Syarikat pengeluar tayar jenama terkemuka membawa petugas teknikal mereka untuk mengesan salah laku dan masalah yang ada pada produk import yang disimpan di gudang.
Lapan syarikat pengeluar tayar antarabangsa dan tempatan, iaitu Michelin, Bridgestone, Toyo, Continental, Goodyear, Yokohama, Maxxis dan Pirelli menyertai pemeriksaan berkenaan, susulan Op Grip oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.
Antara kesalahan yang dikesan pasukan teknikal syarikat ialah berkaitan tarikh pengeluaran yang diubah suai, pemalsuan tayar celup dan kemasukan tayar dari Eropah.
Penguat kuasa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan SIRIM Berhad turut hadir menjalankan pemeriksaan itu.
Selain pemeriksaan teknikal, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengadakan perbincangan dengan wakil industir tayar di Ibu Pejabat SPRM Kuala Lumpur semalam.
Mohamad Zamri berkata, wakil industri perlu mencari penyelesaian yang lebih mampan dalam memastikan tiada lagi ketirisan membabitkan hasil kerajaan dalam industri import tayar.
Beliau meminta semua pihak industri untuk memastikan isu berkenaan diselesaikan sepenuhnya kerana itu bukan sekadar membabitkan hasil kerajaan tetapi isu keselamatan pengguna jalan raya.
“Kita minta penggiat industri untuk turun sendiri ke lapangan atau gudang yang diserbu dalam Op Grip, baru-baru ini supaya mereka dapat mengetahui isu ini lebih dekat supaya penyelesaian segera dilakukan.
“Lebih penting perkara ini membabitkan isu keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
SPRM pada Isnin menggempur beberapa syarikat di 23 tempat seluruh negara, yang dipercayai terbabit dalam kegiatan menyeludup tayar serta pemalsuan dokumen import dan eksport sehingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai kira-kira RM350 juta sejak tahun 2020 hingga kini.
Serbuan itu dijalankan ke atas syarikat yang menjalankan perniagaan mengimport, gudang dan kontena penyimpanan tayar.
Hasil serbuan, SPRM sudah membekukan akaun perbankan persendirian dan akaun syarikat yang membabitkan nilai anggaran kira-kira RM70 juta.
Serbuan itu dijalankan menerusi operasi bersepadu iaitu Op Grip diketuai Bahagian Operasi Khas SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.




























































































































