Bikesrepublic

Berita Terkini

Susulan kematian juara empat kali Pikes Peak International Hill Climb (PPIHC), Carlin Dunne, tahun ini, lembaga pengarah kejohanan tersebut membuat keputusan bahawa tiada kategori motosikal ditawarkan bagi tahun depan.

Carlin Dunne mengalami kemalangan maut 400 meter daripada garisan penamat ketika menunggang jentera prototaip Ducati Streetfighter V4.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, lembaga pengarah PPIHC berkata, “tiada program motosikal ditawarkan bagi tahun 2020 bagi memberi ruang kepada penganjur untuk mengumpul data dan melakukan analisis mengenai impak ketiadaan program motosikal sekiranya disisihkan daripada perlumbaan ini.”

Sementara itu, Pengerusi PPIHC, Tom Osborne menyifatkan program motosikal telah menjadi sebahagian daripada sejarah PPIHC lebih 29 tahun.

“Bagaimanapun, program motosikal bukanlah kejohanan tahunan. Motosikal hanya terlibat dalam 41 daripada 97 tahun kami berlumba di Pikes Peak.

“Ini adalah masanya untuk kami meninjau kembali segala aspek perlumbaan termasuk program motosikal dan menentukan di kemudian hari sama ada perlunya ada perubahan,” jelasnya.

Difahamkan, keputusan mengenai masa depan perlumbaan motosikal di PPIHC akan ditentukan hujung tahun 2020.

Sementara itu, ibu Dunne, Romie Gallardo merayu agar perlumbaan motosikal di Pikes Peak diteruskan.

“Saya tahu dia (Carlin Dunne) tidak mahu program motosikal ditamatkan.

“Dia mahu kita belajar daripada tragedi ini. Dia akan menggesa pihak berkuasa untuk meningkatkan tahap keselamatan.

“Kami sedar akan bahaya sukan ini tetapi saya kekal komited untuk menyokong kariernya kerana dia sayangkan perlumbaan di Pikes Peak. Siapa kita untuk merampas impian pelumba lain yang mahu beraksi di PPIHC?” tegasnya.

 

Pelumba off-road negara, Gabit, berjaya memastikan kejuaraan GIVI Rimba Raid kekal di Malaysia selepas berjaya menjuarai kategori Kelas A di Rimba Valley Motocamp, Janda Baik, semalam.

Kelas A menyaksikan 85 pelumba memulakan saingan bagi merebut status Raja Off-Road dengan pelumba negara, Muhamad Habibullah Mohd Saleh (Gabit) dan pelumba Rali Dakar, Jeremias Israel paling mencuri tumpuan.

Jeremias – bekas National Champion dan pelumba Factory Honda Dakar Rally – dilihat sebagai pencabar utama kepada Gabit bermula garang sebaik perlumbaan bermula dengan jentera Triumph Scrambler 1200.

Bagaimanapun, ketika perlumbaan memasuki peringkat akhir, Jeremias terpaksa menarik diri daripada menamatkan perlumbaan apabila berlaku insiden tidak diingini yang sekaligus memberi kesan terhadap prestasinya.

Sementara Gabit – bersama jentera KTM 1050 – yang disuntik dengan sokongan penyokong tempatan, berjaya menamatkan saingan dengan catatan masa 48 minit 40.440 saat.

 

Lebih manis, tempat kedua dan ketiga turut diungguli pelumba tempatan menerusi Wong Chun Hing dan Wong Chun Fah dengan masing-masing menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 50 minit 37.796 saat dan 1 jam 19 minit 16.837 saat.

Kecemerlangan pelumba tempatan turut diteruskan di Kelas B apabila Shamsul Azhar Abu Hazim muncul juara dengan jentera AJP PR7.

Shamsul menamatkan perlumbaan dengan catatan 1 jam 4 minit 31.145 saat diikuti Wan Nor Fahmy Wan Nashar dengan 1 jam 12 minit 44.916 saat dan Iskandar Rabu dari Singapura, ketiga dengan 1 jam 36 minit 56.130 saat.

Kelas B turut menyaksikan separuh daripada 20 pelumba gagal menamatkan perlumbaan.

Sementara itu, Kelas C menyaksikan dominasi dua beradik apabila Muhammad Hazlami dan Muhammad Hazzim menyempurnakan kedudukan satu dua dengan catatan masa 56 minit 55.504 saat dan 57 minit 28.840 saat.

Tempat ketiga jadi milik Muhamat Hairy Muhamat Omar Zuki dengan catatan masa 59 minit 9.042 saat.

Seramai 146 penyertaan direkodkan tahun ini berbanding 105 tahun lalu di Mat Daling sekaligus membuktikan GIVI Rimba Raid semakin mendapat tempat di hati penggemar sukan ‘off-road’ dalam dan luar negara sementara penyertaan Jeremias mengukuhkan lagi nama Rimba Raid di persada antarabangsa.

Hari kedua bakal menyaksikan pelumba merebut kejuaraan kategori Enduro yang akan berlangsung jam 9 pagi hari ini.

Sumber: Fabio Quartararo @ Twitter

Pelumba MotoGP, Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli dikhabarkan akan beraksi di Sepang 8 Hours hujung tahun ini.

Menurut laporan Crash.net, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Dato’ Razlan Razali mahu menyaksikan kedua pelumba pasukan Petronas Yamaha itu beraksi dalam pertandingan sulung yang akan berlangsung pada 14 Disember ini.

“Kami di SIC mahu menyaksikan pelumba MotoGP beraksi di Sepang 8 Hours. Ketika ini kami sedang berbincang dengan pengurus mereka.

“Kedua-dua pelumba (Quartararo dan Morbidelli) mempunyai kelapangan pada bulan Disember. Pada masa sama saya berasakan perlumbaan ini baik untuk mengekalkan kecergasan mereka ketika musim cuti MotoGP.

Sumber: Fabio Quartararo @ Twitter

“Saya juga telah memperjelaskan kepada mereka, ‘ini adalah acara Endurance World Championship (EWC) sulung kami jadi kami mahu kamu beraksi’. Ketika ini kami masih belum membuat keputusan tentang pelumba ketiga,”jelasnya.

Pada masa sama Razlan turut berpeluang menampilkan EWC sulung dengan barisan ‘all-star’ sekiranya setiap pelumba daripada pasukan Petronas Yamaha Sprinta dapat turun padang antaranya, Jonas Folger, Khairul Idham Pawi, Mattia Pasini dari Moto2 dan Ayumu Sasaki serta John McPhee dari Moto3.

Sementara itu, wakil tunggal negara dalam kelas premier MotoGP, Hafizh Syahrian turut mempunyai kelapangan pada bulan Disember apabila kontraknya bersama KTM tamat musim ini.

(SUMBER: Crash.net)

Kebelakangan ini, beberapa pengeluar motosikal premium telah memeterai perjanjian dengan pengeluar motosikal Asia bagi membangunkan jentera bersaiz sederhana.

Harley-Davidson telah menjalinkan kerjasama dengan Qianjiang Motorcycle sementara Triumph bersama Bajaj.

Kini, MV Augusta bakal mengikut jejak tersebut setelah mengumumkan mereka bakal bekerjasama dengan pengeluar motosikal China, Loncin Motor.

MV Augusta turut menjelaskan bahawa tidak kurang daripada empat model dengan enjin bersesaran 350 hingga 500cc dengan jenama MV akan dilancarkan menjelang 2021.

Pada masa sama, mereka turut menegaskan bahawa meskipun dengan enjin bersaiz kecil, jentera tersebut akan tetap membawa nama MV Augusta. Malah, pengeluar motosikal Itali itu menekankan bahawa model akan datang itu akan djual sebagai motosikal bersaiz kecil premium dan akan dilengkapi sistem tunggangan dinamik seperti yang terdapat pada model MV lain.

Bagaimanapun, bagi memastikan harga ditawarkan berada dalam lingkungan ‘mampu milik’. Jentera tersebut akan dihasilkan di China menerusi Loncin Motor.

Sehingga kini, MV tidak pernah menghasilkan jentera secara besar-besaran (mass production), sekaligus menjadikan kerjasama dengan Loncin Motor membantu dalam mencapai matlamat tersebut.

(SUMBER: Ride Apart)

PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) meraikan pemenang bulan Jun untuk peraduan PETRONAS Sprinta Bonanza.

Ahmad Shafiq Sharifudin, 23 tahun merupakan pemenang bertuah bagi bulan Jun dan membawa pulang sebuah jentera Yamaha Y15ZR.

Motosikal tersebut telah diserahkan oleh Ketua Peruncitan PLMM, Mohd Bahrin Mohd Yunus di PETRONAS Tanah Liat.

Shafiq – yang bertugas sebagai pelatih kesihatan – hanya membelanjakan sebanyak RM70 dengan membeli minyak pelincir Sprinta F700.

Peraduan PETRONAS Sprinta Bonanza telah pun bermula sejak Mac lalu dan akan berlanjutan sehingga 30 September 2019.

Tujuh buah Yamaha Y15ZR ditawarkan bagi hadiah bulanan sementara tiga buah Yamaha R25 menanti pemenang tempat kedua. Yamaha R6 ditawarkan sebagai hadiah utama yang bernilai lebih RM100,000.

Setiap motosikal ditawarkan turut tampil dengan livery PETRONAS Yamaha SRT yang beraksi di MotoGP.

Berikut senarai pemenang setakat ini:

Mac : Sahrulnaim bin Sahrahan
April : Mohd Arif bin Mohmad Yasin
Mei : Muhamad Faez bin Aju
Jun : Ahmad Shafiq bin Ahmad Sharifudin

Untuk maklumat lanjut, layari laman sosial Facebook PETRONAS Sprinta Malaysia dan Instagram @petronas_sprintamy

Senario penuh misteri berlaku di litar Nurburging, Jerman apabila kelibat dua kereta jenis Mazda RX-8 kelihatan menjalani sesi ujian baru-baru ini.

Tahun 2012 merupakan tahun akhir bagi model RX-8 – yang menggunakan enjin ‘rotary’. Sejak daripada itu, Mazda kekal berdiam diri dengan perkembangan enjin ikonik tersebut.

Bagaimanapun, berdasarkan paten yang didedahkan awal tahun ini mendapati Mazda masih giat meneruskan pembangunan enjin ‘rotary’.

Kini, sebuah video yang dimuat naik ke Youtube memaparkan dua buah model RX-8 – tujuh tahun selepas model tersebut diberhentikan – melakukan beberapa pusingan di Nurburging merumitkan lagi misteri yang masih gagal dirungkai.

Video tersebut didakwa dirakam ketika Hari Industri di mana yang pengeluar kereta diberikan akses kepada litar sekaligus mengesahkan bahawa Mazda sedang menguji model tersebut.

Bagaimanapun, persoalan utama timbul, mengapa Mazda menguji dua model lama?

Senario yang paling masuk akal ketika ini adalah Mazda sedang menguji enjin ‘rotary’ baharu yang telah berselindung di sebalik bonet depan dua model RX-8 itu.

Ketika ini Mazda masih mengunci mulut mengenai sebarang perkembangan enjin ‘rotary’ sekaligus peminat setia enjin tersebut hanya mampu berspekulasi.

Laporan mengenai penyambung legasi enjin ‘rotary’, RX-9 telah pun timbul sejak lapan tahun lalu namun sehingga kini masih tiada laporan susulan.

Namun, orang ramai boleh terus berharap berdasarkan sesi ujian dua model Mazda RX-8 ini.

Pada masa sama, jika Toyota kembali dengan Supra sementara terdapat ura-ura mengenai Mitsubishi Evo 11 dihasilkan, tidak hairan jika Mazda turut mengambil langkah sama dengan mengembalikan jentera ikonik itu.

(SUMBER: Motor1.com)

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube