Bikesrepublic

Berita Terkini

Susulan pengumuman rasmi oleh KTM bahawa Brad Binder bakal mengambil alih tempat Hafizh Syahrin di MotoGP musim depan, Hafizh merancang untuk kembali ke Moto2 pada 2020.

Hafizh merupakan pelumba Malaysia pertama untuk beraksi di kelas premier MotoGP apabila mendapat panggilan di saat akhir untuk menggantikan Jonas Folger di Tech3 Yamaha.

Selepas aksi memberangsangkan dengan jentera M1, Tech3 kemudiannya menyambung khidmat Hafizh dengan KTM namun bergelut untuk mencari keserasian dengan jentera RC16.

Dia hanya mengutip tiga mata berbanding rakan sepasukan, Miguel Oliviera, 15 mata.

Menurut laporan Crash.net, Hafizh akui tiada tempat musim depan untuknya di kelas premier.

“Tiada lagi slot di MotoGP. KTM telah membuat keputusan untuk membawa masuk Brad Binder. Saya menghormati keputusan itu namun saya akan terus berikan yang terbaik memasuki separuh kedua musim ini.

“Saya akan merindui pasukan ini tetapi ini adalah asam garam perlumbaan.

“Ketika ini saya sedang berbincang dengan dua atau tiga pasukan di Moto2. Saya mahu kembali mempamerkan kemampuan sebenar saya meskipun di Moto2 lebih baik daripada 2017,” jelasnya.

Pada masa sama, Hafizh turut mengesahkan dia mungkin akan kekal dengan Tech3 di Moto2 malah turut berkemungkinan dia akan kembali ke pangkuan Petronas Moto2.

“Saya telah berbincang dengan Herve (KTM) dan juga Dato Razlan Razali,” katanya.

(SUMBER: Crash.net)

Acara yang paling dinanti-nanti tahun ini itu bakal berlangsung pada 4 Ogos ini di MAEPS, Serdang dengan bertujuan untuk meraikan semua penunggang motosikal Yamaha.

Seorang pengunjung bertuah akan berpeluang untuk membawa pulang sebuah Yamaha MT-09 serba baharu menerusi cabutan bertuah.

Orang ramai yang hadir hanya perlu membelanjakan lebih RM80 dalam satu resit di karnival tersebut bagi melayakkan diri.

Peminat Yamaha juga berpeluang untuk membeli cenderamata rasmi Yamaha dan beberapa barangan lain dengan diskaun sehingga 50 peratus.

Banyak acara turut menanti pengunjung yang hadir antaranya:

  • permainan fun fair
  • tunggang uji motosikal Yamaha
  • Tornado Box
  • permainan simulasi
  • aksi lagak ngeri oleh penunggang lelaki dan wanita

Bukan itu sahaja, pengunjung turut akan disajikan dengan pertandingan kustom Yamaha dengan jentera terbaik akan memenangi RM1,000 tunai dan jaket khas dari Kushitani.

Sebanyak 40 motosikal bakal bertanding dalam kategori retro, street, kapchai dan skuter automatik.

Bagi memeriahkan lagi suasana, pengunjung turut akan menerima layanan daripada penyanyi rock Malaysia, Faizal Tahir.

Jangan lupa bertandang ke MAEPS, Serdang pada 4 Ogos ini!

Pengeluar penyerap hentakan dari Taiwan, JDS Suspension melancarkan produk edisi terhad,JDS J3 Monoshock yang lahir dengan kerjasama juara kategori Underbone 150cc Asia Road Racing (ARRC) 2018, Md Helmi Azman daripada SCK Racing Team.

Penyerap hentakan serba baharu ini dihasilkan bagi meningkatkan tahap keselamatan sekaligus memberi pengalaman tunggangan lebih selesa.

Monoshock merupakan komponen yang penting terutamanya dalam memastikan tunggangan yang selesa. Bagaimanapun, setiap penyerap hentakan yang terdapat dalam pasaran dihasilkan secara besar-besaran lantas menyukarkan penunggang motosikal untuk membuat tetapan sendiri.

Menggunakan kepakaran yang ada, JDS Suspension menghasilkan penyerap hentakan dan monoshock yang membenarkan penunggang membuat tetapan mengikut cita rasa sendiri.

Produk baharu ini boleh didapati dalam pasaran bermula hari ini dan boleh didapati bagi model Yamaha R25 dan Yamaha NVX.

Ketua Pegawai Operasi JDS Suspension, Kidd Lee Wei Yang meluahkan rasa teruja dengan produk baharu ini terutamanya kerjasama dengan Helmi.

“Kami gembira dapat menjalinkan kerjasama dengan Helmi dalam menghasilkan produk baharu ini kerana kami telah menawarkan produk kami kepadanya bagi pasukan SCK Racing Team,” katanya.

Sementara itu, Helmi mengakui JD Suspension telah banyak membantunya dalam perlumbaan ARRC.

“Saya menjadi pelumba yang lebih baik dan berkeyakinan di atas litar dengan produk mereka,” jelasnya.

Berikut ciri yang terdapat pada J3 Monoshock:

  • spring preload
  • rebound adjustable
  • compression adjustable

Ukuran panjang bagi penyerap hentakan: 245 – 345mm

JD Monoshock Edisi Terhad boleh didapati dengan harga RM,1480 (tanpa spring fork) dan RM1,580 (dengan spring fork).

Semangat setiakawan ditonjolkan Harley-Davidson Owners Group PJ (HOG PJ) dan Desmo Owners Club Malaysia (DOCM) ketika Camaraderie Ride.

Pengembaraan dua jenama motosikal ini membuktikan tidak wujud sebarang halangan halimunan yang sebelum ini didakwa memisahkan setiap kumpulan motosikal.

HOG PJ dan DOCM berkumpul di Gasket Alley, Selasa lalu bagi sesi sarapan pagi sebelum memulakan perjalanan ke Tanah Aina Fareena di Kampung Temiang, Karak.

Selepas selesai memuaskan nafsu durian, kedua-dua kumpulan meneruskan perjalan pulang ke Kuala Lumpur.

Fokus utama pengembaraan bersama ini bukanlah untuk mengisi perut semata-mata namun untuk memadam persepsi bahawa jenama motosikal berbeza tidak boleh ‘ride’ bersama terutamanya Harley-Davidson dan Ducati.

“Terdapat persepsi bahawa penunggang Harley-Davidson dan Ducati tidak boleh ‘ride’ bersama disebabkan gaya tunggangan berbeza. Tetapi Camaraderie Ride ini dapat mewujudkan semangat setiakawan baharu,” kata Pegawai Ladies Of Harley, Cilia Lob.

Persetujuan itu turut disuarakan Presiden DOCM Ainul Hasri.

“Bukan senang nak nampak lebih 100 buah Harley-Davidson dan Ducati bergerak bersama daripada Gasket Alley ke Janda Baik.

“Kami mengenali satu sama lain sambil menghargai keindahan jentera Itali dan Amerika. Pengembaraan ini membuktikan kami mempunyai hubungan baik antara satu sama lain. Saya harap kami akan terus memperkukuhkan hubungan ini dengan pelbagai aktviti lain kerana ini adalah moto DOCM, ‘Our Ride, Our Pride’,”jelasnya.

Sementara itu, pengembaraan DOCM dan HOG PJ turut dimeriahkan dengan penyertaan empat motosikal jenis Moto Guzzi V85TT.

Tune Insurance Malaysia Berhad (Tune Protect Malaysia) memperkenalkan ciri baharu yang dikenali sebagai Pay-As-You-Drive (PAYD) yang memberi ganjaran kepada pelanggan yang kurang menghabiskan masa di atas jalan.

PAYD diperkenalkan dengan dasar untuk menggalakkan orang ramai terutamanya pemandu kereta untuk mengurangkan masa memandu di atas jalan raya sekaligus sejajar dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sehingga 50 peratus menjelang 2020.

Dihasilkan untuk komuniti yang memandu dalam jarak yang pendek atau yang gemar meletak kereta di LRT/MRT untuk ke tempat kerja, PAYD memberi ganjaran sehingga 20 peratus berdasarkan ‘mileage’kereta yang rendah berdasarkan premium asas yang dibayar setiap kali perbaharui insurans kenderaan.

Syarat kelayakan:

  • Pemilik kereta berusia 28-60 tahun
  • Kenderaan berusia 0-3 tahun
  • Insuran kenderaan dari RM40,000 hingga RM300,000

Pelanggan akan mendapat bayaran balik sehingga 20 peratus jika bacaan ‘mileage’di antara 0-6000km dan 15 peratus bayaran balik bagi mileage di antara 6,001km hingga 8,000km.

Diingatkan, PAYD adalah plan baharu yang PERCUMA yang dihasilkan bagi memastikan pemilik kereta yang kurang menghabiskan masa di atas jalan raya tidak perlu membelanjakan nilai yang sama seperti pemandu lain.

Untuk mengakses ciri baharu ini, pemilik hanya perlu log masuk ke laman sesawang www.tuneprotect.com untuk mengaktifkan PAYD.

Sekiranya layak, ambil gambar odometer kenderaan dan muat naik ke dalam laman sesawang tersebut. Pelanggan akan dimaklumkan mengenai proese tersebut menerusi SMS dan e-mel.

Untuk maklumat lanju mengenai PAYD, layari www.tuneprotect.com/payd.

Selepas merekodkan prestasi mengecewakan musim ini, pelumba veteran, Valentino Rossi menggunakan cuti sebaik mungkin untuk kembali bangkit bagi separuh kedua musim 2019 MotoGP.

Jika dibandingkan dengan rakan sepasukan, Maverick Vinales, Rossi berdepan laluan lebih berliku kerana dia masih bergelut untuk mencapai keserasian dengan jentera M1.

MotoGP akan kembali bersambung hujung minggu ini di Brno, Czech Republic, litar yang membantu Rossi merekodkan kejuaraan sulungnya dalam kelas 125 pada 1996.

Pelumba berusia 40 tahun itu telah pun merekodkan tujuh kemenangan – kali terakhir pada 2009 – dan 14 podium sepanjang kariernya di Brno lantas dia tekad bangkit di litar keramatnya hujung minggu ini.

Menurut GPOne.com, The Doctor mahu berikan tumpuan sepenuhnya selepas berminggu berehat.”

“Ketika cuti musim panas, saya mengambil masa itu untuk berehat secukupnya tetapi saya kini tidak sabar untuk kembali ke atas M1.

“Saya perlu perbaiki prestasi semasa kerana kami juga akan bersiap sedia untuk menghadapi musim 2020, bermula dengan sesi ujian pada Isnin.

“Brno merupakan antara litar kegemaran saya. Saya mahu dapatkan keputusan yang baik,” jelasnya.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube