Bikesrepublic

Diuji : Indian Scout

Artikel oleh Keshy Dillon untuk Bikesrepublic.com
Terjemahan Oleh Zarul Faiz

 

  •  Direka untuk mencabar Harley-Davidson Sportster dan yang lain-lain dalam kelasnya, dan ia melakukannya dengan penuh bergaya. Walaubagaimanapun sama ada ia setanding dengan Sportster masih boleh diperdebatkan
  • Tidak seperti pengeluar lain yang berusaha terlalu keras dalam menyaingi Harley-Davidson, Indian Motorcycle tidak keterlaluan dalam penggunaan krom
  • Untuk menarik minat penggemar Harley-Davidson, Indian perlu membina motosikal yang lebih baik, dan ia selalunya bermula dengan enjin yang hebat, dan terbukti bahawa enjin Scout ini memang hebat

Jika ditanyakan tentang American Cruiser, jarang akan kita dengar jenama Indian yang pertama sekali disebut oleh peminat. Walaupun jenama ini antara yang tertua di dunia dan salah satu antara pengilang dengan sejarah semegah Harley-Davidson, ia pernah lenyap dari tanah air kita, sehinggalah ia muncul kembali atas jasa pengimport dan pengedar, Naza.


Tidak dapat dinafikan yang Indian Motorcycle boleh membina motosikal yang hebat. Mereka telah menyempurnakan resepi bagi sebuah cruiser yang menggabungkan kehalusan gaya dan juga kuasa. Sebagai contoh, Indian Scout. Direka untuk menyaingi Harley-Davidson Sportster dan motosikal yang lain-lain dalam kelasnya, dan ia melakukannya dengan penuh bergaya. Walaubagaimanapun, sama ada ia setanding dengan Sportster masih boleh diperdebatkan.


Ia mempunyai rekabentuk dan saiz yang tepat bagi sebuah cruiser ala ‘bobber’. Ia juga mempunyai gaya dan saiz roda ‘old school’. Dan tidak seperti pengeluar lain yang berusaha terlalu keras dalam menyaingi Harley-Davidson, Indian Motorcycle tidak keterlaluan dalam penggunaan krom dan hiasan. Ini adalah sesuatu yang bagus, kerana ianya lebih elok pada motosikal yang lebih besar seperti Road Glides dan Chief Specials.

Ia tampak dalam saiz yang serupa dengan Sportster tapi mempunyai jarak antara tayar 32mm lebih panjang, pelananya pula 83mm lebih pendek, lebih tinggi sedikit dari Sportster dengan jarak dari tanah 30mm lebih tinggi dan 14kg lebih ringan berbanding Harley-Davidson Sportster 1200 2016.

Tunggangannya seakan sama seperti Sportster 1200, berdasarkan pengalaman saya sebagai pemilik Sportster 48 2014. Ia mungkin lebih pendek, lebih ringan, namun pemilik Sportster tidak akan merasa canggung menunggang Scout – ianya terasa seperti sudah biasa sahaja.

Tempat letak kakinya di set ke hadapan dan pelananya, walaupun terserlah kecantikannya dalam kemasan kulit berwarna perang, tidaklah begitu selesa selepas penunggangan sejauh 100km. Namun ia mendapat markah yang tinggi untuk tarikan visual yang sememangnya melengkapkan warna kelabu gun metal motosikal ini.


Untuk menarik peminat dari Harley-Davidson, Indian perlu membina motosikal yang lebih baik, dan ia selalunya bermula dengan enjin yang hebat, dan terbukti bahawa enjin Scout ini memang hebat.


Enjinnya adalah enjin V-kembar dingin-cecair, 1,130cc yang menjana 100hp dan tork sehingga 97.7Nm pada 5,900rpm. Walaupun ia kecil sedikit berbanding enjin 1,202cc Harley-Davidson, Scout mempunyai lebih tork (Harley-Davidson tidak mendedahkan bacaan kuasa kudanya), tapi oleh kerana Harley-Davidson menghasilkan tork hanya dengan 3,500rpm, ia terasa lebih berkuasa, Scout pula mempunyai sudut sandar serendah 31 darjah berbanding Harley-Davidson yang hanya sehingga 26 darjah sahaja. Sewajarnya Scout terasa lebih sporty berbanding Sportster, yang terasa lebih seperti sebuah cruiser jika dibandingkan dengan Scout.

Begitulah adanya motosikal dari Spirit Lake ini. Walaupun ianya motosikal yang agak bagus untuk ditunggang, ia tidaklah begitu mengagumkan. Bagi penulis, ianya terlalu kecil walaupun saiznya tidak jauh berbeza dengan motosikal 48 Sportster milik saya. Saya lebih menyukai perwatakan yang ada pada Harley, dan bercakap pasal enjin, mengekalkan motosikal Indian pada tahap optimum yang malar adalah sesuatu yang memenatkan bagi sebuah cruiser, tork paras rendah akan sentiasa lebih digemari.

Keseluruhannya, saya sukakan kemasan dan perincian Scout ini kerana ianya gabungan gaya Americana dengan kualiti motosikal Jepun, tetapi pada harga RM114,800, ianya agak mahal. Sukar untuk mempertahankan Scout bila bersembang di kedai mamak ketika timbul perdebatan tentangnya, apatah lagi jika diberi pilihan sama ada untuk membeli Scout, Sportster 1200, atau pun BMW RnineT. Agak sukar untuk mewajarkan pilihan tersebut.

Namun, jika anda inginkan cruiser yang bukannya Harley-Davidson dan pada masa yang sama inginkan sesuatu yang mempunyai warisan yang boleh dimegahkan ketika tunggangan hujung minggu, Indian Scout ini amat sesuai untuk anda. Walaupun mahal, ia mempunyai segala tarikan yang ada pada Harley-Davidson serta enjin yang lebih lincah jika anda jenis yang suka berusaha untuk kepuasan diri. Ia juga mempunyai banyak bahagian keluli yang menarik perhatian dan kuasanya yang membuak.

Ia juga merupakan motosikal yang mudah untuk dikawal untuk penunggang baru, tetapi anda tidak perlu percaya kata-kata saya sahaja, anda boleh mengujinya untuk diri sendiri. Naza mempunyai Scout yang boleh dipandu uji, jadi hubungilah mereka di talian 016-2293123 jika anda ingin mencubanya. Dan jangan risau dengan nada ekzos yang agak lembut. Paip ekzos aftermarket boleh memperbetulkan keadaan tersebut.

Ketahuilah lebih lanjut tentang motosikal ini serta motosikal Indian yang lain di sini!

 

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube