Bikesrepublic

MotoGP

Marc Marquez disahkan tidak akan terlibat dengan pusingan kedua MotoGP di Argentina ekoran masih lagi terkesan dengan diplopia (penglihatan berganda).

Enam kali juara dunia MotoGP itu mengalami kemalangan serius sewaktu sesi pemanas badan di Litar Mandalika pada 20 Mac lalu dan terpaksa diketepikan daripada aksi perlumbaan.

Dia kemudiannya disahkan mengalami diplopia kali kedua ekoran daripada kemalangan yang dialaminya.

Dalam perkembangan terkini, kem HRC mengesahkan pelumba Repsol Honda itu akan turut terlepas aksi di GP Argentina dalam usaha untuk kembali pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, sewaktu pemeriksaan, doktor memaklumkan bahawa penglihatan Marquez semakin pulih dan bertambah baik.

“Penilaian kedua yang dijalankan terhadap Marquez pada Isnin menunjukan pemulihan yang baik terhadap saraf keempat di sebelah kanan yang terkesan ekoran terjatuh sewaktu di GP Indonesia.

“Namun, pemulihan masih belum sempurna dan Marquez harus mematuhi rejim terapeutik dan rawatan konservatif (untuk pulih sepenuhnya),” jelas Dr Sanchez Dalmau.

Keadaan semasa Marc Marquez mencetuskan pelbagai tanda tanya terhadap karier pelumba itu sejak kemalangan ngeri yang dihadapainya di Jerez pada musim 2020.

Insiden tersebut menyaksikan dia terpaksa jalani dua pembedahan di bahagian tangan tangan sehinggakan terlepas baki keseluruhan musim 2020 dan permulaan musim 2021.

Ketika perkembangannya tampak baik bagi musim 2022, kemalangan di Litar Mandalika kembali menjejaskan peluang pelumba Sepanyol itu untuk bersaing di peringkat tertinggi musim ini.

“Hall of Fame” MotoGP bersedia untuk berkembang tahun ini dengan induksi tiga lagi penunggang – Jorge Lorenzo, Max Biaggi dan Hugh Anderson – tiga pelumba yang boleh dikatakan hebat dari tiga era berbeza.

Ketiga-tiga mereka telah ditetapkan untuk dimasukkan ke dalam Hall of Fame MotoGP lebih awal, namun komplikasi yang meningkat daripada pandemik baru-baru ini telah melambatkannya.

Apabila sekatan pandemik semakin dilonggarkan, pemegang hak komersial MotoGP Dorna (Dorna Sports SL) akan meneruskan induksi mereka sepanjang tahun ini.

Pertama sekali, kami akan bercerita sedikit tentang warga New Zealand Hugh Anderson, yang menjadi terkenal dalam perlumbaan motosikal Grand Prix sepanjang 1960-an di mana beliau merangkul empat gelaran dunia – dua dalam kategori 50cc, dan dua lagi dalam kelas 125cc. Terutama, dua daripadanya dimenangi oleh Anderson pada tahun yang sama – 1963.

Anderson yang berusia 86 tahun, yang juga mempunyai dua kemenangan Isle of Man TT atas namanya, ditetapkan untuk dimasukkan ke dalam Hall of Fame MotoGP semasa perlumbaan MotoGP Australia di Phillip Island di mana sukan itu juga menandakan pertama kalinya beliau kembali ke negara itu sejak permulaan pandemik ini.

Seterusnya ialah pelumba Itali Max Biaggi. Ini boleh dikatakan tertunggak di mata ramai peminat memandangkan peranan legendanya sebagai salah satu saingan utama Valentino Rossi sepanjang 1990-an dan awal 2000-an. Kini, Roman yang berusia 50 tahun menghabiskan masanya sebagai pemilik pasukan Moto3 dan pakar MotoGP TV untuk Sky Italia.

Pastinya, empat gelaran kejuaraan dunia 250cc Biaggi serta dua gelaran Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) yang diperoleh sebelum bersara pada penghujung 2012 sudah cukup untuk menjamin induksinya, yang akan berlangsung tahun ini semasa perlumbaan MotoGP Itali hujung minggu di Mugello.

Akhir sekali tetapi pastinya tidak ketinggalan ialah penerima baru ketiga dalam bentuk Jorge Lorenzo. Baru-baru ini bersara dan menjadi kontroversi selama-lamanya, Mallorcan yang berusia 34 tahun itu mempunyai lima gelaran dunia dengan kreditnya masing-masing satu daripada kelas 125cc dan 250cc serta tiga lagi daripada kategori MotoGP utama.

Seperti Biaggi, Lorenzo juga merupakan satu lagi tunjang utama di paddock pada hari ini di mana dia menjadi pakar MotoGP untuk rangkaian Sepanyol DAZN sambil turut menjalankan saluran YouTube yang dinamakan sendiri. Induksi beliau ke dalam Dewan Kemasyhuran MotoGP dijadualkan semasa hujung minggu MotoGP Sepanyol di Jerez.

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah pun memaklumkan bahawa Malaysia akan kembali dalam kalendar MotoGP bermula musim ini setelah dua tahun menyepi ekoran pandemik Covid-19.

CEO SIC, Azhan Shafriman turut mendedahkan bahawa kontrak penganjuran MotoGP juga telah disambung sehingga 2024 dengan perbincangan dilanjutkan sehingga 2026 bersama Dorna Sports telah pun berjalan.

Dalam pada itu, SIC turut mengumumkan Petronas sebagai penaja utama (title sponsor) GP Malaysia kali ini yang akan berlangsung dari 21 hingga 23 Oktober tahun ini.

Ini sekaligus menyaksikan Petronas menggantikan Shell Malaysia yang sudah beberapa tahun menjadi penaja utama GP Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Group Strategic Communication PETRONAS, Datin Anita Azrina Abdul Aziz, turut menyatakan keterujaan pihaknya memeriahkan GP Malaysia kali ini.

“Petronas amat berbangga menjadi penaja utama GP Malaysia yang selama ini dianggap sebagai acara sukan utama di Malaysia dan rantau Asia.

“Sebagai penaja utama memberikan peluang pada Petronas untuk berhubung dengan peminat sukan ini di samping mengetengahkan jenama dan produk Petronas.

“Lebih penting, kerjasama strategik dengan Dorna Sports diharapkan dapat menyuntik kembali pelancongan sukan di Malaysia untuk sama-sama bangkit dari pandemik,” jelasnya.

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sah kembali menganjurkan Kejuaraan Dunia MotoGP bermula tahun ini selepas dua tahun menyepi ekoran pandemik Covid-19.

Perkara itu disahkan pihak SIC dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Lebih menggembirakan, Dorna juga mengesahkan SIC juga bakal menganjurkan MotoGP hingga 2024 dengan semua pihak telah pun berbincang untuk melanjutkan hingga 2026.

Sementara itu, Petronas juga diumumkan sebagai penaja utama MotoGP di Malaysia bermula tahun ini menggantikan penaja terdahulu Shell Malaysia.

Ini sekaligus menamakan GP Malaysia sebagai ‘Petronas Grand Prix of Malaysia’.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa perbincangan pertama bagi melanjutkan kontrak penganjuran bersama Dorna Sports telah selesai dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakannya.

“Dengan corak kehadiran peminat yang semakin meningkat saban tahun, kami tidak sabar untuk kembali menyambut peminat ke Litar Antarabangsa Sepang selepas dua tahun berehat ekoran pandemik.

“Selaras dengan tema #WelcomeHome, tahun ini adalah tentang menghidupkan semula sukan permotoran antarabangsa di Malaysia,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif.

Pada masa sama, CEO Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta turut gembira menyaksikan Malaysia akan kekal dalam kalendar MotoGP hingga 2024.

“Kami teruja GP Malaysia akan terus menganjurkan MotoGP hingga 2024. Malaysia merupakan pasaran penting bagi MotoGP dan kami berbesar hati untuk berlumba di Sepang bersama peminat yang sentiasa bersemangat memenuhi grandstand.

“Selepas ujian pra-musim di SIC tahun ini, kami tak sabar untuk kembali untuk perlumbaan sebenar,” ujarnya.

Berdasarkan kalendar semasa MotoGP, SIC dijadualkan menganjur MotoGP pada 21 hingga 23 Oktober 2022.

MotoGP dengan rasminya mengemukakan larangan penggunaan ‘front ride-height device’ bermula 2023.

Bagaimanapun, penggunaan sistem ‘holeshot’ yang berfungsi merendahkan bahagian depan dan belakang sewaktu permulaan perlumbaan terus dibenarkan.

‘Front ride-height device’ merupakan sistem yang berfungsi dengan merendahkan bahagian depan jentera MotoGP agar dapat keluar dari selekoh dengan lebih laju dari kebiasaan.

Ketika ini, hanya Ducati yang mengguna pakai ‘front ride-height device’ terhadap jentera GP22 sementara pasukan lain telah pun menyatakan ketidak setujuan terhadap teknologi itu.

“Sewaktu mesyuarat Suruhanjaya pada 4 Mac lalu di Lusail (Qatar), delegasi telah diminta pertimbang dua cadangan yang diketengahkan mengenai isu ‘ride-height device’ tersebut.

“Kedua-dua cadangan tersebut adalah menyekat daripada meningkatkan prestasi jentera sedia ada di samping kos pembangunan yang tinggi.

“Selepas pertimbangan, kedua-dua cadangan itu secara sebulat suara telah diluluskan.

“Sebarang pengunaan alat yang mengubah ketinggian depan jentera sewaktu dalam keadaan bergerak adalah dilarang sama sekali.

“Bagaimanapun, alat yang beroperasi dalam keaadaan pegun – sewaktu permulaan perlumbaan – adalah dibenarkan,” demikian kenyataan oleh Suruhanjaya Grand Prix.

Baru-baru ini, enam kali juara dunia MotoGP, Marc Marquez turut menyifatkan ‘front ride-height device’ itu sebagai alat yang melampau di samping membahayakan.

Pengendali Yamaha, Lin Jarvis juga menyatakan keengganan pasukan itu untuk menggunakan pakai sistem tersebut yang disifatkan sebagai membahayakan nyawa penunggang yang kini telah pun berdepan pelbagai risiko.

Meskipun berusaha keras untuk pulih sepenuhnya sempena aksi pembukaan MotoGP musim 2022 dua minggu lalu di Qatar, Marc Marquez disahkan kembali alami kecederaan susulan kemalangan di Litar Mandalika, baru-baru ini.

Marquez telah disahkan tidak cergas untuk pusingan kedua di Litar Mandalika pada Ahad selepas mengalami ‘highside’ di Turn 7 sewaktu sesi pemanas badan.

Pasukan perubatan kemudiannya mengesahan Marquez alami gegaran di kepala (concussion) sekaligus memaksa pasukan Repsol Honda merehatkan enam kali juara dunia MotoGP itu.

Bagaimanapun, sebaik pulang ke Sepanyol, Marquez akui alami ketidakselesaan di matanya lantas melalui satu pemeriksaan di Hospital Barcelona yang mengesahkan dia kembali alami diplopia selepas mengalami kecederaan sama November lalu.

Namun, pemeriksaan lanjut juga membebaskan pelumba itu daripada sebarang kecederaan serius lain.

Status semasa Marquez ketika ini secara tak langsung menjejaskan persiapan musim ini dengan saingan MotoGP kembali bersambung 3 April ini di Argentina.

Pelumba Red Bull KTM, Miguel Oliveira merekodkan podium pertama musim ini selepas menjuarai GP Indonesia di Litar Mandalika.

Walaupun perlumbaan ditangguh sehingga jam 4.15 petang ekoran hujan lebat namun perlumbaan bermula dengan baik bagi kesemua pelumba.

Bagaimanapun, pengalaman di litar basah ternyata memberikan kelebihan besar buat Oliveira dan pelumba Ducati, Jack Miller yang mendahului kedudukan satu dua.

Namun, selepas mengekori Miller untuk beberapa lap, Oliviera seakan memiliki keyakinan dan cengkaman yang lebih baik untuk memintas dan terus mengekalkan kedudukan pendahulu sehingga garisan penamat.

Tempat kedua jadi milik pertahan juara dunia, Fabio Quatararo yang meskipun pada suatu ketika berada di kedudukan kelima berjaya memintas Alex Rins (Suzuki) dan Johann Zarco (Pramac) untuk mengesahkan kedudukan.

Zarco juga kembali ke podium selepas kali terakhir di Litar Catalunya musim lalu untuk melengkapkan podium di tempat ketiga.

Sementara itu, pelumba ‘rookie’ dari RNF Racing, Darryn Binder, boleh berasa bangga kerana berjaya menamatkan aksi di kedudukan ke-10.

Berikut keputusan penuh perlumbaan:

Remy Gardner menyifatkan aksi pelumba WithU Yamaha RNF Racing, Darryn Binder sewaktu pusingan pertama di Litar Lusai, Qatar sebagai membahayakan.

Seperti Binder, Gardner juga membuat penampilan sulung di kelas premier musim ini bersama Tech3 KTM.

Meskipun berjaya mengutip satu mata selepas menamatkan aksi di kedudukan ke-15, pelumba KTM itu berasakan dia mampu mencapai posisi yang lebih baik dengan mengejar Andrea Dovizioso dan Maverick Vinales jika bukan sebab Binder.

“Pada satu ketika, saya rasa seperti mampu kejar Vinales dan Dovizioso tetapi Binder berada di depan saya ketika itu dan saya tidak dapat memintasnya.

“Dia datang dari kelas Moto3, jadi tunggangannya bersepah, termasuk memasuki garisan pelumbaan tanpa menoleh walaupun ketika itu dia tersasar jauh.

“Situasi ini sangat membahayakan dan saya juga tertinggal dari kelompok depan.

“Saya mahu bersemuka dengannya (Binder) bagi membincangkan perkara ini,” jelas Gardner.

Perasaan kecewa jelas terpampang di muka pertahan juara dunia MotoGP, Fabio Quartararo apabila sekadar menamatkan pusingan pembukaan musim 2022 di tempat kesembilan.

Selain gagal menempatkan diri di podium, pelumba Perancis itu juga gagal memberi saingan dengan kelompok depan dan tiba ke garisan penamat dengan jarak +10.543 saat berbanding pemenang, Enea Bastianini.

Keputusan kurang memberangsangkan itu juga membuatkan Quartararo berasa risau akan peluang jentera Yamaha musim ini sebaik tamat perlumbaan.

“Tahun lepas kami menang kedua-dua perlumbaan tapi kali ini kami berada jauh di belakang jadi sudah tentu saya risau.

“Saya boleh katakan yang saya tidak rasa yakin. Saya sekadar bermula di barisan keempat dan terpaksa memasuki Q1 di Qatar.

“Tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, saya bukan seorang jurutera,” jelasnya.

Sementara itu, Quartararo mendedahkan masalah utama berpunca daripada cengkaman tayar depan yang melanda seawal dua lap pertama.

“Saya bermula baik tetapi selepas dua lap sahaja, tekanan tayar depan naik mendadak.

“Sejujurnya saya tidak tahu apa yang berlaku,” tambah Quartararo.

Selain Quartararo, rakan sepasukan, Franco Morbidelli juga gagal menyerlah, terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ke-11.

Sementara itu, pasukan satelit Yamaha, RNF Racing juga terpaksa berpuas hati dengan tempat ke-14 menerusi Andrea Dovizioso manakala Darryn Binder sekadar P16.

Saingan pertama di Qatar menyaksikan pelumba Gresini Racing, Bastianini merekodkan kemenangan sulung di kelas premier sementara wakil KTM, Brad Binder serta pelumba Honda, Pol Espargaro melengkapkan podium ditempat kedua dan ketiga.

Saingan MotoGP akan kembali bersambung 20 Mac ini di Litar Mandalika, bagi GP Indonesia.

Kejuaraan Dunia MotoGP 2022 bakal membuka tirai hujung minggu ini di Litar Losail, Qatar.

Menjelang aksi pusingan pertama musim ini, tumpuan terarah kepada enam kali juara dunia MotoGP, Marc Marquez yang dilaporkan sudah pun kembali cergas sepenuhnya.

Sewaktu sesi temu bual MotoGP bersama beberapa pelumba lain, Marquez ketka diajukan soalan siapakah yang bakal muncul juara di kelas premier MotoGP musim ini, pelumba Repsol Honda itu mencalonkan dirinya sendiri.

Meskipun ada pihak yang menganggap tindakannya itu sebagai satu gurauan namun melihat kepada reaksi Marquez sewaktu ujian pra-musim di Sepang dan Mandalika, ternyata dia sudah kembali mendapatkan sentuhan sebenar.

“Saya sangat gembira untuk berada disini.

“Ujian di Malaysia dan Mandalika cukup penting dan selepas Mandalika, saya rasa keadaan fizikal saya telah meningkat dan itu satu perkembangan baik.

“Apa yang pasti bagi musim 2022, saya mahu mencabar kejuaraan dunia bersama pelumba lain,” jelasnya.

Bagaimanapun, Marquez mendedahkan dia mungkin belum bersedia sepenuhnya untuk perlumbaan pertama hujung minggu ini.

“Mungkin untuk GP Qatar saya belum bersedia, tetapi hujung minggu ini pasukan akan tahu di mana posisi kami sebenarnya,” tambah pelumba berusia 29 tahun itu.

Meskipun Marquez beri bayangan belum bersedia menghadapi GP Qatar, pertahan juara, Fabio Quartararo berpendapat sebaliknya.

“Jentera Honda (RC213V) memaparkan kelajuan yang mengagumkan. Anda juga boleh lihat bagaimana jentera mereka berkerja dalam cara yang berbeza,” ujarnya.

Quartararo juga menyifatkan Marquez nampak lebih selesa manakala aspek membrek Honda juga pamerkan peningkatan sewaktu ‘stop and turn’.

Perkembangan jentera RC213V sememangnya amat mencuri tumpuan, apatah lagi Marquez sendiri sifatkan mesin Honda itu menawarkan watak yang sangat berbeza.

“Mereka (pasukan) telah melakukan naik taraf besar pada jentera tersebut.

“Sejujurnya saya rasa seperti menunggang jentera jenama lain kerana perasaannya cukup berbeza.

“Sejak sertai Honda, pasukan sentiasa membuat kemas kini tetapi watak jentera kekal sama namun sekarang sangat berbeza,” tambahnya.

Perkembangan terbaru kem Repsol Honda dengan jentera RC213V 2022 ini ternyata bakal menyumbang kepada musim yang cukup rancak kali ini.

Ketika penutup 2021 menyaksikan perebutan dua penjuru antara Quartararo (Yamaha) dan Francesco Bagnaia (Ducati), pembukaan tirai 2022 mungkin menyaksikan cabaran yang lebih sengit babitkan Yamaha, Ducati, Aprilia, Honda, Suzuki serta KTM.

Baru-baru ini, MotoGP mengadakan ujian pra-musim kedua di Litar Mandalika, Indonesia.

Litar Mandalika merupakan litar terbaru yang dibangunkan negara itu dan bakal sertai kalendar MotoGP bagi musim 2022.

Meskipun MotoGP sendiri menyifatkan Litar Mandalika antara yang tercantik pernah dibina namun terdapat beberapa ‘cerita’  di luar pagar litar itu yang mencuri tumpuan.

Salah seorang jurugambar profesional MotoGP, telah memuat naik gambar ke akaun Instagram rasmi pasukan Repsol Honda.

Gambar tersebut memaparkan pelumba Honda, Marc Marquez sedang melakukan ujian namun apa yang menarik, gambar tersebut turut memaparkan tiga lelaki berkain pelikat yang menyaksikan dengan rapat sesi ujian tersebut.

Tiga individu tersebut dikenali sebagai Sibawaeh, 53, Medan, 47 dan Amaq Manim, 57.

Difahamkan, kelibat mereka disitu bukan sebagai peminat MotoGP malah merupana pemilik sebahagian tanah yang telah diambil bagi tujuan pembinaan Litar Mandalika.

Berdasarkan laporan, meskipun Litar Mandalika telah siap sepenuhnya namun urusan penjualan dan pembayaran tanah tersebut masih belum diselesaikan Perbadanan Pembangunan Pelancongan Indonesia (ITDC).

Sibawaeh mendedahkan masih tiada sebarang bayaran dilunaskan meskipun tanah seluas 3.5 hektar miliknya telah diambil.

“Bunyi deruan motor ini buat hati saya sakit. Sedih mengenangkan nasib kami, tanah tergadai, duit tak dapat.

“Kami tidak sedar gambar kami dirakam ketika menyaksikan sesi ujian itu dan dalam hati kami terdetik bilakah masalah (jual tanah) ini akan selesai,” jelasnya.

Sebelum ini, pembangunan Litar Mandalika turut dikecam Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disifatkan telah mencabul hak asasi orang asli di Kepulauan Lombok. – Utusan Online

Hujan lebat berterusan dan kerja-kerja pembinaan di sekitar trek Mandalika yang terletak di Pulau Lombok Indonesia, meninggalkan trek yang pertama kali dikunjungi MotoGP itu dalam keadaan kotor.

Malah, sesi latihan terpaksa dihentikan selama hampir sejam kerana keadaan trek yang teruk, dengan operasi pembersihan yang panjang dijalankan selama kira-kira 90 minit sebelum sesi disambung semula.

Ia adalah pengenalan yang mendukacitakan kepada litar terbaharu dalam kalendar siri Kejohanan Dunia MotoGP.

Pol Espargaro selaku pelumba Repsol Honda Team antara pelumba yang pertama keluar di trek, melengkapkan beberapa pusingan sebelum bendera merah dikibarkan.

Setelah keadaan kembali stabil dan pusingan pada sebelah petang dibenarkan berlangsung, kesemua pelumba berusaha keras untuk memperbaiki catatan masa mereka di trek.

Espargaro dilihat mengambil peluang ini dengan membina kelajuannya dalam beberapa pusingan apabila cuaca dan keadaan trek beransur pulih.

Ketika sesi ujian akhir semakin hampir, usaha Espargaro terbukti apabila dia berjaya menduduki tangga ketiga teratas bagi sesi latihan.

Pada pusingan kedua akhir, berbaki masa 30 minit, pelumba bernombor 44 itu mencatatkan masa 1’32.466 mendahului catatan masa pelumba lain menjadikannya terpantas bagi sesi latihan di Mandalika.

Cuaca yang berubah-ubah sewaktu sesi akhir ujian juga menyaksikan Marc Marquez tamat latihan lebih awal daripada jadual selepas menamatkan 64 pusingan sepanjang hari itu.

Berada di tempat ke-17 mengikut catatan masa, Marquez tidak bimbang dengan kedudukannya kerana dia memberi tumpuan untuk menilai trek dan meningkatkan keyakinannya mengawal jentera Honda RC213V baharu.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube