Bikesrepublic

Dalam Negara

Lencongan trafik secara berperingkat bermula 23 Oktober ini bagi kelancaran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 ke 28 Oktober 2025.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, setakat ini perancangan pengurusan trafik awal membabitkan aktiviti raptai pergerakan motoked.

Katanya, ia akan dijalankan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke hotel sekitar Kuala Lumpur dan ke KLCC pada 23 hingga 24 Oktober ini.

“Lencongan trafik sementara akan dilaksanakan di sepanjang lebuh daya dan jalan utama yang menghubungkan KLIA ke ibu negara serta kawasan sekitar KLCC.

“Manakala penugasan penuh anggota JSPT bermula pada 25 hingga 28 Oktober ini (tempoh berlangsung persidangan) dengan pelaksanaan lencongan jalan raya raya berperingkat akan dilakukan. Ia akan membabitkan kawasan sekitar satu kilometer (km) dari KLCC,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, lencongan jalan dan penyuraian trafik perlu dilakukan demi memastikan kelancaran pergerakan delegasi dan keselamatan semua pihak sepanjang acara berkenaan.

Katanya, maklumat lanjut mengenai laluan yang akan terbabit, pelan lencongan jalan tertentu dan jadual masa penuh lencongan akan dimaklumkan melalui hebahan dalam masa terdekat.

“Orang ramai diminta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan menyokong usaha kerajaan dalam menjayakan sidang kemuncak ini sekali gus meningkatkan martabat negara di persada antarabangsa,” katanya.

Sebuah Yamaha LC135 mendapat bidaan RM150, manakala sebuah Perodua Myvi mendapat bidaan RM26,00 menerusi Lelongan Awam Siri 2/2025 anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur. Harga-harga bidaan tersebut masing-masing merupakan yang terendah dan tertinggi.

Sebanyak 149 kenderaan berjaya dilelong dengan kutipan keseluruhan mencecah RM257,100.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur Hamidi Adam berkata, sebanyak 150 kenderaan ditawarkan untuk lelongan awam ini yang berlangsung berlangsung di sini, hari ini.

“Program ini merupakan inisiatif berterusan JPJ dalam pengurusan aset sitaan secara telus dan berintegriti.

“Pada masa sama, ia memberi peluang kepada orang awam untuk memiliki kenderaan pada harga berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan.

Hamidi berkata, daripada 150 kenderaan ditawarkan untuk lelongan itu membabitkan 128 motosikal, 13 kereta, tiga van dan enam lori rigid.

“Lelongan awam ini turut menunjukkan minat dan penyertaan aktif daripada orang awam.

“Rekod pelaksanaan juga menunjukkan peningkatan dari segi penyertaan awam serta keberkesanan program yang dijalankan secara berkala,” katanya.

Menurutnya, ketika Lelongan Awam Siri 1/2025 pada 21 Mei lalu yang menawarkan 124 kenderaan dan semuanya berjaya dilelong dengan kutipan hasil RM237,000.

Katanya, ia membabitkan bidaan tertinggi pada harga RM27,000 bagi lori rigid tipper/dumper serta bidaan terendah RM200 untuk motosikal untuk sekerap.

“JPJ WPKL merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta dan pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hamidi berkata, orang awam digalakkan untuk mengikuti saluran rasmi JPJ bagi maklumat terkini mengenai lelongan akan datang.

Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan 16 akaun syarikat dan 25 akaun bank individu yang terbabit dalam siasatan penyeludupan tayar serta pemalsuan dokumen import dan eksport tayar.

Badan itu telah memberikan kemaskini dan perkembangan terbaharu setelah menjalankan sitaan melalui Op Grip pada 29 September 2025.

Dalam sitaan terbaharu itu, SPRM melalui Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) juga menyita empat aset tak alih bernilai kira-kira RM13 juta. Jumlah di dalam akaun-akaun bank yang dibekukan dinilaikan sehingga RM70 juta.

Dalam perkembangan itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman, berkata SPRM kini membuka kertas penyiasatan tatakelola berkaitan kes itu.

“Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) akan melakukan siasatan dokumen berkaitan perolehan tayar-tayar kerana didapati tayar-tayar ini tidak didaftarkan serta ada unsur penyeludupan atau import tidak sah yang boleh menyebabkan risiko keselamatan pengguna,” katanya di sini hari ini.

BH kelmarin melaporkan, SPRM membekukan dan menyita sejumlah aset bernilai RM83 juta dalam Ops Grip membabitkan siasatan penyeludupan tayar yang mengakibatkan kerugian ratusan juta ringgit cukai kerajaan.

Antara yang dibekukan ialah akaun-akaun bank persendirian dan akaun syarikat-syarikat dengan jumlah keseluruhan dianggarkan sebanyak RM70 juta.

Aset lain yang disita kerana disyaki diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram ialah enam lot tanah yang dijadikan tapak untuk gudang/kontena bernilai RM4.5 juta dan dua unit rumah teres dua tingkat dengan nilai anggaran RM2 juta.

Turut disita ialah satu unit rumah jenis ‘townhouse’ dengan nilai anggaran RM2 juta dan satu unit rumah kedai empat tingkat bernilai RM4 juta.

Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor (JPJ) akan melelong sebanyak 200 kenderaan pelbagai jenis pada 5 November ini. Jualan lelongan awam itu akan dijalankan di pekarangan Dewan Setia, JPJ Selangor, Jalan Padang Jawa, Seksyen 16, Shah Alam.

JPJ Selangor turut memaklumkan bahawa kenderaan yang dilelong dibahagikan kepada dua kategori iaitu boleh dilesenkan dan tidak boleh dilesenkan.

Dokumen tawaran yang mengandungi butiran kenderaan dan syarat khas jualan boleh didapati di Bahagian Khidmat Pengurusan JPJ Selangor mulai 29 Oktober hingga 4 November dari jam 10 pagi hingga 4 petang dengan bayaran RM100 tunai bagi setiap salinan.

“Orang ramai yang berminat perlu membawa kad pengenalan asal atau salinan semasa pembelian dokumen tawaran lelongan awam.

“Selepas pembayaran, dokumen tawaran boleh dituntut di Bahagian Penguatkuasa dengan membawa resit asal sebagai bukti pembayaran,” kata JPJ dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, JPJ Selangor memaklumkan lelongan ini terbuka hanya kepada warganegara Malaysia manakala kenderaan yang bakal dilelong akan dipamerkan untuk pemeriksaan awam pada 3 dan 4 November dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada JPJ Selangor di talian 03-55669454,” katanya.

Terdapat warna baharu untuk Yamaha MT-09 2025, dipanggil Lightning Blue. Warna Tech Black yang sebelumnya masih dikekalkan.

MT-09 merupakan model yang telah lama berada di pasaran sejak dilancarkan pada 2014, dan telah melalui beberapa kali kemas kini. Namun yang lebih penting ialah harganya yang berpatutan untuk motosikal sekitar 900cc.

Yamaha menyatakan bahawa rangka belakang motosikal ini telah dirombak semula, bersama kadar spring suspensi.

Selain itu, semua komponen lain kekal tidak berubah, termasuk enjin 890cc tiga silinder sebaris yang menghasilkan 117 hp (87.5 kW) pada 10,000 RPM dan 93.0 Nm pada 7,000 RPM. Tambahan lagi, motosikal ini mempunyai mod menunggang yang boleh disesuaikan melalui fungsi Yamaha Ride Control (YRC), panel suis yang senang dicapat, dan kawalan jelajah (cruise control).

Warna baharu ini akan mula ditawarkan di semua pengedar sah Yamaha Big Bike di seluruh negara mulai 9 Oktober 2025, dengan harga runcit disyorkan RM57,998.00 tidak termasuk yuran pendaftaran dan perlindungan insurans.

Galeri foto

KOVE Moto, sebuah nama yang semakin meningkat dalam industri motosikal global, secara rasmi memasuki pasaran Malaysia dengan dua model baharu, iaitu KOVE 800X GT dan KOVE 450R. Pelancaran ini berlangsung di KEV ADVENDURO Park, Rawang. Kedua-dua model baharu ini menambah lagi kepada motosikal adventure 450 Rally yang dilancarkan sebelum ini.

Daripada Kenyataan Media

MDua Motor Sdn Bhd, anak syarikat AFY Mobility Industries (AMI) dilantik sebagai Pengedar Tunggal & Eksklusif KOVE di Malaysia. Walaupun kebanyakan motosikal KOVE buat masa ini ditawarkan sebagai unit CBU (pasang siap di luar negara), perkongsian ini memastikan model KOVE pada masa hadapan bukan sahaja akan diimport malah disokong sepenuhnya dengan pemasangan tempatan, alat ganti yang sedia ada, perkhidmatan selepas jualan, dan jaminan selaras dengan piawaian global KOVE.

Ditubuhkan pada 2017 oleh seorang peminat lumba yang bersemangat di China, KOVE Moto telah membina reputasinya di peringkat global dengan menyampaikan motosikal berprestasi tinggi yang mempunyai kredensil kejuruteraan yang serius. Dengan penyepaduan menegak R&D, reka bentuk, pembuatan dan falsafah yang diringkaskan dalam tagline mereka, “FOCUS ON PERFORMANCE”, mesin KOVE berusaha untuk menjadi ringan, berketeguhan tinggi dan berkebolehan untuk pertandingan.

KOVE 800X GT

  • Berkuasa enjin selari kembar 799cc yang menghasilkan 97 hp dan 80 Nm.

  • Dilengkapi dengan sistem penunggaan pelbagai mod dan pendikit elektronik.
  • Suspensi KYB.

  • Berat kering ringan iaitu lebih kurang 195 kg.
  • Terbukti dengan reputasi kemenangan antarabangsanya, 800X GT mewakili gabungan sempurna baka pertandingan yang lasak dan kebolehgunaan praktikal untuk penunggaan kembara dan jarak jauh.

KOVE 450R

  • KOVE 450R merupakan ekspresi tulen jenama bagi sebuah streetfighter, dibina untuk memikat peminat penunggaan laju.
  • Terasnya adalah enjin empat silinder sebaris 443cc sedia prestasi lumba, menyampaikan 65.3 hp dan 40 Nm.

  • Rangka ringan dengan berat hanya 164 kg.
  • Mampu mencapai kelajuan sehingga 205 km/j.

  • 450R menggabungkan sifat agresif dengan kawalan yang lincah, menetapkan penanda aras baharu dalam kelasnya untuk penunggang yang lapar akan prestasi jalanan yang tidak berkompromi.

Harga

KOVE 800X GT dihargakan pada RM48,888 manakala KOVE 450R pada RM33,888. 20 pelanggan pertama KOVE 800X GT akan menerima set peti pannier eksklusif dengan pembelian mereka. Semua model KOVE semasa, termasuk 450 Rally yang dilancarkan lebih awal, boleh dilihat di AMI Bumirai Showroom, PJ222 Petaling Jaya. Semua harga yang dinyatakan tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans.

Galeri foto

Mohamad Faizin Mohd Zainodin, 21, hanya mampu kesedihan selepas kehilangan seorang lagi adik lelaki akibat kemalangan. Kejadian kali berlaku di Kilometer 97.6, Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), dekat Yong Peng, semalam.

Adiknya Allahyarham Mohamad Fauzan, 19, yang merupakan penuntut tahun dua di Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail di Pagoh, maut selepas motosikalnya merempuh sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan akibat kerosakan. Kemalangan tersebut berlaku pada jam 7.45 malam, semalam.

Kemalangan itu menyebabkan Mohamad Faizin kehilangan adiknya buat kali kedua selepas tragedi sama berlaku dua tahun lalu yang mana meragut nyawa adik lelaki ketiga di Johor Bahru.

Menurut Mohamad Faizin, berita sedih itu diterima pada jam 8 malam daripada kenalan yang memaklumkan adiknya yang juga anak kedua daripada lima beradik kemalangan.

“Sebaik dimaklumkan perkara itu, dalam hati saya berkata-kata adakah saya kehilangan seorang lagi adik. Kami kehilangan Mohamad Zakuan (ketika usianya 15 tahun) dua tahun lalu juga kerana kemalangan.

“Kali ini, saya hilang pula seorang lagi adik walaupun kesedihan itu masih belum reda,” katanya Mohamad Faizin yang juga penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai.

Namun, Mohamad Faizin berkata, mereka sekeluarga menerima takdir dengan hati terbuka kerana Allah lebih menyayanginya.

Mohamad Faizin berkata, sebelum kemalangan, adiknya dalam perjalanan pulang ke kampus selepas berjumpa rakan di Batu Pahat.

Kata Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, mangsa cedera parah di kepala dan organ dalaman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

“Pemandu lori berusia 49 tahun tidak cedera dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya,” katanya.

92 peratus, iaitu 100,675 kenderaan perdagangan masih belum membuat pengesahan pemasangan Peranti Had Kelajuan (Speed Limiter Device/SLD) setakat ini.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sejak penguatkuasaan penggunaan SLD bermula Rabu lalu, sebanyak 8,130 kenderaan perdagangan disahkan menggunakan SLD membabitkan 513 bas ekspres, bas persiaran (290) dan kenderaan barangan (7,227).

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan 108,805 kenderaan yang perlu diperiksa dalam fasa pertama penguatkuasaan penggunaan SLD, terdapat 2,015 bas ekspres, 5,951 bas persiaran dan 92,709 kenderaan barangan belum membuat pengesahan SLD.

“Dalam tempoh tiga hari pertama penguatkuasaan, sebanyak 2,180 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, 385 membabitkan 144 bas ekspres dan 221 kenderaan barangan dikenakan tindakan kerana gagal mengemukakan slip pengesahan kefungsian SLD.

“Penguatkuasaan penggunaan SLD melibatkan kenderaan perdagangan yang dibina selepas 1 Januari 2015 bagi bas persiaran dan bas ekspres dengan Berat Dengan Muatan (BDM) melebihi 5,000 kilogram (kg) manakala bagi kenderaan barangan ialah dengan BDM melebihi 3,500 kg,” katanya dalam sidang media di Stesen Penguatkuasaan Gombak, semalam.

Beliau berkata, JPJ mengingatkan bahawa semua pemasangan, konfigurasi dan pengaktifan SLD hendaklah disahkan badan yang diiktiraf JPJ melalui pengeluaran Slip Pengesahan dan Laporan Kefungsian SLD.

“Pihak yang dibenarkan untuk mengeluarkan dokumen ini ialah pengilang dan pengeluar kenderaan, Technical Service (TS) diiktiraf JPJ, bengkel atau fasiliti servis atau Badan Pensijilan Bertauliah oleh Jabatan Standard Malaysia (JSM) yang diiktiraf JPJ.

“Slip pengesahan berkenaan wajib dikemukakan semasa pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) atau urusan pembaharuan permit dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) atah Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan,” katanya.

Muhammad Kifli berkata, selain itu, slip berkenaan perlu disimpan di dalam kenderaan serta diperbaharu setiap dua tahun.

“Tiada kompromi diberikan selepas tarikh penguatkuasaan sepenuhnya. Notis 114 (panggilan temu siasat) akan dikeluarkan kepada mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi ketetapan ini,” katanya.

Syarikat pengeluar tayar jenama terkemuka membawa petugas teknikal mereka untuk mengesan salah laku dan masalah yang ada pada produk import yang disimpan di gudang.

Lapan syarikat pengeluar tayar antarabangsa dan tempatan, iaitu Michelin, Bridgestone, Toyo, Continental, Goodyear, Yokohama, Maxxis dan Pirelli menyertai pemeriksaan berkenaan, susulan Op Grip oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Antara kesalahan yang dikesan pasukan teknikal syarikat ialah berkaitan tarikh pengeluaran yang diubah suai, pemalsuan tayar celup dan kemasukan tayar dari Eropah.

Penguat kuasa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan SIRIM Berhad turut hadir menjalankan pemeriksaan itu.

Selain pemeriksaan teknikal, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengadakan perbincangan dengan wakil industir tayar di Ibu Pejabat SPRM Kuala Lumpur semalam.

Mohamad Zamri berkata, wakil industri perlu mencari penyelesaian yang lebih mampan dalam memastikan tiada lagi ketirisan membabitkan hasil kerajaan dalam industri import tayar.

Beliau meminta semua pihak industri untuk memastikan isu berkenaan diselesaikan sepenuhnya kerana itu bukan sekadar membabitkan hasil kerajaan tetapi isu keselamatan pengguna jalan raya.

“Kita minta penggiat industri untuk turun sendiri ke lapangan atau gudang yang diserbu dalam Op Grip, baru-baru ini supaya mereka dapat mengetahui isu ini lebih dekat supaya penyelesaian segera dilakukan.

“Lebih penting perkara ini membabitkan isu keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

SPRM pada Isnin menggempur beberapa syarikat di 23 tempat seluruh negara, yang dipercayai terbabit dalam kegiatan menyeludup tayar serta pemalsuan dokumen import dan eksport sehingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai kira-kira RM350 juta sejak tahun 2020 hingga kini.

Serbuan itu dijalankan ke atas syarikat yang menjalankan perniagaan mengimport, gudang dan kontena penyimpanan tayar.

Hasil serbuan, SPRM sudah membekukan akaun perbankan persendirian dan akaun syarikat yang membabitkan nilai anggaran kira-kira RM70 juta.

Serbuan itu dijalankan menerusi operasi bersepadu iaitu Op Grip diketuai Bahagian Operasi Khas SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

Polis sedang mengesan penunggang motosikal yang melanggar seorang murid perempuan ketika melintas sebuah sekolah di Permatang Pauh, Pulau Pinang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika waktu pulang dari sekolah.

“Semasa kejadian, murid berusia lapan tahun berkenaan sedang melintas jalan bersama rakannya sebelum dia dilanggar dengan motosikal.

“Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian buku lali kiri. Laporan polis berhubung kejadian telah diterima dan usaha untuk mengesan penunggang motosikal terbabit sedang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Helmi berkata, saksi mahupun orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Sarjan Azrol Md Rejab di talian 019-5429571 untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule10 LN 166/59) iaitu lalai mengawal pergerakan kenderaan dengan baik.

Terdahulu tular di platform media sosial Facebook (FB) video berdurasi 42 saat memaparkan kejadian kemalangan berkenaan.

Menerusi paparan video itu mendapati terdapat seorang pengawal keselamatan memberhentikan kenderaan bagi membolehkan dua murid perempuan melintas jalan.

Bagaimanapun, terdapat sebuah motosikal yang tidak memberhentikan kenderaannya sehingga menyebabkan salah seorang murid ‘tersungkur’ atas jalan dan mengalami kecederaan ringan.

Seperti yang kami terbitkan sebelum ini, memilih minyak yang betul untuk motosikal anda boleh menjadi satu tugas yang menggerunkan. Terdapat berjenama-jenama produk dan mencari satu yang sesuai dengan ciri-ciri motosikal anda ibarat mencuba nasib. Namun tidak begitu dengan minyak OEM yang telah diformulasikan khusus untuk motosikal anda. Minyak Mforce merupakan yang terbaru mengikut pendekatan ini.

Daripada Siaran Media

Bersempena Mforce Mid-Autumn Gala yang berlangsung di Courtyard Kuala Lumpur South, Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. telah memperkenalkan jenama minyak pelincir baharu iaitu Mforce Oil, yang dibangunkan melalui kerjasama strategik bersama PETRONAS.

Pelancaran ini telah disempurnakan oleh Asri Ahmad, Ketua Pegawai Operasi, Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. serta Mohd Zameer Zahur Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd.

Mforce Oil ditawarkan dalam lapan (8) variasi minyak pelincir yang memenuhi keperluan motosikal pelbagai segmen:

Kerjasama antara Mforce dan PETRONAS ini bertujuan untuk menyediakan minyak pelincir berkualiti tinggi yang bukan sahaja memenuhi piawaian antarabangsa, tetapi juga memastikan prestasi enjin motosikal tahan lebih lama, efisien serta mesra alam.

Mforce Oil Powered by PETRONAS diformulasikan menggunakan teknologi pelincir terkini daripada PETRONAS, sekali gus menjamin prestasi dan kebolehpercayaan yang tinggi. Sebagai produk tulen yang dibangunkan khusus untuk Mforce, formulasi ini menepati spesifikasi yang ditetapkan oleh Mforce dengan menggabungkan teknologi aditif canggih serta minyak asas berkualiti tinggi bagi memberikan perlindungan enjin yang optimum dan kecekapan maksimum.

Mforce Oil bakal diedarkan melalui rangkaian pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia, sekaligus memberi nilai tambah kepada pelanggan dengan produk premium yang dijamin kualiti serta kebolehpercayaannya.

Dengan pelancaran Mforce Oil, Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. melangkah setapak lagi ke hadapan dalam industri permotoran dengan matlamat untuk menjadi peneraju dalam segmen minyak pelincir motosikal tempatan. Kerjasama erat bersama PETRONAS diyakini akan membuka lebih banyak peluang inovasi dan pembangunan produk baharu pada masa akan datang.

Selain daripada tiga model SYM terbaharu, Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. turut melancarkan dua buah motosikal WMoto tempoh hari, iaitu WMOTO EZ125i dan WMOTO Cruiser AMT 125i.

Pelancaran rasmi ini diadakan secara eksklusif di Courtyard oleh Marriott Kuala Lumpur South bersempena acara Mforce Mid-Autumn Gala. Ketiga-tiga model boleh didapati di semua pengedar sah Mforce seluruh Malaysia.

WMOTO EZ125i (Harga dari RM4,588)

WMOTO EZ125I

Skuter ini merupakan jenis ‘urban’ (bandar) bersaiz padat dan digabungkan dengan ciri-ciri praktikal.

  • Ia dilengkapi dengan enjin 124cc, silinder tunggal, 4-lejang, disejukkan oleh udara, yang menghasilkan kuasa maksimum 11.8 hp (8.8 kW) pada 7,500 RPM dan 9.5 Nm pada 6,000 RPM.

  • Sistem pacuan merupakan jenis automatik CVT dengan pacuan akhir tali sawat.
  • Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di bahagian depan dan penyerap hentakan berkembar di bahagian belakang.

  • Sistem brek terdiri daripada cakera di depan serta brek dram di bahagian belakang.
  • Saiz tayar ialah 70/90-14 di depan dan 80/90-14 di belakang.

  • Ketinggian pelana ialah 760mm, manakala berat keringnya hanya 95 kg dengan kapasiti tangki bahan api 6.5 liter.
  • WMOTO EZ125i menampilkan meter digital penuh LED, lampu utama, belakang, isyarat dan lampu kecemasan jenis LED, port pengecasan USB Type-A, sistem kunci mekanikal, lampu LED.

  • Terdapat ruang simpanan hadapan sebelah kiri dan kanan, serta ruang simpanan di bawah tempat duduk.
  • Ia ditawarkan dalam empat pilihan warna menarik iaitu Silver Grey, Grey, Red dan Deep Sky Blue. Model ini kini boleh didapati melalui pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia.

Dengan setiap pembelian mana-mana model WMOTO EZ125i, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.

WMOTO Cruiser AMT 125 (Harga dari RM5,988)

WMOTO Cruiser AMT 125

Motosikal ini merupakan jenis ‘cruiser’ tetapi telah diberikan rekabentuk seperti yang telah di-‘custom.’ Namun ia merupakan motosikal berkapasiti kecil, ringan, dan menggunakan transmisi automatik sepenuhnya.

  • Ia dilengkapi dengan enjin 124cc, satu silinder, 4-lejang, SOHC dengan sistem penyejukan udara.

  • Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 7.8 hp (5.8 kW) pada 8,000 RPM dan tork puncak 8.8 Nm pada 6,000 RPM.
  • Transmisi menggunakan sistem automatik sepenuhnya dengan pacuan akhir rantai, digandingkan dengan klac emparan automatik jenis basah.

  • Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan dan penyerap hentak tunggal di belakang.
  • Sistem membrek pula dilengkapi dengan cakera hadapan 220 mm dan cakera belakang 200 mm.

  • Tayar depan bersaiz 80/90-17 M/C dan belakang 140/70-13 M/C.
  • Ketinggian pelana hanya 680 mm, dengan berat keseluruhan ialah 119kg, dan tangki bahan api adalah berkapasiti 6 liter.

  • WMOTO Cruiser AMT 125 dilengkapi dengan sistem pencahayaan LED penuh (lampu utama, lampu belakang, lampu isyarat dan hazard), paparan meter analog digital, bateri 4A.h, serta sistem kunci mekanikal.
  • Ia turut hadir dengan rekaan pelana yang ‘custom.’

  • Motosikal ini ditawarkan dalam tiga warna iaitu Green, Cream, dan Black.

Dengan setiap pembelian mana-mana model WMOTO Cruiser AMT 125, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube