Bikesrepublic

Berita Terkini

Harley-Davidson membuat keputusan untuk menghentikan pengeluaran motosikal elektriknya pertamanya, LiveWire, untuk sementara waktu susulan berdepan masalah dengan sistem pengecas jentera tersebut.

Menurut laporan The Wall Street Journal, Harley-Davidson memaklumkan bahawa LiveWire masih selamat untuk ditunggang namun menasihatkan beberapa pemilik untuk mengecas jentera bernilai USD30,000 itu di pengedar rasmi buat masa ini.

Projek LiveWire pernah diperkenalkan sebagai jentera konsep pada 2014 namun kemudiannya menyepi tanpa khabar berita sebelum Harley-Davidson memperkenalkan kembali jentera tersebut pada November 2018.

LiveWire merupakan projek berani Harley-Davidson dalam mengorak langkah baharu tatkala mendakwa jentera elektrik itu mensasarkan golongan muda – meskipun berharga USD10,000 lebih tinggi daripada jentera elektrik lain dalam pasaran.

“Kami telah pun menyerahkan ‘batch’ pertama LiveWire kepada para pengedar rasmi. Bagaimanapun, ketika proses semakan kualiti terakhir kami mendapati terdapat anomali terhadap sistem pengecas.

“Kami membuat keputusan untuk memberhentikan pengeluaran dan penghantaran buat sementara waktu bagi melakukan analisis terperinci. Bagaimanapun, LiveWire masih selamat untuk ditunggang,” jelas Harley-Davidson dalam satu kenyataan.

LiveWire telah pun diedar kepada beberapa pemilik awal September lalu.

(SUMBER: The Wall Street Journal)

Hong Leong Yamaha Malaysia (HLYM) melancarkan Lifestyle Station yang bakal menjadi pusat tumpuan utama bagi pelanggan dan tetamu yang hadir di HLYM Sungai Buloh, hari ini.

Lifestyle Station tersebut bukan sahaja menempatkan ruang lepak baharu bagi menawarkan keselesaan kepada pelanggan malah turut menawarkan ruang pameran khas.

Lifestyle Station tersebut turut terdiri daripada ruang penjualan aksesori Yamaha serta Gen Blue Cafe yang menawarkan pelbagai makanan dan minuman.

Pelancaran Lifestyle Station ini menandakan komitmen HLYM dalam menyampaikan sejarah dan segala sumbangan yang telah dilaksanakan dalam tempoh 40 tahun ini.

Projek baharu ini melibatkan ruang yang amat besar sekaligus Yamaha Malaysia telah membahagikan peralihan kepada Lifestyle Station kepada Fasa 1 dan Fasa 2.

Fasa pertama membabitkan naik taraf ruang pameran dan pusat servis bersama-sama Pusat Pendidikan Motosikal dan Akademi Latihan (META).

Ruang pameran telah diperbesarkan sehingga 10 kali ganda dan kini mempamerkan jentera Yamaha terbesar di Malaysia.

Pusat servis kini boleh memuatkan lebih 15 ruang tempat letak motosikal dan dilengkapi sistem penghawa dingin sekaligus mengubah imej pusat servis yang kebiasaannya berminyak dan kotor.

Bagi mencapai objektif dalam melahirkan jumlah kepakaran yang tinggi, HLYM turut memperbesarkan META sebanyak dua kali ganda.

Sementara itu Fasa 2 akan dilaksanakan tahun depan yang akan melibatkan muzium motosikal yang lebih besar.

Sementara itu, HLYM turut merancang untuk mewujudkan sebuah Auditorium yang akan menjadi venue bagi sebarang aktiviti yang bakal dilaksanakan kelak.

Gambar hiasan

Seorang cikgu sekolah bersama seorang tukang masak telah ditahan pihak polis di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang gara-gara terlibat dalam perlumbaan haram, Sabtu lalu.

Cikgu dan tukang masak tersebut yang masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha YZF-R1 dan Aprilia RSV4 ditahan di simpang Jalan Kampung Jawa ke Medan Selera Kampung Jawa sekitara jam 2 pagi.

Ketua Polis Barat Daya, Superintenden AA Anbalagan mengesahkan cikgu tersebut merupakan salah seorang tenaga pengajar di sebuah sekolah menengah di daerah Timur Laut.

Kedua-duanya telah pun dilepaskan atas jaminan polis namun kes tersebut akan dibawah kepad Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan lanjut.

(SUMBER: New Malaysian Post)

Pengeluar kereta China, Geely dan anak syarikat, Volvo akan menyatukan operasi penghasilan enjin bagi mewujudkan kesatuan yang lebih baik terhadap semua anak syarikat yang berada di bawah Zhejiang Geely Holding Group.

Menurut laporan China Daily, operasi baharu tersebut akan menyaksikan penghasilan enjin yang lebih efisien bagi semua jenama kereta yang berada di bawah naungan Geely.

Dalam kenyataan dikeluarkan pihak Geely, persefahaman itu akan meningkatkan lagi sinergi di antara Geely dan Volvo terutamanya bagi aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengeluaran, perolehan dan operasi.

Keputusan tersebut dilihat sebagai langkah positif tatkala pengeluar kereta lain turut mengambil langkah sama – Volkswagen berkongsi pembangunan enjin dengan pengeluar lain di bawah jenama itu.

Ketika ini, Volvo menghasilkan lebih 600,000 kenderaan setiap tahun sementara Geely – 1.5 juta.

Difahamkan, Geely memiliki lebih 8,000 pekerja ketika ini namun angka itu tidak akan dikurangkan meskipun penyatuan operasai Geely-Volvo berlaku.

Geely merupakan pengeluar kereta China pertama yang membangunkan enjin hibrid 48-volt dan percaya negara itu akan menjadi pasaran utama bagi teknologi tersebut.

Geely bakal memperkenalkan model baharu dengan teknologi enjin hibrid tercanggih menjelang tahun 2022.

(SUMBER: Asia Times)

Pelumba negara, Hafizh Syahrin baru-baru ini disahkan bakal mewakili pasukan Angel Nieto di saingan Moto2 musim depan.

Dia terpaksa turun dari kelas premier musim ini tatkala tempatnya di KTM Tech3 akan diisi Brad Binder bagi musim 2020.

Bagaimanapun, di Angel Nieto, Hafizh tidak akan menerima sebarang bayaran gaji dan hanya akan menerima insentif sekiranya berjaya menempatkan dirinya dikelompok depan.

Menyedari perkara ini, Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, membuat keputusan untuk menyalurkan dana kepada pelumba berusia 25 tahun itu menerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Sumber: MalayMail.com

Namun, KBS menjangkakan dana tersebut tidak mencukupi untuk membantu Hafizh bagi sepanjang musim depan sekaligus menggesa pihak swasta menyuntik dana terhadap pelumba itu.

“KBS dan SIC adakan perbincangan dan kami memang akan tampung peruntukan yang agak besar bagi penyertaannya, namun masih tidak cukup. Ia tidak boleh hanya kerajaan, sektor korporat juga perlu membantu.

“Saya pun sudah berkali-kali berjumpa dengan pihak Petronas, mereka ada sampaikan pendapat mereka, saya tetap perlu menghormati Petronas sebagai penaja terbesar kita dalam permotoran.

“Cuma sekarang saya tengah cari jalan terbaik untuk membina ‘jambatan kukuh’ di antara Petronas dan Hafizh. Kita tahu apa berlaku pada masa silam tetapi kita perlu bergerak ke hadapan,” jelasnya.

(SUMBER: Bernama)

GIVI Asia Sdn Bhd baru-baru ini mengadakan GIVI Mega Ride & Camp 2019 bagi meraikan komuniti GIVI dan GIVISTA.

Para GIVISTA bersama pengamal media yang dijemput telah sama-sama menunggang jentera masing-masing dengan Lata Lembik, Raub, Pahang menjadi destinasi utama kali ini.

Seperti dianjurkan saban tahun, perjalanan dimulakan di ibu pejabat GIVI Asia terletak di Bukit Beruntung.

Konvoi kali ini melibatkan pelbagai jenis motosikal dari kapcai sehinggalah ke motosikal berkuasa tinggi.

Menariknya, tema berkhemah kali ini menyaksikan para peserta melengkapkan jentera masing-masing dengan pelbagai kelengkapan perkhemahan dan penggunaan aksesori GIVI ternyata membantu.

Tatkala konvoi berada 40 kilometer daripada destinasi dituju, Sam Sharman, Pengurus Pemasaran GIVI – yang turut menyertai konvoi menggunakan jentera Honda X-ADV – memaklumkan para peserta keadaan cuaca di Lata Lembik yang dilanda hujan lebat.

Meskipun tiba di Lata Lembik dalam keadaan basah dan sejuk namun sepanjang tunggangan GIVI memastikan konvoi bergerak dalam keadaan selamat dan teratur.

Para peserta menghabiskan malam pertama dengan khemah yang disediakan pihak GIVI.

Hari kedua menjadi penarik utama bagi para GIVISTA yang berpeluang untuk merasai tunggangan ‘off-road’ dengan tunjuk ajar daripada Remy Buragas.

Percaya atau tidak, terdapat YSuku dengan spesifikasi ‘touring’ yang berjaya melepasi laluan berbatu dan berlumpur tanpa sebarang masalah!

GIVISTA kemudiannya disambut dengan kehadiran ‘food truck’ yang menawarkan pelbagai makanan dan minuman sebelum hidangan BBQ disediakan di sebelah petang.

Menariknya, peserta turut diberi peluang untuk menyaksikan beberapa produk baharu keluaran GIVI yang hanya akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Konvoi kemudiannya meneruskan perjalanan balik ke rumah masing-masing keesokan pagi.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube