Bikesrepublic

Berita Terkini

Juara MotoGP, Marc Marquez, tidak akan mengambil bahagian di MotoGP Malaysia 2025 setelah mengalami patah tulang dan kecederaan ligamen pada bahu kanan dalam kemalangan di Grand Prix (GP) Indonesia, menurut pasukannya Ducati. Beliau akan juga mengecualikan diri di Australia.

Ducati menyatakan Marquez : “Mengalami patah tulang di pangkal proses korakoid dan kecederaan ligamen pada bahu kanan.

“Pemeriksaan klinikal dan penilaian radiologi menolak sebarang kaitan dengan kecederaan terdahulu dan menggesahkan tiada peralihan tulang yang signifikan.”

Marquez masih berkemungkinan untuk beraksi di GP Portugal (7–9 November) dan Valencia (14–16 November), namun beliau menegaskan bahawa dia tidak akan tergesa-gesa dalam proses pemulihan.

“Matlamat saya untuk kembali sebelum musim berakhir, tetapi tanpa tergesa-gesa melangkaui nasihat doktor,” kata pelumba Sepanyol itu.

“Kedua-dua matlamat peribadi dan pasukan telahpun dicapai, jadi keutamaan sekarang ialah pulih dengan betul dan kembali pada tahap 100%.”

Motosikal Marquez telah dirempuh oleh pelumba pasukan pengilang Aprilia, Marco Bezzecchi ketika di dalam perlumbaan utama di litar Mandalika, Indonesia. Perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua penunggang terpelanting ke kawasan kerikil pada kelajuan tinggi, dengan Marquez kelihatan kesakitan selepas berpusing ke udara sebelum jatuh.

Marquez yang memenangi kejuaraan MotoGP ketujuhnya di GP Jepun bulan lalu, dilihat membongkok kesakitan di tepi litar selama beberapa minit sebelum perlahan-lahan bangkit sambil memegang bahunya.

Kecederaan kali ini berlaku pada bahu sama dengan lengan yang pernah patah di GP Sepanyol 2020 di Jerez, insiden yang menyebabkan dia terpaksa berehat panjang dan menjalani beberapa siri pembedahan.

Sebuah Yamaha LC135 mendapat bidaan RM150, manakala sebuah Perodua Myvi mendapat bidaan RM26,00 menerusi Lelongan Awam Siri 2/2025 anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur. Harga-harga bidaan tersebut masing-masing merupakan yang terendah dan tertinggi.

Sebanyak 149 kenderaan berjaya dilelong dengan kutipan keseluruhan mencecah RM257,100.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur Hamidi Adam berkata, sebanyak 150 kenderaan ditawarkan untuk lelongan awam ini yang berlangsung berlangsung di sini, hari ini.

“Program ini merupakan inisiatif berterusan JPJ dalam pengurusan aset sitaan secara telus dan berintegriti.

“Pada masa sama, ia memberi peluang kepada orang awam untuk memiliki kenderaan pada harga berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan.

Hamidi berkata, daripada 150 kenderaan ditawarkan untuk lelongan itu membabitkan 128 motosikal, 13 kereta, tiga van dan enam lori rigid.

“Lelongan awam ini turut menunjukkan minat dan penyertaan aktif daripada orang awam.

“Rekod pelaksanaan juga menunjukkan peningkatan dari segi penyertaan awam serta keberkesanan program yang dijalankan secara berkala,” katanya.

Menurutnya, ketika Lelongan Awam Siri 1/2025 pada 21 Mei lalu yang menawarkan 124 kenderaan dan semuanya berjaya dilelong dengan kutipan hasil RM237,000.

Katanya, ia membabitkan bidaan tertinggi pada harga RM27,000 bagi lori rigid tipper/dumper serta bidaan terendah RM200 untuk motosikal untuk sekerap.

“JPJ WPKL merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta dan pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hamidi berkata, orang awam digalakkan untuk mengikuti saluran rasmi JPJ bagi maklumat terkini mengenai lelongan akan datang.

Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan 16 akaun syarikat dan 25 akaun bank individu yang terbabit dalam siasatan penyeludupan tayar serta pemalsuan dokumen import dan eksport tayar.

Badan itu telah memberikan kemaskini dan perkembangan terbaharu setelah menjalankan sitaan melalui Op Grip pada 29 September 2025.

Dalam sitaan terbaharu itu, SPRM melalui Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) juga menyita empat aset tak alih bernilai kira-kira RM13 juta. Jumlah di dalam akaun-akaun bank yang dibekukan dinilaikan sehingga RM70 juta.

Dalam perkembangan itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman, berkata SPRM kini membuka kertas penyiasatan tatakelola berkaitan kes itu.

“Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) akan melakukan siasatan dokumen berkaitan perolehan tayar-tayar kerana didapati tayar-tayar ini tidak didaftarkan serta ada unsur penyeludupan atau import tidak sah yang boleh menyebabkan risiko keselamatan pengguna,” katanya di sini hari ini.

BH kelmarin melaporkan, SPRM membekukan dan menyita sejumlah aset bernilai RM83 juta dalam Ops Grip membabitkan siasatan penyeludupan tayar yang mengakibatkan kerugian ratusan juta ringgit cukai kerajaan.

Antara yang dibekukan ialah akaun-akaun bank persendirian dan akaun syarikat-syarikat dengan jumlah keseluruhan dianggarkan sebanyak RM70 juta.

Aset lain yang disita kerana disyaki diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram ialah enam lot tanah yang dijadikan tapak untuk gudang/kontena bernilai RM4.5 juta dan dua unit rumah teres dua tingkat dengan nilai anggaran RM2 juta.

Turut disita ialah satu unit rumah jenis ‘townhouse’ dengan nilai anggaran RM2 juta dan satu unit rumah kedai empat tingkat bernilai RM4 juta.

Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor (JPJ) akan melelong sebanyak 200 kenderaan pelbagai jenis pada 5 November ini. Jualan lelongan awam itu akan dijalankan di pekarangan Dewan Setia, JPJ Selangor, Jalan Padang Jawa, Seksyen 16, Shah Alam.

JPJ Selangor turut memaklumkan bahawa kenderaan yang dilelong dibahagikan kepada dua kategori iaitu boleh dilesenkan dan tidak boleh dilesenkan.

Dokumen tawaran yang mengandungi butiran kenderaan dan syarat khas jualan boleh didapati di Bahagian Khidmat Pengurusan JPJ Selangor mulai 29 Oktober hingga 4 November dari jam 10 pagi hingga 4 petang dengan bayaran RM100 tunai bagi setiap salinan.

“Orang ramai yang berminat perlu membawa kad pengenalan asal atau salinan semasa pembelian dokumen tawaran lelongan awam.

“Selepas pembayaran, dokumen tawaran boleh dituntut di Bahagian Penguatkuasa dengan membawa resit asal sebagai bukti pembayaran,” kata JPJ dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, JPJ Selangor memaklumkan lelongan ini terbuka hanya kepada warganegara Malaysia manakala kenderaan yang bakal dilelong akan dipamerkan untuk pemeriksaan awam pada 3 dan 4 November dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada JPJ Selangor di talian 03-55669454,” katanya.

Terdapat warna baharu untuk Yamaha MT-09 2025, dipanggil Lightning Blue. Warna Tech Black yang sebelumnya masih dikekalkan.

MT-09 merupakan model yang telah lama berada di pasaran sejak dilancarkan pada 2014, dan telah melalui beberapa kali kemas kini. Namun yang lebih penting ialah harganya yang berpatutan untuk motosikal sekitar 900cc.

Yamaha menyatakan bahawa rangka belakang motosikal ini telah dirombak semula, bersama kadar spring suspensi.

Selain itu, semua komponen lain kekal tidak berubah, termasuk enjin 890cc tiga silinder sebaris yang menghasilkan 117 hp (87.5 kW) pada 10,000 RPM dan 93.0 Nm pada 7,000 RPM. Tambahan lagi, motosikal ini mempunyai mod menunggang yang boleh disesuaikan melalui fungsi Yamaha Ride Control (YRC), panel suis yang senang dicapat, dan kawalan jelajah (cruise control).

Warna baharu ini akan mula ditawarkan di semua pengedar sah Yamaha Big Bike di seluruh negara mulai 9 Oktober 2025, dengan harga runcit disyorkan RM57,998.00 tidak termasuk yuran pendaftaran dan perlindungan insurans.

Galeri foto

KOVE Moto, sebuah nama yang semakin meningkat dalam industri motosikal global, secara rasmi memasuki pasaran Malaysia dengan dua model baharu, iaitu KOVE 800X GT dan KOVE 450R. Pelancaran ini berlangsung di KEV ADVENDURO Park, Rawang. Kedua-dua model baharu ini menambah lagi kepada motosikal adventure 450 Rally yang dilancarkan sebelum ini.

Daripada Kenyataan Media

MDua Motor Sdn Bhd, anak syarikat AFY Mobility Industries (AMI) dilantik sebagai Pengedar Tunggal & Eksklusif KOVE di Malaysia. Walaupun kebanyakan motosikal KOVE buat masa ini ditawarkan sebagai unit CBU (pasang siap di luar negara), perkongsian ini memastikan model KOVE pada masa hadapan bukan sahaja akan diimport malah disokong sepenuhnya dengan pemasangan tempatan, alat ganti yang sedia ada, perkhidmatan selepas jualan, dan jaminan selaras dengan piawaian global KOVE.

Ditubuhkan pada 2017 oleh seorang peminat lumba yang bersemangat di China, KOVE Moto telah membina reputasinya di peringkat global dengan menyampaikan motosikal berprestasi tinggi yang mempunyai kredensil kejuruteraan yang serius. Dengan penyepaduan menegak R&D, reka bentuk, pembuatan dan falsafah yang diringkaskan dalam tagline mereka, “FOCUS ON PERFORMANCE”, mesin KOVE berusaha untuk menjadi ringan, berketeguhan tinggi dan berkebolehan untuk pertandingan.

KOVE 800X GT

  • Berkuasa enjin selari kembar 799cc yang menghasilkan 97 hp dan 80 Nm.

  • Dilengkapi dengan sistem penunggaan pelbagai mod dan pendikit elektronik.
  • Suspensi KYB.

  • Berat kering ringan iaitu lebih kurang 195 kg.
  • Terbukti dengan reputasi kemenangan antarabangsanya, 800X GT mewakili gabungan sempurna baka pertandingan yang lasak dan kebolehgunaan praktikal untuk penunggaan kembara dan jarak jauh.

KOVE 450R

  • KOVE 450R merupakan ekspresi tulen jenama bagi sebuah streetfighter, dibina untuk memikat peminat penunggaan laju.
  • Terasnya adalah enjin empat silinder sebaris 443cc sedia prestasi lumba, menyampaikan 65.3 hp dan 40 Nm.

  • Rangka ringan dengan berat hanya 164 kg.
  • Mampu mencapai kelajuan sehingga 205 km/j.

  • 450R menggabungkan sifat agresif dengan kawalan yang lincah, menetapkan penanda aras baharu dalam kelasnya untuk penunggang yang lapar akan prestasi jalanan yang tidak berkompromi.

Harga

KOVE 800X GT dihargakan pada RM48,888 manakala KOVE 450R pada RM33,888. 20 pelanggan pertama KOVE 800X GT akan menerima set peti pannier eksklusif dengan pembelian mereka. Semua model KOVE semasa, termasuk 450 Rally yang dilancarkan lebih awal, boleh dilihat di AMI Bumirai Showroom, PJ222 Petaling Jaya. Semua harga yang dinyatakan tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans.

Galeri foto

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube