Bikesrepublic

Berita Terkini

Segmen motosikal bawah 200cc kini diperkembangkan lagi dengan Modenas Pulsar NS160 yang diperkenalkan dalam majlis pelancaran yang berlangsung di Hotel Istana, Kuala Lumpur, hari ini.

 

Pulsar NS160 masih mengekalkan elemen rekaan daripada NS200 bagaimanapun perbezaan paling ketara adalah penggunaan enjin, tayar dan cakera brek depan yang lebih kecil – 240mm.

Pulsar NS160 didatangkan dengan enjin 160cc satu silinder yang menghasilkan 15.3hp pada 8,500rpm dan 14.6Nm pada 6,500rpm yang kemudiannya disalurkan menerusi transmisi lima kelajuan.

Tidak seperti NS200 yang menggunakan starter elektrik semata-mata, NS160 juga menawarkan kick start.

Pada masa sama, NS160 masih mengekalkan tangki 12L seperti yang terdapat pada NS200.

NS160 juga lebih 10 kilogram lebih ringan berbanding NS200 sekaligus menawarkan tunggangan yang lebih mudah.

Di bahagian depan, NS160 didatangkan dengan fork teleskopik dan monoshock dengan nitrox di bahagian belakang.

Penggunaan lampu LED dibahagian depan dan belakang juga menyerlahkan lagi rupa Pulsar NS160 yang beridentitikan motosikal jenis naked.

Sementara itu, Modenas turut melancarkan Kriss 110, motosikal mampu milik jenis moped.

Ciri-ciri yang terdapat pada Kriss 110:

  • Diiktiraf kenderaan cekap tenaga (EEV)
  • Patuh piawaian Euro 3
  • Menghasilkan 4.7hp pada 8,000rpm
  • Tangki 4.2L
  • Rim aloi 17 inci
  • Ruang letak barang 6.6L

Modenas Pulsar NS160 boleh didapati dengan harga RM7,577 sementara Kriss 110 ditawarkan dengan harga RM3,377.

Sumber: Masses

Nak nampak bergaya macam budak Subang Jaya sambil tunggang motosikal? Jangan lupa untuk ke Sneakerlah 2019 yang akan berlangsung pada 5 hingga 6 Oktober ini di Mid Valley Exhibition Centre (MVEC).

Sumber: Sneakerlah

Sneakerlah merupakan acara tahunan terbesar bagi peminat kasut seluruh Malaysia dan edisi tahun ini tampil lebih gempak dengan penglibatan pelbagai jenama terulung termasuk penjual kasut tempatan.

Menariknya, edisi kali ini turut memperlihatkan pelancaran kasut khas, Asics Gel Kayano 5 OG edisi Nasi Lemak – hasil kolaborasi di antara Asics, Hundred% dan Sneakerlah.

Sumber: Masses

Sebagai penunggang motosikal, pilihan utama adalah menyarung kasut ‘riding’ atau kasut kalis air tetapi jika ingin mencari kelainan dan mahu tampak bergaya, Sneakerlah merupakan destinasi terbaik untuk mencari kasut pilihan.

Orang ramai yang berminat hanya perlu membeli tiket masuk yang bermula dari RM20 sahaja.

Berikut senarai harga tiket:

Sumber: Sneakerlah

Sementara itu, Sneakerlah bersama-sama Madecurate dan Hypevault.co akan memberikan beberapa pasang kasut ‘rare’ bernilai lebih RM250,000.

Antara yang mencuri tumpuan adalah Nike Air Jordan 4 Retro X Undefeated yang bernilai RM95,000, Nike Mag (RM50,000), Nike Air Jordan 4 X Carhartt X Eminem (RM55,000), Nike Air Jordan 1 X Travis Scott (RM8,500) dan beberapa kasut lain.

Saban tahun, EICMA menjadi medan pilihan bagi pengeluar motosikal untuk mempamerkan jentera konsep atau model baharu tetapi kebelakangan ini, Tokyo Motor Show semakin menjadi pilihan utama bagi pengeluar motosikal Jepun.

Bagi edisi 2019, Honda bakal memperkenalkan CT125 – sebuah motosikal konsep yang berlandaskan Honda C125 namun telah disuntik dengan ciri scrambler.

Honda sebelum ini pernah menghasilkan motosikal jenis ‘trail cub’ pada 1964 ,beberapa tahun selepas Honda Cub dilancarkan. Tahun lalu, pengeluar motosikal Jepun itu melancarkan Honda Super Cub – versi yang telah dinaik taraf.

Difahamkan, CT125 bakal ditayangkan bersama-sama pelancaran Honda CRF1100L Africa Twin.

Menariknya, rekaan keseluruhan CT125 tampak lebih garang dengan bahagian enjin kini terdedah sementara bahagian ekzos menampilkan rekaan yang terdapat pada Honda Monkey 125.

Bahagian depan juga didatangkan dengan sistem penyerap hentakan yang tampak lebih agresif sementara bahagian belakang dilengkapi dengan rak besi.

(SUMBER: Ride Apart)

Perlumbaan ‘off-road’ paling mencabar, Rimba Raid, kini kembali bagi edisi 2020 selepas kejayaan penganjuran di Rimba Valley Motocamp, Julai lalu.

Rimba Raid 2020 bakal kembali ke Mat Daling, Jerantut, Pahang, yang merupakan venue bagi edisi 2018.

Bagi edisi tahun depan, peserta akan menempuh hampir 90 peratus perlumbaan di dalam hutan yang melibatkan jarak di antara 360 hingga 420km!

Menurut maklumat yang boleh didapati di laman Facebook Rimba Raid, keseluruhan perlumbaan akan mengambil masa empat hari dengan hari kedua dan ketiga merupakan masa genting.

Difahamkan, kelas C tidak lagi dipertandingkan dan akan digantikan dengan kelas Endurao Rally – terbuka kepada motosikal bersesaran dari 250cc.

Sementara itu, jentera jenis ‘trail bike'(DR, CRF, KLX dan sebagainya) dibenarkan untuk memasang tangki yang lebih besar bagaimanapun, motosikal jenis ‘pure enduro’perlu berada dalam keadaan stok – naik taraf ekzos dan sistem penyerap hentakan dibenarkan – dan saiz tangki perlu dalam keadaan standard.

Sebanyak 100 penyertaan dibenarkan bagi kelas A, 30 penyertaan bagi kelas B dan 100 penyertaan bagi kelas Enduro Rally.

Untuk perkembangan lanjut layari laman Facebook Rimba Raid!

Jika sebut tentang motosikal adventure, model yang sering akan menjadi bualan orang ramai adalah BMW GS dan GS Adventure, Honda Africa Twin dan KTM Adventure 1050.

Tetapi dalam buku MotoMalaya, motosikal adventure pilihan kami adalah Triumph Tiger 800 XRX dan XCX 2018.

Tatkala kebanyakan pengeluar lain berlumba-lumba dalam mengejar saiz dan kuasa, Triumph memastikan mereka tidak terkesan dengan perlumbaan itu sebaliknya enjin 800cc tiga silinder dengan penyejuk cecair, 12 injap, DOHC – yang menjana 95hp – sudah memadai untuk memberikan pengalaman tunggangan jarak jauh yang terbaik.

Julai lalu, MotoMalaya bersama-sama Triumph Malaysia dijemput menyertai pengembaraan dari Kuala Lumpur (KL) ke Koh Samui dan kembali ke tanah air dalam perjalanan yang memakan masa lima hari.

MotoMalaya telah diberikan Triumph Tiger 800 XCX sebagai pasangan utama sepanjang tempoh pengembaraan tersebut dan ternyata kami tergaman dengan prestasi keseluruhan jentera.

Teringat kembali kata-kata daripada sahabat di BikesRepublic apabila dimaklumkan bahawa MotoMalaya akan diberikan Tiger 800, “Once you tried the Tiger, every other bikes will feel like crap”.

Hakikatnya, artikel ini boleh diakhiri dengan kenyataan pendek tapi kompak itu namun keterujaan Tiger 800 tiada penghujungnya.

Perlu diingatkan jentera yang dipinjamkan itu merupakan model 2018 yang telah dikemas kini sekaligus memiliki lampu depan LED dengan keupayaan Daytime Running Light (DRL) dan cermin depan boleh laras.

Tetapi kami cukup gemar dengan paparan TFT-LCD berwarna yang diguna pakai. Mudah dibaca di waktu panas terik dan tampak cukup jelas ketika waktu malam.

Bagaimanapun, faktor utama yang membuatkan keseluruhan tunggangan ketika menempuh perjalanan 1,800KM itu kekal selesa dan tidak memenatkan adalah sistem cruise control yang ditawarkan pada Tiger 800 XCX dan XRX.

Hanya setkan kelajuan diingini – 161km/j kelajuan maksima dibenarkan ketika cruise control – dan perjalanan berjam-jam dari KL ke sempadan tidak lagi dihujani keluhan sebaliknya kagum dengan enjin yang menawarkan kestabilan tinggi.

Jika hendak mematikan sistem tersebut, penunggang hanya perlu menekan brek tangan dengan perlahan dan kembali mengawal kelajuan dengan pendikit seperti biasa.

Perlu diingatkan, Tiger 800 XCX dan XRX menawarkan pengalaman tunggangan berbeza tatkala XCX lebih terarah kepada off-road manakala XRX direka khas bagi penunggang yang gemar dengan tunggangan jarak jauh.

Sejujurnya, sesiapa pun akan mengatakan bahwa Triumph Tiger 800 XCX kelihatan jauh lebih ‘jahat’ berbanding XRX terutamanya dengan penggunaan rim ‘wire-spoked’ di tambah dengan enjin guard dan sebagainya.

Namun, melihat dari aspek praktikal, Tiger XRX berjaya melaksanakan tugas dengan baik dengan penggunaan rim ‘cast aluminium’ 19 inci depan dan 17 inci belakang.

Fork 43mm WP di bahagian depan dan penyerap hentakan Showa 180 mm yang terdapat pada XRX serta sistem ABS turut memastikan pengalaman sepanjang tunggangan kekal selesa. Dalam erti kata mudah, “Setakat lubang-lubang kecil di Malaysia dan Thailand, apa ada hal!”.

Berbeza dengan XCX yang didatangkan dengan tempat duduk berketinggian 840mm hingga 860mm, XRX lebih memaafkan untuk penunggang yang gayat dengan ketinggian sekitar 810mm hingga 830mm. Pada pendapat kami, ketinggian tempat duduk ini sudah cukup memadai.

Bagi kami di MotoMalaya, tiada cara yang lebih baik untuk menguji kemampuan sebuah motosikal adventure selain daripada menempuh perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Koh Samui dan kembali ke tanah air dalam perjalanan yang memakan lebih 1,800km dan tidak sekalipun Triumph Tiger 800 XRX ini mengecewakan.

 

Petronas Sprinta Racing mengesahkan bahawa pelumba Moto2, Khairul Idham Pawi, akan kembali beraksi di Moto3 bagi musim 2020.

KIP telah pun terlepas beberapa perlumbaan sebelum ini sejak mengalami kecederaan ketika di GP Sepanyol, Mei lalu.

Dia juga telah menjalani tiga pembedahan termasuk minggu ini di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Adam Norrodin akan menggantikan KIP bagi baki saingan Moto2 musim ini.

Musim 2020 Moto3 akan membuka tirai Mac tahun depan dengan pusingan pembukaan akan berlangsung di GP Qatar.

Dalam perkembangan sama, KIP akui keputusan untuk kembali ke Moto2 datang dari dirinya sendiri.

“Saya teruja kerana dapat kekal bersama pasukan sama kerana kami satu keluarga yang besar. Saya sendiri memberitahu pasukan bahawa saya mahu kembali ke Moto3 dan mereka telah melunaskan permintaan saya.

“Saya yakin ada banyak lagi yang saya mahu gapai di Moto3 dan digandingkan dengan pelumba berpengalaman (John McPhee) akan membantu saya.

“Sasaran saya musim depan adalah menempatkan diri di kelompok depan,” jelasnya.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube