Bikesrepublic

Berita Terkini

 

Piaggio Group mengumumkan Didi Resources Sdn Bhd selaku pengedar rasmi baharu jenama Piaggio & Vespa menggantikan NAZA Premira Sdn Bhd, hari ini.

Menurut Pengarah Urusan Piaggio Vietnam selaku Naib Presiden Eksekutif Asia Pasifik 2 Wheeler, Gianluca Fiume, pelantikan Didi Resources merupakan strategi Piaggio untuk menyatukan semua jenama di bawah satu bumbung.

“Pelantikan Didi Resources merupakan strategi perniagaan kami untuk meningkatkan tahap efisien dengan menyatukan jenama Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi di bawah payung yang sama.

“Penyatuan ini memudahkan kami untuk mencapai pelanggan baharu yang mencari jentera dua roda jenama Itali. Kami kami Didi Resources mampu mengangkat jenama ini ke peringkat lebih tinggi,” jelasnya.

Kenyataan Fiume disambut baik Pengerusi Didi Resources, Rew Hamid Bugo yang berkata, “Kami amat berbesar hati diberikan peluang untuk mengendalikan jenama Piaggio dan Vespa (di Malaysia).

“Dengan penggabungan ini, kami kini dapat menguruskan Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi dibawah konsep Motoplex bagi pasaran Malaysia.

“Kami sangat komited untuk mengukuhkan kedudukan setiap jenama ini dengan menawarkan servis selepas jualan (aftersales), memperkuatkan komuniti dan sentiasa berhubung dengan setiap jenama dalam pasaran dua roda yang sangat kompetitif di Malaysia,” katanya.

Pelantikan Didi Resources selaku pengimport dan pengedar Piaggio serta Vespa akan berkuat kuasa 1 Januari 2020.

Terdahulu, NAZA Premira Sdn Bhd dalam satu kenyataan semalam – NAZA-Vespa Tamatkan Kerjasama Kuat Kuasa 1 Januari 2020 – mengumumkan keputusan untuk tidak lagi bertindak selaku pengedar jenama Piaggio dan Vespa di Malaysia bermula 1 Januari 2020.

NAZA Premira Sdn Bhd dalam satu kenyataan  mengumumkan keputusan menamatkan kontrak selaku pengedar jenama Vespa di Malaysia, berkuatkuasa 1 Januari 2020.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NAZA Corporation Holdings, SM Nasarudin SM Nasimuddin mendedahkan pihaknya telah pun mengadakan perbincangan dengan Piaggio Group mengenai keputusan untuk tidak lagi bergerak seiringan Julai lalu.

“Kami mengucapkan terima kasih pada mereka atas usahasama selama sembilan tahun ini dan kami mengucapkan selamat berjaya bersama rakan baharu,” jelasnya.

Sementara itu, NAZA Premira akan terus menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan Vespa di pengedar terpilih sehingga 31 Disember ini.

Dalam perkembangan sama, berdasarkan dakwaan dalam industri automotif negara, difahamkan “rakan” baharu Piaggio Group merujuk kepada Didi Resources yang ketika ini bertindak selaku pengedar dua jenama lain di bawah payung Piaggio, Aprilia dan Moto Guzzi di Gasket Alley, Petaling Jaya.

 

Teringin nak tampil unik untuk tahun 2020? Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) akan mengadakan penjualan eksklusif Hyundai i30 N menerusi Lazada Malaysia 12.12, bulan depan.

Terhad kepada 20 unit sahaja, kereta lima pintu segmen ‘hot hatch’ itu akan dibuka untuk tempahan awal bermula 2 Disember ini menerusi ciri ‘Chup Dulu’ Lazada.

Chup Dulu membenarkan pembeli untuk menikmati tawaran eksklusif dan harga istimewa bagi barangan terpilih dengan membuat bayaran deposit menerusi aplikasi Lazada.

Dari 2 hingga 11 Disember ini, orang ramai boleh ‘Chup’ Hyundai i30 N dengan membayar deposit 50 peratus – RM1,000 – daripada nilai caj tempahan RM2000 menerusi Lazada.

Kemudian pelanggan boleh membayar baki 50 peratus – RM1,000 – dari 12 hingga 14 Disember untuk mengesahkan tempahan.

HyperFocal: 0

Pihak Hyundai akan menghubungi pelanggan yang telah membuat bayaran tempahan penuh bagi proses pembelian di pusat pameran Hyundai.

Menariknya, 20 pelanggan pertama ini akan turut mendapat peluang melancong ke Korea bagi menghadiri sesi ‘track day’.

Hyundai i30 N didatangkan dengan dua varian:

  • Varian N – 246.5hp, 353 Nm (Transmisi 6 kelajuan – Manual)
  • Varian N Performance – 271.2hp, 353 Nm (Transmisi 6 kelajuan – Manual)

Bagaimanapun, hanya varian N Performance akan dijual untuk pasaran Malaysia yang turut dilengkapi rim aloi 19 inci, kaliper brek merah dengan logo N, tempat duduk pemandu dan penumpang elektronik, kemasan faux suede dan kulit.

Model ini turut memiliki pelbagai ciri terkini antaranya:

  • Electronic Stability Control (ESC)
  • Electronic Limited Slip Differential (E-LSD)
  • Lima mod pemanduan
  • Launch Control

Hyundai i30 N ditawarkan pada harga RM298,888 dan orang ramai boleh tinjau dengan lebih dekat di Sime Darby Auto Hyundai Jalan Klang Lama.

Seorang kanak-kanak 10 tahun meninggal dunia selepas baju hujan yang dipakainya tersangkut di bahagian sproket motosikal dalam kejadian yang berlaku semalam.

Mangsa, Tuan Nur Irdina Najwa Tuan Rosli ketika itu sedang membonceng dibelakang motosikal jenis Honda RS150R yang ditunggang ibu saudara.

Menurut laporan Harian Metro, kejadian tersebut berlaku di Kampung Gong Tanah Merah, Jerteh, Terengganu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad menjelaskan bahawa baju hujan mangsa telah sangkut di bahagian sproket lalu menarik mangsa jatuh ke atas jalan.

Baju hujan tersebut kemudiannya menjerut bahagian leher mangsa yang kemudiannya disahkan meninggal di tempat kejadian.

Pada 2016, seorang remaja 16 tahun maut dalam satu kejadian di Machang, Kelantan, apabila kain kakaknya – yang sedang membonceng dibelakang – tersangkut di bahagian sproket lalu menyebabkan kemalangan.

Kemudian pada 2018 di Butterworth, Pulau Pinang, seorang lelaki berusia 35 tahun turut menemui nasib sama apabila kain jaketnya tersangkut di bahagian rantai motosikal.

(SUMBER: Harian Metro)

Pilih helmet bukan perkara mudah kerana bukan sahaja reka bentuk dan warna perlu diambil kira malah harga dan ciri yang ditawarkan juga perlu dititiberatkan.

Bagi dunia luar, mungkin setiap helmet tampak sama tapi bagi jiwa dua roda, helmet bukan sahaja menampilkan gaya malah medium penting menyelamatkan nyawa.

Baru-baru ini, pengedar HJC di Malaysia, NKS, memberi MotoMalaya peluang untuk menguji produk baharu helmet dari Korea itu, HJC C70.

Tergolong dalam segmen helmet ‘touring’, C70 – dengan bahan polikarbonat –  bukan dicipta untuk kegunaan litar – Bukit Tinggi International Circuit (BTIC) dikecualikan – namun sebagai helmet kegunaan harian.

HJC C70 didatangkan dengan berat 1600 gram bagi saiz XL – sememangnya agak berat tetapi dengan harga RM949 pastinya perlu ada tolak ansur.

Pada pemakaian awal, bahagian pad rasa agak ketat namun selepas penggunaan 1000km – pad mula mengikut saiz kepala dan keselesaan mula dirasai namun bahagian kepala masih rasa padat dan tiada isu’longgar’.

Meskipun tampak garang bagaikan helmet untuk kegunaan litar namun HJC C70 hanya selesa untuk kelajuan normal – 0 hingga 160km/j namun pergi laju dari itu dan keseluruhan helmet mula bergegar.

Dalam bahasa mudah, C70 sesuai bagi yang patuh had kelajuan di Malaysia.

Sementara itu, bahagian ‘chin strap’ menggunakan slot ‘micro buckle’ yang mudah ditanggalkan dengan hanya sebelah tangan.

Menariknya, selepas 1000km, bahagian ‘micro buckle’ masih utuh dan terasa masih ‘dara’.

Bagi menangani cuaca terik di siang hari, HJC C70 turut menawarkan ‘sun visor’.

Aliran udara juga memadai dengan corong udara di bahagian dagu dan satu corong udara di bahagian atas namun dalam keadaan panas terik, insiden ‘lecak’ tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, bahagian pad dalam boleh ditanggalkan untuk dibasuh.

Bagi penunggang yang mencari helmet dengan reka bentuk menarik dan pilihan warna pelbagai disamping menawarkan harga mampu milik dan ciri keselamatan berkualiti, HJC C70 menawarkan semua ciri terbabit dibawah RM1000.

 

Sebaik perlaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) berjalan Januari depan, harga petrol RON95 akan diapungkan secara berperingkat.

Menurut laporan Harian Metro, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen memaklumkan bahawa harga RON95 akan naik 1 sen setiap minggu sehingga mencapai harga pasaran.

“Harga petrol akan diapungkan secara berperingkat sebanyak satu sen setiap minggu sehingga harga RON95 mencecah harga pasaran,” jelas Chieng Jen dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, Sabah, Sarawak dan Labuan akan tetap menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM2.08 seliter.

Bagi memastikan harga minyak mengikut kadar ditetapkan, Akta Kawalan Harga juga akan diguna pakai bagi memastikan tiada pihak cuba memungut keuntungan berlebihan.

(SUMBER: Harian Metro)

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube