Bikesrepublic

Berita Terkini

Jack Miller menyifatkan ada kebenaran disebalik khabar angin yang mengaitkan pelumba Repsol Honda, Jorgen Lorenzo dengan Ducati.

Lorenzo sertai Ducati pada 2017 selepas berjaya memenangi tiga kejuaraan dengan Yamaha musim sebelumnya.

Dia kemudiannya beralih ke Honda bagi 2019 bagi membentuk ‘dream team’ bersama pertahan juara, Marc Marquez.

Keputusan itu tidak membuahkan hasil positif apabila Lorenzo masih belum dapat mencapai keserasian dengan jentera RCV di samping pelbagai masalah kecederaan membantutkan usahanya untuk kembali bersaing sebagai pelumba tiga terbaik musim ini.

Setakat ini, Lorenzo masih gagal menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik sekaligus mencetuskan khabar angin bahawa dia mahu menamatkan kontrak dua tahun bersama Honda dan kembali ke Ducati.

Beberapa minggu lalu, senario sempurna buat Lorenzo adalah kembali disatukan dengan Andrea Dovizioso namun realiti itu telah pun terkubur tatkala Ducati telah kembali menandatangani Danilo Petrucci.

Bagaimanapun, peluang untuk Lorenzo sertai Ducati masih terbuka tatkala masa depan Jack Miller bersama pasukan satelit Ducati, Pramac masih kabur.

Sumber: Pramac Racing MotoGP @ Twitter

“Ada kebenaran disebalik khabar angin mengaitkan Lorenzo.

“Pastinya dia sedang memikirkan masa depannya kerana ketika ini dia tidak dapat mencapai apa-apa. Dia tidak serasi dengan jentera Honda.

“Saya rasa Pramac masih memerlukan saya, kebanyakan individu di Ducati mahu saya kekal tetapi selepas memasuki separuh kedua musim dan dengan dua podium, saya masih belum menandatangani sebarang kontrak.

“Ketika ini tiada sebarang tawaran dihulurkan Pramac kepada saya tetapi saya akan terus berikan yang terbaik,” jelasnya.

Ketika Lorenzo sertai Ducati dua tahun lalu, pengurus besar Ducati Corse, Gigi Dall’Igna merupakan pendorong utama dalam membawa pelumba kelahiran Palma, Sepanyol itu.

Sumber: Andrea Dovizioso @ Twitter

Berdasarkan keputusan semasa saingan MotoGP, Andrea Dovizioso sebagai tunjang utama Ducati ketinggalan 63 mata dibelakang pendahulu, Marc Marquez.

Senario tersebut berkemungkinan mampu membuatkan Dall’Igna untuk membawa Lorenzo ke Ducati.

Seandainya itu berlaku, buat julung kalinya Lorenzo akan menjadi pelumba satelit dalam kariernya namun, segalanya bergantung sama ada dia dilepaskan daripada HRC atau Ducati sanggup menebus baki kontraknya.

Sekiranya Lorenzo berpindah, bermakna ada kerusi kosong disebelah Marquez di HRC dan Miller merupakan antara pelumba yang paling layak diantara penunggang lain yang masih ketiadaan pasukan bagi musim 2020.

Pengeluar karpet kereta tempatan, TRAPO Asia melancarkan TRAPO MARK II, produk baharu yang dijamin mampu meningkatkan pengalaman pemanduan.

TRAPO Asia turut mensasarkan untuk memperkuatkan kedudukan di pasaran benua Asia menerusi TRAPO MARK II.

Menerusi slogan “Trap Your Worries”,  TRAPO Asia turut mahu mengembangkan produk kepada semua jenis kenderaan empat roda.

Dalam tempoh tiga tahun ini,  TRAPO berjaya menarik lebih 6 peratus pasaran kereta baharu sekaligus menjadikan mereka jenama karpet kereta pertama dari Malaysia.

TRAPO Asia turut berjaya menarik lebih 80,000 kenderaan lain yang meliputi Singapura dan Indonesia.

Pengasas bersama TRAPO Asia, Tzong Lee meluahkan rasa bangga dengan pencapaian kali ini.

“Kami bangga kerana melakar kejayaan ini dan dan  yakin dapat mencapai peningkatan dua angka menjelang hujung tahun. Kami akan terus berinovasi dalam menghasilkan produk terbaik,” jelasnya.

Tidak seperti karpet kereta lain, TRAPO Asia bekerjasama dengan  Fuji Chemical Industries Co. LTD untuk menggunakan teknologi Bactekiller bagi menghasilkan produk yang bebas 99.9 peratus kuman.

Menariknya, bahan yang digunakan bagi menghasilkan setiap produk TRAPO datangnya daripada bahan dikitar semula.

Teringat lagi saat BMW Motorrad Malaysia melancarkan BMW R1250 GS dan R1250 GS Adventure ketika BMW Night Fuel yang berlangsung di Bandar Malaysia, Julai lalu. Saat kemunculan kedua-dua model tersebut di atas pentas membuatkan bulu roma meremang tanpa kawalan.

Ketika itu, sesi monolog bermula,”Alangkah seronoknya kalau dapat menunggang dua kuda liar ini”. Lebih sebulan kemudian, dialog dalam hati itu seakan mendapat panggilan apabila BMW Group Malaysia menghubungi MotoMalaya – menerusi Wahid Ooi dari BikesRepublic – dan memaklumkan bahawa mereka ada dua jentera yang ingin kami uji.

 

Tidak lain dan tidak bukan, dua kuda liar yang asalnya sekadar angan-angan Mat Jenin kini menjadi realiti. Jentera ‘Adventure’ (ADV) ikonik BMW kini bakal menjadi ‘milik’ MotoMalaya untuk tempoh 168 jam.

Mata kedua-dua BMW R1250 GS dan R1250 GS Adventure yang disinari Daytime Running Light (DRL) menyapa penglihatan lalu menusuk ke jiwa. Sesi kedua monolog bermula,”Tak sabar aku nak jinakkan kuda liar ini di atas permukaan bertar dari Cyberjaya ke Kuala Lumpur. Tetapi mampukah aku?”

Hati mula gundah-gulana kerana ini adalah perjalanan sulung MotoMalaya dengan BMW R1250 GS atau GS secara amnya.

Demi memahami intipati dan jiwa jentera ikonik BMW ini, BMW R1250 GS jadi pasangan pertama dan ketepikan R1250 GS Adventure buat sementara waktu.

Perasaan pertama, kuda liar ini didatangkan dengan tangki 20 liter dan berat 250 kilogram dan angka itu mungkin mengejutkan tetapi bukan bagi mereka yang telah mentelaah salasilah GS sebelum ini.

Hakikatnya, GS dan muatan berat berpisah tiada tetapi berat itu menjadi ghaib saat nadi bersesaran 1,254 cc dihidupkan dan roda bersaiz 19 inci depan dan 17 inci belakang mula mengorak langkah.

Jentera bernilai RM116,500 – setanding dengan harga seekor kuda sebenar – bukan sahaja tampil lebih jinak malah mendatangkan aura seakan bersedia untuk beraksi dalam sukan ekuestrian.

Perkataan STABIL melompat keluar dari celah-celah membran otak lalu disampaikan ke lidah  bagi mencetuskan sesi monolog ketiga,”Mana pergi berat tadi? Macam mana boleh jadi seimbang sangat?”

Sepanjang sesi tunggangan, BMW R1250 GS meperlihatkan keseimbangan yang mengagumkan umpama atlet gimnastik yang ‘menari’di atas apparatus batang titian.

Selain daripada peranan kedudukan enjin boxer, magis sebenar BMW R1250 GS berlaku dengan bantuan sistem baharu yang diberi nama teknologi ShiftCam.

Jika ahli silap mata lebih gemar berahsia daripada berkongsi magis mereka, BMW mengambil langkah lebih berani apabila meluahkan segala rahsia mengenai teknologi baharu ini.

Teknologi ShiftCam membuatkan peralihan daripada prestasi enjin yang rendah ke tinggi (partial load ke full load) tanpa sebarang perasaan tersengguk sekaligus mencernakan pergerakkan yang efisien dan lancar. Sifat yang jarang sekali ditonjolkan jentera ADV kini berada di dalam GS.

 

Entah bagaimana ahli sihir (jurutera) di kilang BMW melakukannya tetapi apa yang pasti teknologi ShiftCam memastikan piawaian Euro 5 berjaya dicapai tanpa perlu mengorbankan kuasa dan imej GS.

Saksikan video dibawah bagaimana magis ShiftCam berlaku:

Keterujaan itu kemudiannya disalurkan menerusi pulasan pendikit dan saat itu bukan satu, bukan dua tetapi 136 kuasa kuda dapat dirasai serta-merta yang disalurkan menerusi transmisi enam kelajuan.

Ketika ini, sesi meremang bulu roma buat kali kedua berlaku dan ketika sedang lemas dalam keterujaan, pandangan di hujung mata menangkap paparan TFT berukuran 6.6 inci yang dengan jelas menunjukkan kelajuan ketika itu telah mengjangkau angka haram di sisi Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) dan polis.

Selain daripada memaparkan maklumat penting seperti speedometer, odometer dan gear indiciator, paparan TFT – yang didatangkan secara standard bagi GS dan GSA – turut bertindak sebagai pusat hiburan mini. Sesuatu yang tidak akan dijumpai pada seekor kuda liar sebenar.

Paparan baharu ini membenarkan sambungan kepada telefon pintar yang boleh digunakan bagi memilih muzik, mengawal navigasi dan membuat serta menjawab panggilan telefon.

Meskipun 136 ekor kuda yang disumbat dalam enjin boxer kali ini tidak lagi digandingkan dengan brek Brembo namun penggunaan brek Hayes empat pot di bahagian depan – dijenamakan semula sebagai BMW – memberikan jaminan yang sama.

Hanya persoalan mengenai pertukaran daripada Brembo ke Hayes kekal menjadi teka-teki yang tidak dapat kami rungkaikan.

Tidak cukup R1250 GS dijinakkan dengan teknologi ShiftCam, BMW turut menyuntik Dynamic Braking Control (DBC) bagi menjaminkan keselamatan yang lebih jitu.

“Percayalah..” kata Siti Nurhaliza, sistem DBC amat diperlukan bagi mengendalikan jentera berat. Ciri keselamatan ini memastikan pendikit dilepaskan secara automatik dalam keadaan ‘panic-stop’.

BMW dakwa komputer mampu mengesan jika penunggang memegang pendikit dengan erat ketika sedang membrek dengan kuat. Tetapi kami pula dakwa ada ‘jin’ yang melakukan tugas tersebut kerana bunyinya agak sofistikated dan terlalu canggih!

Sementara itu, keselesaan tunggangan turut dirungkai menerusi penggunaan Dyamic ESA yang turut terdapat pada model sebelumnya – R1200 GS dan GSA.

Jika pemandu kereta manual risau gelongsor ke belakang ketika di bukit, apatah lagi bagi sebuah bas mini beroda dua dari Jerman ini dan kerana itulah BMW R1250 GS dan GSA didatangkan dengan Hill Start Control yang boleh diaktifkan dengan menekan brek depan dua kali.

Kesemua faktor ini membuatkan BMW R1250 GS layak digunakan sebagai kuda harian apatah lagi penunggang boleh memilih di antara empat mod – Rain, Road, Dynamic dan Enduro – bagi menyesuaikan jentera dengan cara tunggangan masing-masing.

Secara peribadi, kami jatuh cinta dengan mod Dynamic kerana berbanding Rain dan Road, mod ini menyerlahkan lagi kuasa sebenar GS.

Jika ada yang memiliki sifat ingin tahu dan bertanyakan ‘Kenapa tidak menggunakan mod Enduro?’

Jawapan kami, tiada kelapangan untuk membawa kuda liar ini ke permukaan ‘off-road’ tetapi selepas menyaksikan sendiri keupayaan model sebelum ini R1200 GS di GIVI Rimba Raid beberapa minggu lalu kami berpuas hati untuk hanya menjalankan sesi ujian di atas permukaan bertar.

Tidak dapat dinafikan BMW GS merupakan jentera yang mampu merungkai makna motosikal ADV. Meskipun didatangkan dengan harga yang tinggi tetapi kami jangka senario itu langsung tidak akan memberi kesan terhadap pemilik lama dan baharu untuk memastikan model ikonik ini akan terus memalingkan kepala setiap pengguna jalan raya.

Setakat ini segala perancangan Lamborghini sedang berjalan dengan baik terutamanya selepas memperkenalkan model Urus yang berjaya menggandakan penjualan bagi separuh pertama 2019.

Bagaimanapun, masa depan pengeluar kereta berpangkalan di Sant’Agata, Itali masih terumbang ambing dengan Automobile melaporkn Ketua Pegawai Eksekutif VW, Herbert Diess masih tidak berpuas hati dengan prestasi kewangan semasa mereka.

Teka-teki masa depan Lamborghini kini diteruskan apabila dilaporkan pengganti baharu bagi model Aventador ditangguh sehingga 2024.

Menurut laporan, Audi – syarikat pemilik Lamborghini di bawah VW Group – enggan membelanjakan wang untuk mengemaskini enjin V12 Aventador mengikut piawaian ’emission’ Eropah.

Sebaliknya, pengeluar kereta Jerman itu mahu melabur dalam enjin V8 hibrid sekaligus ‘supercar’ Lamborghini selepas ini mungkin perlu melupakan enjin V12.

Ketika ini, Porsche, Ferrari dan McLaren telah pun mengalihkan tumpuan ke arah kereta elektrik kecuali Lamborghini.

Awal tahun ini, wujud laporan bahawa Lamborghini mungkin akan menghasilkan Aventador dengan tiga motor elektrik yang mampu menjana 1,100 hp.

(SUMBER: Motor1.com)

Triumph Daytona 765 Moto2 dan Triumph Tiger 2020 dirakam menjalani sesi ujian di tempat awam buat julung kalinya menurut laporan Visor Down.

Baru-baru ini, Triumph telah mengesahkan bahawa Triumph Daytona 765 yang diinspirasikan daripada enjin yang ketika ini menggerakkan jentera Moto2 akan dihasilkan bersama-sama Triumph Tiger 800 2020.

Tatkala orang ramai menanti gambar rasmi, BMH Images – pakar mengambil ‘spy shots’- mendedahkan gambar sebenar kedua-dua model ini.

Merujuk kepada gambar yang dikongsikan, ternyata Daytona 765 Moto2 dan Tiger menampilkan reka bentuk unik.

Orang ramai akan diberi peluang melihat dengan lebih jelas Triumph Daytona 765 Moto2 apabila dilancarkan pada 23 Ogos ini di GP Silverstone bagaimanapun maklumat mengenai spesifikasi dan kemampuan enjin mungkin akan didedahkan kemudian.

Namun, Triumph telah mengesahkan model baharu ini akan dilengkapi spefisikasi tertinggi!

Daytona 765 merupakan kemaskini terbaru yang telah ditambahbaik daripada model 675 sebelum ini.

Sumber: Motorad Magazin

Sementara itu, peminat motosikal ‘adventure’ turut disajikan dengan gambar Triumph Tiger 800 2020.

Perubahan paling ketara berbanding model 2018 adalah reka bentuk lampu dibahagian depan yang kini lebih kecil dan kurus.

Tahun 2019 dan 2020 dijangka bakal menjadi tahun yang sibuk buat pengeluar motosikal Britain itu yang sebelum ini turut melancarkan model Rocket 3.

(SUMBER: Visor Down)

Selepas memperkenalkan kemaskini baharu bagi model Proton Persona, Iriz dan Exora sebelum ini, pengeluar kereta nasional itu melancarkan Proton Saga edisi baharu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC), hari ini.

Model pilihan utama rakyat Malaysia itu masih kekal dengan enjin 1.3 liter namun telah ditambah baik dengan transmisi empat kelajuan Hyundai Powertech – menggantikan CVT –  yang dijamin menyuntik pemanduan lancar dan selesa serta paling penting, jimat minyak.

Seperti Iriz, Persona dan Exora, model ‘facelift’ Saga ini turut didatangkan dengan rekaan gril depan yang tampak moden dan lebih segar sesuai dengan peredaran masa.

Saga baharu ini turut menampilkan lampu LED di bahagian bumper depan bagi menyerlahkan lagi kehadiran di waktu siang dan malam.

Bagi mewujudkan rupa keseluruhan yang lebih sporty, Proton turut melengkapkan Saga dengan rekaan rim baharu.

Selain daripada perubahan di bahagian luar, bahagian dalam turut mendapat perubahan drastik terutamanya di bahagian ‘dashboard’.

Orang ramai kini disajikan dengan paparan hiburan terapung dan panel meter baharu.

Proton Saga 2019 turut dilengkapi pelbagai ciri keselamatan bertaraf tinggi antaranya:

  • Airbag SRS depan
  • ABS
  • Electronic Brake Distribution (EBD)
  • Brake Assist
  • Electronic Stability Control (ESC)
  • Traction Control System
  • Hill Hold Assist
  • Rear Seat ISOFIX
  • Front Parking Sensor
  • Rear Parking Sensor
  • Reverse Camera
  • Anti-Theft Alarm/Immobilizer

Proton Saga ‘facelift’ ini juga dijangka bakal menarik pembeli dengan harga mampu milik seperti berikut:

  • 1.3L STANDARD MT – RM32,800
  • 1.3L STANDARD AT – RM35,800
  • 1.3L PREMIUM AT – RM39,800

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube