Bikesrepublic

Dalam Negara

Seorang wanita berusia 35 tahun yang memberhentikan kenderaan yang dipandu sebelum melintas jalan sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal maut direman dua hari.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, berkata penumpang kenderaan wanita terbabit iaitu seorang lelaki warga China berusia 37 tahun turut direman tiga hari bagi membantu siasatan.

“Mereka direman bermula hari ini bagi siasatan lanjut susulan kemalangan yang membabitkan seorang lelaki maut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam di KM98.6 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah Timur, seorang lelaki berusia 34 tahun yang bertugas sebagai pemuzik di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya merempuh sebuah pikap jenis Mitsubishi Triton.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sejurus pemandu pikap itu menekan brek mengejut selepas wanita terbabit yang memandu sebuah jip Mitsubishi Pajero berhenti di bahu kiri jalan sebelum melintas ke kanan laluan itu.

“Dalam masa sama, motosikal jenis Suzuki GSX-R1000 yang ditunggang mangsa datang dari arah belakang dan terus melanggar pikap itu, sebelum mangsa terjatuh di lorong laju manakala motosikalnya tercampak ke belakang kenderaan itu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan kerana cuai sehingga menyebabkan kematian, katanya.

Datuk Razlan Razali bercadang memulakan yang sebuah pasukan Moto3 baharu dan ia mestilah ada seorang pelumba Malaysia. Beliau berkata, “Saya tak nak ada pelumba Eropah sahaja, saya nak pelumba Malaysia juga” di dalam pasukan itu.

Beliau berkata demikian kerana terdepat permintaan daripada pelabur berpotensi di Eropah untuk beliau mengendalikan sebuah pasukan Moto3 di dalam Kejuaraan Motosikal Dunia 2025.

Ini merupakan peluang terbaik memasukkan seorang bakat negara seperti Hakim Danish Ramli yang sedang bersaing di Kejuaraan Dunia JuniorGP dan Red Bull Rookies Cup masa ini.

“Pada minggu lalu, ada permintaan daripada penaja serta pelabur berpotensi (dari Eropah) yang meminta saya datang semula, paling tidak untuk buat pasukan Moto3. Mereka mempunyai seorang pelumba yang hendak dibawa masuk tetapi nak pasukan sendiri.

“Jadi saya gunakan peluang itu, mungkin seorang pelumba Eropah dan seorang lagi pelumba Malaysia. Bagi saya, kalau nak buat pasukan Moto3, saya tak nak pasukan itu semuanya dari Eropah (pelumba), saya nak masukkan juga pelumba Malaysia,” katanya.

Datuk Razlan turut inginkan Zulfahmi Khairuddin yang mengemudi pasukan ZK Racing untuk turut serta dalam projek berkenaan.

“Saya juga kena dapatkan pendapat Zulfahmi sama ada nak (jentera) KTM. Kalau Moto3 antara Honda dan KTM, KTM lagi bagus dan perkara seperti ini kena rancang sebaiknya,” kata Razlan.

Beliau menjangkakan keputusan muktamad mengenainya mungkin diketahui sebelum Grand Prix (GP) Kazakhstan, pertengahan Jun ini.

Motosikal CFMoto 800NK telah memenangi anugerah Red Dot Award untuk reka bentuk produk. CFMoto kini merupakan pengeluar China yang pertama yang menghasilkan enjin pembakaran dalaman (ICE) berkapasiti besar yang menerima anugerah berprestij itu.

Anugerah itu bermakna sesuatu yang istimewa bagi syarikat itu yang berpangkalan di Hangzhou, kerana mereka sedang meraikan ulang tahun ke-35 tahun ini.

800NK ialah model perdana bagi banjaran model NK. Memandangkan CFMoto ialah rakan teknikal KTM, ia menggunakan enjin berkembar selari 799cc yang dikongsi dengan 890 Duke R dan 890 Adventure.

Penganugerah itu merupakan penghormatan kepada Jabatan Reka Bentuk dan R&D CFMoto. Syarikat itu mengatakan bahawa reka bentuk motosikal mereka ditakrifkan melalui Pengarah Reka Bentuk dua roda mereka Charles Solsona, yang berpusat di Pusat R&D CFMoto di Itali.

Solsona berkata, “Memenangi anugerah Red Dot Award yang berprestij adalah penghormatan yang hebat untuk seluruh pasukan. 800NK merangkumi nilai teras jenama kami: reka bentuk, teknologi dan prestasi, dan pencapaian ini merupakan cara terbaik untuk meraikan ulang tahun ke-35 syarikat kami, serta mengiktiraf komitmen kami untuk membangunkan falsafah reka bentuk kami sendiri.”

Hong Leong Yamaha Motor telah melancarkan Yamaha NVX 2024, dengan empat warna baharu.

Skuter berprestasi sporty itu masih menjadi kegemaran ramai penunggang motosikal di Malaysia, walaupun telah dilancarkan sejak tahun 2017. Tujuh tahun adalah pengeluaran yang panjang, dan motosikal itu telah menyaksikan beberapa semakan kosmetik dan reka bentuk dalam tempoh itu. Populariti itu ada kaitan dengan karakter serta pengendaliannya yang sporty.

Versi standard dengan warna BLUE

Versi 2024 menampilkan empat warna bergaya, masing-masing dipisahkan kepada dua untuk setiap dua versi Yamaha NVX. Bermakna, versi standard, bukan ABS mendapat warna BLUE (Biru), atau BRONZE (Gangsa), manakala versi ABS mendapat warna CYAN SKY dan PREMIUM NAVY.

Versi standard dengan warna BRONZE

Klik di sini untuk ulasan kami tentang Yamaha NVX

Sistem ABS-nya membuat penampilan sulungnya pada edisi 2023 dan merupakan jenis saluran tunggal yang hanya berfungsi pada roda hadapan, manakala roda belakang (masih) menggunakan brek dram. Tetapi bagi kami, mempunyai ABS di hadapan adalah lebih berguna kerana bukan mudah untuk mengawal tayar hadapan yang tergelincir!

Versi ABS dengan warna CYAN SKY

Enjinnya kekal tidak berubah, menampilkan jenis satu silinder, 155cc, penyejuk cecair, SOHC dengan ciri VVA (Variable Valve Actuation) yang turut memacu Yamaha Y16ZR dan Yamaha YZF-R15. Ia menghasilkan 15 hp (11.3 kW) pada 8,000 RPM, dan 13.9 Nm tork pada 6,500 RPM.

Versi ABS dengan warna PREMIUM NAVY

Versi ABS menampilkan penyerap hentak belakang berspesifikasi lebih tinggi dengan sub-tangki, kunci pintar, dan sistem melahu henti mula untuk meningkatkan kecekapan bahan api.

Hong Leong Yamaha berkata warna baharu itu boleh didapati di semua pengedar sah Yamaha di seluruh negara mulai 24 April 2024. Harga runcit yang disyorkan untuk versi standard ialah RM 9,998.00, manakala versi ABS berharga RM 11,698. Harga ini bukan atas jalan. Setiap pembeli datang dengan kunci cakera brek Yamaha bernilai RM 100.

Nampaknya ada juga “demo kenai bare” di Thailand kerana Yamaha RX-Z merupakan barangan yang paling banyak dirampas di Sungai Golok.

Jabatan Kastam Malaysia berkata motosikal model itu serta kenderaan lain yang diklon merupakan barangan yang paling banyak diseledup melalui pangkalan haram sepanjang Sungai Golok sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM, Datuk Sazali Mohamad berkata 272 kertas siasatan dibuka hasil rampasan. Rampasan terbesar direkodkan ialah motosikal tersebut dan kenderaan klon, yang membabitkan nilai termasuk cukai berjumlah RM784,738.

Mengulas lanjut, beliau berkata peningkatan penyeludupan bertambah akibat musim kemarau yang menjadikan Sungai Golok menjadi cetek.

“Tidak dinafikan dengan jarak sempadan Sungai Golok sejauh 106 kilometer, penugasan agak terhad namun JKDM dengan keanggotaan seramai 500 orang sentiasa membantu agensi lain yang lebih utama dalam menjaga sempadan negara.

“Kami mengenal pasti kira-kira 140 pangkalan haram terdapat di sepanjang 106 kilometer Sungai Golok dan secara puratanya setiap kilometer terdapat satu pangkalan haram.

Rampasan kedua tertinggi membabitkan rokok seludup dengan nilai serta cukai berjumlah RM418,735.79.

 

 

Jualan kenderaan baharu turun 10 peratus pada Mac 2024, berbanding dengan bulan Mac tahun 2023.

Itu bermaksud 71,052 unit didaftarkan berbanding dengan 78,881 pada bulan yang sama tahun lepas, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Bagaimanapun, persatuan itu menyatakan jumlah volum industri (TIV) pada Mac adalah +10% lebih tinggi daripada Februari 2024 iaitu 64,290 unit.

“Ini disebabkan syarikat hendak membuat penghantaran memandangkan tahun kewangan mereka berakhir pada 31 Mac 2024 selain kempen promosi musim perayaan Hari Raya,” tambah MAA.

Daripada jumlah itu, 64,760 ialah kenderaan penumpang (passenger vehicle/PV), yang turun  sembilan peratus berbanding 70,490 unit yang dijual pada Februari 2024. Untuk kenderaan komersil (commercial vehicle/CV) pula, jualan susut 21 peratus kepada 6,292 unit daripada 7,941 unit.

Bagaimanapun, jumlah tahunan sehingga Mac 2024 menyaksikan peningkatan +5% kepada 202,245 unit berbanding 192,615 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama pada 2023. Ini merangkumi 184,994 unit PV (+8%) dan 17,251 unit CV (-16%).

Angka pengeluaran

Dari segi pengeluaran, MAA berkata 66,923 kenderaan telah dikeluarkan pada Mac 2024, pengurangan -12% daripada 76,069 unit yang disaksikan semasa Mac tahun lepas.

Jumlah itu merangkumi 63,778 unit PV, turun -11% daripada 71,731 unit pada bulan yang sama tahun sebelum ini, manakala baki 3,145 unit adalah CV (-28%) berbanding 4,338 unit sebelumnya.

Jumlah pengeluaran tahun 2024 sehingga Mac meningkat +6%, sebanyak 210,431 unit berbanding dengan 198,394 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Ini termasuk 199,199 unit PV (+7%) daripada tempoh yang sama tahun lepas manakala baki 11,232 (-8%) adalah CV.

Jualan bagi April 2024 dijangka lebih lemah disebabkan bulan bekerja yang lebih pendek susulan cuti perayaan Hari Raya.

Dua anggota polis trafik yang ditahan bagi membantu kes pemerasan terhadap orang awam di Bangunan Sultan Ismail (BSI) di Johor Bahru telah kembali bertugas kerana perintah tahanan reman terhadap mereka tamat hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata mereka sudah bertugas seperti biasa disebabkan tiada perintah tahan kerja dikenakan.

“Mereka kini kembali bertugas di bawah kontinjen Johor seperti biasa sehingga ada arahan perintah tahan kerja (jika ada),” katanya ketika dihubungi oleh Berita Harian.

Semalam, polis Johor menyatakan akan mengemukakan surat kepada Bukit Aman bagi mendapatkan perintah tahan kerja terhadap dua anggota polis tersebut.

Dua anggota polis yang bertugas di BSI itu ditahan pada 5 April lalu, bagi membantu siasatan kes pemerasan membabitkan seorang mangsa dengan meminta bayaran RM2,000 untuk tidak dikenakan tindakan kerana mempunyai rekod kesalahan lampau dalam kejadian awal bulan ini.

Mereka ditahan sekali lagi pada Sabtu lalu bagi pengaduan yang dikemukakan seorang mangsa berusia 50 tahun yang didakwa diugut kedua-dua suspek ketika berada di BSI, pada 4 Januari lalu.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang membangkitkan kebimbangan berhubung pertambahan kesalahan jalan raya membabitkan warga asing. Kesalahan terutama dan semakin serius terutama ialah tiada lesen memandu.

Pengarah JPJ negeri , Zulkifly Ismail, berkata sejak awal Januari hingga hari ini sejumlah 267 notis saman dikeluarkan kepada pemandu warga asing dan 124 kenderaan disita yang semuanya disebabkan tiada lesen memandu.

Beliau berkata, itu tidak termasuk tahun lalu di mana 534 notis saman dikeluarkan kepada pemandu warga asing yang mana 416 kenderaan disita.

“Kita dapati trend sejak kebelakangan ini kesalahan dilakukan warga asing agak serius dan bertambah.

“Jadi saya ingin ingatkan pemilik kenderaan supaya berhati-hati dengan tidak sewenang-wenangnya membiarkan kenderaan mereka dipandu warga asing yang tidak mempunyai dokumen memandu sah.

“Jika tidak mereka juga bakal berdepan tindakan khususnya di bawah Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987 sekiranya kenderaan mereka dikesan dipandu individu tidak memiliki dokumen memandu yang sah,” katanya ketika ditemui sewaktu meninjau operasi khas sempena Aidilfitri di Stesen Penguatkuasa JPJ di Valdor, di sini, hari ini.

Dalam operasi itu, sejumlah 670 kenderaan diperiksa dengan 181 diambil tindakan, manakala 213 notis saman dikeluarkan dan enam kenderaan disita atas pelbagai kesalahan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut terbabit ops sama mengeluarkan 30 notis saman, diikuti Jabatan Imigresen yang melakukan lapan tangkapan warga asing.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) masing-masing mengeluarkan dua dan enam kompaun, manakala Agensi AntidDadah Kebangsaan (AADK) melakukan pemeriksaan air kencing terhadap 15 pemandu dengan enam daripadanya didapati positif dadah.

Pelumba negara, Hafizh Syahrin beraksi cemerlang di ARRC Zuhai semalam, dan seterusnya menghadiahkan kemenangan sulung buat Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team.

Ia merupakan sesi perlumbaan pertama, dalam pusingan kedua bagi Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024. Hafizh menunggang jentera Ducati V4 R dalam kategori ABS1000 untuk jentera-jentera superbike 1000cc ke atas.

Hafizh yang bermula di petak hadapan mempamerkan tunggangan yang konsisten untuk menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat.

Dia mengatasi pelumba pasukan Honda Asia-Dream Racing Astemo, Andi Farid Izdihar yang berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman yang mewakili TKKR BMW Racing Team ketiga.

Sebagai rekod, ini adalah kemenangan pertama buat JDT Racing Team, yang tampil dalam musim ARRC yang pertama mereka. Pada penampilan sulung sebelum ini di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand, Hafizh meraih tempat ketiga ketika perlumbaan kedua, setelah mengalami masalah teknikal pada perlumbaan pertama

Hafizh yang menggunakan jentera Ducati Panigale V4R mendedikasikan kejuaraan sulung itu kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail merangkap pemilik pasukan itu.

 

Skuter Suzuki Avenis dan Suzuki Burgman Street EX dilancarkan oleh Suzuki Malaysia, dengan untuk mengukuhkan kehadiran jenama itu dalam segmen skuter kapasiti kecil di Malaysia.

Walaupun kedua-dua model berkongsi platform yang sama, Suzuki berkata Avenis ditujukan kepada penunggang muda manakala Burgman Street EX adalah tawaran yang lebih premium.

Ciri-ciri Suzuki Avenis

  • Enjin Suzuki Eco Performance (SEP), 4-lejang, penyejukan udara, SOHC 125cc.
  • Ia menghasilkan kuasa maksimum 8.6 HP (8.7 PS) pada 6,750 RPM dan tork maksimum 10 Nm pada 5,500 RPM.

 

  • Skrin LCD kompak dengan susun atur intuitif dan lampu penunjuk eko untuk operasi penjimatan bahan api.
  • Penutup bahan api jenis engsel luaran terletak di bahagian belakang di belakang tempat duduk.

  • Ruang penyimpanan barang di bawah pelana berkapasiti 21.5 liter, dua cangkuk topi keledar dan dua cangkuk utiliti untuk barang tambahan.
  • Kapasiti tangki bahan api 5.2 liter.
  • Terdapat tiga pilihan warna iaitu Metallic Matte Fibroin Grey with Metallic Lush Green, Metallic Matte Black with Glass Sparkle Black, serta Metallic Sonic Silver with Triton Blue ‘GP Edition’ yang istimewa.

  • Harga jualan bagi warna-warna standard ialah RM 6,980.00, manakala GP Edition dijual pada RM 7,200.00 (harga jualan sahaja, bukan harga atas jalan).

Ciri-ciri Suzuki Burgman Street EX

  • Enjin Suzuki Eco Performance-Alpha (SEP-α), 4-lejang, penyejukan udara, SOHC 125cc.
  • Ia menghasilkan kuasa maksimum 8.6 HP (8.7 PS) pada 6,750 RPM dan tork maksimum 10 Nm pada 5,500 RPM.
  • Dilengkapi dengan ciri Engine Auto Stop-Start (EASS) dan Suzuki Silent Starter System.

  • Jarak roda yang lebih panjang untuk kestabilan yang lebih baik, rasa tertanam dan pengalaman menunggang yang selesa.
  • Papan lantai lanjutan menawarkan kedua-dua fleksibiliti dalam kedudukan kaki dan keselesaan semasa perjalanan jauh.
  • Ruang simpanan barang di bawah pelana dengan kapasiti 21.5 liter, dua cangkuk topi keledar dan dua cangkuk utiliti untuk barang tambahan.

  • Ruang simpanan barang hadapan yang boleh ditutup dengan port pengecasan USB dan akses mudah ke petak storan hadapan.
  • Kapasiti tangki bahan api 5.5 liter yang terbesar dalam kelasnya.

  • Burgman Street EX ditawarkan dalam dua warna iaitu Pearl Moon Stone Gray serta Metallic Mat Black.
  • Harganya ialah RM 7,500 (harga jualan sahaja, bukan harga atas jalan).
Galeri Foto Suzuki Avenis
Galeri Foto Suzuki Burgman Street EX

Michelin Malaysia melancarkan rangkaian tayar motosikal terbaharu iaitu Michelin Power 6, Michelin Power GP 2, dan Michelin Anakee Road, dalam satu acara malam tadi.

Menurut Michelin, tayar-tayr baharu ini adalah hasil komitmen mereka terhadap kecemerlangan, prestasi dan keselamatan di jalan raya, serta mempamerkan usaha berterusan jenama itu untuk memenuhi keperluan pengguna.

Pengarah Urusan Michelin Malaysia, Singapura, dan Brunei, Prichapakorn Dangrojana menyatakan bahawa,

“Kami sangat teruja untuk menunjukkan dedikasi teguh Michelin untuk menyesuaikan diri dengan keperluan pengguna yang sentiasa berubah melalui pengembangan inovatif produk motosikal kami. Dengan inovasi teras pendekatan strategik Michelin, kami berdedikasi untuk memajukan tawaran tayar motosikal kami untuk mengekalkan kedudukan kami sebagai penanda aras dalam industri untuk penunggang dan OEM dan gembira dapat memenuhi keperluan penunggang motosikal Malaysia yang minatnya merangkumi kedua-dua jalan terbuka dan litar lumba. Kini dengan MICHELIN Power 6, MICHELIN Power GP 2, dan MICHELIN Anakee Road, kami memulakan revolusi teknikal yang menjanjikan untuk meningkatkan perjalanan penunggangan untuk penunggang motosikal Malaysia.”

MICHELIN Power 6: Tayar Harian Anda untuk Keseronokan dan Kesukanan

Michelin Power 6 mengikuti jejak tayar sport-touring Power 5 yang sangat baik, dengan penekanan pada tunggangan yang lebih agresif. (Sebaliknya, Road 6 juga merupakan tayar sport-touring, tetapi dengan penekanan pada penjelajahan.)

Michelin mengatakan bahawa Power 6 dioptimumkan untuk keadaan basah dan kering, serta untuk pengendalian yang agresif dan ketangkasan. Mereka menambah bahawa tayar itu juga dibangunkan dengan ketahanan lama dan prestasi berkekalan untuk perjalanan jauh tersebut.

MICHELIN Power GP 2: Dari Penguasaan Litar Lumba kepada Adrenalin Atas Jalan

Michelin Power GP pada asalnya direka untuk kegunaan atas litar, tetapi Michelin Power GP 2 kini mendapat homologasi sebagai tayar prestasi jalanan juga. Tayar ini mewakili kemuncak kejuruteraan tayar. Tayar ini memenuhi keperluan motosikal supersports melebihi 600cc.

Dalam erti kata lain, ini adalah tayar sport yang boleh digunakan di trek dan di atas jalan raya. Ini juga bermakna anda boleh menunggangnya ke litar untuk trackday, dan menunggang pulang dengan tayar yang sama.

MICHELIN Anakee Road: Corak Bunga Rekaan Off-road untuk Penggunaan Jalan

Dahulu hanya terdapat satu tayar Michelin Anakee yang memberikan keseimbangan untuk jalan raya dan off-road, tetapi sejak itu Michelin telah membahagikan banjaran kepada beberapa varian mengikut aspek masing-masing. Kini terdapat Anakee Wild untuk off-road, dan ini, Anakee Road untuk menunggang yang lebih cenderung kepada jalan raya tetapi turut memberikan keupayaan off-road yang ringan.

 

Oleh itu, varian Michelin Anakee Road ini menampilkan nisbah 90/10 untuk kegunaan di atas jalan raya/off-road. Ini bermakna pemilik motosikal adventure tidak perlu takut dengan cengkaman di atas jalan raya, sambil masih boleh mengikuti jalan tikus tidak berturap ke dalam dusun durian.

Harga

Dengan 130 tahun sejarah dalam pembangunan tayar motosikal, dan lebih daripada 500 kemenangan dalam Kejohanan Dunia FIM, Michelin mendapat manfaat daripada pengetahuan luas dan unik yang telah membantu mereka kekal sebagai penggerak di sebalik inovasi dalam industri automotif.

Rangkaian Michelin Power dan Michelin Anakee telah dihomologasikan oleh pengeluar premium seperti BMW Motorrad, Triumph, KTM dan Honda bersama-sama dengan yang lain.

Harga runcit yang disyorkan (RRP) untuk tayar Michelin Power GP 2, Michelin Power 6, dan Michelin Anakee Road baharu bersama-sama pasangan saiz adalah seperti berikut:

MICHELIN POWER GP 2

HARGA SET (RM)

DEPAN & BELAKANG
120/70 ZR 17 (58W) TL 160/60 ZR 17 (69W) TL
180/55 ZR 17 (73W) TL
190/55 ZR 17 (75W) TL
200/55 ZR 17 (78W) TL
RM 1,300 – RM 1,700
MICHELIN POWER 6

HARGA SET (RM)

DEPAN & BELAKANG
110/70 ZR 17 (54W) TL
120/70 ZR 17 (58W) TL
140/70 ZR 17 (66W) TL
160/60 ZR 17 (69W) TL
180/55 ZR 17 (73W) TL
190/55 ZR 17 (75W) TL
200/55 ZR 17 (78W) TL
RM 1,020 – RM 2,000
MICHELIN ANAKEE ROAD

HARGA SET (RM)

DEPAN & BELAKANG
90/90 – 21 (54V) TL/TT
120/70 R 19 (60V) TL/TT
110/80 R 19 (59V) TL/TT
150/70 R 18 (70V) TL/TT
170/60 R 17 (72V) TL/TT
150/70 R 17 (69V) TL/TT
RM 1,300 – RM 1,700

 

Kontrak RM185.07 juta yang diberikan kepada Heitech Padu Bhd untuk MySikap adalah melalui tender terbuka, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Kontrak itu adalah untuk penyelenggaraan laman web MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia telah dianugerahkan kepada syarikat tersebut kerana bidaan mereka adalah yang terendah dan paling munasabah.

Anthony Loke berkata penyerahan pemberian kontrak tiga tahun kepada firma itu untuk jumlah itu dihantar kepada Kementerian Kewangan dan diluluskan oleh Perbendaharaan pada 2 Feb. Surat penerimaan itu dikeluarkan oleh JPJ kepada Heitech Padu pada 5 April.

Beliau menolak dakwaan bahawa kontrak itu diberikan kepada syarikat itu oleh kerana salah seorang pemegang saham utamanya ialah Farhash Wafa Salvador, yang merupakan bekas setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Loke berkata Farhash telah memperoleh 15.9% saham firma itu hanya pada 16 Mac tahun ini. “Ini bermakna dia memperoleh saham itu selepas kontrak diberikan kepada syarikat itu pada 2 Feb dan bukannya sebelum ia memperoleh projek itu.

“Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, selepas Farhash memperoleh saham dalam syarikat itu, tiada kontrak kerajaan lain ditawarkan kepada Heitech Padu sehingga hari ini,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pengangkutan di sini semalam.

Loke berkata Anwar dan Kabinet memandang serius sindiran pihak tertentu bahawa kontrak itu diberikan kepada Heitech Padu kerana hubungan rapat perdana menteri dengan Farhash.

“Farhash tidak lagi bersama kerajaan dan tidak berkhidmat dengan kerajaan dalam apa jua kapasiti.

“Sekiranya ada pihak yang masih tidak berpuas hati dengan penjelasan ini, Perdana Menteri mengalu-alukan mereka untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan menyeluruh,” katanya.

Loke mendedahkan bahawa dua syarikat lain yang memenuhi prasyarat teknikal dan kewangan juga telah bersaing untuk kontrak itu dengan bidaan RM186.8 juta dan RM199.5 juta. Beliau berkata harga siling bagi kontrak itu ialah RM207.3 juta.

Kontrak itu adalah untuk tempoh tiga tahun kerana ia disifatkan sebagai kontrak baharu, bukannya lanjutan.

“Biasanya, kontrak penyelenggaraan adalah jangka panjang. Ini adalah kontrak baharu dan bukan lanjutan kontrak. Jika ia lanjutan maka ia akan dibuat secara tahunan,” katanya.

Kontrak itu terdiri daripada dua skop kerja, iaitu MySikap dan Kerangka Utama. MySikap ialah platform dalam talian yang menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti pendaftaran kenderaan, cukai jalan dan pembaharuan lesen memandu, manakala Mainframe menyediakan pelayan untuk menyimpan data daripada MySikap.

Pada Mac 2023, JPJ memutuskan untuk menggabungkan kedua-dua komponen kepada tender tunggal dan untuk ia diselia oleh satu syarikat untuk pemantauan dan pengurusan yang lebih berkesan.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube