Bikesrepublic

MotoGP

Selepas Suzuki disahkan akan meninggalkan saingan MotoGP hujung musim ini, pelumba sedia ada, Alex Rins dan Joan Mir tiada pilihan selain perlu mencari makan di tempat lain musim depan.

Dalam laporan terbaru, Rins dilaporkan sedang berbincang dengan empat pasukan lain bagi slot 2023.

Rins mengesahkan pengurusnya sedang mengadakan perbincangan bersama Aprilia, Honda, KTM dan Yamaha sebaik aksi GP Perancis di pada Ahad berakhir.

Saingan di Le Mans juga menyaksikan Rins dan Mir gagal menamatkan gagal menamatkan perlumbaan tatkala kedua-duanya mengalami kemalangan dan terpaksa bersara awal.

Sebelum ini, Pengurus Pasukan Repsol Honda, Alberto Puig turut mengesahkan pihaknya telah dihubungi Rins dan Mir susulan pengumuman mengejutkan Suzuki minggu lalu.

Mir turut didakwa bakal menjadi pengganti Pol Espargaro dengan kontrak pelumba itu tidak akan disambung. – MotoGP

Selepas berminggu spekulasi dan pelbagai dakwaan timbul, akhirnya pihak Suzuki Motor Corporation buka mulut mengenai status semasa di MotoGP.

Dalam kenyataan terbaru dikeluarkan hari ini, Suzuki mendedahkan pihaknya dalam perbincangan bersama Dorna untuk menamatkan penyertaan di MotoGP pada penghujung musim 2022.

Menurut Suzuki, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira faktor ekonomi di dan perubahan besar dalam sektor Automotif sekaligus memaksa syarikat mengalihkan kos dan tenaga kerja dalam membangunkan teknologi baharu.

Dalam kenyataan tersebut, pihak Suzuki juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan terhadap pasukan Suzuki Ecstar yang selama ini menyokong aktiviti perlumbaan Suzuki di pentas dunia.

Dalam perkembangan sama, pengumuman Suzuki ini juga menyaksikan pelumba sedia ada Joan Mir dan Alex Rins perlu mencari pasukan baharu menjelang musim 2023.

Kebelakangan ini timbul berita mengejutkan dari kem MotoGP apabila Suzuki didakwa akan meninggalkan kejuaraan dunia itu sebaik musim 2022 berakhir.

Bukan itu sahaja, Suzuki turut dikhabarkan akan meninggalkan segala jenis perlumbaan dua roda termasuk EWC.

Meskipun tiada pengumuman rasmi daripada pihak Suzuki sendiri namun tindakan berdiam diri daripada pengeluar motosikal Jepun itu secara tidak langsung mengesahkan dakwaan tersebut.

Bukan itu sahaja, media antarabangsa melaporkan pihak Suzuki telah pun memberitahu kakitangan mengenai perkara tersebut sewaktu sesi ujian rasmi di Jerez, minggu lalu.

Bagaimanapun, setakat ini masih tidak dapat dikenal pasti apakah punca penarikan diri itu namun terdapat laporan yang mendakwa keputusan tergempar itu berkait dengan faktor kewangan.

Melihat kepada laporan tahunan terkini (2021) daripada Suzuki, syarikat berpangkalan di Hamamatsu, Jepun itu hanya berjaya menjual 153,000 unit motosikal seluruh dunia tahun lalu.

Jika dibandingkan dengan jenama Jepun lain, Kawasaki catat jualan 400,000 unit manakala Honda berjaya menyerahkan lebih 10 juta motosikal tahun lalu sahaja.

Sementara itu, jualan motosikal Suzuki jatuh 36 peratus dari 2010-2019 dan turun 10 peratus lagi pada 2020.

Ini sekaligus memberi bayangan bahawa permintaan terhadap motosikal Suzuki semakin menurun manakala pesaing lain antaranya Honda, Yamaha dan Kawasaki meningkat naik.

Walaupun terdapat banyak pemboleh ubah yang boleh memberi kesan terhadap angka jualan namun hakikatnya teknologi yang ditawarkan motosikal Suzuki agak ketinggalan jika dibandingkan dengan jenama lain.

*Suzuki GSX-S1000 GT

Sebagai contoh, model GSX-S1000GT 2022 masih lagi menggunakan enjin 4-silinder 999cc daripada K5 GSX-R1000 yang berusia lebih 17 tahun.

*Suzuki GSX-S1000

Suzuki GSX-S1000 2021 pula masih ketandusan beberapa ciri penting antaranya IMU 6-axis yang kini dianggap sebagai elemen standard pada motosikal berkuasa tinggi.

*Adaptive Cruise Control

Tidak lupa juga, jenama Eropah dan Jepun lain juga telah melangkah jauh ke depan dengan ciri terkini antaranya sistem radar yang menawarkan fungsi ‘Adaptive Cruise Control’ dan ‘Blind Spot Detection’ seperti yang terdapat pada Ducati Multistrada V4, KTM 1290 Super Adventure, Kawasaki H2SX, BMW R 1250 RT dan Triumph Tiger 1200.

Walaupun perancangan semasa Suzuki bagi segmen dua roda masih lagi samar namun melihat kepada laporan tahunan 2021, pelan ‘Mid-Term Management’ Suzuki yang berjalan dari April 2021 hingga Mac 2026 langsung tidak menyebut tentang motosikal.

Sebaliknya, pelan tersebut memberi fokus terhadap mempertingkatkan usaha dalam pembangunan mobiliti elektrik.

Pelan itu secara tidak langsung boleh memberi kesan terhadap kos perbelanjaan Suzuki di MotoGP dan pembangunan jentera dua roda.

Namun perlu diingatkan, semua ini hanyalah spekulasi ketika ini dan segala jawapan bakal terjawab sebaik pihak Suzuki memberi kenyataan rasmi tidak lama lagi.

Meskipun MotoGP baru memasuki pusingan keenam namun kejuaraan dunia motosikal itu telah pun terpalit dengan berita menggemparkan apabila Suzuki dikatakan bakal meninggalkan perlumbaan itu hujung musim ini.

Beberapa laporan media antarabangsa melaporkan Suzuki telah pun memaklumkan ahli pasukan mengenai perkara itu sewaktu sesi ujian di Jerez, Isnin lalu.

Walaupun senario itu belum disahkan namun keengganan Suzuki untuk mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan isu tersebut memberi bayangan bahawa dakwaan itu adalah benar.

Pihak Dorna dalam satu kenyataan juga mengingatkan Suzuki bahawa pasukan itu telah menandatangani kontrak sehingga 2026 sekaligus sebarang keputusan perlulah dibincangkan bersama.

Dalam perkembangan terbaru, pengurus pelumba Joan Mir, Paco Sanchez memberitahu media bahawa dia dan Mir langsung tidak tahu mengenia perancangan Suzuki itu.

Menurut Sanchez, Mir juga hampir menandatangani kontrak baharu untuk kekal di pasukan itu melebihi 2023 sebelum berita tergempar itu dilaporkan.

Bagaimanapun, keputusan Suzuki untuk berdiam diri telah memaksa Sanchez untuk mengadakan perbincangan dengan kesemua pasukan di MotoGP dalam usaha mencari pasukan baharu.

“Saya harap saya dapat cari jentera yang bagus untuk Joan (Mir).

“Kami juga risau akan keseluruhan kakitangan pasukan. Mereka individu yang profesional.

“Jika Suzuki sah tinggalkan MotoGP, saya harap mereka dapat mencari pekerjaan. Ramai ahli keluarga akan berdepan mimpi negeri,” jelasnya.

Selain Mir, status Alex Rins juga tergantung apatah lagi kontraknya akan tamat hujung musim ini.

Terdapat dua berita mengejutkan hadir dari kem MotoGP baru-baru ini bermula dengan Suzuki yang dikatakan akan meninggalkan Kejuaraan Dunia MotoGP pada penghujung musim 2022 ini.

Sementara itu, pasukan kendalian Razlan Razali, RNF Racing – yang dijenamakan semula daripada Petronas Sepang Racing Team (PSRT) – dikatakan akan menjadi pasukan satelit bagi Aprilia, meninggalkan Yamaha.

Suzuki Tinggalkan MotoGP

Berbalik kepada Suzuki, pelbagai media antarabangsa telah mendakwa bahawa Suzuki akan meninggalkan MotoGP pada penghujung musim 2022.

Perkara itu tercetus setelah ahli pasukan Suzuki telah diberitahu berita mengejutkan itu sewaktu ujian pasca perlumbaan di Jerez, Isnin lalu.

Berita itu ternyata mengejutkan apatah lagi Suzuki telah pun menandatangani kontrak untuk kekal di MotoGP sehingga 2026.

Sekiranya benar – masih menanti jawapan rasmi dari Suzuki – ini merupakan kali kedua pasukan dari Hamamatsu, Jepun itu undur diri setelah melakukannya pada 2012-2014 atas faktor kewangan.

Pada masa sama, ini juga bermakna, pelumba sedia ada, Alex Rins dan Joan Mir akan ketiadaan pasukan memasuki musim 2023.

Bagaimanapun, ketikat ini Mir dikaitkan dengan perpindahan ke Repsol Honda bagi digandingkan dengan Marc Marquez dengan kontrak Pol Espargaro dijangka tidak akan disambung hujung musim ini.

RNF Racing Jadi Pasukan Satelit Aprilia

Aprilia dijangka akan memiliki pasukan satelit seawal musim 2023 apabila didakwa akan berkerjasama dengan RNF Racing MotoGP.

Kontrak RNF Racing bersama Yamaha dikatakan tidak akan disambung sebaik kerjasama kedua belah pihak tamat pada penghujung musim ini.

Menurut laporan media Sepanyol (MARCA), perbincangan antara RNF Racing dan Aprilia telah pun berjalan dengan kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan bersama.

Sekiranya benar, maka Razlan Razali bakal menempah cabaran baharu bersama Aprilia setelah beberapa tahun berkerjasama dengan Yamaha.

Bagaimanapun, setakat ini, masih tiada kenyataan rasmi dikeluarkan daripada pihak Razlan Razali.

Apa yang pasti perkembangan kedua-dua pasukan ini pastinya akan membawa perubahan besar terhadap saingan MotoGP musim depan apatah lagi Dorna dalam satu kenyataan mendakwa terdapat banyak pihak yang berminat untuk mendapat slot di MotoGP musim depan.

Apa pun, kita nantikan kemas kini terbaru daripada kedua-dua pihak.

Fabio Quartararo bakal memulakan perlumbaan GP Sepanyol pada baris pertama setelah merekodkan masa kedua terpantas di belakang Francesco Bagnaia di Jerez pada Sabtu.

Kedudukan itu meletakkan Quartararo berpeluang cerah untuk merekodkan kemenangan kedua musim ini setelah mendominasi GP Portugal di litar Algarve, minggu lalu.

Meskipun kembali ke tahap terbaiknya setakat ini, status pelumba Monster Energy Yamaha itu masih lagi menjadi tanda tanya selepas dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan lain baru-baru ini.

Bagaimanapun, sebaik selesai sesi kelayakan Quartararo menegaskan dia hanya akan membincang masa depannya selepas selesai perlumbaan.

“Pengurus saya sedang bercakap dengan Yamaha tetapi ketika minggu perlumbaan saya lebih gemar memberi fokus kepada perlumbaan terlebih dahulu.

“Tetapi pada Isnin saya mungkin akan mendapat informasi lanjut. Apa yang saya boleh katakan setakat ini, saya belum menurunkan sebarang tandatangan,” jelasnya.

Buat masa ini, hanya empat pelumba yang telah mengesahkan kedudukan bagi musim 2023, iaitu Bagnaia, Marc Marquez (Repsol Honda), Brad Binder (Red Bull KTM) dan rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli.

Pusingan kelima MotoGP di Litar Algarve menyaksikan pelumba Yamaha, Fabio Quartararo kembali ke podium selaku juara buat kali pertama musim ini.

Ini merupakan podium kedua buat Quartararo setelah menduduki tempat kedua sewaktu pusingan kedua di Litar Mandalika, Mac lalu.

Sementara itu, tempat kedua jadi milik Johann Zarco yang meskipun pada satu ketika berada di kedudukan ketiga, berjaya memintas Joan Mir (Suzuki) sewaktu menghampiri Turn 2 ketika perlumbaan berbaki 10 lap.

Ini merupakan pencapaian terbaik Zarco musim ini dan podium kedua selepas memperoleh tempat ketiga di Mandalika.

Mir yang cuba mempertahankan kedudukan ketiga daripada asakan Jack Miller (Ducati), dan Aleix Espargaro (Aprilia), terpaksa bersara awal ketika perlumbaan hanya tinggal 6 lap.

Miller cuba memintas Mir menghampiri Turn 1 namun kegagalan membrek menyebabkan jenteranya hilang kawalan lalu melanggar Mir sekaligus menyaksikan kedua-dua pelumba terpaksa berputih mata.

Insiden antara Miller dan Mir menyaksikan Espargaro melengkapkan podium di tempat ketiga sekaligus podium ketiganya setakat ini.

Bagaimanapun, saingan di Portugal ternyata tertumpu kembali pada pertahan juara, Quartararo yang merekodkan kemenangan pertama musim ini.

Mendahului perlumbaan dengan jurang 6 saat di hadapan Zarco, Quartararo melintas garisan penamat bukan sahaja sebagai pemenang malah selaku kejuaraan baharu dengan 69 mata berkongsi mata dengan Alex Rins (Suzuki) dan dua mata dihadapan Espargaro (66 mata).

Pelumba negara, Syarifuddin Azman telah dipilih untuk menggantikan pelumba pasukan Moto3, Alberto Surra untuk dua pusinngan bermula hujung minggu ini di GP Portugal.

Syarifuddin @ Damok akan mewakili pasukan Rivacold Snipers Team mengambil tempat Surra di GP Portugal dan GP Sepanyol selepas pelumba itu mengalami kecederaan serius sewaktu ujian bebas di GP Amerika Syarikat, 10 April lalu.

Damok – yang pernah beraksi di Moto3 musim lalu bersama Petronas Sprinta Racing – akui teruja dengan peluang yang diberikan kali ini.

Dia juga berharap pengalaman beraksi di Litar Algarve akan memberi sedikit kelebihan dalam memberikan aksi terbaik.

“Saya sangat gembira dengan peluang yang diberikan Team Snipers.

“Tahun lalu saya berupaya meraih posisi yang sangat baik pada sesi kelayakan Kejuaraan Dunia JuniorGP, jadi saya harap dapat meraih mata.

“Saya menyasarkan untuk dapatkan penamat dalam kelompok mata dan buat yang lebih baik di Aragon tahun lalu. Harap semuanya berjalan lancar dan semuanya menjadi kenyataan,” jelasnya.

Pelumba 21 tahun itu ketika ini sedang beraksi di Kejuaraan Dunia JuniorGP bersama pasukan SIC Racing.

Enea Bastianini menampilkan aksi cemerlang di GP Amerika apabila berjaya mengungguli pusingan kelima MotoGP, pada Ahad.

Pelumba Gresini Racing itu juga muncul pemenang berganda pertama musim ini selepas mendominasi GP Qatar, Mac lalu.

Keputusan itu juga menyaksikan Bastianini kembali mendahului kejuaraan dengan 61 mata, diikuti Alex Rins (56 mata) dan Aleix Espargaro (50 mata).

Bastianini berada di belakang Jack Miller di kebanyakan masa perlumbaan namun ketika aksi berbaki lima lap, Miller mula melakukan kesilapan dan terlepas beberapa apex.

Menyedari perkara itu, Bastianini berjaya memintas Miller di Turn 12 dan terus meninggalkan pelumba Ducati itu.

Miller juga terus terkesan dan pada lap akhir berjaya dipintas wakil Suzuki, Alex Rins. Rins sah tamatkan aksi di tempat kedua diikuti Miller, ketiga.

Sementara itu, enam kali juara dunia MotoGP, Marc Marquez turut mencuri tumpuan apabila berjaya bangkit dari tempat terakhir (P24) untuk menamatkan aksi di kedudukan keenam.

Meskipun terlepas dua pusingan (GP Indonesia, GP Argentina) ekoran kecederaan namun Marquez kembali menunjukan taring sebenar.

Walaupun bermula di petak ke-9, jentera Honda RC213V miliknya seakan alami masalah dan berada pada kedudukan terakhir menuju ke selekoh pertama.

Dia bagaimanapun berjaya memintas tujuh pelumba pada lap sama untuk memulakan misi memperbaiki kedudukan.

Dia kemudiannya memancung Maverick Vinales, Brad Binder, Takaaki Nakagami dan rakan sepasukan Pol Espargaro untuk tempat ke-10.

Menariknya, walaupun berada di kelompok pertengahan, Marquez beberapa kali merekodkan masa lebih pantas berbanding kelompok depan.

Pelumba Sepanyol itu terus mengasak dan memintas (Aleix Espargaro), Johann Zarco, Jorge Martin dan Fabio Quartararo untuk mengambil tempat keenam.

Repsol Honda mengesahkan bahawa Marc Marquez akan kembali bersaing hujung minggu ini di GP Amerika.

Juara dunia lapan kali itu telah pun terlepas dua pusingan sebelum ini sejak mengalami kecederaan serius sewaktu sesi pemanas badan di Litar Mandalika, Mac lalu.

Marquez turut terlepas saingan GP Argentina apabila disahkan mengalami diplopia (pandangan berganda) kali kedua.

Bagaimanapun, pelumba berusia 29 tahun itu telah pun menyempurnakan rawatan konservatif dan akan kembali membuat penampilan pada pusingan 4 di Austin, Texas, bermula dengan sesi ujian bebas pada Jumaat.

Walaupun mempunyai rekod cemerlang di COTA (Circuit of the Americas), Marquez hanya akan memfokuskan pusingan kali ini untuk kembali membiasakan diri dengan jentera RC213V.

Aksi MotoGP kembali bersambung hujung minggu ini dengan pelumba Aprilia, Aleix Espargaro meneruskan saingan selaku pendahulu kejuaraan setelah memenangi pusingan ketiga di Argentina.

Espargaro kini mendahului dengan 45 mata diikuti Brad Binder (KTM), 38 mata dan Enea Bastianini (Pramac) 36 mata manakala pertahan juara, Fabio Quartararo (Yamaha) di kedudukan kelima dengan 35 mata.

Baru-baru ini terdapat pihak mendakwa Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah mengadakan mesyuarat tergempar berkait dengan penganjuran semula Formula 1.

Bukan itu sahaja, SIC juga ‘trending’ di laman Twitter gara-gara netizen mahu litar itu menggantikan Russia sebagai salah satu ‘venue’ penganjuran tahun ini.

Bagaimanapun, menurut perkembangan terbaru oleh Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, pihaknya berasakan sekarang bukan masa yang sesuai untuk kembali menganjurkan F1 apatah lagi ketika kerajaan sedang giat membantu rakyat Malaysia kembali bangkit daripada pandemik Covid-19.

“Kita perlu melihat pada gambaran yang lebih luas terutamanya bagaimana F1 boleh memberi manfaat bukan sahaja kepada syarikat malah Malaysia dari segi penjenamaan serta peluang pekerjaan, dan pembangunan bakat baru.

“Jadi jika kita berbelanja besar untuk hak penganjuran, pulangan juga perlu tinggi,” jelasnya.

Selain itu, SIC juga perlu mengambil kira aspek lain terutamanya peruntukan yang diperlukan sekiranya diberikan peluang menganjurkan semula perlumbaan itu pada masa akan datag.

Litar Antarabangsa Sepang menganjurkan F1 sejak 1999 sebelum kali terakhir melakukanya pada 2017. – FMT

Susulan masalah logistik, Kejuaraan Dunia FIM MotoGP terpasa mengubah jadual GP Argentina yang sepatutnya bermula dengan sesi ujian bebas pada Jumaat kepada hari Sabtu.

Lima penerbangan kargo yang membawa kesemua kategori kejuaraan gagal tiba di Termas d Rio Hondo, Argentina pada masa ditetapkan dan hanya akan sampai pada Jumaat.

Ini sekaligus memaksa pihak penganjur untuk mengubah jadual sedia ada.

Berdasarkan pengumuman rasmi yang dibuat pada Khamis, aksi GP Argentina hanya akan berlangsung pada Sabtu bermula dengan sesi Ujian Bebas 1 (FP1) diikuti Ujian Bebas 2 (FP2).

Sementara itu, sesi Ujian Bebas 3 (FP3) diikuti Kelayakan 1 (Q1) dan Kelayakan 2 (Q2) juga akan berlangsung pada hari sama di sebelah petang.

Masalah logistik bermul pada Rabu apabila satu daripada lima kargo mengalami masalah teknikal sewaktu penghentian di Mombasa, Kenya.

Kapal terbang pertama yang telah tiba di Tucuman telah patah balik ke Lombok bagi mengambil barangan lain namun turut alami masalah teknikal.

Setakat Khamis, satu kargo masih tersadai di Kenya dan menanti alat ganti dari Eropah serta Timur Tengah.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube