Bikesrepublic

MotoGP

Pelumba Yamaha, Fabio Quartararo telah dikenakan denda gara-gara kesilapannya melanggar Aleix Espargaro di GP Belanda pada Ahad.

Ketika cuba mengejar Francesco Bagnaia sebaik perlumbaan bermula, Quartararo kehilangan kawalan di Turn 5 lalu terbabas dan terlanggar wakil Aprilia, Espargaro.

Espargaro kemudiannya terpaksa mengejar semula kelompok depan apabila jatuh ke kedudukan ke-15 sebelum berjaya menamatkan saingan di kedudukan keempat.

Sementara Quartararo, mengalami kemalangan kali kedua di Turn 5 apabila jentera Yamaha M1 miliknya mengalami ‘highside’.

Sebaik tamat perlumbaa, Quartararo telah pun berjumpa dengan Espargaro di pit lane bagi memohon maaf dengan pelumba Aprilia itu turut menyambut baik tindakannya.

Susulan kejadian dengan Espargaro, FIM membuat keputusan mengenakan denda ‘Long Lap Penalty’ yang perlu dijalaninya di GP Britain yang akan berlangsung lima minggu lagi.

Menurut FIM, keputusan itu dibuat setelah mendapati Quartararo bukan dalam posisi untuk menyempurnakan pergerakannya lalu mengakibatkan pelanggaran dengan pelumba #41.

Bagaimanapun, Pengurus Pasukan Monster Energy Yamaha, Massimo Meregalli berpendapat keputusan dikenakan pada Quartararo adalah agak keras.

“Kami melihat kemalangan pertama Quartarao dan mendapati keputusan Race Direction untuk perlumbaan seterusnya adalah keras memandangkan dia tidak menyebabkan sesiapa kemalangan sementara Aleix (Espargaro) juga berjaya kutip mata,” jelas Meregalli.

Dia juga berpendapat keputusan dibuat tidak konsisten memandangkan insiden perlumbaan sebelum ini – babitkan Takaaki Nakagami, Alex Rins dan Bagnaia – tidak dikenakan sebarang tindakan.

Saingan pada Ahad sememangnya sukar ditelan kem Yamaha apabila tiga daripada empat pelumba – termasuk Franco Morbidelli dan Darryn Binder turut gagal menamatkan saingan selepas kemalangan.

Francesco Bagnaia menghadiahkan kemenangan pertama Ducati di GP Belanda selepas mengungguli perlumbaan sejak di lap pertama.

Ini merupakan kemenangan pertama Ducati di GP Belanda selepas Casey Stoner pelumba terakhir melakukannya pada 2008.

Bagnaia mempamerkan tunggangan agresif sebaik perlumbaan bermula dengan insiden kejar mengejar antara Aleix Espargaro dan Fabio Quartararo membuka ruang untuknya memecut laju.

Bagaimanapun, tak lama selepas itu, tindakan Quartararo untuk cuba memintas Aleix Espargaro di Turn 5 memakan diri apabila hilang kawalan lalu turut menyingkirkan Espargaro.

Quartararo kemudiannya alami kemalangan kali kedua juga di Turn 5 sekaligus terpaksa bersara awal buat kali pertama musim ini.

Sementara itu, Marco Bezzecchi menampilkan tunggangan konsisten untuk menduduki tempat kedua.

Bezzecchi cuba untuk menghampiri Bagnaia di peringkat awal perlumbaan namun pelumba factory Ducati itu ternyata sukar digugat sekaligus terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua.

Tempat ketiga jadi milik Maverick Vinales yang buat julung kalinya menaiki podium bersama pasukan Aprilia.

Keputusan tempat ketiga sedikit sebanyak mengubat insiden minggu lalu apabila Vinales terpaksa bersara awal meskipun menduduki kedudukan podium di GP Jerman.

Namun, tumpuan harus diberikan kepada rakan sepasukan Vinales, Espargaro yang meskipun satu ketika jatuh hingga kedudukan ke-15 berjaya bangkit untuk menamatkan aksi di kedudukan keempat.

Aksi paling menarik adalah di selekoh terakhir – dalam lap terakhir – apabila Espargaro berjaya memintas Brad Binder dan Jack Miller sekaligus mengesahkan tempat keempat di Assen.

Meskipun Quartararo gagal mengutip sebarang mata namun dia kekal mendahului kejuaraan dengan 172 mata diikuti Espargaro kedua dengan 152 mata sementara Johann Zarco ketiga dengan 114 mata.

Kemenangan Bagnaia di GP Belanda juga secara tidak langsung menempatkannya kembali dalam perebutan kejuaraan dengan 1

Saingan MotoGP akan berehat selama lima minggu sebelum kembali bersambung pada 7 Ogos ini di Litar Silverstone.

Pelumba LCR Honda, Alex Marquez dilaporkan akan meninggalkan LCR Honda hujung musim ini.

Bekas juara dunia Moto2 itu didakwa telah membuat keputusan sertai pasukan satelit Ducati, Gresini Racing bagi musim 2023 dan akan bergandingan dengan Fabio Di Giannantonio.

Marquez akan mengisi kekosongan ditinggalkan Enea Bastianini yang akan berpindah sama ada ke factory Ducati atau Pramac Racing (Ducati).

Sementara itu, perpindahan Marquez ke Gresini secara tidak langsung mengesahkan pelumba KTM, Miguel Oliveira, akan sertai pasukan satelit Aprila baharu, RNF Racing musim depan.

Oliveira sebelum ini cuba dipancing Gresini namun pelumba Portugal itu memilih untuk sertai projek baharu Aprilia kendalian Razlan Razali.

Pada masa sama, perpindahan Marquez juga membuka ruang buat Alex Rins sertai LCR.

Pelumba MotoGP, Miguel Oliveira dan Alex Rins dilaporkan sudah pun mengesahkan pasukan baharu bagi musim 2023.

Menurut laporan Sky Italia, Oliveira akan meninggalkan KTM hujung musim ini dan berhijrah ke pasukan satelit baharu Aprilia kendalian Razlan Razali.

Perpindah anOliveira sudah pun dijangka apatah lagi pasukan Red Bull KTM mengumumkan telah menandatangani Jack Miller dari Ducati untuk dua musim.

KTM juga menawarkan peluang untuk Oliveira turun ke pasukan Tech3 namun senario itu tidak dipersetujui pelumba Portugal itu yang mahu kekal dengan mesin factory.

Sky Italia turut melaporkan bahawa RNF Racing telah mengikat Oliveira dengan kontrak dua tahun.

“Miguel Oliveria telah menandatangani kontrak dua tahun bersama Aprilia untuk beraksi bersama pasukan satelit RNF Racing kendalian Razlan Razali,” jelas laporan tersebut.

Difahamkan, Oliveira hampir berpindah ke Gresini namun tiada bentuk persetujuan formal dicapai sebelum pelumba itu buat keputusan sertai Aprilia.

Sementara itu, pelumba Suzuki, Alex Rins dilaporkan akan sertai LCR Honda.

Ini kerana dengan khabar angin kuat mengatakan rakan sepasukan, Joan Mir akan sertai Repsol Honda, pasukan Jepun itu didakwa turut memancing Rins untuk LCR Honda.

Pada masa sama, kegagalan mendapatkan khidmat Oliveira memaksa Gresini untuk mencari calon lain dengan Enea Bastianini dilaporkan akan berpindah ke pasukan factory Ducati atau Pramac Racing.

Juara dunia Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK) 2021, Toprak Razgatlioglu akhirnya berpeluang merasai sendiri kemampuan jentera MotoGP Yamaha YZR-M1 di Litar Motorland Aragon.

Razgatlioglu ditemani pelumba uji Yamaha dan bekas pelumba MotoGP, Cal Crutchlow  sewaktu menjalani beberapa pusingan bersama jentera tersebut.

Selain itu, Razgatlioglu juga pertama kali merasai penggunaan tayar Michelin, selain ‘seamless gearbox’, kuasa lebih tinggi dan elektronik yang berbeza dari jentera WorldSBK R1 miliknya.

Meskipun catatan masa rasmi tidak didedahkan kepada umum namun terdapat laporan mengatakan catatan Razgatlioglu tak jauh dari yang ditetapkan Crutchlow.

“Ini merupakan hari pertama saya merasai jentera MotoGP Yamaha M1 dan sememangnya rasa jauh berbeza dari R1 saya.

“Kuasa lebih tinggi, elektronik jauh berbeza dan ‘seamless gearbox’ adalah perkara baru untuk saya.

“Saya belajar banyak selepas setiap lap kerana bukan mudah untuk menyesuaikan diri dengan jentera MotoGP. Tetapi saya bernasib baik kerana adanya Cal Crutchlow membantu saya dan sering memberikan nasihat,” jelas Razgatlioglu.

Bagaimanapun, tiada tempat untuk Razgatlioglu di pasukan Yamaha MotoGP musim depan tatkala pasukan factory Yamaha akan kehilangan pasukan satelit RNF Racing yang akan beralih ke Aprilia bagi musim 2023.

Ini bermakna, Razgatlioglu akan terus beraksi di WorldSBK sehingga ada tempat untuknya selepas musim 2023.

Fabio Quartararo telah menandatangani kontrak dua tahun bersama Monster Energy Yamaha yang menyaksikan pertahan juara dunia itu kekal sehingga 2024.

Perkembangan terbaru itu sekaligus menamatkan segala spekulasi mengenai masa depan pelumba Perancis itu bersama Yamaha.

Quartararo mempamerkan aksi mantap dan cemerlang sejak berhijrah dari pasukan satelit Petronas Yamaha SRT apabila berjaya muncul juara dunia dalam musim pertamanya bersama pasukan factory Yamaha, tahun lalu.

Dia juga kini dalam landasan tepat untuk mempertahankan kejuaraan apabila mendahului carta dengan kelebihan 8 mata.

“Saya sangat gembira untuk mengumumkan bahawa saya akan kekal bersama Yamaha untuk tempoh dua tahun lagi.

“Seperti sebelum ini perpindahan ke Yamaha merupakan satu keputusan yang tepat. Mereka mempercayai saya dari awal dan itu adalah sesuatu yang saya tidak boleh ambil mudah.

“Namun, perjanjian terbaru ini adalah satu keputusan besar kerana saya berada pada saat getir dalam karier saya jadi saya mengambil sedikit masa sebelum membuat keputusan.

“Saya percaya dengan projek Yamaha di MotoGP dan saya rasa Yamaha cukup komited. Kini saya dah mengesahkan keputusan untuk terus bersama-sama dalam perjalanan ini, kami boleh memberi fokus sepenuhnya pada musim ini.

“Saya mahu berterima kasih kepada semua yang menyokong termasuk peminat. Saya sangat hargai sokongan yang diterima,” jelas Quartararo.

Quartararo akan kembali beraksi hujung minggu ini di GP Catalunya dengan mensasarkan kemenangan bagi memastikan kedudukannya selaku pendahulu kejuaraan tidak tergugat.

Minggu lalu, Quartararo melintasi garisan penamat di Mugelli di belakang pelumba tuan rumah rumah dan juara, Francesco Bagnaia.

Pelumba negara, Syarifuddin Azman menerima perkabaran gembira apabila disahkan bakal bersaing di Kejuaraan Dunia Moto3 yang akan berlangsung di Sepanyol, hujung minggu ini.

Lebih mesra dengan panggilan Damok, dia bakal bersama-sama kru Monlau Motorsport akan beraksi di bawah kendalian pasukan Moto3 VisionTrack Racing bagi pusingan di GP Catalunya.

Berita pengesahan ‘wildcard’ tersebut dimaklumkan pihak SIC Racing di laman sosial.

Ini merupakan berita baik buat Damok, yang sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Moto3 dari Kejuaraan CEV.

Musim lalu, Damok turut membuat beberapa penampilan di Moto3 bersama Petronas Sprinta Racing sebelum pasukan itu terkubur sepenuhnya di penghujung musim 2021.

Prinsipal pasukan Monster Energy Yamaha, Lin Jarvis akui terkilan dengan keputusan RNF Racing apabila disahkan menjadi pasukan satelit Aprilia bermula musim 2023.

Pengumuman terbaru RNF Racing dan Aprilia itu sekaligus menyaksikan kerjasama antara pasukan kendalian Datuk Razlan Razali dan Yamaha berakhir selepas empat tahun.

“Kami menghormati keputusan RNF Racing, tetapi saya sedikit terkilan kerana pengumuman itu dibuat ketika kami sedang bermesyuarat untuk mendengar keputusan mereka, jadi situasi itu agak luar biasa.

“Tetapi kami hormati keputusan mereka dan kami akan bergerak dari situ,” jelas Jarvis.

Sementara itu, Razlan dalam satu kenyataan rasmi sebaik pengumuman kerjasama dengan Aprilia dibuat mengakui pelan yang dikemukakan pasukan Itali itu cukup meyakinkan sekaligus antara faktor persetujuan tersebut dicapai.

Selain itu, antara semua pasukan satelit di MotoGP, hanya RNF Racign yang masih ketiadaan kontrak menjelang musim 2023 sekaligus keputusan untuk menjadi pasukan satelit Aprilia adalah satu langkah yang relevan.

Ini bermakna, Aprilia akan menurunkan empat jentera RS-GP musim depan.

Francesco Bagnaia menampilkan aksi mantap di laman sendiri untuk merekodkan kemenangan pertama dalam kariernya di Litar Mugello.

Pelumba Ducati itu yang bermula dipetak kelima ternyata menggunakan pengalaman yang ada untuk mudah memintas barisan pertama yang dibarisi pelumba muda.

Bagnaia terus mendominasi sebahagian besar perlumbaan sebelum melintas garisan penamat sebagai pemenang diikuti tempat kedua, Fabio Quartararo.

Quartararo yang bermula di petak keenam juga tidak berdepan kesukaran untuk menduduki tempat kedua dengan memintas Fabio Di Giannantonio (Gresini), dan gandingan VR46, Luca Marini serta Marco Bezzechi.

Kedudukan kedua itu terus mengukuhkan tempat Quartararo selaku pendahulu kejuaraan dengan 122 mata selepas lapan pusingan.

Sementara itu, Aleix Espargaro terus cemerlang apabila menamatkan aksi di kedudukan ketiga kali keempat beturut-turut.

Walaupun satu ketika kemaraan disekat Marini dan Bezecchi namun berbekalkan pengalaman, Espargaro berjaya mencari ruang untuk memintas ketika perlumbaan memasuki peringkat penghujung.

Kejayaan Espargaro memastikan dia kekal antara pencabar kejuaraan dengan 114 mata, hanya lapan mata dibelakang Quartararo.

Dalam perkembangan sama, enam kali juara dunia MotoGP, Marc Marquez, berjaya menamatkan aksi di tempat ke-10 yang merupakan penampilan terakhirnya musim ini.

Marquez terpaksa undur diri dari musim 2022 setelah bakal menjalani pembedahan tangan kanan pada Selasa ini sekaligus akan berehat panjang untuk tujuan pemulihan.

Ducati sedang berdepan dengan dilema kerana perlu memilih satu daripada beberapa calon bagi mengisi slot di pasukan factory.

Jorge Martin (Pramac) dan Enea Bastianini (Gresini Racing) muncul antara nama disebut-sebut akan diangkat ke skuad factory Ducati untuk digandingkan dengan Francesco Bagnaia bagi musim 2023.

Ini sekaligus bermakna kedudukan Jack Miller di Ducati tidak lagi selamat.

Lebih malang, Pengarah Sukan Ducati, Paolo Ciabatti, turut memberitahu speedweek.com bahawa pelumba Australia itu telah dimaklumkan bahawa tiada jaminan tempatnya akan kekal menjelang musim 2023.

“Pertama sekali kita perlu tunggu dan lihat apa Jack Miller akan lakukan.

“Sudah tentu kami dengar dia sedang berbincang dengan KTM. Itu bukan satu rahsia.

“Kami telah memberitahu Jack dan pengurusnya, Aki Ajo; jika kamu mahukan tempat di pasukan factory, sila cari pilihan lain kerana buat masa ini kami tidak boleh menawarkan tempat di pasukan factory bagi musim 2023,” jelas Ciabatti.

KTM sememangnya mensasarkan Jack Miller bagi musim 2023 bagi menggantikan Miguel Oliveira yang dilaporkan akan diturunkan ke pasukan Tech 3 KTM.

Ini kerana pelumba Tech 3 sedia ada, Raul Fernandez, dikatakan kembali menjadi sasaran Razlan Razali setelah pasukan RNF Racing disahkan bergerak sebagai satelit Aprilia musim depan. – MS

Meskipun kejuaraan dunia MotoGP baru memasuki pusingan ketujuh namun pelbagai aktiviti belakang tabir sudah mula mengambil tempat.

Pengumuman Suzuki untuk undur diri dari kejuaraan itu hujung musim ini telah mencetuskan pelbagai ketidaktentuan terutamanya membabitkan slot pelumba menjelang musim 2023.

Ketika pasukan lain sedang mengorak langkah bagi memancing Joan Mir dan Alex Rins musim depan, Ducati memberi fokus penuh terhadap pelumba sedia ada termasuk yang berada di pasukan satelit.

Terbaru, Pengarah Sukan Ducati, Paolo Ciabatti mengesahkan pihaknya enggan kehilangan dua bakat muda, Enea Bastianini (Gresini Racing) dan Jorge Martin (Pramac).

Bercakap kepada Autosport, ini komen Ciabatti mengenai status kedua-dua pelumba muda itu.

“Saya sering berkata kami mahu mengikat Jorge (Martin) dan Enea (Bastianini).

“Ketika ini Jorge sedang bergelut tetapi dia sudah pun membuktikan kemampuan sementara Enea sedang mencabar kejuaraan dunia. Sementara itu, Johann (Zarco) sedang menunggang dengan cemerlang namun kurang sengat untuk menaiki podium,” jelasnya.

Martin dan Bastianini disebut-sebut sebagai calon utama untuk menggantikan Jack Miller di pasukan factory.

Bagaimanapun, pelumba tonggak, Francesco Bagnaia mengharapkan Miller terus kekal sebagai rakan sepasukan ekoran sudah mempunyai persefahaman baik dengan pelumba Australia itu.

Enea Bastianini berjaya menempatkan dirinya dikalangan pencabar kejuaraan musim 2023 setelah merekodkan kemenangan ketiga musim ini di GP Perancis, pada Ahad.

Kemenangan itu juga menyaksikan dirinya disebut sebagai calon yang bakal menggantikan Jack Miller – selain Jorge Martin – di pasukan ‘factory’ Ducati sekaligus bergandingan dengan Francesco Bagnaia musim depan.

Bagaimanapun, Bagnaia dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa dia lebih gemar untuk terus digandingkan dengan Jack (Miller).

Bastianni menyifatkan Bagnaia mungkin ada sebabnya tersendiri.

“Saya rasa dia pilih (Jack) Miller sebab dia adalah ketua di Ducati dan dia tahu potensi saya dan Martin. Jadi itu boleh jadi satu masalah kepadanya,” jelas Bastianini.

Namun, Bastianini menjelaskan dia tidak kisah sekiranya terus kekal bersama Gresini yang penting dia dapat beraksi dengan jentera ‘factory’ musim depan.

Sementara itu, Bagnaia ketika ini ketinggalan lebih 44 mata dibelakang pendahulu Fabio Quartararo setelah mengalami kemalangan di Le Mans meskipun mendahului sebahagian besar perlumbaan.

Kemalangan itu menyaksikan Bastianini merekodkan kemenangan ketiga musim ini dengan Miller kedua dan wakil Aprilia, Aleix Espargaro ketiga.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube