan, dan dikendalikan oleh Michele Pirro, penunggang ujian rasmi Ducati. Pirro akan menawarkan bimbingan teknikal kepada penunggang dari akademi Ducati V2 baharu ini, dengan butiran lanjut tentang projek itu akan didedahkan pada pameran EICMA bulan depan di Milan.

Francesco Milicia, Naib Presiden Jualan Global dan Jualan Selepas Jualan Ducati, berkata: “Sejarah Ducati berkait rapat dengan dunia perlumbaan, dan melabur dalam penunggang muda bererti membina juara esok hari ini. Inilah sebabnya kami sangat berbangga untuk melancarkan V2 Future Champ Ducati Academy, sebuah projek yang sangat diidamkan dan direka untuk membimbing bakat baharu dari minat kepada profesionalisme, menawarkan mereka semua alat yang diperlukan untuk menjadi protagonis dalam dunia perlumbaan motosikal masa depan.

“Format ini dicipta untuk mereka yang ingin mengambil cabaran dan memperbaiki diri, dengan bergantung pada sokongan sebuah kecemerlangan seperti Ducati, yang telah menjadikan perlumbaan sebagai intipatinya. Kunci kepada perjalanan ini adalah Michele, yang komitmennya dalam pembangunan Desmosedici GP telah menyumbang secara signifikan kepada keputusan semasa Ducati. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya bukan sahaja sebagai seorang profesional tetapi juga sebagai seorang rakan: dengan pengalaman, kepakaran teknikal, dan semangatnya, dia pasti akan menjadi inspirasi kepada penunggang muda kami.”

Sila layari laman web rasmi Ducati V2 Future Champ Academy untuk maklumat lanjut.

Ini merupakan langkah yang penting bagi Ducati untuk mengambil langkah ini, menyamai pengeluar lain seperti KTM dengan Red Bull MotoGP Rookies Cup dan Austrian Junior Cup mereka.

CEO BMW Motorrad, Markus Flasch, menyatakan bahawa syarikat itu tidak begitu berminat untuk menghasilkan motosikal elektrik atau motosikal lasak elektrik. Walaubagaimanapun, skuter elektrik masih diteruskan.

Dalam temubual dengan laman web AS, Common Tread, Flasch menerangkan beberapa rancangan BMW Motorrad, termasuk untuk motosikal superbike masa depan mereka.

“Anda boleh teruja untuk melihat sesuatu yang lebih kecil daripada 1000 cc [S 1000 RR]. Tetapi masih terlalu awal untuk membincangkannya.” Walaubagaimanapun, enjin empat silinder sebaris akan kekal pada 1000cc untuk rangkaian S 1000 iaitu S 1000 RR/M 1000 RR, S 1000 R/M 1000 R, S 1000 XR/M 1000 XR.

Oleh itu, superbike yang lebih kecil tersebut mungkin berasal dari rangkaian F 900, bahkan rangkaian G 310.

Flasch tidak mahu mengikut saingannya Triumph dan Ducati yang telah menceburi segmen motocross dan enduro, memandangkan produk BMW Motorrad sudah merangkumi banyak bidang. “Kami membuat keputusan ini dengan berbincang dengan pelanggan dan rangkaian pengedar kami, dan buat masa ini, kami memilih untuk tidak meneruskan laluan ini,” katanya kepada Common Tread.

Kembali kepada motosikal elektrik, BMW buat masa ini tidak akan menghasilkan motosikal elektrik, kerana Flasch menyatakan maklum balas pelanggan juga menjadi asas keputusan tersebut. Sebaliknya, mereka akan meneruskan dengan skuter elektrik, memandangkan rangkaian CE memimpin segmen 11 kW dan ke atas.

Mohamad Faizin Mohd Zainodin, 21, hanya mampu kesedihan selepas kehilangan seorang lagi adik lelaki akibat kemalangan. Kejadian kali berlaku di Kilometer 97.6, Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), dekat Yong Peng, semalam.

Adiknya Allahyarham Mohamad Fauzan, 19, yang merupakan penuntut tahun dua di Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail di Pagoh, maut selepas motosikalnya merempuh sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan akibat kerosakan. Kemalangan tersebut berlaku pada jam 7.45 malam, semalam.

Kemalangan itu menyebabkan Mohamad Faizin kehilangan adiknya buat kali kedua selepas tragedi sama berlaku dua tahun lalu yang mana meragut nyawa adik lelaki ketiga di Johor Bahru.

Menurut Mohamad Faizin, berita sedih itu diterima pada jam 8 malam daripada kenalan yang memaklumkan adiknya yang juga anak kedua daripada lima beradik kemalangan.

“Sebaik dimaklumkan perkara itu, dalam hati saya berkata-kata adakah saya kehilangan seorang lagi adik. Kami kehilangan Mohamad Zakuan (ketika usianya 15 tahun) dua tahun lalu juga kerana kemalangan.

“Kali ini, saya hilang pula seorang lagi adik walaupun kesedihan itu masih belum reda,” katanya Mohamad Faizin yang juga penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai.

Namun, Mohamad Faizin berkata, mereka sekeluarga menerima takdir dengan hati terbuka kerana Allah lebih menyayanginya.

Mohamad Faizin berkata, sebelum kemalangan, adiknya dalam perjalanan pulang ke kampus selepas berjumpa rakan di Batu Pahat.

Kata Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, mangsa cedera parah di kepala dan organ dalaman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

“Pemandu lori berusia 49 tahun tidak cedera dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya,” katanya.

92 peratus, iaitu 100,675 kenderaan perdagangan masih belum membuat pengesahan pemasangan Peranti Had Kelajuan (Speed Limiter Device/SLD) setakat ini.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sejak penguatkuasaan penggunaan SLD bermula Rabu lalu, sebanyak 8,130 kenderaan perdagangan disahkan menggunakan SLD membabitkan 513 bas ekspres, bas persiaran (290) dan kenderaan barangan (7,227).

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan 108,805 kenderaan yang perlu diperiksa dalam fasa pertama penguatkuasaan penggunaan SLD, terdapat 2,015 bas ekspres, 5,951 bas persiaran dan 92,709 kenderaan barangan belum membuat pengesahan SLD.

“Dalam tempoh tiga hari pertama penguatkuasaan, sebanyak 2,180 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, 385 membabitkan 144 bas ekspres dan 221 kenderaan barangan dikenakan tindakan kerana gagal mengemukakan slip pengesahan kefungsian SLD.

“Penguatkuasaan penggunaan SLD melibatkan kenderaan perdagangan yang dibina selepas 1 Januari 2015 bagi bas persiaran dan bas ekspres dengan Berat Dengan Muatan (BDM) melebihi 5,000 kilogram (kg) manakala bagi kenderaan barangan ialah dengan BDM melebihi 3,500 kg,” katanya dalam sidang media di Stesen Penguatkuasaan Gombak, semalam.

Beliau berkata, JPJ mengingatkan bahawa semua pemasangan, konfigurasi dan pengaktifan SLD hendaklah disahkan badan yang diiktiraf JPJ melalui pengeluaran Slip Pengesahan dan Laporan Kefungsian SLD.

“Pihak yang dibenarkan untuk mengeluarkan dokumen ini ialah pengilang dan pengeluar kenderaan, Technical Service (TS) diiktiraf JPJ, bengkel atau fasiliti servis atau Badan Pensijilan Bertauliah oleh Jabatan Standard Malaysia (JSM) yang diiktiraf JPJ.

“Slip pengesahan berkenaan wajib dikemukakan semasa pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) atau urusan pembaharuan permit dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) atah Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan,” katanya.

Muhammad Kifli berkata, selain itu, slip berkenaan perlu disimpan di dalam kenderaan serta diperbaharu setiap dua tahun.

“Tiada kompromi diberikan selepas tarikh penguatkuasaan sepenuhnya. Notis 114 (panggilan temu siasat) akan dikeluarkan kepada mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi ketetapan ini,” katanya.

Royal Enfield baru menjual 124,328 motosikal pada September 2025 sahaja.

Pencapaian pemecah rekod itu bersejarah, berbanding 86,978 unit pada bulan sama tahun lepas. Ia menyamai peningkatan 43 peratus tahun ke tahun.

Majoriti – 113,573 unit – dijual di India berbanding 79,325 unit pada September 2024. Eksport juga meningkat mendadak, dengan 10,755 motosikal dihantar ke luar negara berbanding 7,653 unit tahun lalu.

Ketua Royal Enfield, B. Govindarajan, merumuskannya dengan baik. Beliau menyifatkannya sebagai “permulaan hebat untuk musim perayaan” dan menunjuk kepada Meteor 350 yang baru dikemaskini sebagai produk laris dalam kalangan komuniti. Secara sejarahnya, kekuatan Royal Enfield bukan terletak pada satu model motosikal, sebaliknya diagihkan seluruh rangkaian mereka iaitu Bullet, Classic, Meteor, Hunter, Himalayan, dan kembar 650.

Namun, bahagian terbesar disumbang oleh barisan 350 baharu mereka. Sesungguhnya, 1,07,478 unit telah dijual.

Dari segi jualan Suku Kedua 2026 (ya, ia dianggap sebagai tahun kewangan 2026), Royal Enfield menjual sejumlah 5,91,903 unit, mencatat pertumbuhan 30% tahun ke tahun berbanding 4,54,779 unit pada tempoh sama tahun lepas.

Syarikat pengeluar tayar jenama terkemuka membawa petugas teknikal mereka untuk mengesan salah laku dan masalah yang ada pada produk import yang disimpan di gudang.

Lapan syarikat pengeluar tayar antarabangsa dan tempatan, iaitu Michelin, Bridgestone, Toyo, Continental, Goodyear, Yokohama, Maxxis dan Pirelli menyertai pemeriksaan berkenaan, susulan Op Grip oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Antara kesalahan yang dikesan pasukan teknikal syarikat ialah berkaitan tarikh pengeluaran yang diubah suai, pemalsuan tayar celup dan kemasukan tayar dari Eropah.

Penguat kuasa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan SIRIM Berhad turut hadir menjalankan pemeriksaan itu.

Selain pemeriksaan teknikal, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengadakan perbincangan dengan wakil industir tayar di Ibu Pejabat SPRM Kuala Lumpur semalam.

Mohamad Zamri berkata, wakil industri perlu mencari penyelesaian yang lebih mampan dalam memastikan tiada lagi ketirisan membabitkan hasil kerajaan dalam industri import tayar.

Beliau meminta semua pihak industri untuk memastikan isu berkenaan diselesaikan sepenuhnya kerana itu bukan sekadar membabitkan hasil kerajaan tetapi isu keselamatan pengguna jalan raya.

“Kita minta penggiat industri untuk turun sendiri ke lapangan atau gudang yang diserbu dalam Op Grip, baru-baru ini supaya mereka dapat mengetahui isu ini lebih dekat supaya penyelesaian segera dilakukan.

“Lebih penting perkara ini membabitkan isu keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

SPRM pada Isnin menggempur beberapa syarikat di 23 tempat seluruh negara, yang dipercayai terbabit dalam kegiatan menyeludup tayar serta pemalsuan dokumen import dan eksport sehingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai kira-kira RM350 juta sejak tahun 2020 hingga kini.

Serbuan itu dijalankan ke atas syarikat yang menjalankan perniagaan mengimport, gudang dan kontena penyimpanan tayar.

Hasil serbuan, SPRM sudah membekukan akaun perbankan persendirian dan akaun syarikat yang membabitkan nilai anggaran kira-kira RM70 juta.

Serbuan itu dijalankan menerusi operasi bersepadu iaitu Op Grip diketuai Bahagian Operasi Khas SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube