Nampaknya CFMOTO sekali lagi melangkah ke hadapan dengan melancarkan CFMOTO 250SR Lite di PETRONAS Malaysia MotoGP 2025.
Jelas bahawa motosikal sport ringan (maka namanya “Lite”) ini berkongsi DNA reka bentuk yang sama dengan model SR yang lebih besar, walaupun sebahagian ciri rekabentuknya menyerupai KTM 250 Duke. KTM ialah rakan teknikal CFMOTO, dan CFMOTO menggunakan KTM RC 250 GP untuk bertanding dalam kategori Moto3, tetapi dengan warna dan logo CFMOTO. Justeru, perbandingan antara kedua-duanya pasti akan wujud.
Daripada segi harga, 250SR Lite jauh lebih unggul dengan harga hanya RM9,988, iaitu lebih rendah daripada beberapa motosikal sport 150cc di pasaran, sambil menawarkan prestasi yang lebih tinggi.
Ciri-ciri utama:
- Kuasa dijana oleh enjin 249 cc satu silinder, 4 lejang, sejukan cecair, DOHC yang menghasilkan 27.1 hp (20.5 kW) pada 9,750 RPM dan tork 22 Nm pada 7,250 RPM.
- Kuasa enjin ini dipindahkan melalui klac ‘slipper’.
- Untuk sistem suspensi, motosikal ini menggunakan fork teleskopik di bahagian hadapan, dan monoshock di bahagian belakang.
- Sistem brek pula menggunakan cakera 292mm di hadapan yang dicengkam oleh kaliper dua piston, dan cakera 220mm di belakang.
- Tinggi tempat duduknya hanya 780mm, yang pasti memberikan keyakinan kepada penunggang baharu.
- Tangki minyaknya memuatkan 12 liter bahan api.
- Keberatan basah CFMOTO 250SR Lite hanya 165 kg.
- Ciri-ciri lain termasuk paparan meter digital sepenuhnya, pengecas USB, dan pencahayaan LED sepenuhnya.
- Motosikal ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna, iaitu Nebula Black, Gem Black, dan Zephyr Blue.
- Setiap pembelian CFMOTO 250SR Lite dilindungi oleh waranti dua tahun tanpa had mileage dan akses kepada alat ganti tulen untuk pembelian dalam talian melalui CFMOTO Malaysia.
Galeri foto
























































