Bikesrepublic

Berita Terkini

Pengguna perkhidmatan e-hailing Grab, dijangka akan berdepan masa menunggu lebih lama susulan peraturan e-hailing dikuatkuasa 12 Oktober.

Menurut maklumat semasa yang dikongsikan Grab ketika ini, daripada 150,000 pemandu disasarkan, hanya 41 peratus yang memiliki lesen PSV.

Sementara itu, lebih 22 peratus telah pun menarik diri ekoran kegagalan untuk mematuhi peraturan baharu terbabit.

Sumber: Grab Malaysia

Ketika ini,  Grab menerima lebih satu juta tempahan perkhidmatan setiap hari dengan pelanggan boleh mendapat pemandu dalam tempoh enam minit.

Bagaimanapun, senario itu bakal berubah hujung minggu ini.

“Dengan jumlah pemandu lebih rendah di atas jalan, pelanggan mungkin berdepan situasi perlu menunggu lebih lama terutamanya ketika waktu puncak dan semasa musim hujan,” Grab menyebut dalam satu kenyataan.

Grab turut memaklumkan setiap pengguna perkhidmatan e-hailing mereka menerusi aplikasi yang digunakan.

Sementara itu, Grab menyambut baik kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, bahawa pemandu Grab tidak perlu mencetak permit kenderaan e-hailing untuk ditayangkan.

Kawasaki memuatnaik video ketiga berkenaan dengan model Z H2 dan tayangan kali ini menampakkan susuk jentera ‘supercharge’ tersebut dari sebelah tepi.

Menariknya, video tersebut turut memaparkan tarikh 23 Oktober 2019 yang dijangka merupakan tarikh tayangan rasmi jentera terbabit kepada orang ramai di Tokyo Motor Show.

Saksikan video tersebut di bawah:

Kami menjangkakan model Z serba baharu ini akan menampilkan rekaan yang sangat agresif bagi membawa identiti H2 di samping didatangkan dengan enjin ‘supercharge’ ikonik, 998cc inline-four.

Di negara lain, amat sukar untuk melihat kelibat sebuah ‘supercar’ tetapi di Dubai, ‘supercar’ digunakan sebagai kereta harian terutamanya bagi pihak berkuasa tempatan yang sememangnya menggunakan kereta berkuasa tinggi sebagai jentera peronda.

Bagaimanapun, kali ini servis ambulans Dubai turut dinaik taraf kepada penggunaan kereta ‘supercar’.

Dubai Corporation For Ambulance Services mengumumkan – menerusi laman Facebook – bahawa mereka telah mendapatkan dua jentera sebagai kenderaan kecemasan, sebuah Chevrolet Corvette dan Nissan GT-R.

Menurut laporan GTSpirit, kedua-dua jentera ini bukanlah bertindak sebagai ambulans tradisional yang akan membawa pesakit ke hospital, sebaliknya akan bertindak sebagai kenderaan respon pertama yang akan sampai ke tempat pesakit empat ke lapan minit lebih awal untuk menghulurkan bantuan sebelum ketibaan ambulans.

Sementara itu, kehadiran dua ambulans ‘supercar’ ini akan turut kelihatan di tempat tumpuan pelancong dan beberapa acara sukan terpilih.

Sebelum ini, Dubai Corporation Ambulance Service turut mengguna pakai Nissan 370Z dan Ford Mustang.

(SUMBER: Motor1.com)

Sumber: Jake Dixon @ Twitter

Selang 24 jam selepas Hafizh Syahrin sah menjadi pelumba Angel Nieto di Moto2 musim depan, bekas pelumba pasukan itu, Jake Dixon, pula disahkan menjadi tonggak baharu Petronas Sprinta bagi tahun 2020.

Dixon bakal digandingkan dengan Xavi Vierge tatkala pasukan Petronas Sprinta memasuki musim ketiga di segmen Moto2.

Musim 2019 merupakan penampilan sulung Dixon di kelas Moto2 selepas meraih tempat kedua di Kejohanan Superbike Britain 2018.

Perlumba berusia 23 tahun itu dijangka akan mendapat peluang merasai jentera pasukan baharunya itu sebaik musim 2019 berakhir.

“Saya amat teruja untuk menyertai Petronas Sprinta Racing. Pasukan ini cukup hebat, buktiknya kejayaan yang mereka capai dalam kelas MotoGP dan Moto3.

“Peluang ini amat besar untuk saya jadi saya akan berikan segala-galanya menuju musim depan meskipun musim 2019 sangat mencabar.

“Ketika ini masih tiada sasaran diletakkan tetapi saya yakin segalanya akan ditentukan selepas sesi ujian nanti,” jelas Dixon.

Sementara itu, pengurus pasukan, Dato Razlan Razali menyifatkan Dixon sebagai pelumba yang tepat untuk memperkuat pasukan.

“Kami menjangkakan keputusan yang baik musim depan depan di Moto2 kerana dia berjaya muncul juara dalam aksi sulung di Kejuaraan Superbike Britain pada 2017 sebelum muncul tempat kedua dalam musim berikutnya.

“Kami teruja kerana untuk pertama kalinya akan mempertaruhkan dua pelumba di Moto2 musim depan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Hafizh Syahrin mengisi kekosongan ditinggalkan Jake Dixon di Angel Nieto bagi saingan Moto2 musim depan.

Pelumba negara itu mengesahkan sertai pasukan baharu bagi tahun 2020 tatkala kontraknya bersama KTM Tech3 tidak lagi disambung selepas pasukan satelit itu memilih Brad Binder sebagai pengganti.

Bagaimanapun, Hafizh difahamkan tidak akan menerima sebarang pembayaran gaji sebaliknya ditawarkan insentif sekiranya berjaya melakar keputusan memberangsangkan musim depan.

Sumber: Fortuna

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla dan kaki Twitter, Elon Musk, mengumumkan menerusi laman Twitter-nya bahawa pemilik kereta Tesla boleh memilih bunyi kereta dan hon sendiri dalam masa terdekat.

Baru-baru ini, Agensi Keselamatan Jalan Raya Amerika Syarikat (NHTSA) mencadangkan agar pengeluar kereta hibrid dan elektrik menghasilkan bunyi agar orang awam menyedari kehadiran kereta terbabit.

Elon berjanji akan memperkenalkan beberapa bunyi unik yang akan membuatkan orang awam memalingkan kepala serta-merta.

Meskipun bunyi hon tradisional akan turut diperkenalkan, namun Elon memberitahu di laman Twitter kemungkinan akan memperkenalkan bunyi kentut, kambing dan beberapa bunyi lain.

Pada masa sama, dia turut akan mempertimbangkan untuk membenarkan pemilik Tesla memuat naik bunyi rekaan mereka sendiri.

 

Sumber: Astrid M @ Flickr

Sebagai ibu bapa, keselamatan anak-anak adalah keutamaan namun susulan kekurangan pilihan untuk menghantar anak ke sekolah, bas atau van ‘sapu’ yang menawarkan servis penghantaran ke sekolah menjadi pilihan utama.

Menurut laporan Berita Harian, ketika ini jumlah van, kereta, MPV dan bas sekolah haram yang menghantar kanak-kanak ke sekolah, tadika dan taksa telah pun melebihi 50,000!

Pada masa sama, Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) turut mendedahkan bahawa jumlah bas sekolah berdaftar di Malaysia turut berkurangan daripada 18,000 pada 2010 kepada 16,000 bagi 2019 meskipun lebih 8,000 lesen dikeluarkan setiap tahun.

Sementara itu, Angesi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menggesa agar pemilik operasi bas sekolah haram ini untuk mendaftar dan memohon lesen secepat mungkin bagi mengelak daripada berlakunya sebarang kesulitan.

APAD dalam satu kenyataan menyebut, “Penggunaan perkhidmatan bas sekolah yang tidak sah bukan sahaja berisiko, tetapi juga mendedahkan anak mereka kepada bahaya kerana ia tidak mempunyai perlindungan insurans.”

Setakat ini, setiap bas sekolah yang berdaftar dengan APAD perlu menjalani pemeriksaan berkala -setiap enam bulan – menerusi PUSPAKOM bagi mengesahkan kenderaan digunakan menepati piawaian dan selamat.

Pada masa sama, pemandu turut perlu memiliki Lesen Memandu Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) yang mewajibkan mereka untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Persoalannya, apakah punca utama lambakan bas haram di Malaysia?

(SUMBER: Berita Harian)

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube