KTM sekali lagi menghentikan produksi.
Pusingan terbaru penghentian ini berlaku hanya beberapa minggu selepas produksi bermula semula, setelah pelan pembayaran semula hutang diluluskan oleh pemiutang pada Febuari lalu. KTM menyatakan ia disebabkan oleh kekurangan bekalan komponen. Lebih membimbangkan, produksi penuh mungkin tidak dapat disambung semula sehingga akhir Julai 2025.
Menurut laporan media Jerman, 1000PS, KTM tidak dapat mendapatkan komponen kritikal untuk motosikal mereka. Ini adalah kesan daripada penghentian pengeluaran tahun lalu, di mana pesanan baharu tidak dapat dibuat selama kira-kira tiga bulan ketika syarikat menghadapi krisis kewangan.
KTM terpaksa menghentikan pengeluaran buat pertama kali apabila syarikat itu memasuki pentadbiran sendiri. Beratus-ratus pekerja diberhentikan, dan beberapa aktiviti perlumbaan diketepikan.
Berita mengenai KTM menghentikan pengeluaran buat kali kedua dilaporkan muncul semasa panggilan video pada pagi Khamis, apabila CEO KTM, Gottfried Neumeister, memberitahu pekerja:
“Masalah serius dalam rantaian bekalan menyebabkan pengeluaran tidak dapat diteruskan seperti dirancang. Stok hanya mencukupi untuk sekitar 4,200 motosikal, dan kini terdapat kekurangan komponen penting. Pengeluaran di Mattighofen akan digantung sehingga 27 Julai.”
Sebenarnya tidak menghairankan yang situasi ini akan berlaku kerana usaha KTM untuk memulakan semula pengeluaran disambut dengan berhati-hati oleh beberapa pembekal. Akibatnya, ada yang menghentikan bekalan atau pengeluaran untuk KTM sepenuhnya, walaupun KTM yakin dapat mencari penyelesaian dan pengeluaran di Mattighofen boleh beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi.
Syarikat induk KTM, Pierer Mobility, menghadapi jurang pembiayaan sekitar €600 juta (kira-kira RM3.06 bilion), yang perlu ditampung sebelum 23 Mei sebagai sebahagian perjanjian dengan pemiutang.