Bikesrepublic

Berita Terkini

Sebut sahaja AMG, ramai yang boleh menjangka apakah yang ditawarkan Mercedes. Sejak diperkenalkan lima tahun lalu, AMG GT tidak pernah gagal dalam mencapai taraf pemanduan baharu yang terhasil daripada DNA perlumbaan.

Timbalan Presiden, Penjualan dan Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, Michael Jopp, menyifatkan AMG GT R dan GT C sebagai jentera yang mencerminkan identiti Mercedes.

“Tampak brutal, berkuasa dan tangkas dan ciri ini sahaja sudah cukup untuk melambangkan Mercedes AMG. Meskipun baru sahaja dilahirkan beberapa tahun lalu namun model ini tidak pernah gagal mencuri perhatian peminat kereta sport,” jelasnya.

Enjin

Nadi Mercedes AMG GT R didatangkan dalam bentuk AMG 4.0 liter V8 turbo yang mampu menghasilkan 585hp dan 700Nm tork yang kemudiannya disalurkan menerusi transmisi tujuh kelajuan SPEEDSHIFT DCT.

AMG GT R hanya memerlukan 3.6 saat untuk merekodkan 0 hingga 100lm/j dengan kelajuan maksima mencecah 318km/j.

Tidak hairanlah, AMG GT R diberi jolokan sebagai ‘The Beast Of Green Hell’ apabila mencatat 7:10.9 minit di Nurburgring Nordschleife.

Sementara itu GT C – yang digerakkan dengan enjin sama – menghasilkan 557hp dan 680Nm tork dan hanya dibezakan satu saat dengan GT R dalam perlumbaan 0-100km/j.

Rekaan

Bahagian depan yang rendah dengan rekaan gril yang didakwa Mercedes diinspirasikan daripada muncung ikan jerung meningkatkan lagi aliran udara sejuk lantas menjaminkan prestasi enjin kekal efisien.

Menariknya, ketika memandu pada kelajuan 80km/j menggunakan mod RACE, komponen gentian karbon – dengan berat hanya 2 kilogram – yang berada di bawah jentera akan bergerak 40 milimeter ke bawah bagi mengubah aliran udaran.

Ciri ini membuatkan AMG GT R dapat dikendalikan dengan lebih mudah terutamanya ketika menyelusuri selekoh.

AMG GT meneruskan kesinambungan penggunaan lampu LED berprestasi tinggi seperti yang terdapat pada GT 4-pintu coupe.

Bumbung gentian karbon dengan kaliper berwarna kuning menyerlahkan lagi DNA perlumbaan pada AMG GT R sementara AMG GT C didatangkan dengan sunroof panaromic dengan kaliper berwarna merah.

Kedua-dua AMG GT R dan GT C dilengkapi dengan paparan digital 12.3 inci dan 10.25 inci bagi sistem hiburan di tengah-tengah konsol.

Sementara itu, Mercedes Benz turut menawarkan Pakej Litar AMG bagi AMG GT R yang terdiri daripada:

  • sistem perlindungan roll-over
  • tali pinggang empat-poin
  • pemadam api 2kg

Mercedes Benz AMG GT R ditawarkan dengan harga RM1,712,888 sementara GT C, RM1,558,888.

Bagi yang meminati jentera yang berinspirasikan litar lumba ini hubungi 1-800-88-1133 atau hadir ke Mercedes-Benz Autohaus terdekat.

Sumber: LCR_Team @ Twitter

Bekas pelumba KTM, Johan Zarco, mengakui peluang untuk menjadi ‘test ride’ untuk Yamaha telah tutup selepas dia menerima tawaran untuk menggantikan Takaaki Nakagami di LCR Honda.

Zarco bakal mewakili Honda untuk baki tiga perlumbaan MotoGP musim ini selepas pelumba Jepun itu perlu direhatkan untuk menjalani proses pemulihan dari kecederaan.

Pelumba Perancis itu sebelum ini telah pun mengadakan perbincangan dengan Yamaha namun menerima tawaran Honda untuk menggantikan Nakagami.

Zarco akui menyedari menerima tawaran Honda bermakna dia menutup peluang untuk menjadi penunggang uji Yamaha.

“Peluang itu sudah tutup. Honda dan Yamaha mempunyai pesaingan sengit. Saya telah bercakap kepada dua belah pihak sebelum membuat keputusan ini.

“Saya memilih untuk menjadi pelumba LCR Honda untuk baki tiga perlumbaan ini,”jelasnya.

Sementara itu, Zarco tidak gusar untuk menggantikan Nakagami meskipun menyedari RC213V memiliki reputasi sebagai jentera yang sukar untuk dijinakkan.

“Mereka memanggil saya bukan untuk memenangi tiga perlumbaan ini tetapi kerana saya sahaja yang ada kelapangan.

“Bagi saya, jika saya tidak dapat menggunakan jentera ini dengan efisien, ini bermakna saya tiada tempat di MotoGP.

“Mereka berikan saya tiga peluang jadi saya akan berikan segalanya. Saya mengambil risiko besar meninggalkan KTM,” tambahnya.

(SUMBER: Motorsport.com)

Pengeluar motosikal dan skuter Itali, Italjet, telah mengumumkan bahawa model popular, Dragster akan kembali bagi tahun 2020.

Bakal ditayangkan di EICMA, November ini, Italjet Dragster akan didatangkan dengan tiga varian enjin – 125cc,150cc dan 200cc satu silinder empat lejang dengan sistem penyejukan cecair.

Menurut info yang dikongsikan Italjet, enjin diguna pakai mampu mencapai kelajuan maksima 125km/j dan mampu menjana 14.9hp pada 10,000rpm bagi 125cc dan 19.8hp pada 8,250rpm bagi 200cc.

Meskipun berada dalam segmen skuter namun Italjet Dragster didatangkan dengan tangki yang agak besar – 9 liter.

Rujuk maklumat spesifikasi di bawah:

Nama Art Of Speed (AOS) selaku penganjur acara kustom terbesar di Malaysia kini telah diangkat ke tahap yang lebih tinggi.

Selepas menyaksikan kejayaan sambutan dan penyertaan tinggi bagi Invitational Build-Off di AOS 2019 yang berlangsung di MAEPS, Serdang, Julai lalu, pihak AOS mahu meraikan para pemenang bagi edisi 2020 dengan menghantar penyertaan ke Annual Yokohama Hot Rod Custom Show kali ke-29, di Jepun!

Dua kategori ditawarkan bagi Invitational Build-Off 2020:

Motosikal – 250cc ke bawah dan 251cc ke atas

Kereta – terbuka kepada semua jenis model

Bagi yang berminat untuk menyertai Invitational Build-Off di AOS 2020 sila rujuk maklumat terperinci di bawah.

Pemenang bagi setiap kategori akan menyaksikan kenderaan mereka akan diterbangkan ke Annual Yokohama Hot Rod Custom Show 2020.

Pemenang juga akan turut bersama menghadiri ke acara tersebut bersama kenderaan masing-masing.

Oleh itu, pihak AOS meminta orang ramai untuk menghantar rekaan dan perancangan pembinaan bagi proses penapisan sebelum 31 Oktober 2019.

Menyedari kehangatan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semakin dirasai, Rapid KL akan menawarkan perkhidmatan bas perantara khas bagi para peminat.

Bas perantara berkenaan akan ditempatkan di tiga lokasi strategik, stesen KL Sentral, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan hab bas Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA 2).

Menurut laporan Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Muhammad Yazurin Sallij dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tiket bas terbabit telah pun dijual bermula semalam di stesen LRT KL Sentral, KLCC, Masjid Jamek dan Pasar Seni.

“Pada hari acara dari 1 hingga 3 Nov, peminat boleh membeli tiket bas ini di Hab Pengangkutan KLIA2 di tingkat 1 dari 8 pagi hingga 1 pagi,” jelasnya.

Berikut senarai harga tiket bagi bas perantara khas ke MotoGP:

  • Perjalanan sehala dari KLCC dan KL Sentral – RM20
  • Perjalanan pergi balik dari KLCC dan KL Sentral – RM35
  • Perjalanan sehala dari KLIA2 – RM12

(SUMBER: Bernama)

Baru-baru ini BMW difahamkan bakal melancarkan empat model baharu di EICMA dengan salah satu daripadanya dikenal pasti sebagai BMW R18.

Kini, timbul khabar angin baharu bahawa kemungkinan salah satu daripadanya adalah sebuah BMW F 850 R.

Berdasarkan paten yang difailkan di Brazil, memaparkan BMW bakal memperkenalkan jentera ini bagi tahun 2020 dan merupakan motosikal jenis ‘naked’.

Bagaimanapun, tiada maklumat sama ada model tersebut akan dipasarkan ke pasaran dunia lain.

Menurut paten yang didedahkan, rekaan keseluruhan F 850 R meneruskan kesinambungan daripada R 1250 R namun dengan beberapa perubahan kecil di bahagian lampu depan dan fairing.

Seperti model lain, F 850 R juga dijangka akan dilengkapi paparan skrin TFT dan beberapa sistem bantuan elektronik.

(SUMBER: Ride Apart)

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube