Bikesrepublic

Berita Terkini

Selepas aksi di Mugello, Jorge Lorenzo telah terbang ke ibu pejabat Honda di Jepun bagi mencari jalan terbaik untuk mencapai keserasian dengan jentera RC213V.

Bagaimanapun, dia kemudiannya terlepas empat aksi perlumbaan susulan kemalangan di Assen.

Aksi terumbang-ambing bersama Honda musim ini mula menimbulkan desas-desus bahawa Lorenzo telah menghubungi Ducati dan Petronas Yamaha dalam percubaan untuk meninggalkan pasukannya.

Namun, segala khabar angin itu terkubur apabila dia membuat keputusan untuk menghormati kontrak dua tahun bersama Honda sekaligus akan kekal sehingga musim 2020.

Tatkala rakan sepasukan, Marc Marquez, menampilkan aksi mantap di setiap litar, Lorenzo gagal menamatkan saingan di kedudukan lebih baik daripada tempat ke-14 dalam tiga perlumbaan berturut-turut.

Meskipun terbukti Honda menghasilkan jentera lebih berkuasa musim ini menerusi dominasi Marquez, Lorenzo pula menyatakan bahawa penambahbaikan yang dilakukan terhadap bahagian enjin membuatkan jentera musim ini lebih teruk.

Bagaimanapun, dia mengharapkan Honda akan ‘memperbaiki’ aspek tersebut menjelang musim 2020.

“Saya sendiri telah bercakap dengan Pengarah Teknikal, Takeo Yokoyama dan amat jelas disebabkan mengejar kuasa yang lebih tinggi telah memberi kesan terhadap prestasi jentera ketika melalui selekoh.

“Tetapi Marc (Marquez) berjaya menggunakan kelebihan ini sehingga senario di selekoh tidak memberi kesan terhadap prestasinya.

“Ketika saya menguji jentera ini di Jerez, saya dapat mengesan sesuatu ketika melalui selekoh tetapi ketika itu sudah lambat untuk membuat perubahan drastik.

“Kita semua tahu Marc ada gaya tunggangan yang cukup agresif jadi prestasi jentera sedia ada ketika ini amat sesuai dengan gayanya,” jelas Lorenzo.

Aksi MotoGP akan kembali bersambung di GP Thailand, 6 Oktober ini.

(SUMBER: Motorsport.com)


Baru-baru ini timbul laporan bahawa KTM sedang bekerjasama dengan Bajaj Auto Ltd untuk menghasilkan sebuah enjin 500cc parallel-twin.

Desas-desus itu mungkin menjadi kenyataan tatkala Indianautosblog melaporkan bahawa KTM akan menggunakan enjin tersebut untuk menghasilkan bukan satu, tapi lima model berlainan.

Bagaimanapun, difahamkan bahawa enjin tersebut bukanlah bersesaran 500cc sebaliknya 490cc.

Difahamkan, KTM bakal menggunakan enjin tersebut untuk model:

  • RC 490
  • 490 Duke
  • 490 Adventure
  • 490 Supermoto
  • 490 Enduro

Menurut laporan, KTM bakal mengguna pakai kerangka trellis namun spesifikasi yang diterapkan mungkin berbeza dengan model satu silinder sedia ada.

(SUMBER: Indianautosblog)

Seorang warga Singapura berusia 60 tahun terpaksa membayar RM28,000 tatkala memiliki lebih 116 saman tertunggak sejak tahun 2000.

Lelaki tersebut antara ribuan pengguna jalan raya lain yang ditahan dalam operasi Ostwa yang dijalankan berhampiran Muzium Tokoh, semalam.

Operasi tersebut turut dijalankan di kawasan rehat Gelang Patah.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Mohd Nadzri Hussain, lebih 3,174 saman yang dikeluarkan terhadap 2,687 warga Singapura dan 287 warga tempatan telah diselesaikan.

Difahamkan, jumlah kuitpan saman ketika ini telah mencapai RM611,000 bagaimanapun, Nadzri menjangkakan angka tersebut mampu naik sehingga RM750,000.

Menurut laporan Free Malaysia Today, sebanyak 247,278 saman tertunggak oleh warga Singapura sejak tahun 2000.

Berkuatkuasa esok (1 Oktober 2019), individu yang memandu kenderaan keluar dan masuk Malaysia perlu mendaftarkan kenderaan terbabit menerusi sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP).

Hanya kenderaan yang dipasang peranti VEP-RFID akan dibenarkan masukan ke dalam Malaysia sebaik dikuatkuasakan.

Pada masa sama, Nadzri menegaskan bahawa semua warga Singapura perlu melunaskan tunggakan saman sebelum dibenarkan kembali ke Singapura sebaik sistem VEP dilancarkan.

(SUMBER: Free Malaysia Today)

Gambar hiasan

Hajat seorang lelaki yang bertindak menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR (YSuku) sejauh 200km untuk berjumpa dengan tunangnya tidak kesampaian apabila disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka.

Menurut laporan Harian Metro, lelaki tersebut yang bekerja sebagai mekanik ditahan ketika operasi bersepadu di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ).

Mekanik berusia 22 tahun itu difahamkan sedang dalam perjalanan dari Pontian, Johor menuju ke Alor Gajah, Melaka untuk berjumpa dengan tunangnya.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff memaklumkan bahawa lelaki berkenaan menunggang tanpa lesen di samping jentera YSuku tersebut menggunakan nombor plat kenderaan yang ‘fancy’.

Sebanyak 654 kenderaan diperiksa dan 389 saman dikeluarkan dalam operasi yang membabitkan lebih 146 pegawai dan anggota JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresesn Malaysia (JIM) Melaka, Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

(SUMBER: Harian Metro)

Honda Malaysia meraikan sambutan pencapaian penjualan 900,000 unit dengan acara besar-besaran yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini sehingga esok.

Tumpuan utama acara terarah kepada penyerahan model Honda – Jazz, City, BR-V, HR-V, City Hybrid, HR-V Hybrid, Civic, CR-V dan Accord – kepada sembilan pemenang bertuah.

Dua pemenang pertama telah pun diumumkan sebelum ini dan mereka membawa pulang Honda Civic dan HR-V.

Baki tujuh pemenang lagi telah diumumkan hari ini.

Berikut senarai penuh pemenang:

  • Mohamad Adib Fida’iy bin Mohamad Hanapi – Civic
  • Lim Hong Ngee – HR-V
  • Nik Siti Nurhidayah Juhan – HR-V Hybrid
  • Yasmoon binti Osman – City
  • Fong Yee Wern – City Hybrid
  • Ee Shi Lin – Jazz
  • Chester Lim – CR-V
  • Lim Hock Kuang  – BR-V
  • Muhamad Abdul Hadi Junus – Accord

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berbesar hati dengan sokongan diberikan terhadap jenama itu.

“Kami amat berbesar hati dengan sokongan yang diterima daripada pelanggan untuk menjadikan Honda sebagai jenama dipercayai di Malaysia.

“Kami amat gembira kerana berjaya mencatat angka penjualan 900,000 unit sejak ditubuhkan pada 2002.

“Kempen kali ini lebih istimewa kerana julung kalinya Honda Malaysia berganding bahu bersama jenama popular, Astro Radio, Tealive dan Unifi untuk menyerahkan sembilan kereta kepada para pemenang.

“Untuk kmpen ini sahaja kami menerima lebih 122,000 peserta dalam tempoh dua bulan!” jelasnya.

Sejak Honda Malaysia memperkenalkan versi CKD menerusi CR-V pada 2003, model CKD merekodkan penjualan tertinggi dengan 95 peratus penjualan berbanding CBU hanya 5 peratus.

Ketika ini, Malaysia mempunyai lebih 98 pengedar sah Honda di seluruh negara.

Sumber: Harian Metro

Menurut statistik, lebih 86 motosikal dicuri setiap hari di Malaysia, bimbang dengan senario tersebut, dua remaja dari Kelantan berjaya mencipta sistem berkesan bagi menangani masalah tersebut.

Kedua-dua pelajar berusia 19 tahun dari Kolej Vokasional Bachok, Kelantan itu – Wan AMiruddin Wan Amran dan Adeeb Aideen Mat Yusof – telah menghasilkan sistem di mana pemilik motosikal boleh menghidupkan jentera dengan hanya menggunakan cap jari!

Dikenali sebagai Fingerprint Bike Starter, sistem tersebut merupakan projek tahun akhir mereka.

Menurut laporan Harian Metro, idea tersebut timbul selepas menyedari kes kecurian motosikal berada di tahap membimbangkan.

Menariknya, sistem tersebut boleh merekodkan lebih daripada 127 cap jari!

Difahamkan, kedua-dua remaja terbabit mengambil masa enam bulan untuk menyiapkan projek itu dengan perbelanjaan sekitar RM500 sahaja.

(SUMBER: Harian Metro)

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube