Kita telah disajikan dengan berita bahawa Indian Motorcycle akan kembali ke Malaysia. Ia sekarang menjadi nyata dan jenama itu berada di bawah naungan Spirit Lake Sdn. Bhd.
Daripada siaran akhbar rasmi
Indian Motorcycle, jenama motosikal pertama daripada Amerika Syarikat yang diasaskan pada tahun 1901 telah secara rasminya dilancarkan di oleh Spirit Lake Motor Sdn. Bhd., sebuah syarikat di bawah kumpulan AFY Mobility Industries (AMI). Majlis pelancaran telah ini berlangsung di Shizuku Coffee, B.Land, Petaling Jaya dan sekalgus menandakan satu pencapaian penting dalam perkembangan jenama Indian ke rantau Asia Tenggara.

Nama Spirit Lake Motor diambil sempena penghormatan kepada warisan dan komitmen jenama ini terhadap mutu kerja dan seni pembuatan motosikal lagenda ikonik yang beroperasi di lokasi kilang Indian Motorcycle di Spirit Lake, Iowa, Amerika Syarikat. Spirit Lake Motor kini sah sebagai pengedar tunggal dan eksklusif motosikal Indian Motorcycle di Malaysia. Ia bukan sahaja menawarkan rangkaian produk premium, malah turut menyediakan pelbagai manfaat pemilikan menyeluruh termasuk perkhidmatan selepas jualan, alat ganti, sokongan teknikal, jaminan, dan pelesenan barangan aksesori rasmi. Pendekatan ini adalah untuk memastikan pengalaman pemilikan penuh yang lancar dan sempurna buat semua pemilik Indian Motorcycle di Malaysia.

Majlis pelancaran pada kali ini menampilkan barisan penuh model-model ikonik Indian Motorcycle seperti Chieftain Dark Horse, Springfield Dark Horse, Scout, Scout Bobber Twenty, Scout Rogue, dan Scout Bobber.

Amanah dan Pengalaman
Secara global, Indian Motorcycle kini memasuki era baharu yang lebih stabil di bawah prinsipal semasa yang berdaya saing dan inovatif. Dengan kemasukan jenama ini ke pasaran Malaysia, ia bukan sahaja mendapat sokongan rangkaian antarabangsa, tetapi turut didokong oleh legasi pengurusan serta edaran tempatan yang dipercayai.

Sebagai anak syarikat AFY Mobility Industries (AMI), Spirit Lake Motor membawa bersama kredibiliti pasukan pengurusan dengan puluhan tahun pengalaman dalam industri dua roda di Malaysia. Amanah ini adalah satu misi berasaskan warisan, kebolehpercayaan dan penghormatan yang semestinya akan terus menjanjikan penawaran produk berkualiti serta memperkasakan pengalaman pemilikan, penghargaan jenama dan legasi Indian Motorcycle.

Gaya Hidup Baharu Dalam Perancangan
Indian Motorcycle Malaysia ketika ini sedang beroperasi secara rasmi dari ruang pameran khas AMI Showroom di PJ222, Petaling Jaya. Rancangan sedang giat dijalankan oleh Spirit Lake Motor untuk membuka sebuah pusat pameran utama yang baru serta lengkap dengan penyediaan pakej Jualan, Servis dan Alat Ganti (3S) secara menyeluruh di bawah satu bumbung, sekaligus menjanjikan pengalaman pemilikan yang lebih lancar dan eksklusif kepada para pelanggan.
Ruang pameran utama yang bakal dibina menjelang hujung tahun ini kelak bakal menjadi destinasi yang mempromosikan gaya hidup Indian Motorcycle yang memfokuskan kepada elemen semangat kebersamaan dan aktiviti komuniti penunggang jenama ini.

Warisan Inovasi Moden
Diasaskan di Springfield, Massachusetts, Indian Motorcycle bermula dengan penghasilan basikal berkuasa motor dengan dilengkapi enjin V berkembar yang turut digunakan dalam perlumbaan seawal tahun 1900-an. Selain itu, Indian juga turut menjadi sebahagian daripada simbol kejuruteraan dan semangat penuh jiwa Amerika dengan pembekalan 50,000 unit motosikal yang digunakan dalam perkhidmatan Tentera Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Pertama.

Komitmen Jangka Panjang Untuk Penunggang Indian Malaysia
Spirit Lake Motor berhasrat untuk terus komited dalam membina hubungan yang kukuh dengan komuniti penunggang ‘cruiser’ dan akan terus bersama dengan peminatnya dalam aktiviti yang bakal merancakkan jenama Indian di Malaysia.


“Kami percaya pada legasi Indian Motorcycle serta kesepaduan semangat komuniti penunggang motosikal ini di Malaysia. Ini merupakan satu perjalanan penuh kami dalam mengadaptasi sebuah warisan, keberanian dan semangat cruiser – Indian Motorcycle. Kami mengalu-alukan semua untuk merasai sendiri karya legenda Amerika ini,” menurut Lai Wai Keat, Pengurus Jenama Indian Motorcycle Malaysia, mewakili Spirit Lake Motor Sdn. Bhd.