Bikesrepublic

Luar Negara

KTM telah diberikan talian hayat pada saat terakhir oleh rakan lama mereka, Bajaj Auto, seperti yang dijangka. Dan dengan itu, Bajaj bakal memegang saham majoriti pembuat motosikal berwarna oren itu.

Berita ini muncul selepas laporan bahawa KTM telah memperoleh suntikan dana €600 juta minggu lepas. Khabar angin mula tersebar bahawa Bajaj adalah pembawa dana tersebut. Namun, KTM tidak mendedahkan sumber dana itu, manakala Bajaj berdiam diri.

Dan kemudian…

Pada Khamis, Bajaj Auto membuat pengumuman rasmi bahawa mereka merancang untuk mengambil alih kawalan majoriti KTM AG melalui anak syarikat milik penuh mereka, Bajaj Auto International Holdings BV (BAIHBV). Selain itu, rancangan pembiayaan penuh akan berjumlah €800 juta untuk menstabilkan kewangan KTM dan menyokong penyusunan semula yang sedang berjalan.

Perjanjian ini menandakan perubahan besar dalam strategi global Bajaj Auto bagi segmen dua roda, kerana ia beralih daripada pemegang saham minoriti kepada pemegang saham majoriti dalam KTM. Syarikat yang berpangkalan di Pune, India ini telah lama bekerjasama dengan KTM, tetapi langkah ini akan memberikannya kawalan operasi dan kewangan yang lebih mendalam, mengukuhkan kedudukannya dalam segmen motosikal berprestasi tinggi dan sukan di peringkat global.

Menurut fail pertukaran saham Bajaj Auto bertarikh 22 Mei 2025, Lembaga Pengarah telah meluluskan cadangan itu pada 21 Mei. Inisiatif pembiayaan ini bertujuan untuk memberikan kecairan segera kepada KTM dan memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan mahkamah Austria berkaitan pelan penyusunan semula hutang syarikat.

Tarikh Akhir 23 Mei

Pembiayaan ini bertujuan memenuhi tarikh kritikal 23 Mei 2025 yang ditetapkan mahkamah Austria. Di bawah pelan penyusunan semula yang diluluskan mahkamah, KTM mesti menyelesaikan 30 peratus tuntutan pemiutang sebelum tarikh tersebut. Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan prosiding muflis dan penamatan daripada pentadbiran sendiri.

Sokongan kewangan Bajaj Auto amat penting untuk mengelakkan senario ini, memastikan kelangsungan operasi KTM dan melindungi reputasi globalnya sebagai jenama motosikal premium.

Perincian Paket Penyelamat €800 Juta

Sebagai sebahagian daripada pakej penyelamat, BAIHBV telah melaksanakan perjanjian kemudahan untuk memberikan pinjaman bercagar sebanyak €450 juta kepada KTM AG. Dana ini akan dipegang dalam escrow sehingga diluluskan oleh mahkamah Austria. Selain itu, anak syarikat Bajaj telah melanggan bon boleh tukar bernilai €150 juta yang dikeluarkan oleh Pierer Bajaj AG (PBAG), sebuah entiti KTM.

Komitmen baru ini adalah tambahan kepada €200 juta yang telah disalurkan oleh Bajaj sebagai hutang pemegang saham, menjadikan jumlah sokongan kewangan kepada €800 juta.

BMW S 1000 RR (2027) generasi baharu akan didedahkan pada 23 Mei, 7 malam CEST (1 pagi, 24 Mei di Malaysia). BMW Motorrad baru sahaja mengeluarkan imej acah dalam platform media sosial mereka sebelum pelancaran.

Imej acah itu menunjukkan sebuah motosikal yang diprofilkan dengan latar belakang hitam dan kelabu, dan kita hanya boleh melihat bentuk asas S 1000 RR. Namun, bahagian atas cermin depan yang besar, tangki bahan api yang dibelah, pelana, dan unit ekor kelihatan jelas . Anda juga boleh melihat sayap depan yang besar juga.

Bagaimanapun, adakah model BMW S 1000 RR (2027) baharu ini membawa peningkatan prestasi? Enjin empat silinder sebaris semasa menghasilkan 209 hp dan 112.6 Nm. Ia bukan yang paling berkuasa di kalangan superbike yang lain, jadi peningkatan kuasa maksimumnya juga boleh memberi manfaat kepada motosikal ini dalam gelanggang Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK).

BMW S 1000 RR (2025)
BMW telah menggunakan casis prototaip yang tidak dihomologasikan apabila mereka memenangi mahkota WSBK pada 2024 sebagai sebahagian daripada kelonggaran yang diberikan mengikut peraturan kejohanan. Walaubagaimanapun, mereka terpaksa kembali kepada kerangka S 1000 RR yang standard (mengikut peraturan WSBK), dan itu menyebabkan penunggang peniglang dan juara dunia Toprak Razgatlıoğlu mengadu hampir setiap hujung minggu. Oleh itu, kerangka baharu juga merupakan suatu yang amat penting.
Pelancaran pada 24 Mei ini sepatutnya untuk varian asas S 1000 RR, manakala varian homologasi perlumbaan M 1000 RR akan menyusul setahun selepas itu.

Seperti yang dijangkakan, setiap versi BMW R XXXX GS dan GS Adventure baharu akan diikuti oleh RT dan RS baharu, dengan menggunakan enjin yang sama. Oleh itu, BMW R 1300 RT dan BMW R 1300 RS yang terbaru dilancarkan mengikut jejak R 1300 GS. (R 1300 R baharu dilancarkan dua minggu lalu.)

Kedua-dua R 1300 RT dan R 1300 RS muncul pada masa yang sama kerana mereka berkongsi kebanyakan komponen dan ciri yang sama.

Ciri-ciri utama BMW R 1300 RT baharu

  • Enjin dua silinder mendatar (Boxer) dengan sesaran 1300cc, menggunakan dimensi gerek dan lejang 106.5 x 73mm.
  • Enjin ini menghasilkan 143 hp pada 7,750 RPM dan 149.2 Nm pada 6,500 RPM, menjadikannya enjin Boxer BMW pengeluaran paling berkuasa setakat ini.

  • Kerangka utama yang direka bentuk sepenuhnya menggunakan kerangka keluli lembaran baharu (seperti R 1300 R), ditambah dengan kerangka belakang aluminium tuang acuan.
  • Perbezaan utama antara R 1300 RT dan R 1300 RS ialah sistem suspensi depan: R 1300 RT dilengkapi dengan Telelever Evo baharu dari R 1300 GS, yang mengasingkan setang daripada gantungan dengan lebih efektif berbanding sebelum ini.

  • Di bahagian belakang, Evo Paralever menyediakan sambungan yang lebih kukuh melalui gantungan dalam kerangka, serta gandar sistem buka cepat pada lengan ayun.
  • Roda tuangan aluminium 17-inci baharu dengan reka bentuk jeriji berlubang mengurangkan berat sebanyak 1.4 kg.

  • Sistem brek terdiri daripada cakera brek berkembar di depan dengan kaliper empat piston dipasang secara radial.
  • Sebuah skrin warna TFT 10.25-inci turut disertakan, dilengkapi dengan navigasi peta bersepadu dan Connectivity Hub yang baru dibangunkan.

  • Sistem bantuan elektronik untuk penunggang termasuk mod standard Road, Rain, Eco serta Cornering ABS.
  • Dengan tambahan pilihan “Riding Modes Pro”, pengguna boleh menikmati mod tambahan seperti ‘Dynamic’ dan ‘Dynamic Pro’.

  • Peningkatan tambahan termasuk Riding Assistant yang dilengkapi dengan: Active Cruise Control (ACC), Front Collision Warning (FCW), Lane Change Warning (SWW).

  • Untuk warna, pilihan tersedia adalah:  Alpine White 3, Triple Black dalam kemasan Blackstorm metallic, Racing Blue metallic, dan 719 Camargue dalam kemasan Blue Ridge Mountain metallic
Ciri-ciri BMW R 1300 RS baharu

  • Model R 1300 RS merupakan varian ‘sport-touring‘ dalam barisan siri-R BMW.
  • Seperti yang dinyatakan sebelum ini, perbezaan utamanya terletak pada sistem gantungan depan yang menggunakan: Garpu teleskopik terbalik (upside-down) 47mm baharu berbeza dengan sistem Telelever Evo pada model RT

  • BMW R 1300 RS baharu boleh dilengkapkan dengan sistem brek sukan pilihan yang menampilkan kaliper brek berwarna titanium.
  • Terdapat juga varian prestasi tinggi yang merangkumi: Suspensi lebih berprestasi tinggi, tuas gear pendek, tapak kaki boleh laras dan dimesin, DTC-Shift (‘quickshifter‘). dua skrin sport tambahan, pelana sport, spoiler enjin, tayar sport.

  • Pilihan warna untuk BMW R 1300 RS termasuk: Racing Blue metallic, Triple Black dalam kemasan Blackstorm metallic, Performance berorientasikan sport dengan warna Lightwhite Uni, dan 719 Cuyamaca dalam kemasan Brooklyn Grey metallic.

Seorang lelaki yang membeli sebuah Honda Civic Type R terkejut apabila kereta itu merupakan keretanya sendiri yang telah dicuri beberapa bulan dahulu.

Itu dialami seorang jurutera perisian berusia 36 tahun dari Solihull, West Midlands, yang mengalami kejadian mengejutkan apabila kereta kesayangannya yang dilarikan pencuri, berjaya ditemukan dengan cara tidak disangka-sangka.

BBC melaporkan, Ewan Valentine kehilangan Honda Civic hitam miliknya selepas ia dilarikan dari halaman rumahnya pada Februari lalu.

Laporan polis dibuat dan Valentine dimaklumkan peluang untuk mendapatkan semula kenderaannya adalah sangat tipis.

Selepas syarikat insurans meluluskan tuntutannya, Valentine menggunakan wang pampasan untuk membeli sebuah kereta pengganti.

Dia menemukan sebuah lagi Honda Civic Type R hitam dan membelinya dengan harga GBP20,000 pound sterling (RM116,315.26).

Bagaimanapun, selepas diteliti, Valentine mendapati kereta yang dibelinya itu sebenarnya adalah keretanya yang hilang sebelum ini.

Menceritakan kesedihan selepas keretanya dicuri, Valentine memberitahu BBC bahawa dia berasa amat kecewa kejadian curi itu dan bertekad mendapatkan semula kereta model sama.

Ia kereta impian saya. Bukan mudah nak cari model begini, jadi saya sangat berazam untuk cari model sama sebagai pengganti. Saya jumpa satu kereta yang sama, memiliki warna yang sama, model tahun sama, malah sistem ekzosnya pun seperti kereta saya dulu,” katanya.

Valentine mula mengesyaki sesuatu apabila menemukan beberapa barang di dalam kereta berkenaan seperti sebatang pasak khemah, cebisan pokok Krismas dan pembalut coklat.

Semuanya sangat serupa dengan apa yang ada dalam kereta saya yang hilang dahulu,” katanya.

Walaupun kereta itu mempunyai nombor plat baharu dan catatan perbatuan lebih rendah, keraguannya disahkan apabila Valentine menemukan alamat rumahnya dan ibu bapanya dalam sejarah sistem navigasi terbina di dalam kenderaan itu.

Saya rasa seperti mendapat kemenangan sekejap, macam rasa hebat sebab dapat semula kereta. Tetapi lepas fikir balik, sebenarnya saya dah buat sesuatu yang agak bodoh,” katanya.

Dia kemudian membawa kenderaan itu ke garaj Honda di Solihull, sebelum membuat laporan polis.

Sumber: BBC

KTM sekali lagi menghentikan produksi.

Pusingan terbaru penghentian ini berlaku hanya beberapa minggu selepas produksi bermula semula, setelah pelan pembayaran semula hutang diluluskan oleh pemiutang pada Febuari lalu. KTM menyatakan ia disebabkan oleh kekurangan bekalan komponen. Lebih membimbangkan, produksi penuh mungkin tidak dapat disambung semula sehingga akhir Julai 2025.

Menurut laporan media Jerman, 1000PS, KTM tidak dapat mendapatkan komponen kritikal untuk motosikal mereka. Ini adalah kesan daripada penghentian pengeluaran tahun lalu, di mana pesanan baharu tidak dapat dibuat selama kira-kira tiga bulan ketika syarikat menghadapi krisis kewangan.

KTM terpaksa menghentikan pengeluaran buat pertama kali apabila syarikat itu memasuki pentadbiran sendiri. Beratus-ratus pekerja diberhentikan, dan beberapa aktiviti perlumbaan diketepikan.

Berita mengenai KTM menghentikan pengeluaran buat kali kedua dilaporkan muncul semasa panggilan video pada pagi Khamis, apabila CEO KTM, Gottfried Neumeister, memberitahu pekerja:

“Masalah serius dalam rantaian bekalan menyebabkan pengeluaran tidak dapat diteruskan seperti dirancang. Stok hanya mencukupi untuk sekitar 4,200 motosikal, dan kini terdapat kekurangan komponen penting. Pengeluaran di Mattighofen akan digantung sehingga 27 Julai.”

Sebenarnya tidak menghairankan yang situasi ini akan berlaku kerana usaha KTM untuk memulakan semula pengeluaran disambut dengan berhati-hati oleh beberapa pembekal. Akibatnya, ada yang menghentikan bekalan atau pengeluaran untuk KTM sepenuhnya, walaupun KTM yakin dapat mencari penyelesaian dan pengeluaran di Mattighofen boleh beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi.

Syarikat induk KTM, Pierer Mobility, menghadapi jurang pembiayaan sekitar €600 juta (kira-kira RM3.06 bilion), yang perlu ditampung sebelum 23 Mei sebagai sebahagian perjanjian dengan pemiutang.

Royal Enfield juga telah memulakan projek motosikal elektrik mereka, dengan jenama yang diberi nama Flying Flea. Sebagai permulaan, jenama ini bekerjasama dengan pereka terkenal Mattia Biagi untuk mencipta sebuah motosikal seni yang unik dan satu-satunya, dipanggil Flying Flea ‘Mototem’. Tidak, ini BUKAN “seni” di mana pisang yang dilekatkan pada dinding dengan pita pelekat.

Nama Flying Flea sendiri mempunyai kepentingan sejarah yang besar, kerana ia dilancarkan pada tahun 1940 sebagai Royal Enfield Flying Flea – sebuah motosikal ringan yang dibina khas untuk dihantarkan ke medan perang dengan payung terjun. Kini, Royal Enfield merancang untuk melancarkan model produksi Flying Flea FF.C6 bergaya klasik dan Flying Flea FF.S6 bergaya scrambler pada tahun 2026.

Mototem ini berdasarkan platform FF.C6.

Daripada Siaran Media

Menggabungkan seni kraf, reka bentuk, dan automotif dengan lancar, Flying Flea, jenama baharu dari Royal Enfield, dan artis Mattia Biagi hari ini mendedahkan motosikal seni unik mereka di Salone Del Mobile, Milan. Karya seni yang diberi nama Motototem ini bukan sahaja menjadi mercu tanda dalam seni dan mobiliti, malah ia juga meraikan semangat kreativiti, inovasi, dan kelestarian yang mendalam dalam jenama Flying Flea.

Royal Enfield sinonim dengan ciri peribadi ‘custom‘ dan sentiasa menjadi ‘kanvas’ sempurna untuk memulakan karya seni. Setiap motosikal menceritakan kisah yang unik dan inspirasi, mempamerkan semangat estetika reka bentuk yang dihidupkan. Baru-baru ini, Royal Enfield melancarkan ‘Project Delta’, sebuah motosikal custom yang tidak ditelan zaman yang mengambil inspirasi daripada era motosikal 1940-an hingga 1950-an – sebuah motosikal moden dengan jiwa vintaj. Dengan ‘Motototem’ yang berasaskan Flying Flea C6, Royal Enfield melangkah lebih jauh daripada dunia custom, dan memasukki dunia seni. Dicipta bersama Mattia dan Flying Flea, ‘Motototem’ adalah interpretasi artis terhadap motosikal ini, dengan setiap bahan dipilih untuk mewakili tujuan yang melangkaui estetika semata-mata, menghubungkannya dengan alam dalam gabungan yang elegan.

Mengekalkan bentuk klasik FF.C6 dan diinspirasi daripada motosikal Flying Flea asal tahun 1940-an, butiran rumit pada Motototem memainkan peranan dalam ceritanya. Bermula di bahagian depan, pemegang stereng asal digantikan dengan kepingan gangsa unik yang menggambarkan cap jari artis – elemen ini turut dipindahkan ke footpegs, meningkatkan sensasi sentuhan yang sedia ada pada FF.C6. Patung kaca tiup tangan yang rumit menggantikan lampu LED depan dan belakang, melambangkan keindahan dalam mengharungi cabaran. Bahagian utama seni ini, tangki, yang terletak dalam bingkai aluminium tempa, sepenuhnya buatan tangan dan diperbuat daripada batu travertine, meniru bentuk payung terjun sebagai penghormatan kepada motosikal Flying Flea yang ringan dan lincah.

Madgad depan dan belakang motosikal ini turut menghubungkannya dengan alam melalui daun-daun yang dibentuk dalam resin lutsinar, melambangkan kehidupan baharu, pertumbuhan, dan pembaharuan. Seperti bahagian depan yang menyatu dengan sistem suspensi fork girder unik FF.C6, bahagian belakang menggabungkan tempat duduk daripada kayu walnut pepejal, menggantikan reka bentuk asal dengan bahan semula jadi premium yang menambah kehangatan dan tekstur organik. Fork jenis girder itu juga menampung kepingan tanah liat buatan tangan, menghormati fork guard yang terdapat pada scrambler. Di bahagian belakang, bentuk dan warna organik bertindak sebagai pelindung tali, melambangkan percambahan idea baharu seperti bunga.

Kotak bateri magnesium FF.C6, yang sendiri merupakan contoh reka bentuk organik, mempunyai sirip yang melambangkan pertemuan masa lalu dan masa depan, serta kepingan batu hitam yang mencerminkan prinsip reka bentuk menggunakan bahan mentah bersama bingkai aluminium tempa. Menyempurnakan perjalanan ini adalah tayar yang dihiasi dengan burung layang-layang kulit buatan tangan, melambangkan kepulangan, kesetiaan, dan semangat pengembaraan. Penggunaan tayar off-road bukanlah kebetulan, tetapi melambangkan perjalanan berani ke laluan yang belum diterokai.

Mario Alvisi, Ketua Pegawai Pertumbuhan, Kenderaan Elektrik, Royal Enfield, menambah, “Motototem menangkap semangat Flying Flea dengan cara yang terasa naluri dan tidak dijangka. Ia mencerminkan falsafah jenama yang penuh pertimbangan, reka bentuk pintar, dan keanggunan dalam gerakan – melalui bahasa yang penuh emosi dan sangat skulptural. Royal Enfield menganggap motosikalnya sebagai ruang untuk ekspresi kreatif, dan Flying Flea secara semula jadi memperluaskan idea itu ke alam baharu yang menarik. Motototem bukan sekadar interpretasi motosikal, ia adalah pantulan bagaimana reka bentuk, budaya, dan mobiliti boleh bersatu untuk mencipta sesuatu yang benar-benar inspiratif.”

Salone del Mobile, di Milan Design Week, menyediakan platform ideal untuk pelancaran global Motototem, menghimpunkan pereka dan minda kreatif paling inovatif di dunia. Pendedahan Motototem di Milan hanyalah permulaan perjalanannya. Selepas acara ini, Flying Flea dan Mattia Biagi merancang untuk mempamerkan konsep ini di acara dan lokasi yang akan diumumkan sepanjang tahun 2025.

Untuk maklumat dan kemas kini lanjut tentang Motototem, anda boleh melanggan: http://flyingflea.royalenfield.com/, atau ikuti kemas kini masa nyata di halaman Instagram Flying Flea.

Galeri foto

Honda NC750X memenangi Anugerah Rekabentuk Red Dot 2025 dalam Kategori Rekabentuk Produk.

Honda mempunyai rekod cemerlang dalam anugerah ini, dengan memenanginya berturut-turut sejak 1997. Kebelakangan ini, Transalp 750 dan CB750 Hornet memenanginya pada 2023, diikuti oleh skuter elektrik EM1 e pada 2024, dan kini NC750X pada tahun ini.

Model NC750X ini adalah sebahagian daripada platform 750cc Honda: Transalp 750 adalah varian adventure, CB750 Hornet sebagai varian naked, manakala NC750X ialah sport-tourer. Kesemua varian ini dikuasakan oleh enjin parallel-twin 745cc, SOHC, 8-valve yang menghasilkan 90.6 hp pada 9,500 RPM dan tork 74.4 Nm pada 7,000 RPM.

Daripada Siaran Akhbar Boon Siew Honda

Model crossover NC750X menggabungkan keseronokan penjelajahan dengan kemudahan penggunaan dalam situasi harian seperti perjalanan saban hari. Ia telah mendapat sambutan baik daripada pelanggan kerana enjin 2-silinder 745ccnya yang mempunyai ciri tork kuat untuk pengendalian mudah dan jimat minyak, pakej dengan pusat graviti rendah untuk kawalan yang lebih baik, serta ruang penyimpanan bagasi yang mesra pengguna.

Rekabentuk yang tajam dan berkuasa serta penampilan luaran bergaya adventure meningkatkan jangkaan penunggang. Fairingnya diperbuat daripada bioplastik berasaskan tumbuhan dan bahan kitar semula, yang pertama seumpamanya untuk komponen luaran motosikal, dan penghapusan cat mengurangkan pelepasan CO2. Selain mengurangkan impak alam sekitar, ia juga menawarkan warna yang terang dan reka bentuk yang unggul.

Kenyataan Toshinobu Minami, Pengarah Urusan, Ketua Pegawai Operasi, Pusat Reka Bentuk, Honda R&D Co., Ltd., “Kami berasa sangat terhormat menerima Anugerah Reka Bentuk Red Dot untuk tahun keenam berturut-turut, dan tahun ini, kami juga menerima Anugerah Reka Bentuk iF. Kami percaya ini adalah hasil daripada resonansi orang ramai terhadap semangat Honda Design iaitu ‘reka bentuk yang memperkaya kehidupan pelanggan melalui pengalaman dan produk berasaskan pendekatan berpusatkan manusia’. Honda akan terus mencipta nilai-nilai baharu yang mengejutkan dan memberi inspirasi, serta memberikan kegembiraan dalam memperluas potensi hidup mereka.”

Harley-Davidson kini sedang mencari Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, memandangkan pemegang jawatan semasa Jochen Zeitz telah mengumumkan persaraannya pada akhir tahun 2025.

Zeitz telah menyertai lembaga pengarah syarikat motosikat pada akhir tahun 2000-an sebelum dinaikkan pangkat ke jawatan CEO pada tahun 2020.

Dalam beberapa bulan pertama memegang jawatan, beliau melancarkan rancangan lima tahun bernama “Hardwire” untuk menstabilkan syarikat dan mengembalikan kegemilangannya. Sebahagian besar rancangan ini berfokus pada pengembangan ke pasaran global baharu. Selain itu, Zeitz mahu syarikat motosikal elektrik H-D, LiveWire, merapatkan jurang antara generasi penunggang motosikal.

Rancangan pertama berjaya dilaksanakan justeru memperkenalkan model H-D kecil dan murah yang dibangunkan bersama Hero MotoCorp. Malangnya, walaupun jualan model-model kecil tersebut agak memberangsangkan, LiveWire pula gagal memberikan pulangan yang besar.

Tambah lagi kini, dengan Donald Trump sekali lagi sebagai Presiden Amerika Syarikat, perang perdagangan yang dimulakannya bakal memberi kesan buruk kepada Harley-Davidson di Eropah, serta beberapa negara lain yang akan membalas tarifnya.

Menurut syarikat motosikal itu, “Lembaga Pengarah Harley-Davidson, Inc. hari ini mengesahkan bahawa mereka sedang dalam proses pencarian CEO baharu, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab perancangan penggantian Lembaga. Proses pencarian ini dimulakan pada suku keempat tahun 2024 dengan melantik firma pencarian eksekutif terkemuka setelah Jochen Zeitz, CEO semasa, menyatakan hasratnya untuk bersara dari syarikat pada tahun 2025 setelah lima tahun memegang jawatan CEO, tertakluk kepada pelantikan pengganti yang sesuai.”

Zeitz sebelum ini pernah berkhidmat di Puma dan dikenali sebagai eksekutif “pemulihan” yang berjaya membantu syarikat-syarikat yang bermasalah untuk kembali pulih.

Ducati Desmo450 MX (2026), motosikal motocross pertama Ducati, telah diperkenalkan sebagai bahagian pertama Ducati World Premiere.

Ya, ia dipanggil model 2026 walaupun jualan akan bermula pada bulan Julai di Amerika Utara. Namun, Ducati telah mendedahkan beberapa butiran teknologi yang menarik.

Enjin
  • Di sinilah Desmo450 MX mendapat namanya (maaf kerana terlalu jelas).
  • Ia menggunakan enjin satu silinder 449.6 cc yang dilengkapi sistem injap Desmodromic ikonik Ducati.
  • Penggunaan sistem Desmo membenarkan angkatan injap yang lebih tinggi berbanding aci sesondol (camshaft) tradisional, menghasilkan julat tork yang lebih lebar dan RPM maksimum yang lebih tinggi.

  • Saiz bore dan stroke masing-masing ialah 96 mm dan 62.1 mm.
  • Injap masuk diperbuat daripada titanium 40 mm, manakala injap ekzos diperbuat daripada besi berisi natrium 33 mm.
  • Shaft penyeimbang (counterbalancer) menggabungkan pam air untuk menjimatkan berat.

  • Begitu juga, alternator, kepala silinder, dan penutup enjin diperbuat daripada magnesium untuk mengurangkan berat.
  • Hasilnya, enjin Desmo450 MX menghasilkan 63.5 hp pada 9,400 RPM dan 53.5 Nm pada 7,500 RPM, dengan 70% tork puncak tersedia pada 4,200 RPM.
  • Enjin ini mempunyai titik merah pada 11,000 RPM, yang Ducati dakwa sebagai penanda aras baharu dalam segmen MX.
Kerangka
  • Apa gunanya enjin berkuasa tanpa rangka yang kukuh?
  • Oleh itu, rangkanya diperbuat daripada aluminium dan direka khas untuk membenarkan saluran masuk dan ekzos yang lurus.
  • Rangka ini hanya terdiri daripada 11 komponen yang dituang, ditempa, dan diekstrud, berbanding hampir dua kali ganda bagi pesaing Ducati—sekali lagi untuk menjimatkan berat daripada kimpalan.

  • Bahagian hadapan rangka yang menyambung tiang stereng sehingga ke pemasangan penyerap hentakan belakang dituang sebagai satu bahagian, dengan berat hanya 9 kg (lebih ringan daripada ketuhar elektrik 50 liter!).
  • Ducati mendakwa bahawa Ducati Desmo450 MX hanya seberat 104.8 kg tanpa bahan api (Sebagai perbandingan, keberatan Yamaha Y16ZR ialah119 kg).

Casis
  • Fork hadapan ialah jenis kartrig tertutup Showa dengan pergerakan (travel) 310 mm, dan boleh dilaras untuk mampatan dan lantunan.
  • Monoshock belakang Showa menyediakan pergerakan 301 mm, dan boleh dilaras untuk pramuat, mampatan, dan lantunan.

  • Ducati menekankan bahawa Alessandro Lupino memenangi Kejohanan MX1 Itali dengan suspensi dan larasan standard.
  • Brek semestinya daripada Brembo, dengan kaliper terapung dua omboh mencengkam cakera Galfer 260 mm di hadapan, manakala kaliper terapung satu omboh mencengkam cakera Galfer 240 mm di belakang.

Roda daripada Takasago Excel (semestinya!).

Elektronik
  • Fikirkan Ducati Desmo450 MX bebas daripada kecintaan kilang terhadap elektronik? Fikir sekali lagi!
  • Tapi jangan risau, kerana Ducati bijak ketika mereka bantu pengendalian motosikal ini.
  • Sebagai contoh, fungsi Ducati Traction Control (DTC) tidak terus memotong tork dan kuasa enjin apabila ia mengesan tayar tergelincir atau motosikal melompat.

  • Terdapat empat tahap DTC untuk melaras tahap campur tangan elektronik, membenarkan sistem menentukan berapa banyak kegelongsoran tayar dan pengurangan tork enjin.
  • Terdapat dua mod menunggang: Smooth dan Dynamic.
    • Smooth memberikan penghantaran kuasa yang lebih lembut dan progresif.
    • Dynamic menawarkan penghantaran kuasa yang lebih linear dan langsung.
  • Selain itu, terdapat juga Launch Control dengan 3 tahap:
    • Tahap 1 & 2 lebih agresif.
    • Tahap 3 lebih lembut.
  • Sistem ini akan menyahaktif secara automatik apabila penunggang menutup pendikit atau mencapai gear ke-4.
Harga
  • Ducati Desmo450 MX 2026 akan mula dijual di Amerika Utara pada bulan Julai, dengan harga AS$11,495.

BMW R 12 G/S telah dilancarkan; mengambil alih tempat R nineT Urban G/S yang anggun.

BMW R 12 G/S, dan juga pendahulunya, mempunyai kaitan langsung dengan R 80 G/S yang diperkenalkan pada tahun 1980. R 80 G/S merevolusikan dunia motosikal dengan menggabungkan keupayaan motosikal kembara jarak jauh dan lasak, justeru menjadikannya “nenek moyang” semua motosikal adventure, tanpa mengira jenama. Sebenarnya, “G/S” bermaksud ‘Gelände / Straße’ (sebutan ‘stras-se‘), atau ‘Off-road / Street‘ dalam bahasa Inggeris. Sekarang anda tahu asal-usul siri BMW GS.

“Dengan BMW R 12 G/S yang baru, BMW Motorrad menawarkan enduro klasik untuk keseronokan off-road yang tulen. Singkatan yang dipinjam daripada R 80 G/S legenda ini bermaksud ‘Gelände / Straße’ (Off-road / Street) dan menandakan bahawa ahli baru keluarga BMW R 12 ini menguasai kedua-dua keadaan dengan sama baik. Kami tahu ramai peminat telah menantikan motosikal ini,” kata Markus Lederer, Ketua Siri (enjin) Boxer.

Ciri-ciri utama:

  • Reka bentuk enduro klasik dan tulen.
  • Enjin boxer dua silinder penyejuk udara/minyak asli dengan 80 kW (109 hp) pada 7,000 rpm dan 115 Nm pada 6,500 rpm.

  • Sistem ekzos aliran tunggal di sebelah kiri dengan silencer belakang dipasang tinggi dan ekor berbentuk kon.
  • Kerangka tiub ruang satu bahagian dengan bahagian kepala stereng yang dinaikkan dan diletakkan ke hadapan. Kerangka belakang dipasang dengan bolt.

  • Fork teleskopik terbalik boleh laras sepenuhnya di depan dan lengan ayun Paralever dengan penyerap kejutan belakang bersudut, juga boleh laras sepenuhnya dengan redaman bergantung pada perjalanan yang telah dikemas kini.
  • Roda hadapan 21 inci dan roda belakang 17 inci sebagai standard. Roda belakang 18 inci disertakan dalam pakej “Enduro Package Pro” sebagai peralatan pilihan.

  • Kaliper terapung 2-piston dipasang secara aksial, tali brek fleksibel keluli dan cakera brek 310 mm.
  • BMW Motorrad ABS Pro untuk pemberhentian selamat walaupun ketika condong di selekoh.

  • Mod menunggang “Rain”, “Road” dan “Enduro” sebagai standard. Mod tambahan “Enduro Pro” tersedia sebagai peralatan pilihan.
  • DTC (Dynamic Traction Control) dan kawalan tujah enjin (MSR) sebagai standard.

  • Panel instrumen bulat klasik dan soket 12V. Paparan digital tersedia sebagai peralatan pilihan dari kilang.
  • Unit lampu LED berkuasa sebagai standard dan “Headlight Pro” adaptif sebagai peralatan pilihan dari kilang.

  • Keyless Ride untuk mengaktifkan fungsi kunci melalui radio sebagai standard.
  • Tiga warna menarik untuk penampilan bergaya.

  • Pelbagai pilihan penyesuaian dari kilang tersedia melalui aksesori Original BMW Motorrad berkualiti premium.

Pilihan warna dan harga
Tiga pilihan warna ialah:

  • Night black matt (versi asas).
  • Light white paint (versi pilihan).
  • Sandrover matt (Option 719 Aragonit).

Harga BMW R 12 G/S belum diumumkan.

Galeri foto

Motosikal enduro yang sangat dinanti-nantikan, Triumph TF 250-E dan Triumph TF 450-E, telah dilancarkan.

Model yang lebih besar, TF 450-E, dilengkapi dengan enjin satu silinder dengan penyejukan cecair yang menghasilkan kuasa 57.8 hp dan tork 49.2 Nm. Manakala model yang lebih kecil, TF 250-E, turut menggunakan enjin satu silinder dengan penyejukan cecair yang sama tetapi menghasilkan kuasa 41.7 hp dan tork 27.8 Nm. Kedua-dua enjin ini dibangunkan untuk memberikan lebih inersia berbanding enjin motocross, dan memberikan penghantaran kuasa yang lebih stabil dan lancar dalam pelbagai keadaan perlumbaan. Kedua-dua motosikal ini juga dilengkapi dengan quickshifter.

TF 250-E dan TF 450-E yang baharu ini berkongsi rangka aluminium ringan yang sama, badan pendikit Dellorto 44mm, injap titanium Del West, dan set piston aluminium tempa König.

Kedua-dua model ini juga dilengkapi dengan fork depan KYB 48mm yang boleh laras sepenuhnya dan suspensi belakang dengan penyambung yang boleh dilaras tiga tahap. Suspensi ini telah dikhususkan untuk penunggang enduro. Handel yang digunakan ialah Pro Taper ACF Carbon Core dengan pelekap boleh laras.

Sebagai sebahagian daripada komponen berprestasi tinggi, TF 250-E dan TF 450-E menerima sistem brek Galfer yang termasuk cakera brek depan 260mm dan belakang 220mm, serta kaliper depan Brembo dwi piston dan kaliper belakang piston tunggal.

Kedua-dua model ini dipasang dengan tayar Michelin Enduro 2 yang direka untuk pelbagai jenis permukaan, daripada lembut hingga keras, serta keadaan berlumpur hingga kering.

Kedua-dua Triumph TF 250-E dan Triumph TF 450-E akan menyertai perlumbaan sebagai sebahagian daripada langkah syarikat ke dalam dunia enduro, dengan kerjasama juara dunia lima kali Iván Cervantes dan juara dunia enduro empat kali Paul Edmondson.

Steve Sargent, Ketua Pegawai Produk Triumph Motorcycles, berkata: “Kami memasuki arena enduro yang kompetitif dengan model baharu yang memperkenalkan kemajuan terkini dalam prestasi dan teknologi enduro. Dengan rangka dan platform enjin baharu, model enduro 2026 direka untuk meningkatkan prestasi, kawalan, keselesaan, dan kebolehgunaan, memenuhi pelbagai keperluan penunggang profesional dan amatur.”

“Bekerjasama dengan pasukan Paul Edmondson untuk menguji motosikal ini dalam persekitaran sebenar, pasukan kami telah memperhalusi ketangkasan dan prestasi model ini, memastikan ia cemerlang sama ada untuk penunggang baharu atau yang sedang bertanding. Tahap kebolehgunaan dan kecemerlangan sebegini belum pernah dilihat dalam sektor ini sebelum ini.”

Jajaran enduro baharu Triumph ini sah untuk digunakan di jalan raya. TF 250-E berharga £9,795 (RM56,087.13), manakala TF 450-E yang lebih besar berharga £10,395 (RM59,522.79).

Ducati telah mengumumkan pendapatan melebihi €1 bilion pada tahun 2024. Ia merupakan tahun ketiga berturut-turut pengeluar motosikal Itali itu mencatatkan pendapatan lebih daripada €1 bilion.

Walaubagaimanapun Ducati mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak €1.003 bilion (RM4.84 bilion), angka ini sebenarnya lebih rendah berbanding €1.065 bilion (RM5.16 bilion) yang dicatatkan pada tahun 2023. Dari segi keuntungan, Ducati memperoleh keuntungan operasi sebanyak €91 juta (peningkatan 9.1 peratus) berbanding 10.5 peratus pada tahun 2023.

Dari segi unit, Ducati menjual 54,495 motosikal di peringkat global, berbanding rekod 58,224 unit yang dijual pada tahun 2023.

Walaupun mengalami penurunan, Ducati kekal positif. CEO Claudio Domenicalli menyatakan, “Tahun 2024 berakhir dengan imbangan positif yang, meskipun menghadapi persekitaran persaingan yang mencabar, mengesahkan ketahanan kami dan keuntungan yang menjadi rujukan dalam pasaran motosikal.

Pengeluar itu telah melancarkan 10 model – sebahagiannya baru, sebahagian lagi dinaik taraf – untuk tahun 2025 yang pasti akan menyaksikan peningkatan dalam jualan. Model-model baharu tersebut termasuk XDiavel V4 yang pertama, Multistrada V2, dan Streetfighter V2. Kedua-dua model V2 dilengkapi dengan enjin V2 terkini. Model yang dikemas kini termasuk Multistrada V4, Panigale V4, dan Streetfighter V4.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube